Monday, July 24, 2017

Parlimen Telok Kemang: UMNO-MIC dah mula main tarik tali?

Mahu calon Umno di Parlimen Telok Kemang
WARTAWAN SINAR HARIAN  23 JULAI 2017
Ramli (kiri) mengiringi Mohd Isa (dua dari kiri) beramah mesra dengan tetamu Jamuan Hari Raya Mukim Pasir Panjang anjuran Umno Cawangan Pasir Panjang.

PORT DICKSON - Umno Cawangan Pasir Panjang membawa suara akar umbi yang berhasrat agar Umno diberi ruang oleh pucuk pimpinan untuk bertanding di kerusi Parlimen Telok Kemang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 nanti.

Ketua Umno Cawangan Pasir Panjang, Ramli Aziz berkata, Parlimen Telok Kemang adalah kouta untuk MIC, bagaimanapun untuk PRU ke 14 akar umbi berharap agar Umno diberi peluang bertanding.

Menurutnya, Umno pinjam satu penggal kouta MIC di Telok Kemang dengan tujuan untuk merampas kembali Parlimen yang pernah menjadi kubu kuat BN satu ketika dahulu.

"Dengan kemenangan BN kelak, rakyat akar umbi juga yang akan menerima banyak manfaatnya kelak dari pelbagai aspek.

"Seterusnya untuk bantu kerajaan membentuk kerajaan pusat, untuk menubuhkan kerajaan yang lebih stabil dan kuat demi kesejahteraan dan pembangunan mampan negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa Jamuan Hari Raya Mukim Pasir Panjang anjuran Umno Cawangan Pasir Panjang di Pasir Panjang malam semalam. Hadir sama Ketua Umno Bahagian Telok Kemang, Tan Sri Mohd Isa  Abdul Samad.

Ramli berkata, Parlimen Telok Kemang sebelum ini adalah kubu kuat BN sehinggalah pada PRU ke12 (2008) pada PRU ke 13, BN tewas dua penggal berturut-turut.

"Daripada post moterm yang dilakukan oleh Umno sendiri, kita dapati rakyat di akar umbi sebenarnya mahukan calon dari anak tempatan, berpengaruh dan telah ada jasa yang dilakukan.

"Hasrat itu bukan sahaja diutarakan oleh orang Melayu tetapi juga dari kaum India dan Cina.

"Saya secara individu ada melakukan pertemuan dengan cawangan-cawangan MIC di sini dan daripada 76 cawangan, 50 lebih cawangan ada yang bersetuju untuk Umno diberi peluang bertanding di parlimen (Telok Kemang) dan ada juga yang tidak kisah dan akan tetap menyokong BN walaupun calon itu dari MIC atau Umno," katanya.

Ramli berkata, melalui dua kekalahan dalam PRU 12 dan 13, didapati pengundi ramai dan dikalangan ahli parti yang tidak kenal dengan calon yang bertanding kerana latarbelakang calon yang bukan penduduk tempatan.

"Ini juga antara faktor yang dikenalpasti kenapa kita kalah, pengundi tak kenal calon tak dan tak mengundi untuk BN.

"Dah 30 tahun saya terlibat dalam politik dan saya yakin PRU kali ini jika letak calon yang likeble atau menjadi kegemaran rakyat,  Parlimen Telok Kemang akan berjaya dirampas kembali," katanya.

Ramli menambah, pengundi muda juga memainkan peranan besar dalam menentukan kemenangan di Parlimen Telok Kemang.

"Pemikiran pengundi muda tidak sama dengan pengundi lama yang tegar menyokong BN.

"Dan Umno ada keyakinan jika calon Umno itu adalah tempatan, berpengaruh dan telah ada jasa  akan menarik golongan muda mengundi BN malah boleh terus menambat pengundi senior," katanya.

Ramli menambah, hasrat untuk Umno bertanding di kerusi Parlimen Telok Kemang telah dibincangkan diperingkat mesyuarat Umno cawangan dan bahagian sejak BN alami kekalahan dalam PRU 12 namun tidak ada yang berani untuk membawa perkara ini ke peringkat yang lebih tinggi.

"Semua orang tutup mulut, tak nak main isu ni, saya fikir sampai bila kita nak macam ni, itu yang nekad untuk utarakannya melalui saluran media dengan harapan pucuk pimpinan tahu masalah yang dihadapi di peringkat akar umbi Parlimen Telok Kemang.

"Kita dah kalah dua penggal,  semua orang tak berani nak cakap, saya nekad sebab apa yang saya cakap adalah suara akar umbi dan saya sedia tanggung risiko, mungkin akan dipanggil dikenakan amaran dan sebagainya oleh Umno Bahagian," katanya.

Ramli memberitahu, PRU 14 ni berikan peluang kepada Umno untuk bertanding Parlimen Telok Kemang akan kita tawan semula.

"Kita nak menang dan rakyat akan sejahtera, itu matlamat kita sekarang," katanya lagi.  

Dan ini pula kata MIC.......

‘Jika kata tukar, maka kita akan tukar’
WARTAWAN SINAR HARIAN 23 JULAI 2017

KOTA KINABALU - Naib Presiden MIC, Datuk T Mohan berkata, isu kerusi Parlimen Teluk Kemang harus diserah kepada pemimpin tertinggi Umno dan MIC untuk dipertimbangkan.

“Tiada siapa boleh putuskan tentang pembahagian kerusi kecuali presiden MIC dan Umno sendiri. Jika mereka kata tukar, maka kita akan tukar,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan media baru-baru ini yang menyebut kemungkinan Umno akan mengambil alih kerusi Teluk Kemang daripada MIC bagi memastikan kemenangan BN pada PRU akan datang.

“Dari segi sejarah, Teluk Kemang sememangnya diperuntukkan kepada MIC sejak bertahun-tahun. Justeru saya tidak fikir akan ada pertukaran kerusi,” katanya.

Beliau juga menyifatkan desas-desus itu sebagai perkara biasa memandangkan menjadi satu kebiasaan bagi parti komponen BN untuk melobi kerusi menjelang pilihan raya.

Ketua Bahagian MIC, Teluk Kemang Datuk R. Balakrishnan dilaporkan berkata MIC tidak mempunyai masalah menyerahkan kerusi parlimen itu sebagai pertukaran dengan kerusi lain di Negeri Sembilan.

Kerusi Teluk Kemang terlepas ke tangan pembangkang selepas penyandangnya Datuk S Sothinathan tewas kepada Datuk Kamarul Baharin Abbas daripada Parti Keadilan Rakyat pada PRU12 yang kemudiannya mempertahankan kerusi itu pada PRU13.

* Di kerusi ni dalam PRU14 nanti siapa yang akan menang agaknya?

1 comment:

  1. Cukuplah dok kelentong melayu kampung! Kesian depa mudah tertipu. Akhirnya yg dpt maserati isa samad jg.

    ReplyDelete