Tuesday, July 18, 2017

Ayyoyo......matilah kita: Adakah ‘mentaliti’ Melayu berubah?

Kalau tak ada BN, mati lah kita?
Pada 18 Julai 2017
oleh Amir Abdul Hadi

Ramai sahabat saya yang baik, masuk politik, atau lebih tepat lagi, masuk parti politik. Sering juga kami berbeza pendapat dalam banyak hal, saya pula, sebagai orang yang berada di luar, sering sahaja menghamburkan kritikan. Dan iya, menghamburkan kritikan itu adalah perkara paling mudah, sedang yang bekerja di bawah (grass roots) yang benar-benar faham akan kepayahan sebenar.

Dalam pada kritikan saya lemparkan, dalam diam-diam, saya meletakkan harapan yang besar pada mereka. Mereka orang-orang baik yang berprinsip. Saya doakan agar mereka kekal sebagai orang baik dan berprinsip. Tidak perlu saya nyatakan nama, mereka kenal siapa mereka.

Ramai pula yang masuk parti politik, kononnya untuk membawa perubahan dalam negara. Bertahun sudah, tidak ada perubahan yang berlaku, sedang merekalah yang berubah. Saya tidak salahkan mereka, mungkin hari-hari mereka termimpi-mimpi, mahu jadi YB!

Melayu dan semangat Merdeka

Ketika membicarakan berkenaan organisasi-organisasi Melayu sekitar 30-an, dalam bukunya ‘Ke Mana Nasionalisme Melayu?’, Rustam A. Sani menyatakan, “Gerakan-gerakan itu tidak anti-kolonial sifatnya, kerana menentang pemerintahan kolonial (pada masa itu) tidaklah dipersepsikan sebagai berlainan daripada menentang pemerintahan Raja-raja Melayu sendiri”.

Begitulah tingginya kedudukan kolonial British pada ketika itu, sehingga tahap mengkritik kolonial British dianggap sebagai mengkritik Raja-raja Melayu. Maka tidak salah untuk saya katakan, orang Melayu ketika itu, rata-ratanya tidak mahu, malah tidak pernah terfikir pun untuk Merdeka.

Namun hal ini terjadi secara organik, dan meletakkan kesalahan sepenuhnya ke atas orang Melayu itu sendiri adalah satu kesilapan besar. Tanah Melayu telah terjajah selama ratusan tahun, sehingga ianya seakan-akan telah sebati dengan budaya masyarakat.

Ada satu perkataan yang dapat menggambarkan keadaan ketika itu, yakni ‘selesa’. Keselesaan itulah yang membuatkan rata-rata orang Melayu takut, dan tidak mahu untuk membuat perubahan. Orang Melayu tidak yakin, bahawa penduduk Tanah Melayu dapat mentadbir sendiri, tanpa bantuan daripada segala kelengkapan yang disediakan pihak British.

Hal ini (organisasi yang tidak bersifat anti-kolonial) berterusan, sehinggalah tertubuhnya Kesatuan Melayu Muda, pada tanggal 1938, yang diasaskan oleh seorang guru muda berusia 28 tahun, Ibrahim Yaakob, bersama-sama dengan kaum pelajar dari Maktab Perguruan Sultan Idris (kini UPSI), berserta segelintir inteligensia Melayu yang berkongsi cita-cita, iaitu merdeka.

KMM merupakan pertubuhan politik kebangsaan pertama di Tanah Melayu, yang berperanan besar memperbaharui semangat kemerdekaan rakyat melawan penjajah, terutamanya di kalangan orang Melayu.

Walaupun pergerakan menuntut kemerdekaan mula tumbuh, namun pemikiran bahawa ‘orang Melayu akan mundur tanpa British’ ini tetap menebal dalam kalangan masyarakat.

Yahya Nasim, bekas Timbalan Bendahari Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), dalam temubual yang disiarkan dalam dokumentari 10 Tahun Sebelum Merdeka, katanya, “Bila kita cakap merdeka ni, masyarakat kita itu setengahnya takut, setengahnya benci, dia kata apa bendanya merdeka itu pada dia?”.

Majid Salleh, bekas Presiden Kesatuan Buruh Johor, dalam dokumentari yang sama, katanya, “Awak ni dah gila? Nak merdeka awak ni tak tahu awak ni siapa? Orang Melayu ni siapa? Tak tahu orang putih kapal terbang ada, kapal laut ada, kapal selam ada, itu nak kita lawan? Itulah suara (penentangan) yang kita dengar”.

Agama

Pemerintahanan kolonial juga, telah disokong oleh Raja-raja Melayu, yang telah menggunakan ulama-ulama kolot kaum tua untuk menjustifikasikan tindakan mereka. Agama telah digunakan supaya mereka terus kekal berkuasa, dan rakyat pula terus tunduk tanpa sebarang penentangan.

Dalam bukunya bertajuk ‘Ayahku’, Prof Hamka menulis,“…tidak hairan, sebab feudalisme raja-raja di sana (Tanah Melayu) sebagai raja Islam, bersandar kepada ulama kolot yang mengutamakan taklid kepada ulama supaya rakyat taat kepada ulama, ertinya kepada raja, erti kepada Inggeris!”.

Golongan ulama kaum tua ketika itu sangat berkuasa. Rakyat pula, rata-rata tidak berani mempersoalkan segala tindak tanduk mereka. Tulis Hamka lagi, memetik kata-kata ayahnya, “Menjadi mufti dalam kerajaan-kerajaan melayu itu sangatlah megahnya. Memakai pakaian rasmi yang pakai polet, berpisang sesikat di bahu, jubah berukir-ukir benang emas, dan serban dari sutera dan berkereta sendiri. Rakyat pun sangat takut dan taat, sisanya dimakan, sepah sirihnya dikunyah, dan kalau beliau ingin hendak kahwin bismillah”.

Makanya menggunakan agama ini untuk terus berkuasa bukanlah perkara baru. Jika diteliti dan dikaji, skripnya hampir sama, seperti kitaran roda yang tidak bergerak.

Kedatangan Jepun

Tentera Maharaja Jepun telah berjaya menjajah Tanah Melayu sepenuhnya pada 31 Januari 1942. Mereka bergerak dengan sangat pantas, selepas serangan pertama dilancarkan pada 8 Disember 1941.

Ini adalah pertama kali, dalam tempoh yang begitu panjang, pentadbiran kerajaan bertukar.
Perlu untuk dijelaskan, serta ditekankan bahawa, kedatangan Jepun itu tidak membawa kebaikan kepada rakyat Tanah Melayu. Makanan dicatu, gadis dirogol, malah jumlah rakyat yang dibunuh tidak terkira banyaknya. Ini adalah perkara penting yang mesti diingatkan.

Namun ada satu perkara yang berlaku, yang saya kira lebih besar nilainya daripada perubahan yang bersifat lahiriah, atau perubahan yang dapat dilihat dengan mata kasar, yakni ‘perubahan mentaliti’. Masyarakat mula sedar, bahawa mereka mampu untuk terus hidup, walaupun selepas ketiadaan British.

Yahya Nasim, dalam temubual yang sama yang disiarkan dalam dokumentari 10 Tahun Sebelum Merdeka, katanya,“Perang Jepun itu banyak mengubah fikiran kita, rupanya kalau tak ada orang putih ni pun boleh, dulu dia (rakyat) terfikir kalau tidak ada orang putih ni mati kita. Bila Jepun memerintah 3 tahun 8 bulan, kita fikir tidak ada orang putih pun boleh juga”.

Katanya lagi, “ia (perang Jepun) menginsafkan Rakyat. Itu yang orang putih sangat takut. Menginsafkan rakyat ini, bahawasanya, kita punya tanah air, kita punya. Dia datang menjajah, kita mesti suruh dia balik”.

Hari ini

Sejak pilihan raya yang pertama, pada tanggal 1955, sehinggalah tahun 2017, Malaya (kini Malaysia) telah diperintah oleh kerajaan yang sama, kerajaan Barisan Nasional (dulu Parti Perikatan).

Mentaliti masyarakat hari ini, dengan masyarakat pada tahun 30-an dan sebelumnya, tidak jauh bezanya. Mereka sudah terlalu lama diperintah kerajaan yang sama, makanya mereka sudah ‘selesa’. Mereka takut, dan tak mahu perubahan.

Ratibnya sama, kalau dulu, ‘kalau tak ada British mati kita’, sama lah sekarang, ‘kalau tak ada BN mati kita’. Maka inilah penyakit sebenar yang melanda masyarakat.

Hal ini telah dipergunakan dengan baik oleh pemerintah. Apapun yang mereka lakukan, mereka tahu bahawa masyarakat takut akan perubahan, maka undi tetap pada mereka.

Namun suka untuk saya ungkapkan kata-kata Ibn Khaldun, dalam karya agungnya Mukaddimah, “Pada permulaan sebuah empayar, kadar cukainya rendah dan pendapatannya tinggi. Pada penghujung sebuah empayar, kadar cukainya tinggi dan pendapatannya rendah”.

Semua tahu, kita sudah berada di tahap mana.

Siapa patut jadi peneraju perubahan

Perbahasan hari ini telah diperbahaskan dengan begitu lama, dan begitu panjang. Mengapa kita perlu berubah? Siapa akan menjadi penggantinya?

Ketika berbual dengan beberapa orang sahabat, dalam membincangkan sebab-sebab untuk perubahan itu, katanya, “kita perlu berubah, kerana korupsi!”. Kata sahabat yang lain, “terlalu banyak akta menindas, tukar kerajaan akan dapat menghapuskan akta-akta ini!”.

Saya hanya mampu tersenyum. Maaf, namun pada saya ianya hanyalah mimpi nan indah. Saya juga hampir hanyut dalam mimpi yang sama. Menghapuskan korupsi, atau menghapuskan akta menindas, tidak akan tercapai dengan hanya menukar kerajaan. Sekurang-kurangnya untuk tempoh yang singkat ini.

Ramai juga yang berbicara soal prinsip, kononnya kerajaan baru ‘wajib suci’, sebelum mengambil alih tampuk pemerintahan. Saya katakan, selagi mana namanya yang memerintah itu seorang manusia, mustahil dia sempurna.

Pertama, sudah tentu, pemuda harus menjadi penerajunya. Soal siapa patut jadi Perdana Menteri, adalah persoalan kedua. Pemuda jangan ikut permainan memualkan pemain politik tua yang tak habis-habis berbalah soal jawatan!

Saya cuma punya satu sebab, dan hanya satu, dalam persoalan mengapa perlunya perubahan kerajaan. Perubahan kerajaan mungkin akan membawa kebaikan, malah mungkin keburukan. Namun perkara yang paling besar yang dapat dicapai adalah perubahan ‘mentaliti’!

Dengan perubahan, kita dapat membuktikan, terutamanya kepada orang Melayu, bahawa walau tanpa BN, tidak ada rakyat yang akan mati kebuluran. Melayu masih lagi Melayu. Maka dengan dengan itu, rakyat tidak akan takut lagi, untuk menghumban kerajaan yang tidak mengurus tadbir dengan baik pada masa akan datang.

Malah saya mengharapkan, sekiranya ditakdirkan berlaku perubahan kerajaan, kerajaan baru ini akan dijatuhkan selepas 2-3 penggal mentadbir, agar ‘semangat membangun’ itu sentiasa diperbaharui.

ما من امة تتمدن الا وشبانها في الامام

* Amir Abd Hadi adalah Penyelaras pertubuhan hak asasi manusia, SUARAM

2 comments:

  1. itu dulu lani perlu perubahan
    dulu hidup ramai tanpa panduan agama
    agama hanya kulit kulit saja
    pemberi rezeki Allah bukan makhluk
    manusia kena berusaha
    memang ramai malayu kena tipu ngan puak penjajah
    sampai sanggup serah hak kerakyatan pada orang yang dibawa masuk oleh britis
    bukan merdeka tapi diberi kuasa memerintah dengan ikut kitab yang disediakan british
    itulah hakikatnya yang sebenar benarnya
    untuk jenerasi baru perlu ambil tahu
    sendiri tengok apa dah jadi negara lani
    negara diperintah oleh melayu ajen british
    bahasa melayu ugama Islam entah dimana tempatnya
    sedih pedih

    ReplyDelete
  2. Raja lepaskan kuasa pastu rakyat ambik balik bagi kat raja. Sedap la gitu. Pastu ulang lagi. Wahai melayu bongok, pasni ulang lagi ke? Milenium beb. Otak feudal buang dalam tong taik je.. kah kah kah.

    ReplyDelete