Friday, June 23, 2017

Perintah Darurat?

Minta-minta janganlah sehingga terjadi begitu......

Thursday, 22 June 2017
PERINTAH DARURAT BOLEH DIELAKKAN JIKA.....
Apa yang dibangkitkan oleh Tun Mahathir Mohamad mengenai kemungkinan perintah darurat ini bukanlah mustahil sebenarnya, malah disedari dan mula diperkatakan oleh banyak pihak.

Ini kerana rata-rata menyedari, berbanding semua Perdana Menteri sebelum ini, Najib Razaklah yang paling takut untuk kalah dan hilang kuasa. Lantaran itu, ramai yang menyuarakan kebimbangan bahawa perintah darurat mungkin akan dilaksanakan sebagai jalan terakhir untuk mengekalkan kuasa.

Apa yang dibangkitkan oleh Tun Mahathir ini hanya mengesahkan lagi bahawa perkara itu tidak seharusnya dipandang ringan dan semua pimpinan Pakatan Harapan harus bersedia menghadapi kemungkinannya.

Mungkin ada yang berhujah, kenapa tidak ditimbulkan perintah darurat pada pilihanraya 2013 lalu sedangkan tentangan yang dihadapi Najib pada ketika itu turut getir dan mencabar?

Sebenarnya, pada pilihanraya 2013 lalu Najib masih yakin untuk menang, bahkan ketika isu isu skandal 1MDB belum meletus dan tidak difahami secara meluas sebagaimana sekarang.

Berbeza kali ini, bukan saja isu 1MDB sudah merebak,  difahami dan diperkatakan, termasuk berkaitan wang berbilion yang masuk ke akaun peribadi dan gelang serta rantai leher mewah yang dihadiahkan kepada isteri Malaysian Official 1, bahkan kali ini Tun Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim juga seolah-olah sudah berganding bahu untuk menumbangkan Najib, UMNO dan BN.

Selain itu, sudah banyak negara juga telah bertindak terhadap dana 1MDB yang dilencongkan dengan yang paling panas ialah Amerika Syarikat melalui Jabatan Kehakimannya atau DOJ dan ini secara tidak langsung memberi kefahaman yang lebih jelas kepada rakyat tentang perlunya perubahan dalam negara dilakukan.

Namun demikian, apakah perintah darurat itu tidak boleh dielakkan dan bagaimana pula untuk mengelakkannya?

Kebarangkalian untuk mencetuskan huru-hara akibat rasa tidak puas hati terhadap keputusan pilihanraya dan kemudian disusuli dengan perintah darurat hanya akan terjadi jika BN kalah tipis atau kurang 10 kerusi berbanding Pakatan Harapan.

Kekalahan tipis itu akan menyebabkan mereka yang kehilangan kuasa memberontak dan mencetuskan huru-hara.

Bagaimanapun, perintah darurat boleh dielakkan jika rakyat memberi kemenangan lebih selesa kepada Pakatan Harapan. Sebaik-baiknya, kemenangan Pakatan Harapan mestilah dengan majoriti melebihi daripada 10 kerusi Parlimen supaya tiada alasan lagi untuk rasa tidak puas hati dan menimbulkan kekacauan dapat dibangkitkan.

Jika dapat menafikan kemenangan BN dengan majoriti lebih besar atau sehingga Pakatan Harapan mencapai majoriti dua pertiga misalnya, tentulah lebih baik lagi dan akan mematikan terus senjata perintah darurat itu daripada ditimbulkan.

Hakikatnya, hanya dengan petunjuk bahawa perubahan kerajaan adalah benar-benar keinginan dan hasrat mutlak majoriti lebih besar daripada rakyat yang dapat menjadikan perintah darurat dielakkan sama sekali. (ShahbudinHusin 22/06/2017).

Posted by Shahbudin Husin at 20:33

Thursday, June 22, 2017

Hebatnya Mahathir dan bangsatnya DoJ!

Jamal dakwa Tun M dan kumpulannya merasuah DoJ
21 Jun 2017 | DALIA ISMAIL
Jamal Md Yunus rantai

Datuk Jamal Md Yunos hari ini mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad  telah 'merasuah' Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Dengan gimik rantai dan cincin berlian Pengerusi Gerakan Gabungan NGO Selangor (Gerakan Merah) itu berkata, tiada bukti yang boleh dikaitkan dengan pembabitan perdana menteri dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dalam pembelian barangan kemas bernilai RM116juta (AS$27.3juta) seperti dakwaan DoJ.

"Kita lihat sedang viral bagaimana kumpulan yang diketuai Tun Mahathir telah merasuah DoJ untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia yang mereka sebut sebagai 'MO1' yg dikaitkan dengan Datuk Seri Najib yang mana mereka sudah melakukannya beberapa tahun lalu.

"Tiada bukti yang mampu ditunjuk DoJ selain mendapatkan dokumen yang diberikan kumpulan 'biawak hidup' Tun Mahathir itu kepada DoJ," ujarnya dalam sidang media diadakan di pejabatnya  pagi tadi.

Bahkan Jamal juga mempersoalkan bagaimana rakyat negara ini ujarnya, percaya dengan dakwaan DoJ itu tanpa menyelidikinya terlebih dahulu.

"Saya hairan bagaimana rakyat Malaysia boleh percaya tanpa melakukan siasatan. Jika FBI mesti ada pegawai penyiasat sendiri tetapi tiada satu artikel bagaimana dokumen itu disiasat. Kita terima bulat-bulat apa kata DoJ.

"Kami yakin dan percaya ia adalah agenda jahat daripada Tun Mahathir," ujarnya yang percaya ia adalah satu cara untuk mengunakan DoJ bagi memburukkan pemimpin negara.

Laporan DoJ 251-muka surat pada Khamis lalu yang menamakan beberapa individu dalam usaha merampas aset bernilai AS$540 juta (RM2.3 bilion) yang menurutnya dibeli menggunakan wang dicuri daripada 1MDB.

Laporan DoJ itu bagaimanapun tidak menamakan Rosmah mahupun Najib.

Satu ketika beri amaran jangan kacau rumah tangga PAS, sekarang hang dok sibuk dengan PH tu nape?

Percubaan adu domba PKR dan PH ke?
Tektik lama weh!

Bersatu tidak layak dominasi kuasa dalam Pakatan Harapan
21 Jun 2017 | MALAYSIA DATELINE
Tuan Ibrahim Tuan Man

Pandangan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menolak penguasaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pakatan Harapan wajar diberikan perhatian serius, kata Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata Bersatu tidak sepatutnya cuba mendominasi Pakatan Harapan kerana ia parti yang baharu menyertai gagasan itu.

"Pandangan daripada Anwar itu betul, tak mungkin boleh dua-dua daripada parti Bersatu sebab dominasi dalam Pakatan Harapan itu masih lagi pada PKR dan selama ini pun dalam Pakatan Rakyat, PKR yang menerajui.

"Jadi kalau dengan kemasukan Bersatu yang belum dicuba dalam mana-mana pilihan raya, saya fikir pandangan Datuk Seri Anwar itu wajar, maknanya wajar diberi perhatianlah," katanya seperti dilapor Antarapos.

Sabtu lalu, Anwar dalam satu kenyataannya melalui ibu pejabat PKR menyatakan bahawa beliau bersetuju sekiranya Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad diberikan peranan penting dalam Pakatan Harapan, namun menolak penguasaan Bersatu dalam jawatan pengerusi dan presiden dalam gagasan itu.

Parti komponen Pakatan Harapan kini dikatakan bertelagah mengenai struktur organisasi baharu pakatan itu selepas Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak diberikan jawatan utama dan sekadar menjadi timbalan.

Anwar yang dinamakan penasihat dalam senarai itu menolak Pengerusi Pakatan Harapan mempunyai kuasa pemutus sebaliknya hanya perlu diberi tugas-tugas menyelaras.

Tuan Ibrahim bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan Anwar itu.

"Saya fikir kalau pengerusi hanya sebagai penyelaras, dia tiada kuasa, saya fikir dia tak boleh memberi sesuatu arahan dan membuat keputusan dalam mesyuarat, dia mesti ada kuasa sebagai pengerusi yang sebenar.

"Saya fikir betul kalau pengerusi hanya sebagai penyelaras, jadi ia tiada makna dan memang kalau kita lihat dari segi muafakat tu, mesti ada ketua yang dihormati, bukan sekadar ketua untuk pengerusi menyelaras menyuarat-mesyuarat sahaja," ujar Tuan Ibrahim lagi.

Anwar sebelum ini menegaskan ketua setiap parti harus diberi kuasa dan kedudukan yang sama-rata bagi mengekalkan tradisi musyawwarah dan konsensus seperti yang diamalkan Pakatan Rakyat, suatu ketika dahulu.

Pemimpin parti Islam bermulut busuk yang pengecut!

Razman mohon maaf kaitkan Amanah dengan komunis
21 Jun 2017 | MALAYSIA DATELINE
Razman Zakaria

Bendahari Pas Pusat Razman Zakaria membuat permohonan maaf secara terbuka atas tindakannya mengaitkan penubuhan Parti Amanah Negara (Amanah) dengan Parti Komunis Malaya (PKM).

Permohonan maaf itu dibuat beberapa jam selepas Amanah melalui peguamnya Mohamed Hanipa Maidin mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Razman yang juga Pesuruhjaya Pas Perak.

Hanipa mewakili Presiden Amanah Mohamad Sabu, Timbalan Presiden Salahuddin Ayub dan Setiausaha Agung Mohd Anuar Tahir, yang wajah mereka terdapat dalam poster yang dikongsikan Razman di Facebooknya.

Razman yang memaparkan poster bertajuk "sejarah yang berulang" dengan membandingkan penubuhan Amanah yang didakwa Proksi DAP dengan Rejimen Ke-10 iaitu sayap kanan PKM.
Posting Razman Zakaria

Turut dipaparkan ialah wajah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Justeru Razman diberi masa 14 hari untuk membuat permohonan maaf.

Razman juga sedang berhadapan kes saman fitnah oleh Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.

Dalam kes tahun 2015 itu, Nizar memfailkan tuntutan fitnah sebanyak RM3 juta terhadap Razman yang didakwa memfitnahnya.

Ia ekoran sebuah rencana yang disiarkan akhbar Sinar Harian edisi Perak bertarikh 2 Jun bertajuk Pendekatan Nizar mirip DAP yang dilihat cuba menjatuhkan dan memburukkan imej serta nama baik bekas Menteri Besar Perak itu.

Hebat Rahman Dahlan ni......

mk  -   Hari ini, 12:29 tengahari
DOJ jawab kenyataan Rahman Dahlan oleh kinitv

Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berkata saman sivilnya untuk merampas aset yang dikaitkan dengan dakwaan penyelewengan dana 1MDB adalah termasuk semua butiran yang relevan supaya kepercayaan yang munasabah dapat dibuktikan semasa perbicaraan.
Ia menjawab kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang mengatakan bahawa DOJ memberi gambaran seolah-olah isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor terlibat dalam salah laku jenayah dengan mengaitkannya dengan berlian yang didakwa dibeli menggunakan dana yang disalahgunakan dari 1MDB, walaupun ia tidak berniat untuk merampas barang kemas tersebut.
DOJ memberitahu Malaysiakini menerusi emel bahawa undang-undang menghendakinya menyatakan fakta yang cukup terperinci untuk membuktikan satu kepercayaan yang munasabah bahawa ia akan menang dalam perbicaraan.
"Ini bermakna kita perlu menyatakan fakta yang mencukupi untuk menunjukkan satu kepercayaan yang munasabah bahawa undang-undang pengubahan wang haram Amerika Syarikat dan undang-undang jenayah yang lain telah dilanggari dan bahawa aset subjek adalah terlibat dalam atau dikesan kepada transaksi haram ini.
"Di samping aduan itu memberikan satu butiran yang mencukupi untuk secara khusus mengenal pasti harta yang tertakluk kepada pelucuthakan dan untuk memperjelaskan asas kes kerajaan sekiranya sesiapa yang mempunyai tuntutan yang sah ingin mencabar kes kami. Mengenal pasti orang dan entiti membantu fungsi itu," tambahnya.
Menurutnya, tiada kesimpulan yang sepatutnya dibuat, dalam apa cara sekalipun, tentang status individu-individu atau entiti-entiti, hanya kerana mereka dinamakan dalam dokumen.
DOJ dalam pemfailan baru minggu lepas mengatakan bahawa AS$4.5 bilion (kira-kira RM19 bilion) telah didakwa dicuri dari 1MDB.
Ia berusaha untuk merampas aset bernilai AS$1.7 bilion (RM7.3 bilion), yang dikatakannya dibeli dengan wang dicuri itu di AS dan di tempat lain, di bawah undang-undang pengubahan wang haram negara itu.
Saman DOJ setebal 251 halaman yang difailkan pada hari Khamis tidak menyebut nama Rosmah, tetapi menyebut bahawa isteri "Malaysian Official 1" (MO1) yang tidak dinamakan, diberi hadiah kira-kira AS$30 juta barang kemas oleh individu yang berkaitan dengan 1MDB, Jho Low.
DOJ memberitahu Malaysiakini bahawa ia tidak akan merampas barang kemas yang diberikan kepada isteri "MO1".
Abdul Rahman semalam menamakan Rosmah dalam hubungan dengan tuntutan DOJ itu. Beliau pada tahun lepas juga mengenal pasti MO1 sebagai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, tetapi menegaskan bahawa Najib tidak dinamakan sebagai defendan dalam kes itu.
Najib telah menafikan semua dakwaan salah laku yang berkaitan dengan 1MDB, manakala Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali telah membersihkan Najib dan mengecam DOJ kerana membayangkan PM seolah-olah ada kaitan dengan salah laku jenayah.
Low, yang dinamakan oleh DOJ, adalah sahabat keluarga Najib manakala seorang lagi defendan, Riza Aziz adalah anak lelaki Rosmah.
Sebagai responnya, Low berkata dakwaan DOJ itu tidak berasas.

Penyerang masih hidup kerana campur tangan Imam

Ini sebabnya pemandu van putih serang jemaah masjid masih hidup
  | June 20, 2017
Orang ramai sudah mula mengepung lelaki berusia 47 tahun itu yang menjerit 'Saya akan bunuh semua orang Islam'. Tetapi dia selamat.
Darren Osborne menjerit ‘Saya akan bunuh semua orang Islam’ ketika merempuh vannya di luar sebuah masjid di London.

PETALING JAYA: Serangan ke atas sekumpulan umat Islam yang baru selesai solat tarawih di London semalam mungkin merebak dan tidak terkawal, kalau bukan kerana tindakan pantas seorang imam masjid berdekatan yang merayu supaya penyerang tidak diapa-apakan.
Mohammed Mahmoud, imam di Pusat Kebajikan Islam di Finsbury Park di utara London, berkata beliau baru selesai mengimami solat apabila seorang pemuda meluru masuk memberitahu jemaah sebuah van putih sengaja merempuh orang ramai.
Di luar masjid, sekumpulan orang awam sudah pun menangkap pemandu van itu, Darren Osborne, lelaki tempatan berusia 47 tahun yang menyebabkan seorang terbunuh dan 11 lagi cedera.
Saksi berkata Osborne menjerit “I’m going to kill all Muslims” (Saya akan bunuh semua orang Islam) ketika merempuh vannya ke arah orang ramai di kaki jalan, sejurus selepas solat tarawih sekitar 11.30 malam. Dia menganggap tindakan itu adalah sebagai membalas serangan dilakukan 3 lelaki Islam di pusat bandar raya London pada 4 Jun, yang meragut 8 nyawa.
Lelaki itu hampir pasti dibelasah orang ramai yang mengepungnya kalau bukan rayuan Mahmoud yang cuba meredakan kemarahan.
Sesetengah daripada mereka sudah mula membelasah dan menendang lelaki itu yang terbaring di atas jalan.


Seorang pemilik kafe berdekatan yang menjadi saksi kejadian itu memberitahu akhbar The Guardian: “Imam tiba dari masjid dan berkata, ‘Dengar, kita berpuasa, ini bulan Ramadan, kita dilarang bertindak sebegini. Tolong berundur’,” katanya.

“Itu sebabnya lelaki itu masih hidup pada hari ini. Itu sahaja sebabnya. Kalau bukan kerana imam itu, dia tidak ada lagi.” 


Tindakan Mahmoud menerima pujian ramai, termasuk Datuk Bandar London, Sadiq Khan.


“Bila keadaan tidak terkawal, dan kita memahaminya, Imam Mohammed menenangkan situasi dan memastikan keadilan boleh dan perlu dicari menggunakan saluran betul,” Sadiq memberitahu Sky News. 


Sementara itu, imam tersebut berkata beliau turut dibantu oleh orang lain. 


“Saya bukan sendiri, ada sekumpulan lain. Mereka tenang dan berjaya menenteramkan orang ramai dan memadamkan api kemarahan yang mungkin mencetuskan huru hara kalau bukan campurtangan mereka ini yang bersikap matang,” kata Mahmoud kepada pemberita. 


Insiden semalam adalah peristiwa berdarah ke-3 di London sejak permulaan Ramadan, selepas serangan pengganas di pusat bandar itu dan kebakaran pangsapuri Grenfell Tower di utara Kensington yang setakat ini dipercayai meragut lebih 50 nyawa.

Wednesday, June 21, 2017

Tentera Amerika kini bukan lagi yang terbaik di dunia

Tentera Amerika Kini Tidak Lagi Yang Terbaik Di Dunia
Selama ini Amerika Syarikat dikenali sebagai negara dengan tentera terkuat di dunia. Namun rupanya sekarang bukan lagi. Perkara itu didedahkan sendiri oleh Kapten Angkatan Darat AS, J Scott Metz dalam jurnal profesional Angkatan Darat yang ditulisnya.

Metz mendakwa pada ketika ini tentera AS bukan lagi angkatan yang terbaik di dunia kerana pasukan tentera AS pada masa ini tidak sedia berperang seperti rakan kongsi multinasional mereka.

"Saya rasa pasukan negara lain secara taktikal lebih baik daripada kita. Selain itu, kita juga tidak diberi latihan yang cukup di markas induk. Bahkan, sekutu dan beberapa musuh yang berpotensi lebih bersedia daripada pasukan AS," ungkap Metz, seperti dipetik dari laman Independent, minggu lalu.

Menurut Metz, masalah persiapan merupakan punca utama angkatan tentera AS tidak lagi kuat. Persiapan itu merangkumi semua perkara termasuk kurangnya pantauan terhadap persediaan dan pensijilan senjata yang diperolehi tentera, hingga dokumen yang tepat dalam arkib dalam sistem komputer Jabatan Pertahanan.

"Para pemimpin kanan tentera menjadikan persiapan sebagai keutamaan, tetapi unit-unit kecil dan komander yang bertugas dalam keperluan latihan dan kerja pentadbiran tidak diberi cukup masa untuk bersiap sepenuhnya," tulis Metz.

Selain itu, Metz juga mendedahkan pasukan tentera AS pada masa ini tidak mengetahui bagaimana cara memanfaatkan medan perang untuk memberi kelebihan kepada mereka setiap kali ketika terlibat latihan bersama. Ia merupakan sesuatu yang perlu diberi latihan lagi di tempat asal mereka.

Metz menyuarakan pendapat berdasarkan perspektifnya terhadap Angkatan Darat, bukan tentera AS secara keseluruhan.
Pesara Jeneral Tentera Amerika Syarikat, Robert H. Scales, tidak segan silu mendedahkan kekaguman beliau akan kemampuan teknologi tentera Rusia dalam tulisannya pada dada akhbar The Washington Post tahun lalu.

Beliau bahkan mengatakan teknologi perang Rusia sudah menjangkaui kemampuan Amerika Syarikat. Berikut ini adalah tulisan Scales yang dipetik dari laman National Post, (8/8/2016):

November lalu, ketika melawat markas tentera AS di Eropah saya mendapat maklumat tentang kemampuan tentera Rusia di Ukraine dari seorang perisikan muda. Beliau menceritakan secara terperinci apa yang berlaku semasa pertempuran di Zelenopillya, Julai 2014. Pada masa itu, satu peralatan tempur Russia hampir mampu menghancurkan dua batalion peralatan tempur Ukraine hanya dalam tempoh beberapa minit.

Saya tidak boleh membayangkan peralatan tempur AS boleh memiliki kehebatan yang sama seperti itu. Kemudian saya sedar bahawa Ukraine telah menjadi cara Rusia untuk mempamerkan apa yang mungkin berlaku jika kita bertempur.

Ini pertama kalinya sejak Perang Dingin, kekuatan perang Amerika kalah oleh tentera asing.

Kekuatan meriam Rusia di Ukraine menunjukkan, selama dua dekad terakhir, teknologi Rusia telah menjangkaui kita. Teknologi persenjataan perang elektronik yang diperlihatkan Rusia di Ukraine adalah yang terbaik di dunia, jauh daripada kemampuan kita. - sumber

Kita tunggu SPRM "bebaskan" isa Samad?

Wednesday, June 21, 2017
Sama-sama kita tunggu SPRM "bebaskan" isa Samad?

SUSUPAN PETANG

Bekas pengerusi FGV Mohd Isa Samad bersama isteri hadir ke pejabat SPRM hari ini. Tidak dipasti beliau hadir atas kapasiti orang tersangka ataupun sebagai saksi. Sebelum ini pihak SPRM kata ia akan memanggil lebih 40 saksi untuk memberi keterangan berhubung isu pergolakan dalam FGV -- pertembungan antara pengerusi Isa Sama dengan CEO, Zakaria Arshad.

Berpandukan kepada sejarah masa lampau, saya tetap yakin orang politik yang terbabit dalam pertembungan itu akan selamat sebaliknya penjawat awam akan dikenakan tindakan. Sama ada diheret sebagai tersangka ataupun sekurang-kurang tindakan disiplin, dipecat.

Kita sudah mangli menyaksikan kes-kes begini bila mana berlaku pergolakan dalam apa-apa badan atau syarikat kerajan hatta di kementerian sendiri antara penjawat awam dengan menteri -- orang politik, di mana ia berakhir penjawat awam menjadi mangsa.

Kerana sejarah itu juga menyebabkan pejawat awam yang sering menjadi mangsa, berhati-hati untuk membuat apa-apa laporan berkaitan salah laku orang politik dalam badan-badan berkenaan. Phobia itu juga menjadikan penjawat awam takut untuk membuat laporan atau pun melawan orang politik.

Situasi itu semua menunjukkan politik tetap menguasai badan-badan seperti SPRM yang dikatakan bebas itu.

Tidak perlu diturunkan bukti mengenai hakikat ini kerana kita semua sudah mengetahui sejarahnya. Baik di zaman Najib Razak, Abdullah Ahmad Badawi atau Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri semua ada rekod busuk dan tidak bermoral berkenaan. Dr zaman Dr Mahathir kertas pertuduhan untuk seorang menteri kanan sudah disiapkan tetapi akhirnya ia dibatalkan.

Di zaman Dr Mahathir ada seorang menteri disiasat oleh SPRM dituduh terlibat dengan rasuah, akhirnya yang disiat kereta mewah milik menteri itu sebalik menteri berkenaan dibebaskan dibebaskan di zaman Abdullah bahkan dilantik menjadi orang besar.

Dalam kes membabitkan Isa Samad ini maupun terbaharu Annuar Musa di Mara kita tunggulah keputusannya nanti, apakah ia mengikut jejak kes-kes sebelum ini. Bagi saya, saya sangat yakin kerana itulah cara dan amalan diamalkan oleh kerajaan Najib Razak. [wm.kl.12:06 pm 21/16/17]

Posted by mohd sayuti Omar at 12:14:00 PM

Memang nampak Kartun!

Wednesday, 21 June 2017
KARTUN APAKAH INI?
Hari ini (Rabu) jam 10 pagi, bekas Pengerusi Felda Global Ventures atau FGV, Isa Samad dan isterinya, Bibi Shahriza Mohd Khalid dilaporkan akan hadir ke pejabat SPRM dinPutrajaya untuk memberi keterangan berhubung siasatan terhadap syarikat tersebut.

Kehadiran mereka difahamkan adalah atas arahan SPRM setelah sebelum ini agensi tersebut turut melakukan serbuan ke pejabat FGV di Menara Felda.

Bagi sesetengah pihak, tentu ada yang gembira dengan perkembangan ini kerana seolah-olah Isa dan isterinya akan disiasat dan selepas itu mungkin akan didakwa oleh agensi penguatkuasa anti rasuah itu.

Tambahan lagi, cerita-cerita yang berlegar dari mulut ke mulut mengenai mereka bukan sedikit diperkatakan oleh orangramai sejak Isa menerajui Felda dan FGV lagi.

Benarkan Isa dan isterinya yang bakal disiasat?

Jika benar Isa dan isterinya yang sedang disiasat oleh SPRM, keadaan ini benar-benar umpama cerita kartun kerana bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu baru saja dipindahkan daripada FGV ke SPAD atau Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat pada Isnin lalu.

Perpindahan itu dilakukan oleh Najib Razak sebagai tindakan untuk meredakan kemelut FGV yang sedang berlaku antara Isa dengan CEOnya, Zakaria Arshad yang dikini digantung tugas dan berdepan proses siasatan dalaman.

Dalam pertemuan dengan Isa pada pagi Isnin, Najib dilaporkan memujuk Isa supaya bersetuju berundur daripada FGV dengan janji akan diberikan jawatan baru di SPAD.

Pengerusi SPAD sebelum ini ialah Syed Hamid Albar, tetapi beliau sudah pun mengumumkan pengundurannya pada 3 Jun lalu.

Lantaran bersetuju dengan tawaran Najib itulah Isa meletakkan jawatan sebagai Pengerusi FGV beberapa jam kemudian dan disusuli dengan pengumuman oleh Pejabat Perdana Menteri mengenai perlantikannya sebagai Pemangku Pengerusi SPAD.

Tawaran dan perpindahan ke tempat baru sebagaimana yang diusulkan oleh Najib dikhabarkan diterima dengan gembira dan senang hati oleh Isa.

Dengan demikian perjalanan ceritanya, adakah logik jika Isa yang baru saja diberikan  jawatan di SPAD, tiba-tiba disiasat pula oleh SPRM?

Lebih tidak logik jika Isa juga akan didakwa di mahkamah kerana kiranya semua itu berlaku, Najib dengan sendirinya telah memalukan dirinya sendiri lantaran "orang kesayangannya" yang baru tiga hari dianugerahkan jawatan untuk memimpin sebuah agensi kerajaan, kini terpaksa berdepan suatu proses lain iaitu pengadilan.

Oleh kerana SPRM berada di bawah kekuasaan Perdana Menteri dan kuasa melantik pengerusi agensi kerajaan juga hak Perdana Menteri, adalah lebih munasabah kiranya Isa yang mahu disiasat, lebih-lebih jika sampai ke peringkat pendakwaan,  Najib bertindak menangguhkan dahulu perlantikannya menerajui SPAD sehingga agensi penguatkuasa anti rasuah itu selesai menjalankan siasatan berkaitan FGV.

Hanya setelah Isa didapati tidak terlibat dengan sebarang salah laku di FGV oleh SPRM, barulah perlantikannya dibuat untuk menerajui SPAD.

Oleh itu, untuk apa Isa hadir ke SPRM?
Selain mungkin kehadiran beliau adalah untuk diambil keterangannya berhubung siasatan SPRM tentang urusniaga antara Safitex dengan Delima Oil Products yang melibatkan kemungkinan ada salah laku oleh Zakaria, kebarangkalian lain ialah ini merupakan satu bentuk "gertakan halus" terhadap Isa.

Serentak dengan pengumuman pertukaran Isa ke SPAD pada Isnin lalu juga, Pejabat Perdana Menteri turut mengeluarkan kenyataan menyokong tindakan Lembaga Pengarah FGV menggantung jawatan Zakaria dan tiga yang lain dengan alasan mereka ada alasan yang munasabah untuk berbuat demikian.

Ia secara tidak langsung merupakan sokongan terbuka Najib terhadap tindakan Isa menggantung jawatan Zakaria dan ternampak sangat mustahil kalau ia disusuli dengan membenarkan siasatan terhadap bekas Pengerusi FGV itu.

Berhubung kebarangkalian "gertakan halus" terhadap Isa, jika pun siasatan itu melibatkan beliau dan isterinya, ia mungkin hanya sekadar siasatan semata-mata.

Selagi  Isa "menunjukkan kesetiaan" terhadap Najib dan "tidak lawan tauke"  beliau bukan saja akan terus kekal di SPAD, bahkan akan "selamat"  sampai bila-bila. (ShahbudinHusin 21/06/2017).

Posted by Shahbudin Husin at 05:48

Nasib buruk menimpa hamba Trump dan Yahudi

Ini Kesan Boikot Qatar Yang Akhirnya Memakan Diri Arab Saudi Dan Emiriah
 6 days ago
(Foto: Ameer Abdul Razak/Flickr)

Kerugian sejumlah besar syarikat Arab Saudi dan UAE terus meningkat setiap hari akibat sekatan yang tidak adil yang dikenakan ke atas Qatar oleh kerajaan Arab, lapor akhbar Daily Arrayah pada hari Ahad.

Sesetengah pakar ekonomi dan pakar perniagaan mengatakan bahawa ekonomi Qatar semakin kukuh walaupun mendapat sekatan, sementara banyak syarikat di Arab Saudi dan UAE berada di bawah risiko penutupan.

"Syarikat-syarikat ini mengalami kerugian besar akibat sekatan yang dikenakan ke atas Qatar, yang menjadikan mereka dalam keadaan kritikal yang serius akibat daripada keputusan yang tidak dikaji oleh pemerintah mereka," lapor akhbar itu.

Menurut pakar ekonomi, Qatar hanya kehilangan tidak lebih 15 bilion kesan dari sekatan ini. Namun jumlah ini bukanlah nilai yang besar berbanding dengan keseluruhan import Qatar berjumlah 77 bilion.

Selain itu, Qatar merupakan negara pengeluar gas asli terbesar dunia, jadi aktiviti pengeluaran gas asli Qatar tidak akan memberi impak besar walaupun disekat negara Teluk Arab disebabkan Qatar mempunyai pelanggan dari negara besar dunia seperti China, India, Korea Selatan dan lain-lain.

Sekatan udara, darat dan laut yang dilaksanakan oleh Arab Saudi dan negara Teluk lain juga tidak akan memberi impak besar kepada Qatar kerana Qatar memiliki 5 pelabuhan laut dan boleh melalui pengairan laut Oman dan Iran. Untuk makluman pengangkutan menggunakan jalan laut kosnya lebih rendah berbanding jalan udara.

Saudi dan sekutunya tidak mampu menyekat laluan Qatar melalui perairan negara lain dan jika mereka cuba berbuat demikian sudah tentu akan mencetuskan kemarahan China dan lain-lain yang merupakan negara pelanggan gas asli Qatar.

Kerugian Arab Saudi
(Foto: Albalad.co)

Sebelum ini Arab Saudi adalah pembekal utama bahan makanan kepada Qatar yang bernilai 1.1 bilion. Kini, Arab Saudi telah kehilangan nilai ini disebabkan pemboikotan Qatar dan Turki telah menggantikan tempat Saudi sebagai pembekal utama makanan Qatar.

Kerugian lain ialah penurunan harga minyak kesan boikot ini dan mengurangkan pendapatan Saudi sampai ia terpaksa menghentikan sebahagian projek insfrastuktur Saudi dan akan mengakibatkan ramai hilang pekerjaan. Dalam masa yang sama Saudi terpaksa meminjam dari bank dunia.

Kekurangan hasil dari jualan minyak Saudi ditambah kos peperangan di Yaman yang diketuai olehnya dan pertambahan hutang (antaranya bagaimana mahu membayar pembelian senjata dengan us bernilai 110 bilion) menyebabkan Saudi dalam keadaan yang tidak begitu baik.

Disamping itu, 17 ribu warga Saudi yang memiliki rumah, aset dan pekerjaan selesa di Qatar sangat bimbang akan kehilangan semua kemudahan tersebut seandainya sekatan ke atas Qatar diteruskan.

Kerugian UAE
(Foto: naukrigulf.com)

Terdapat banyak syarikat UAE yang bekerja di Qatar dan mereka berada di bawah ancaman untuk menutup perniagaan mereka, hanya kerana pendirian kerajaan mereka. Kontrak mereka bernilai berjuta-juta dolar. Bank UAE juga menghadapi risiko kehilangan simpanan besar Dan pinjaman.

Sekatan itu juga menjejaskan kemasyhuran Pelabuhan Jebel Ali, yang dibanggakan UAE sebagai pusat perdagangan dan pelabuhan laut antarabangsa terbesar bagi di Timur Tengah.

Selain itu, UAE sendiri antara pelanggan utama gas asli Qatar dan andai Qatar menghentikan membekal gas asli ke UAE ini akan menjadi bencana dan krisis tenaga dan elektrik kepada UAE. Walaubagaimanapun, Qatar masih tidak menutup saluran paip gas asli kepada UAE kerana bimbang akan menjejaskan rakyat UAE dan kerana mengganggap UAE sebagai 'saudara.

Antara yang menerima impak buruk ialah beberapa syarikat utama UAE seperti syarikat pengeluar gula yang memiliki projek di Qatar, syarikat-syarikat binaan dan kontraktor yang mempunyai saham dan projek di sana. Jika boikot ini berterusan ia akan menjadi bencana kepada semua syarikat-syarikat UAE yang memiliki projek di Qatar atau saham dan perkongsian dengan syarikat-syarikat antarabangsa Qatar. - sumber

Sumber: gulf-times.com, Mohd Mahyuddin Mohd Yusoff

'Kepala' penipu ditahan

Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my
PENGASAS skim pelaburan Kelab MFace berusia 50-an ditahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di rumah di Taman MBI, Kulim, Kedah pagi semalam.

Operasi Ops Token II pada 6.30 pagi itu membabitkan sepasukan anggota dan pegawai Pasukan Tindakan Khas Bahagian Penguatkuasa, KPDNKK Putrajaya bersama-sama Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara (NRRET) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata,operasi itu membabitkan satu premis kediaman di Sungai Dua, Butterworth dan dua premis kediaman mewah di Taman MBI, Kulim, Kedah.

Beliau berkata, operasi itu susulan tindakan ke atas skim Kelab MFace pada 29 Mei lalu di Lembah Kelang dan M Mall, Pulau Pinang dan hasil risikan dan makluman awam sejak lebih sebulan lalu, ketiga-tiga premis yang disyaki menjadi transit penyimpanan wang tunai diperiksa.

Katanya, dalam pemeriksaan di premis pertama di Sg Dua, Butterworth, pihaknya menyita wang tunai RM280,000 dan menyita RM187,612 serta pelbagai mata wang asing bernilai RM218,000 di sebuah rumah di Taman MBI Desaku, Kulim termasuk tiga kereta mewah iaitu Jaguar, Range Rover dan Velfire.

"Pihak KPDNKK turut membuat membekukan ke atas empat akaun suspek sebanyak RM30 juta dan kini ditahan reman empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

"Sehingga kini jumlah pembekuan ke atas akaun yang terbabit dalam skim berkenaan adalah 98 akaun membabitkan 49 akaun syarikat dan 49 lagi akaun individu berjumlah RM209 juta," katanya pada sidang media di Bank Negara Malaysia (BNM) negeri di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2017 @ 6:10 PM

Tuesday, June 20, 2017

Tentera Turki sudah tiba di Qatar

Kerajaan Qatar Umum Ketibaan Tentera Turki Di Ibu Negara Qatar
Monday, June 19, 2017 
Foto: Sedat Suna/EPA

Kementerian Pertahanan Qatar telah mengumumkan ketibaan kumpulan pertama tentera Turki di ibu negara, Doha, untuk mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan bersama, lapor Al Jazeera.

Kumpulan tersebut akan menjalankan latihan pertama mereka di pangkalan tentera, Tariq bin Ziyad pada hari Ahad ini, kata kementerian itu.

Latihan ketenteraan ini telah lama dirancang. Ia adalah sebahagian daripada persetujuan bersama yang bertujuan untuk mengukuhkan kemampuan pertahanan kedua-dua negara, serta meningkatkan usaha untuk melawan kumpulan bersenjata dan mengekalkan kestabilan di rantau itu.

Latihan ketenteraan ini susulan selepas Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Mesir dan beberapa negara lain memutuskan hubungan dengan Qatar minggu lalu, menuduh Qatar menyokong "keganasan" dan Iran. Qatar menolak tuduhan.

Awal bulan ini, parlimen Turki mempercepatkan kelulusan perjanjian berasingan dengan Qatar yang membenarkan tentera untuk dihantar ke sebuah pangkalan tentera Turki di negara Teluk itu.

Perjanjian itu telah ditandatangani pada bulan April 2016.

Turki telah menjadi negara utama yang menyokong Qatar sejak krisis Teluk bermula pada 5 Jun.

Ankara juga telah cuba untuk menjadi pengantara antara dua pihak untuk mencari penyelesaian kepada krisis itu. - sumber

“Saman kami jika dia berani. Saya bersedia” - Mahathir

“KALAU ADA PATUT BAGI BALIKLAH BERLIAN ITU,” KATA DR MAHATHIR
Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan kepada isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor supaya mengambil tindakan undang-undang terhadap Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat jika beranggapan dirinya difitnah.

Tun Mahathir berkata demikian selepas peguam Rosmah mengeluarkan amaran kepada pengguna media sosial bahawa mereka akan disaman jika memfitnah isteri Datuk Seri Najib Razak itu.

“Saya dengar Rosmah akan menyaman sesiapa yang menuduh dirinya dengan berlian yang disebut oleh DOJ itu.

“Kenapa dia tak cabar Jabatan Keadilan Amerika Syarikat itu?

“Di Malaysia dari dulu kita dgr cerita berlian RM25 juta itu. Sampai sekarang ini semua orang percaya itu benar. Kalau tak benar tunjuklah mcm mana tak benar.

“Kalau ada patut bagi baliklah diamond (berlian) itu…,” kata Dr Mahathir melalui rakaman video yang dimuat naik ke laman Facebooknya.

DOJ memfailkan saman pada Khamis lalu, yang berkata isteri “Malaysian Official 1” menerima berlian bernilai AS$ 22 juta daripada individu berkaitan 1MDB, Jho Low, yang didakwa membelinya menggunakan dana yang diselewengkan.

Menurut pemfailan DOJ, Low membeli kira-kira AS$ 30 juta nilai barangan kemas untuk isteri MO1 dengan dana yang dicuri daripada 1MDB.

DOJ tidak mendedahkan identiti MO1 kecuali mengatakan beliau mempunyai pertalian dengan anak Rosmah, Riza Aziz.

Jho Low berkata pemfailan itu adalah tidak berasas manakala Najib menafikan sebarang salah laku.

“Rosmah kata dia mahu saman pemfitnah tapi saya tidak takut kerana ini bukan fitnah. Saya berani kerana saya bercakap benar …

“Saman kami jika dia berani. Saya bersedia,” kata Mahathir.

Menurut Malaysiakini agensi berita, Reuters turut melaporkan bahawa barangan kemas dan berlian tersebut telah dibeli untuk Rosmah serta juga disiarkan oleh pelbagai penerbitan berita.

Sebelum ini, Rosmah pernah menggesa orang ramai supaya tidak mendengar fitnah. – Read more source at Malaysiakini - sumber

Nape gelisah sangat ni?

* Kalau dah duduk dan lena dalam kelambu UMNO, yang berjiwa pembangkang mana yang akan hidu?

Pas terbuka kepada semua kecuali Amanah dan DAP, tegas Mohd Amar
19 Jun 2017 | MALAYSIA DATELINE
Mohd Amar

Pas mengulangi penegasan bersedia bekerjasama dengan PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) jika mereka meninggalkan Pakatan Harapan.

Naib Presidennya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata Pas boleh bekerjasama dengan mana-mana parti kecuali Amanah dan DAP.

"Kita membuka ruang pada semua kecuali DAP dan Amanah sahaja. Kita yakin tiga parti ini (Pas, PKR dan Bersatu) jika bergabung potensi untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) semakin cerah,” katanya.

Beliau hadir di majlis dialog dan berbuka puasa pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan bersama pengamal media di Hotel Grand River View semalam, yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan barisan Exco kerajaan negeri.

Beliau juga berkata, Pas bersedia bertembung dalam pelbagai penjuru sekiranya Pakatan Harapan tidak serius melawan untuk Umno dan BN.

"Bahkan kita menawarkan kepada Bersatu dan juga PKR untuk bersama kita sekiranya mereka tidak berminat lagi dengan PH," katanya.

Pengarah Kemas pun tibai juga.......

Pengarah Kemas didakwa guna wang aktiviti haram

  | June 19, 2017
Tertuduh menggunakan cek bernilai RM100,000 hasil aktiviti haram untuk membayar deposit rumah berkembar 2 tingkat di Setia Alam.
SHAH ALAM: Bekas pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Selangor, Mohd Adnan Md Daud dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menggunakan cek bernilai RM100,000 hasil aktiviti haram bagi tujuan pembayaran deposit rumah, 2 tahun lepas.
Mohd Adnan, 54, yang kini pengarah Bahagian Pembangunan Komuniti Kemas Putrajaya, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.
Dia didakwa menggunakan cek Malayan Banking Bhd (Maybank) bernilai RM100,000 bagi tujuan pembayaran deposit rumah berkembar 2 tingkat di Seksyen U13, Setia Alam di mana sejumlah RM86,053.22 daripada jumlah asal diperoleh daripada hasil aktiviti haram.
Mohd Adnan didakwa melakukan kesalahan itu di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Tingkat 2 & 3, Kompleks PKNSpada 8 Jan 2015.
Dia didakwa di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang 5 kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohammed Heikal Ismail mencadangkan supaya Mohd Adnan dibebaskan dengan jaminan RM100,000 serta seorang penjamin.
Peguam Lissa Sukri yang mewakili Mohd Adnan bagaimanapun memohon mahkamah menetapkan ikat jamin paling minimum atas alasan anak guamnya dituduh di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah, semalam atas tuduhan menerima rasuah RM159,053.22 yang melibatkan transaksi sama.
“Semalam pihak pendakwaan juga cadangkan jaminan RM100,000 dan mahkamah benarkan anak guam saya dijamin RM80,000. Mohon mahkamah ambil kira anak guam saya adalah seorang penjawat awam berjawatan pengarah dan tiada sebab untuk dia melarikan diri.
“Anak guam saya juga perlu menanggung 6 anak di mana 4 masih kecil iaitu yang bongsu berumur 2 bulan sementara 2 masih menuntut di institusi pengajian tinggi. Selain itu, beliau perlu menanggung ibu yang menghidap sakit tulang belakang,” katanya.
Hakim Ahmad Zamzani kemudian menetapkan ikat jamin ke atas Mohd Adnan sebanyak RM90,000 serta seorang penjamin.
Hakim turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar untuk dibicarakan bersama kes rasuah yang dihadapi tertuduh selain menetapkan tarikh sebutan yang sama iaitu pada 31 Julai depan.

Kepala bana sungguh: Tak habis lagi isu ketua?

Tolak calon PM: Strategi Anwar halang Bersatu kuasai Pakatan Harapan
19 Jun 2017 | DALIA ISMAIL
Keputusan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan dicalonkan sebagai perdana menteri adalah strategi untuk menghalang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menguasai Pakatan Harapan, kata Geostrategis Azmi Hassan.

Beliau berkata, kesepakatan Bersatu dalam Pakatan Harapan adalah kerana faktor Anwar dan dengan pengumuman itu ia dilihat sebagai isyarat kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sama ada mempertimbangkan semula cadangan partinya untuk memegang jawatan Pengerusi dan Presiden dalam Pakatan Harapan.

"Datuk Seri Anwar enggan dicalonkan sebagai PM jika Tun M dan Tan Sri Muhyiddin ambil alih Pakatan Harapan sebagai strategi untuk menghalang Bersatu kuasai Pakatan Harapan.

"Tidak dinafikan sepakatnya Bersatu adalah kerana faktor Anwar dan pengumuman beliau ini adalah sebagai isyarat kepada pemimpin Bersatu.

"Ini kerana sudah pasti penyokong Pakatan Harapan akan membantah keputusan Anwar itu. Ini sekali gus isyarat bantahan terhadap Tun M dan Muhyiddin untuk menerajui Pakatan Harapan jika gabungan itu menang pilihan raya umum," ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau diminta mengulas mengenai keputusan Anwar semalam, yang tidak akan menawarkan diri sebagai calon untuk jawatan perdana menteri jika gabungan itu menang pilihan raya, sebaliknya mahu Bersatu menimbang semula cadangan mengisi kedua-dua jawatan pengerusi dan presiden dalam gabungan itu seperti dicadangkan Bersatu sebelum ini.

Bagaimanapun, usul Bersatu untuk merombak struktur Pakatan Harapan dengan pimpinan utama
parti tersebut menguasai jawatan pengerusi dan presiden dikhuatiri akan merombak kerangka pakatan itu menjadikannya mirip BN, kata Anwar dalam kenyataannya.

Justeru Anwar menegaskan, kesediaan semua pihak dalam gabungan itu untuk meneliti semula dan meminda cadangan tersebut dengan mengekalkan muafakat asal pakatan tersebut adalah dialukan.

Dalam hal ini menurut Azmi lagi, kedudukan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Penasihat DAP Lim Kit Siang tidak boleh diketepi dalam hirarki gabungan itu jika Dr Mahathir dan Muhyiddin menerajuinya.

"Jika berlaku peralihan kuasa dalam Pakatan Harapan kepada Tun M dan Tan Sri Muhyiddin maka sukar untuk Datuk Seri Wan Azizah dan Kit Siang berada dalam barisan kepimpinan gabungan itu kerana antara Bersatu dengan PKR dan DAP memiliki gaya kepimpinan dan penyokong yang berbeza.

"Sebab itu kepimpinan Pakatan Harapan sedaya upaya cuba mengekalkan status quo Pakatan Harapan," ujarnya.

Respon kepada keputusan Anwar itu juga Ketua Biro Strategi dan Dasar Bersatu Datuk Rais Hussin Mohamed Ariff dalam satu kenyataan pula dipetik berkata, bahawa cadangan Anwar agar pengerusi Pakatan Harapan bertindak selaku penyelaras tanpa peranan eksekutif akan menjadi sukar untuk dilaksanakan.

Mengulas mengenainya pula, Azmi menambah keputusan Datuk Seri Anwar itu sebenarnya bukan sahaja untuk memberi isyarat kepada Tun M tetapi juga untuk mempamirkan sokongan rakyat kepada Anwar.

"Ini kerana harapannya agar penyokong Pakatan Harapan akan dapat menyuarakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar sebagai PM dan ini sekali gus mempamirkan sokongan rakyat dan juga isyarat kepada Tun M atau Muhyiddin bahawa tiada ruang untuk mereka terajui Pakatan Harapan," jelasnya.