Thursday, July 13, 2017

Cari penyakit; Banyak duit ke dia ni?

Mujahid saman pensyarah RM5 juta
Anne Muhammad    -   Hari ini, 1:46 tengahari
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 27 Julai ini sebagai tarikh baru pengurusan kes saman Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa terhadap Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff.

Dalam sebutan pertama kes itu di hadapan Timbalan Pendaftar Rumaizah Baharom hari ini, Mujahid - yang diwakili peguam Mohd Fitri Asmuni - berkata saman berkenaan difailkan ekoran status Facebook dimuat naik Kamarul Zaman pada 25 Mei lalu.

Tulisan itu bertajuk: Dr Mujahid antara kuda tunggangan terbaik DAP.

“(Anak guam saya) menuntut ganti rugi sebanyak RM5 juta termasuk ganti rugi keterlaluan dan ganti rugi teladan untuk libel (fitnah bertulis).

“Ia juga injunksi untuk menghalang defendan sama ada menerusi defendan sendiri, ejen atau sesiapapun daripada menerbitkan kenyataan berunsur fitnah atau memberi sebarang kesan kepada plaintif baik di media sosial, cetak, mahupun elektronik,” katanya kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Selain itu, katanya, plaintif turut menuntut defendan supaya menerbitkan permohonan maaf secara terbuka.

Tak buat semakan

Sebelum ini Kamarul Zaman mendakwa buku tulisan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Hannah Yeoh bertajuk Hannah - A Personal Journey cuba memujuk, mempengaruhi atau menghasut orang ramai supaya menganut atau cenderung kepada Kristian.

Kenyataan Kamarul Zaman itu mengundang banyak kritikan, termasuk daripada Mujahid. Kamarul Zaman kemudian membuat laporan polis terhadap Yeoh.
Namun pada 24 Mei lalu Mujahid berkata beliau telah membaca buku tulisan Yeoh namun mendapati kandungannya mempunyai persamaan dengan naskhah yang ditulisnya pada 2010, Aren't We All Malaysian.
Katanya, beliau memilih subjek lain untuk menyatakan pandangannya manakala Yeoh memilih tema ketuhanan.
Pada masa sama Mujahid berkata beliau tidak menemui sebarang unsur yang boleh membawa seseorang Muslim murtad seperti didakwa Kamarul Zaman.
"Sebaliknya selepas membaca buku itu saya menjadi Muslim yang lebih baik," kata Mujahid.
Susulan dari kenyataan Mujahid itu, Kamarul memuat naik status yang menuduhnya sebagai kuda tunggangan DAP.
Sementara itu, Mohd Fitri menegaskan kenyataan Kamarul Zaman itu berunsur fitnah dan diterbitkan dengan niat jahat, hingga merosakkan reputasi dan nama baik Mujahid.
"Kenyataan berunsur fitnah menjejaskan imej, reputasi, kedudukan dan kerjaya plaintif sebagai muslim, ahli parlimen, pemimpin parti dan masyarakat.
"Kenyataan itu sendirinya membuktikan satu fitnah berat dan serius yang membabitkan soal agama, perkauman, kepercayaan, dan ketaatan plaintif terhadap Islam dan negara.
"Defendan menerbitkan kenyataan berunsur fitnah tersebut tanpa terlebih dahulu membuat semakan atau pengesahan dengan plaintif," katanya.

* Iman terletak di hati yang kukuh. Aku baca bible dan buku agama Hindu pun tak berkocak apa-apa. Jangankan menjadi kudis,  gatal pun tidak? Bahkan menjadi modal aku pula berbahas dengan puak-puak pendakyah Kristian yang datang ke rumahku satu ketika dulu.

2 comments: