Saturday, September 30, 2017

Fastaqim 2.0: PAS begitu terdesak cukupkan bilangan yang diwar-warkan?

Pas terdesak peralat kanak-kanak capai sasaran 200,000 peserta?
ARIF ATAN  -  September 30, 2017 3:25 pm
Begitu banyak gambar kanak-kanak dimuat naik di laman Facebook Fastaqim 2.0 sekali gus dilihat bercanggah dengan isyarat Pas sudah bersiap sedia dengan ‘gelombang hijau’ bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Semakan Malaysia Dateline mendapati sejumlah besar gambar golongan berusia di bawah 12 tahun dimuatkan dalam program yang diuar-uarkan Ketua Penerangan Pas Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah bagi menunjukkan parti itu kuat dan bermaruah.

Terbaharu, gambar kanak-kanak yang menyertai Pertandingan Pakaian Beragam Si Cilik dimuat naik dalam laman media sosial itu selain plakad ‘saya hadir’ pada kanak-kanak perempuan di atas motosikal yang berpakaian serba hijau.

Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hassan sebelum ini menyasarkan kehadiran 200,000 orang dalam himpunan selama dua hari sejak semalam di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus di Terengganu.

Menurut Ahli Parlimen Temerloh berkenaan, mesej utama perhimpunan yang menyaksikan pelbagai aktiviti termasuk untuk kelompok kanak-kanak dan remaja itu adalah memastikan wujudnya “gelombang hijau” pada pilihan raya kali ini.

Pada masa sama, pengguna Facebook atas nama Pok Din Pok Mat memuat naik beberapa foto menjelang perhimpunan itu.

“Baju budak dan berkolar fastaqim 2.0. Terima kasih kerana sudi buat di kedai kami,” katanya.
Pemilik kedai mendakwa pihaknya menghasilkan baju kolar kanak-kanak Fastraqim 2.0.

Melihatkan penonjolan ketara kanak-kanak dalam Fastaqim 2.0, sebahagian netizen turut menyindir kemungkinan mereka akan mengundi Pas pada PRU14.

BerkaitanSelepas ribut, program Pas gempar diganggu dentuman guruh

RM90 juta tu PAS berniaga?: Soalan tentang perniagaan kosmetik yang rugi

Soalan tentang perniagaan kosmetik yang rugi kini menular dalam media
BORHAN AHMAD  -  September 30, 2017 12:17 pm
Soalan yang dikemukakan Kadir kini menjadi isu di kalangan pengguna media sosial.

Pertanyaan yang dikemukakan oleh bekas Ketua Pengarang Kumpulan NST, Datuk A Kadir Jasin, “Apakah benar duit yang KONONNYA dibagi oleh Najib/Umno kepada Pas digunakan untuk berniaga (antaranya kosmatik) tetapi rugi” kini menjadi isu yang hangat di perkatakan.

Ini kerana, persoalan berbentuk sindiran itu kini menjadi viral di kalangan pengguna laman sosial khasnya facebook, blog dan juga whatsapp.

Seorang penulis, Abu Bakar Mohd Rashid dalam facebooknya mencatatkan “Setakat bisnes kosmetik pun lingkup walau diberi modal besar, lagi mau sembang?”

Rakan-rakan beliau yang membuat komen pula cuba meneka siapakah pemimpin Pas yang dimaksudkan.

Alias Azman bertanya, “Modal habis beli Q7 bukan untuk niaga kot! Wakaaakaaaak!”

Seorang lagi penulis, Shahbudin Husin turut mengulas tulisan Kadir itu.

“Pertanyaan beliau itu tentu saja menimbulkan seribu persoalan, termasuk antaranya siapakah pemimpin Pas atau isteri atau kroni atau proksinya yang berniaga kosmetik dan rugi itu?
Kenapa Pas tidak saman, tanya Shahbuddin.

“Di waktu yang sama, lontaran pertanyaan itu juga akan segera mengingatkan kita mengenai saman berkaitan dana RM90 juta yang didakwa pernah diterima Pas itu,” tulis Shahbudin.

Beliau mempetikaikan kenapa Pas tidak menyaman pihak-pihak di tanah air yang membuat dakwaan kepadanya sebagaimana parti itu menyaman Sarawak Report di London.

“Jika saman boleh dibuat di London kepada Sarawak Report, kenapa Pas tidak berani menyaman Husam di negara sendiri?” kata Shahbudin merujuk kepada dakwaan Husam mengenainya.

Selain Husam yang pernah mendakwa Pas pernah menerima wang daripada Umno atau Najib, seorang lain pemimpin Pakatan Harapan yang turut berbuat demikian ialah Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Pandan.

Dalam pendedahannya, beliau secara terbuka menamakan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa sebagai individu yang pernah menerima sejumlah wang berkaitan 1MDB daripada Najib yang dipercayainya untuk diberikan kepada Pas.

Selepas pendedahan itu dan mencabar Nasharuddin agar berani membuat akuan bersumpah menafikannya, bekas Timbalan Presiden Pas itu juga menyatakan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Rafizi.

Namun demikian, sama seperti Pas yang mengancam mahu menyaman Husam, tetapi tidak menjadi kenyataan sehingga kini, ugutan saman Nasharuddin kepada Rafizi masih lagi senyap tidak berbunyi apa-apa hinggalah detik ini.

“Kiranya dakwaan Rafizi itu didapati tidak benar dan berupa fitnah, mengapakah Nasharuddin masih keberatan untuk mengambil tindakan undang-undang?” soal Shahbuddin.

Bagi beliau, pertanyaan terbaru A Kadir Jasin tidak lain menimbulkan persoalan, apakah beliau sebenarnya ada maklumat baru mengenai wang yang menjadi perbualan ramai yang dikatakan pernah diterima Pas itu?

“Adakah kali ini Pas mahu berdiam diri lagi, walhal rasanya tidak ramai pemimpin Pas atau sesiapa yang ada kaitan rapat dengan mana-mana pemimpin Pas yang berniaga kosmetik ketika ini?” soalnya.

Ape kene nih? Dua anggota TLDM pula mati

2 anggota maut, TLDM tubuh lembaga siasat SOP latihan
TMI  -  Diterbitkan pada 30 Sep 2017 11:57AM ·
Tentera Laut Diraja Malaysia menubuhkan satu Lembaga Siasatan bagi meneliti prosedur operasi standard (SOP) susulan dua anggotanya meninggal dunia ketika menjalani latihan fizikal, semalam. – Gambar fail AFP, 30 September, 2017.

TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) menubuhkan satu Lembaga Siasatan bagi meneliti prosedur operasi standard (SOP) susulan dua anggotanya meninggal dunia ketika menjalani latihan fizikal, semalam.

TLDM dalam satu kenyataan hari ini berkata punca sebenar kematian itu masih dalam siasatan polis dan pihaknya akan memberi kerjasama sepenuhnya bagi mencari punca sebenar kejadian.

“Lembaga Siasatan ini akan meneliti SOP sedia ada dan sekiranya terdapat pelanggaran terhadap SOP tersebut, TLDM tidak akan berkompromi atau melindungi individu yang melanggar prosedur semasa melaksanakan tugas,” kata kenyataan itu.

Semalam, dua anggota TLDM LK I PNK Mohd Baihaqy Nik Mat, 28, dan LK I TLS Muhammad Lailatulman Mohd Sukri, 26, meninggal dunia di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan, Perak ketika menjalani latihan fizikal di kem berkenaan.

Kenyataan itu berkata ketika menjalani latihan tersebut, anggota berkenaan mengadu kepenatan dan direhatkan sebelum mengalami muntah dan sesak nafas.

“Mereka diberikan rawatan awal oleh petugas pusat tahanan dan panggilan kecemasan dibuat. Kedua-dua anggota disahkan meninggal dunia oleh petugas paramedik yang tiba pada 3.15 petang.

“Hasil pemeriksaan awal doktor bertugas terhadap kedua-dua anggota itu tidak menunjukkan sebarang kesan pukulan atau penderaan fizikal pada anggota badan mangsa,” kata kenyataan itu. – 30 September, 2017.

Berita lanjut: Pesan terakhir anggota TLDM yang meninggal dalam tahanan kepada isteri

Pendaftaran PH: Dr. Mahathir sifatkan Zahid penakut, bacul

Najib, Zahid takut, bacul tidak luluskan pendaftaran PH, dakwa Tun M
BORHAN AHMAD  -  September 29, 2017 10:35 pm 
Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) sebagai bacul dan penakut apabila tidak meluluskan pendaftaran gabungan partinya.

“Dia nak jaga keselamatan dia. Sebab itu sampai sekarang belum lulus PH. Dah lebih sebulan kita failkan, tidak ada sebab dia tak daftar.

“Zahid Hamidi Menteri KDN bertanggungjawab untuk meluluskan pendaftaran ini. Sampai sekarang senyap sunyi kerana takut.

“Penakut, sibacul ini tak berani nak luluskan,” katanya di majlis pelancaran Pakatan Harapan Johor malam ini.

Katanya, pemimpin BN berharap, pendaftaran PH hanya akan dibuat menjelang pilihan raya umum akan datang.

“Harapan mereka adalah, sampai masa pilihan raya baru nak bagi kelulusan. Kalau bagi masa itu tak sempatlah kita kempen untuk perkenal logo dan sebagainya,” katanya.

Sehubungan itu, Mahathir memberikan jaminan kepada penyokong PH, samada pendaftaran PH diluluskan atau tidak, mereka akan tetap bekerjasama.

“Sama ada lulus atau tidak kita akan tetap kerjasama. Misalnya kita letak calon AMANAH sebagai calon umpamanya. Bukan penyokong AMANAH saja akan undi calon itu, tetapi semua penyokong PKR, Bersatu dan DAP juga akan undi calon AMANAH itu,” tegasnya.

Apabila itu berlaku, beliau yakin, BN akan kalah dalam pilihan raya umum akan datang.

“Kita letak dan sokong calon PH, jangan kira dia datang dari parti mana, kita sokong dia,” katanya.

Johor cipta sejarah

Dalam ucapan itu, Mahathir mengajak rakyat Johor sekali lagi mencipta sejarah sebagaimana tahun 1951 dulu mereka menubuhkan Umno di Johor.

“Dulu Johor kubu Umno. Kita minta rakyat Johor sekali lagi menjadi pengasas dan menjadi kubu kuat PH.

“Hari ini Johor jadi pengasas kepada gerakan untuk bersihkan negara bermula dari kleptokrasi,” katanya.

Katanya, sejarah akan dicatat melalui tindakan orang Johor ini dalam pilihan raya umum akan datang.

Angkuh, biadap, tak faham peraturan dan wajib letak jawatan

Saturday, 30 September 2017
KETUA PESURUHJAYA SPRM ANGKUH DAN BIADAP, WAJIB LETAK JAWATAN, BIDAS TAMRIN GHAFAR
Angkuh, biadap, tak faham peraturan dan wajib letak jawatan, demikian bidas bekas Ahli Parlimen Batu Berendam, Tamrin Ghafar kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad.

Menurut Tamrin, tindakan Dzulkifli membantah dan menunjukkan kemarahan secara terbuka berhubung penubuhan  Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara atau JITN yang sudah diluluskan kabinet adalah sesuatu yang tidak wajar dan tidak menunjukkan teladan kepimpinan yang baik sebagai anggota perkhidmatan awam.

Anggota perkhidmatan awam, tambah beliau, harus akur kepada apa juga keputusan kabinet kerana ia merupakan pembuat keputusan tertinggi dalam kerajaan.

Kalau pun mahu membantah, ia harus dilakukan mengikut saluran yang betul. Tidak sepatutnya dilakukan secara terbuka dan mengecam menteri yang berkaitan seperti serangan seorang ahli politik kepada musuh politiknya yang lain, ujar beliau lagi.

Mesyuarat kabinet pada 28 Julai lalu bersetuju menaiktaraf Bahagian Intergriti dan Tadbir Urus di bawah Jabatan Perdana Menteri menjadi sebuah jabatan yang dikenali sebagai JITN.

JITN akan berperanan sebagai badan penyelaras untuk menerajui perubahan transformasi dalam sektor awam dan swasta dengan tumpuan kepada urus tadbir yang baik, intergriti dan hak asasi manusia.

Dzulkifli bagaimanapun menyifatkan penubuhan JITN sebagai bertujuan mengawal SPRM dan membantah keras kewujudan jabatan itu.

Siapa menteri yang mahu mengawal kita bagaimana untuk menyiasat kes. SPRM sepatutnya bebas, jika alasan penubuhan JITN untuk memantau SPRM, mengapa harus saya melapor kepadanya, demikian antara luahan kemarahan Dzulkifli.

Beliau juga mempersoalkan bagaimana kerajaan ada wang untuk menubuhkan JITN sedangkan peruntukan semua jabatan dan agensi telah dipotong atas alasan ketiadaan peruntukan?
Paul Low, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap JITN sebaliknya menyatakan jabatan yang ditubuhkan itu tiada sebarang kuasa untuk mempengaruhi SPRM atau mana-mana pihak yang lain.

Dengan tindakan Dzulkifli menunjukkan kemarahan dan membantah secara terbuka penubuhan JITN, kata Tamrin lagi, ia bukan saja memperlihatkan keangkuhan, kebiadapan dan ketidakfahaman atas kedudukannya sendiri sebagai pegawai kerajaan, malah beliau kini tiada pilihan lain lagi selain harus meletakkan jawatan dengan segera.

Bagaimana Dzulkifli mahu terus bertugas sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM setelah adanya JITN nanti? soal beliau lagi.

Dalam pada itu, kata Tamrin, jika Dzulkifli boleh tersinggung dan menyifatkan kenyataan Lim Kit Siang terhadapnya sebagai tidak beradab, tidakkah beliau sedar memprotes keputusan kabinet secara terbuka juga menunjukkan sikap biadapnya sebagai seorang pegawai kerajaan.

Mengapa hanya beliau yang boleh menunjukkan sikap angkuh dan tak beradap kepada pihak  lain, tetapi mudah terasa hati jika ia terkena kepada dirinya sendiri? tegas Tamrin lagi. (ShahbudinHusin 30/09/2017).

Posted by Shahbudin Husin at 08:38 

Benarkah Nurul Izzah gagal di Lembah Pantai dan cari kerusi di Johor?

Nurul Izzah cari kerusi di Johor sebab gagal di Lembah Pantai, kata pemimpin Umno
TMI  -  Diterbitkan pada 29 Sep 2017 7:11PM
Nurul Izzah Anwar didakwa tidak mampu mempertahankan kerusi Lembah Pantai sekiranya bertanding semula di situ pada Pilihan Raya Umum ke-14 kerana tidak memberi khidmat kepada rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 September, 2017.

NURUL Izzah Anwar hendak lari bertanding di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana didakwa gagal memberikan khidmat kepada penduduk di kawasan Lembah Pantai, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Ab Aziz Kaprawi.

Aziz mendakwa inilah sikap sebenar pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang gemar berpindah-pindah kawasan yang mereka wakili demi kelangsungan politik peribadi.

“Nurul Izzah sebenarnya telah mendapati dirinya tidak mampu untuk memenangi kerusi Lembah Pantai sekiranya bertanding semula di situ kerana tidak memberi khidmat kepada rakyat.

“Seperti di Lembah Pantai sendiri, saya melihat Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai, Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin lebih memberi khidmat kepada rakyat berbanding Nurul Izzah,” kata Aziz yang juga timbalan menteri pengangkutan dalam satu kenyataan hari ini.

Aziz mengulas laporan Sinar Harian yang memetik analisis akhbar berbahasa Cina Oriental Daily mengatakan empat pemimpin utama PH dikatakan sudah bersedia bertanding di Johor pada PRU14.

Pemimpin yang dimaksudkan ialah Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin; Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang; Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub dan Nurul Izzah.

Nurul Izzah merupakan ahli Parlimen Lembah Pantai selama dua penggal sejak memenanginya buat pertama kali pada PRU12 pada 2008.

The Malaysian Insight sedang berusaha mendapatkan komen daripada Nurul Izzah.

Aziz yang juga ketua Umno Bahagian Sri Gading di Johor memberikan contoh, projek perumahan Residensi Kerinchi yang dilancarkan Perdana Menteri Najib Razak pada Februari lalu merupakan hasil perjuangan Umno Lembah Pantai dan bukannya ahli Parlimen itu.

“Sekiranya Nurul Izzah ingin meneruskan hasrat untuk cuba-cuba bertanding di Johor, beliau hanyalah menempah bala memandangkan beliau sendiri bukan seorang anak tempatan negeri Johor dan tidak mempunyai sebarang jasa yang disumbangkan terhadap masyarakat Johor secara khususnya.

“Saya yakin dan percaya Bangsa Johor tidak akan tertipu dengan propaganda yang hendak dibawa ke negeri ini dan mereka yakin bahawa Nurul Izzah hanya melarikan diri daripada Lembah Pantai atas kegagalan memberi khidmat kepada rakyat,” katanya.

Menurut Aziz, ini adalah bukti terbesar komitmen pemimpin PH yang bertanding pilihan raya bukan bertujuan untuk memberi khidmat kepada rakyat.

“Inilah sikap sebenar pemimpin pembangkang dari PH yang gemar berpindah-pindah kawasan yang diwakilinya demi kelangsungan politik peribadi mereka yang jauh berbeza dengan apa yang dipraktikkan oleh Barisan Nasional (BN) yang mana kebanyakan calon merupakan anak tempatan ataupun sudah lama memberi khidmat kepada kawasan tersebut tidak kira menang atau kalah pilihan raya,” katanya.

Menurut laporan Sinar Harian, analisis yang dibuat Oriental Daily menunjukkan penubuhan Bersatu oleh bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin tidak mencetuskan gelombang ahli Umno keluar secara beramai-ramai daripada parti itu, tetapi ia bukan bermakna parti tunjang BN itu mampu meneruskan pencapaiannya seperti PRU13 lalu.

Pada PRU13 lalu, Pakatan Rakyat Johor memperoleh rekod terbaik apabila memenangi lima daripada 26 kerusi Parlimen yang ia bertanding.

PR yang dianggotai PKR, PAS dan DAP berpecah selepas PRU13 kerana perselisihan faham berhubung isu pelaksanaan hudud di Kelantan. Pakatan pembangkang itu kini digantikan oleh PH yang disertai PKR, DAP, Bersatu dan Amanah.

PAS pula menubuhkan Gagasan Sejahtera bersama beberapa parti kecil lain yang akan memeterai kerjasama itu pada Himpunan Fastaqim 2.0 di Kuala Terengganu hujung minggu ini. – 29 September, 2017

BN bakal bermasalah

Jualan akhbar merosot, BN bakal bermasalah, kata editor
Zulkifli Sulong
Diterbitkan pada 29 Sep 2017 6:00PM
Media utama di Malaysia kini berdepan masalah besar apabila jualannya semakin merosot teruk saban tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 September, 2017

PERDANA Menteri Najib Razak dan pentadbiran Barisan Nasional (BN) di Putrajaya bakal berdepan masalah besar menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) selepas satu daripada tiga tonggak utama senjata kempennya iaitu media semakin hilang pengaruhnya.

Wartawan kanan Abdul Jalil Ali, yang juga anggota dalam beberapa panel penasihat Putrajaya, berkata media utama di Malaysia kini benar-benar dalam masalah apabila jualannya semakin merosot teruk saban tahun.

Media adalah antara "3M" yang dianggap sebagai senjata dalam pilihan raya selain jentera (machinery) dan dana (money).

Penasihat Editorial Kumpulan Karangkraf itu berkata "pengamal media kini dalam keadaan tertekan" ekoran kejatuhan besar jualan akhbar sejak akhir-akhir ini.

"Bayangkan, dahulu jualan Sinar Harian kira-kira 130,000 naskhah sehari, kini tinggal hampir separuh sahaja.

"Akhbar lain lagi teruk," kata penasihat editorial akhbar Sinar Harian itu kepada The Malaysian Insight.

Jelas beliau, apabila media cetak yang dikawal oleh kerajaan tidak laku, maknanya kerajaan tidak dapat mempengaruhi pengundi dengan berkesan.

Putrajaya mengawal ketat kandungan berita melalui undang-undang seperti Akta Hasutan 1948, manakala akhbar masih memerlukan permit penerbitan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 walaupun peruntukan lain seperti pembaharuan permit tahunan telah dilonggarkan beberapa tahun lalu.

Kajian Audit Bureau of Circulations (ABC), agensi yang memantau prestasi industri persuratkhabaran di Malaysia, bagi tahun berakhir Disember 2016 menunjukkan akhbar Harian Metro jatuh paling teruk iaitu sebanyak 62.5%. Edarannya pada hujung tahun 2012 ialah sebanyak 379,169 naskhah, jatuh sehingga 142,262 naskhah pada akhir tahun lalu.

Akhbar New Straits Times (NST) pula kedua merosot paling teruk, jatuh 41.6% kepada hanya 54,490 naskhah bagi setiap keluaran pada akhir tahun lalu berbanding 93,321 empat tahun sebelumnya.

Akhbar harian utama berbahasa Melayu juga mengalami nasib sama. Utusan Malaysia dan Berita Harian jatuh 30% dalam tempoh yang sama.

NST, Berita Harian dan Harian Metro dimiliki oleh Kumpulan Media Prima yang akrab dengan kerajaan BN. The Star pula dimiliki secara majoriti oleh parti MCA melalui badan pelaburannya, sementara Umno memiliki kira-kira 50% pegangan dalam Utusan Malaysia.
"Bagi saya kerajaan dalam masalah, bahkan Najib juga dalam masalah. Saya telah sebut hal ini dalam beberapa mesyuarat panel," katanya.

Menurut Jalil, kerajaan sekarang hanya boleh mengawal akhbar tetapi tidak lagi upaya mengawal berita yang disebarkan kepada orang ramai.

"Dahulu semasa zaman Dr Mahathir Mohamad, beliau berjaya kawal akhbar dan berita yang tidak disukai daripada tersebar.

"Tetapi sekarang kerajaan hanya boleh akhbar macam akhbar kami (Sinar Harian) tetapi mereka tidak boleh lagi sekat berita daripada tersebar.

"Itu sebab saya selalu kata kepada pihak kerajaan, anda tidak boleh sekat lagi berita pada zaman ini.

"Apa yang perlu dibuat ialah memberi penerangan dan menjawab segala berita (yang tidak disukai) dengan bijak," katanya.

Jalil juga berpendapat sebelum ini hanya akhbar alternatif sahaja yang boleh mencabar kewibawaan media arus perdana tetapi sekarang sudah ada media baru di Internet dan kemajuan teknologi pula membolehkan semua orang menyebarkan maklumat.

Jalil pernah memimpin beberapa penerbitan akhbar alternatif termasuk Watan pada tahun 1980-an, sebelum ia ditutup ketika Operasi Lalang pada 1987, dan Eksklusif, ketika era Reformasi selepas pemecatan Anwar Ibrahim daripada kerajaan dan Umno.

"Dahulu kerajaan selalu kata, kami ini (media alternatif) sokong pembangkang. Tetapi sebenarnya tidak. Kami pengamal media bebas, yang bebas mengkritik dan memberikan pandangan.

"Kami hanya melaporkan apa yang tidak ada di media arus perdana pada ketika itu. Media itu pun dikawal sepenuhnya dulu oleh kerajaan.

"Tetapi kini kerajaan hanya boleh kawal akhbar tetapi tidak boleh mengawal berita daripada disebarkan melalui laman web dan sebagainya," kata Jalil.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Salleh Said Keruak baru-baru ini mengakui bagaimana media sosial sudah jadi platform pilihan untuk berkomunikasi termasuk untuk kempen politik menuju PRU14, kerana sifatnya yang pantas serta kos yang rendah.

Laporan The Digital News Report 2017 baru-baru ini menyebut 51% daripada pengguna Internet di Malaysia menggunakan aplikasi WhatsApp untuk mendapatkan maklumat dan berkongsi cerita atau berita.

Ia merupakan platform kedua popular dalam kalangan pengguna Internet di Malaysia selepas Facebook (58%), diikuti YouTube (26%), WeChat (13%) and Instagram (13%).

Najib, dalam sebuah ucapan pada April lalu, mengakui peranan penting akhbar dalam masyarakat yang bebas dan mengatakan pentadbirannya telah membuka ruang untuk media memainkan peranan demokrasinya.

Media di Malaysia juga katanya bebas mengkritik kerajaan, menteri dan pegawai pentadbirannya, kata Najib.

"Ada lebih daripada cukup kritikan yang tersebar. Dan kalau anda lihat media dalam talian dan media sosial, ia seperti zaman koboi," katanya, ketika berucap pada majlis Anugerah Media Asia WAN-IFRA ke-16 di Kuala Lumpur, pada 19 April lepas.

"Apa yang hendak saya katakan ialah kebebasan bersuara subur di Malaysia."– 29 September, 2017.

Friday, September 29, 2017

Potret kem pelarian Rohingya di Bangladesh

Mahen Bala
Diterbitkan pada 29 Sep 2017 8:27AM 

SEJAK keganasan tercetus lagi di Rakhine pada 25 Ogos lalu, lebih 500,000 pelarian Rohingya kini menyeberangi sempadan Bangladesh-Myanmar untuk mencari perlindungan di kem Cox’s Bazar.

Kem pelarian itu terlalu sarat hingga menyebabkan sesetengah pelarian terpaksa dipindahkan ke penempatan sementara yang baru termasuk di Kutupalong, Balukhali, Tengkhali dan Nayapara di mana pondok dibina menggunakan buluh dan plastik.

Keganasan yang berlarutan antara masyarakat Rohingya dan tentera Myanmar di Rakhine mendorong mereka melarikan diri meskipun tahu risikonya tinggi dan bergadai nyawa untuk menyeberangi sempadan.

Kejadian bot terbalik malam tadi yang mengorbankan sekurang-kurangnya 14 Rohingya termasuk kanak-kanak mati lemas adalah antara risiko terpaksa dihadapi pelarian. Bila tiba di kem pelarian pun, kehidupan bukannya selesa untuk mereka.

Seluruh dunia bercakap dan mempertahankan Rohingya, dengan pelbagai pertubuhan dunia mendesak Myanmar supaya membenarkan bantuan kemanusiaan dihantar kepada Rohingya.

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) turut menggesa Kesatuan Eropah (EU) dan agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan tegas untuk meringankan penderitaan rakyat Rohingya.

Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina juga mencadangkan pembentukan zon selamat yang dipantau PBB di Myanmar untuk melindungi etnik Rohingya.

PBB menggambarkan operasi tentera sebagai “pembersihan etnik” dan Presiden Perancis Emmanuel Marcon, pula menyifatkan ia sebagai genosid (penghapusan bangsa).

Tetapi, pemimpin de-facto Myanmar, Aung San Suu Kyi mendakwa krisis itu diputarbelitkan dengan maklumat yang tidak benar. Pemenang anugerah Nobel itu meminta dunia fahami Myanmar dan akan menyiasat pembantaian yang berlaku terhadap Rohingya.

Biarlah gambar berbicara tentang penderitaan umat Islam Rohingya yang terbuang, terabai dan hidup tanpa negara. – 29 September, 2017.
Kanak-kanak menjadi mangsa paling teruk dalam krisis ini. Tidak menerima pelajaran dan makanan seimbang serta terdedah kepada kekotoran pada fasa paling penting dalam perkembangan mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Mahen Bala, 29 September, 2017.
Bukit di Cox’s Bazar jadi rumah untuk ribuan pelarian Rohingya, seperti yang dapat dilihat di Balukhali. – Gambar The Malaysian Insight oleh Mahen Bala, 29 September, 2017.
Shobbir Ahmed, 25, menunjukkan lukanya, kesan ditembak tentera Myanmar. Dia juga cedera di beberapa bahagian badannya. Dia menerima rawatan di kem Kutupalong sebelum diarah keluar, kerana ramai lagi yang memerlukan perhatian perubatan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Mahen Bala, 29 September, 2017.
Nazir Ahmed, 60, berjalan kaki selama lapan hari dari Fetovor Baram, Buthidaung sebelum tiba di Thengkhali. Anak lelakinya yang demam panas kelihatan terbaring saja kerana mereka tidak ada ubat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Mahen Bala, 29 September, 2017.
Terdapat lebih 91,000 kanak-kanak di kem ini yang tidak berpeluang mendapatkan pendidikan. Semua rancangan pembinaan tempat belajar dihentikan kerana kem itu dipenuhi dengan pelarian yang baru tiba. – Gambar The Malaysian Insight oleh Mahen Bala, 29 September, 2017.
Lubang ini dikorek untuk dijadikan tandas tetapi ia mengingatkan pelarian tentang lubang seumpama itu yang digunakan tentera Myanmar untuk membuang dan membakar mayat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Mahen Bala, 29 September, 2017.
Hanya ada dua tandas di kem penempatan sementara di Nayapara, dikongsi oleh kira-kira 150 orang. Buat masa ini, tandas dikhaskan untuk wanita saja. Sistem pembetungan yang tidak sempurna menimbulkan isu kesihatan dalam kalangan pelarian. – Gambar The Malaysian Insight oleh Mahen Bala, 29 September, 2017.
Sewa terlalu mahal (RM52) bagi mereka menyebabkan sebuah keluarga terpaksa berkongsi ruang hanya 20 kaki persegi. Angin kuat kadangkala merobek dinding plastik, dan hujan tempias serta lantai bertukar jadi lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Mahen Bala, 29 September, 2017.
Bila hujan, kem dipenuhi lumpur dan menyukarkan pelarian mendapatkan air bersih. Setiap hari, 1.5 juta liter air disediakan di penempatan sementara. Sejak 25 Ogos lalu, 213 perigi dipasang untuk menyimpan air. – Gambar The Malaysian Insight oleh Mahen Bala, 29 September, 2017.
Rehna Begum, 50, dan keluarganya menumpang teduh di penempatan Kutupalong selepas lari daripada keganasan di Naraingkyuang, Maungdaw. Terdapat lebih 176,000 Rohingya di penempatan itu pada masa ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Mahen Bala, 29 September, 2017.
Kem Balukhali kini menjadi rumah sementara bagi kira-kira 45,000 Rohingya yang melarikan diri daripada keganasan di Rakhine, Myanmar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Mahen Bala, 29 September, 2017.
Abdullah, 65, bersama isterinya sedang membetulkan kedudukan bumbung tempat mereka menumpang di rumah seorang warga tempatan. Seramai 15 ahli keluarganya berteduh di situ. – Gambar The Malaysian Insight oleh Mahen Bala, 29 September, 2017.

Tempat kita ada berlaku gini?

Anggota kabinet Trump bayar balik kos jet peribadi
TMI  -  Diterbitkan pada 29 Sep 2017 6:58AM
Setiausaha Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia AS Tom Price berkata beliau akan membayar balik duit rakyat yang terpakai untuk perjalanannya menggunakan pesawat peribadi selama ini. – Gambar EPA, 29 September, 2017.

SEORANG anggota kabinet Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan tidak lagi akan menggunakan pesawat peribadi untuk apa juga urusan dan membayar balik semua duit rakyat yang terpakai untuk perjalanannya selama ini.

Setiausaha Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia Tom Price membuat pengumuman itu susulan pendedahan portal berita Politico mengenai 24 penerbangannya sejak Mei lepas yang menelan kos AS$400,000 (kira-kira RM1.7 juta).

"Hari ini saya akan keluarkan cek peribadi kepada Perbendaharaan AS untuk perbelanjaan penerbangan saya dengan pesawat peribadi yang disewa.

"Pembayar cukai tidak akan bayar satu sen pun untuk tempat duduk saya dalam pesawat itu," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Isu itu mula mendapat perhatian susulan laporan mendedahkan beberapa setiausaha dalam kabinet presiden, termasuk Price menggunakan pesawat peribadi menerusi pembiayaan negara.

Penyiasat Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Sumber Manusia sedang menyiasat keputusan Price untuk menggunakan pesawat peribadi, bukannya penerbangan komersial.

Politico pada awal bulan ini mula melaporkan mengenai Price menggunakan pesawat peribadi, dan laporan susulan menyatakan setiausaha itu berbuat demikian untuk sekurang-kurangnya 24 penerbangan sejak Mei, memetik kenyataan beberapa individu yang tahu mengenai perjalanannya.

Kebanyakan penerbangan Price ialah ke bandar-bandar utama yang ada rangkaian pesawat komersial lebih murah, termasuk Nashville, Philadelphia dan San Diego.

Menurut laporan Politico, Price mencampuradukkan urusan rasminya dengan peribadi dalam beberapa perjalanan itu.

Keputusan Price untuk memulangkan kos tambang pesawatnya itu saja mungkin tidak memuaskan hati wakil rakyat Democratic yang mengecamnya kerana membelanjakan wang pembayar cukai dengan sesuka hati, tetapi pada masa sama memotong program insurans kesihatan untuk warga Amerika berpendapatan rendah.

Price, wakil rakyat Georgia sejak lebih sedekad lalu, sekian lama membantah program kesihatan Obamacare yang diperkenalkan bekas presiden Barack Obama.

Sebagai bekas pengerusi Jawatankuasa Bajet Dewan, beliau menawarkan beberapa pelan yang akan memansuhkan undang-undang kesihatan 2010 dan menarik balik program kelayakan penjagaan kesihatan.

Trump pada Rabu berkata “kita lihat dulu” ketika ditanya jika beliau akan memecat Price susulan laporan beliau menggunakan wang pembayar cukai menggunakan pesawat peribadi bagi menjalankan tugas rasmi.

Presiden itu berkata beliau tidak suka dengan amalan yang dilakukan oleh beberapa anggota kabinetnya.

Bagaimanapun, pegawai White House berkata Trump masih belum ada perancangan untuk menyingkirkan Price daripada kabinetnya. – 29 September, 2017.

Bagus SPRM tuntut kebebasan penuh tapi kenapa tutup kes 1MDB?

TMI · Diterbitkan pada 28 Sep 2017 7:56PM
Skandal 1MDB telah menghancurkan kebebasan dan profesionalisme SPRM, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 28 September, 2017.

TINDAKAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menuntut kebebasan penuh adalah baik tetapi mengapa agensi itu menutup skandal besar 1Malaysia Development Berhad (1MDB), soal Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, skandal 1MDB telah menghancurkan kebebasan dan profesionalisme SPRM.

“Mengapa SPRM dan Peguam Negara Apandi Ali melepaskan Perdana Menteri Najib Razak daripada sebarang kesalahan melibatkan skandal 1MDB?” soal Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Lim mengingatkan SPRM tentang tiga persoalan utama dalam skandal 1MDB yang jawapannya sudah ada tetapi tidak diambil tindakan oleh agensi anti rasuah itu.

Tiga persoalan itu ialah: “Sama ada Najib menerima derma RM2.6 bilion daripada keluarga Diraja Saudi, sama ada Najib memulangkan RM2.1 bilion kepada keluarga diraja Saudi dan apakah rantai berlian merah jambu RM144 juta untuk ‘isteri MO1’ datang daripada wang dicuri daripada 1MDB.”

Lim berkata, kesemua jawapan kepada persoalan berkaitan 1MDB itu terkandung dalam 10 perenggan “pembunuh” dalam laporan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat.

“Rakyat Malaysia tidak mengharapkan Dzulkifli atau Apandi untuk membuka semula skandal 1MDB kerana ia hanya boleh dilakukan sekiranya kerajaan baru Pakatan Harapan ditubuhkan selepas PRU14 apabila SPRM akan bertanggungjawab secara langsung kepada Jawatankuasa Parlimen dan bukan kepada Najib atau Paul Low,” katanya.

Lim mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad membidas cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Paul Low untuk penubuhan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN).

Sebaliknya, Dzulkifli berkata Low perlu meminta lebih banyak peruntukan untuk SPRM, meningkatkan aset dan tenaga kerjanya serta memperbaiki kebajikan kakitangan, bukannya menubuhkan sebuah agensi baru.

SPRM pada Jun lepas menjelaskan ia tidak akan menyiasat 1MDB susulan pendedahan DoJ kerana ia siasatan yang dijalankan oleh polis dan agensi anti rasuah itu tidak ada kena-mengena dengan siasatan tersebut.

Ketua Polis Negara yang baru dilantik, Mohamad Fuzi Harun pula minggu lalu berkata polis sudah melengkapkan siasatannya ke atas 1MDB namun tiada sebarang maklumat perlu didedahkan kepada umum pada masa ini.

Polis membentuk pasukan penyiasat itu pada April 2016 bagi menelitik laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai 1MDB, sehari selepas laporan tersebut diserahkan kepada Parlimen.

Laporan itu antara lain menunjukkan salah pengurusan pada pihak bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim, dan mencadangkan beliau disiasat.

Sementara itu, Low hari ini menjelaskan penubuhan JITN bukan bertujuan untuk mempengaruhi siasatan SPRM kerana ia tidak ada kuasa untuk berbuat demikian.

“Bukan setakat SPRM, ia juga termasuk Institut Integriti Malaysia (IIM), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) oleh kerana kesemuanya merupakan institusi bebas,” katanya, seperti dipetik oleh Bernama.

Katanya, cadangan penubuhan JITN bertujuan menerajui perubahan transformasi dalam bina upaya keinstitusian terutamanya di kalangan penjawat awam, untuk memulakan dan memacu perubahan dasar serta memperkukuhkan proses kerajaan. – 28 September, 2017.

Terdengar seperti "suara penindas" - Mustafa Akyol

Pengawalan agama kikis hormat pada Islam, kata Mustafa Akyol
TMI  -  Diterbitkan pada 29 Sep 2017 12:23AM
Mustafa Akyol berkata pihak berkuasa hanya melemahkan masyarakat, menumbuhkan kemunafikan dan menyebabkan banyak orang hilang percaya atau hormat kepada Islam. – Gambar YouTube, 28 September, 2017.

Usaha pihak berkuasa agama di Malaysia kononnya mahu melindungi Islam sebaliknya menyebabkan masyarakat tidak menghormati mereka, kata Mustafa Akyol yang ditahan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) awal minggu ini.

"Dengan mengawal agama, pihak berkuasa sebenarnya bukan melindungi agama. 

"Mereka hanya melemahkan masyarakat, menumbuhkan kemunafikan dan menyebabkan banyak orang hilang percaya atau hormat kepada Islam," kata penulis Turki itu dalam sebuah tulisan di akhbar The New York Times.

Menceritakan pengalamannya ditahan di Kuala Lumpur itu, Mustafa berkata itulah kali pertama beliau merasakan bacaan Al-Quran yang diperdengarkan kepadanya semasa ditahan di pejabat Jawi terdengar seperti "suara penindas".

Jelas Mustafa penahanannya itu mendedahkan masalah utama Islam hari ini apabila agama itu cuba dipaksakan ke atas orang lain, dan bukannya dengan hanya berdakwah.

Katanya, hal itu berlaku kerana salah faham umat Islam mengenai tafsiran ayat Al-Quran "tiada paksaan dalam agama" yang dihuraikan sehingga membawa maksud biarpun kitab suci itu mengatakan tiada sesiapa boleh dipaksa menjadi Islam, orang Islam seharus dipaksa mengamalkan agama — mengikut cara yang ditentukan oleh pihak berkuasa.

Menurut Mustafa, beliau melihat perkara ini berlaku di Arab Saudi, dan kini beliau melihatnya juga berlaku di Malaysia.

Dalam tulisannya itu, Mustafa turut mendedahkan beliau hanya disoal siasat selama dua jam, daripada 18 jam tempoh tahanannya, di mahkamah syariah Kuala Lumpur. Katanya lagi, pembebasannya itu dibantu "oleh usaha diplomatik" Turki, terutamanya bekas presiden republik itu, Abdullah Gul kepada "kerabat diraja Malaysia".

Mustafa, pengarang enam buah buku termasuk Islam Without Extreme: A Muslim Case for Liberty, yang telah diterjemah kepada Bahasa Turki dan Indonesia, serta ke dalam Bahasa Melayu dengan judul Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah untuk Kebebasan, pada Isnin dipanggil untuk siasatan oleh Jawi atas dakwaan mengajar tanpa tauliah.

Mustafa berada di Kuala Lumpur atas jemputan Islamic Reinassance Front untuk menyampaikan kuliah berkenaan isu murtad dan demokrasi dalam Islam serta memperkatakan buku terbarunya, The Islamic Jesus: How the King of the Jews Became a Prophet of the Muslims.

Mustafa dipanggil untuk siasatan bersama pengarah IRF, Dr Ahmad Farouk Musa.

Mustafa tidak pergi ke pejabat Jawi sebaliknya mengambil keputusan pulang ke Amerika Syarikat. Beliau bagaimanapun ditahan ketika hendak meninggalkan Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Isnin malam dan dibebaskan 18 jam kemudian pada tengah hari Selasa.

Beliau dibebaskan selepas keterangannya diambil oleh Jawi. Mustafa kemudian berlepas pulang ke Amerika dari Kuala Lumpur melalui Istanbul, Turki. – 28 September, 2017.

Kerana 'kafir', orang Terengganu takut untuk menyokong PH secara terbuka?

Pakatan jadi halimunan di Terengganu
Zulkifli Sulong
Diterbitkan pada 27 Sep 2017 11:00AM
Saban minggu Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu Raja Bahrin Shah dan rakan-rakannya bergerak ke segenap tempat berkempen membawa mesej utama iaitu Amanah sebuah parti yang menggantikan PAS dan kini mengetuai kempen PH mahu menggantikan kerajaan Barisan Nasional.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2017.

BIARPUN angka-angka menunjukkan sebaliknya — membayangkan petanda dukacita untuk Amanah di Terengganu, parti serpihan berusia dua tahun itu cukup yakin ia boleh memimpin Pakatan Harapan (PH) merampas negeri pantai timur itu pada pilihan raya umum akan datang.

Amanah di Terengganu setakat ini cuma dapat menarik 15% saja sokongan ahli-ahli PAS. Kajian terbaru Institut Darul Ehsan (IDE) pula menunjukkan ia hanya boleh dapat 2% sokongan di medan yang sebenarnya jadi rebutan antara PAS dan Umno.

Namun tugas itu bukan mudah, kata Pengerusi PH Terengganu, Raja Bahrin Shah yang mengakui parti itu tersepit di antara dua gergasi, parti Islam PAS, dan Umno yang kini memerintah negeri.

"Angka-angka itu mengelirukan kerana banyak pengundi memilih menyokong PH dalam diam," kata Raja Bahrin, mengulas perkembangan yang menjadikan PH di Terengganu boleh diibaratkan sebagai "pakatan halimunan".

"Puncanya ialah budaya dan sejarah politik di Terengganu yang menyebabkan ramai ahli PAS yang kurang senang dengan pimpinan parti Islam itu tidak berani menyatakan sokongan secara terbuka kepada Amanah."

Kata Raja Bahrin, beliau bertemu dengan banyak ahli PAS yang takut hendak menyertai atau menyokong Amanah, bimbang mereka akan dicap sebagai kafir.

Beliau mengimbau sejarah politik di Terengganu, tempat bermulanya isu kafir-mengkafir pada akhir 1980-an sehingga membawa perpecahan orang Melayu yang buruk, yang kesannya masih terasa sampai ke hari ini. Inilah negeri tempat lahirnya Amanat Hadi yang membahagikan orang Melayu kepada dua: menyokong PAS atau menyokong Umno.

Dr Mahathir Mohamad sendiri yang melalui episod itu semasa jadi perdana menteri dan presiden Umno sehingga sekarang masih terasa apabila pernah dikafirkan oleh PAS. Isu Amanat Hadi berbangkit semula baru-baru ini ketika hangat gesaan agar kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat peristiwa Memali.

Setelah PAS berpecah dan lahir Amanah, reaksi penyokong PAS begitu keras terhadap mana-mana ahlinya yang menyertai parti serpihan itu. Selain label pengkhianat, ada juga yang dipulau daripada majlis kenduri-kendara, yang mengingatkan semula mereka yang pernah melaluinya kepada episod perpecahan orang Melayu pada dekad 80-an.
Terengganu ialah negeri tempat lahirnya Amanat Hadi yang membahagikan orang Melayu kepada dua: menyokong PAS atau menyokong Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2017.

"Ini menyebabkan bukan setakat penyokong, ramai pemimpin dan wakil rakyat PAS yang menyokong Amanah dan tidak suka dengan pendekatan PAS, tidak berani menyertai Amanah secara terang-terangan sehingga sekarang," kata Raja Baharin.

Menyedari masalah Amanah yang jadi halimunan di Terengganu, saban minggu Raja Bahrin dan rakan-rakannya bergerak ke segenap tempat berkempen memperkenalkan parti itu, masuk pasar keluar pasar, dengan kereta traknya tanpa jemu. 

Mesej utamanya, Amanah sebuah parti yang menggantikan PAS dan kini mengetuai kempen PH mahu menggantikan kerajaan Barisan Nasional.

"Sembilan bulan terakhir menunjukkan perubahan besar untuk Amanah. Kami mula didekati," katanya.

Masalah sama juga dihadapi oleh Bersatu di Terengganu, melengkapkan PH sebagai parti halimunan di negeri pantai timur itu.

Jika Amanah berhadapan dengan PAS yang suka mengenakan label kepada ahli-ahlinya yang menyokong Amanah, Bersatu pula berhadapan dengan Umno yang berkuasa di segenap peringkat, dari sebawah-bawah peringkat kampung sampai setingi-tinggi di pusat, yang mengawal segala projek dan jawatan politik di negeri itu.

"Ramai penyokong Umno ini terikat dengan projek kerajaan dan pegang jawatan di kampung-kampung. Jadi mereka takut mahu menyertai Bersatu secara terang-terangan," kata Hambali Abdul Latif, Setiausaha Bersatu Terengganu.

Jelas beliau, ramai ahli Bersatu yang kehilangan kontrak serta hilang jawatan di peringkat kampung kerana dilihat mendekati pemimpin Bersatu.

Akibatnya, ramai penyokong Bersatu kekal dalam Umno.

Bagaimanapun, Hambali dan Raja Bahrin yakin ada peratusan besar penyokong Umno dan PAS yang akan mengundi PH dalam pilihan raya umum nanti khasnya di kerusi-kerusi bandar.

Raja Bahrin juga yakin pertandingan tiga penjuru pada PRU14 nanti tidak semestinya mendatangkan masalah kepada PH.

"Saya rasa dalam konteks Terengganu, pertandingan tiga penjuru tidaklah seburuk yang disangka kerana Amanah boleh menarik undi ahli Pas dan Bersatu boleh menarik undi ahli Umno," kata Raja Bahrin kepada The Malaysian Insight.

Beliau menambah rakyat juga sudah bersedia untuk berubah, dan apa yang perlu dilakukan oleh PH sekarang ialah memantapkan kerjasama sebagai sebuah pakatan yang bermuafakat dan meyakinkan pengundi ini masanya untuk memberi pakatan itu peluang.

Katanya lagi, keadaan sekarang sudah berubah, tidak sama seperti semasa pilihan raya umum yang lalu, ditambah pula dengan kenaikan kos sara hidup yang semakin membebankan rakyat, dan selebihnya, kedudukan Umno negeri yang belum nampak keluar daripada pergolakan dalamannya. – 27 September, 2017.