Sunday, July 30, 2017

Walau pun akan dirempuh: Masih berlembut dengan PAS, bagaimanakah bacaan politik Azmin?

Azmin hadir jamuan raya Pas walau PKR bakal dirempuh?
30 Julai 2017 | ARIF ATAN
Azmin Ali di meja bertemakan warna Pas di jamuan Aidilfitri pemimpin parti itu semalam.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilihat menghadiri jamuan Aidilfitri di kediaman Bendahari Pas Selangor, Zaidy Abdul Talib di Bandar Tasik Puteri semalam.

Berpakaian batik warna ungu dan kelabu, Menteri Besar Selangor itu dalam satu gambar yang tersebar di media sosial turut duduk bersebelahan pemimpin Pas, Dr Abdul Rani Osman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru.

Walaupun bulan Syawal sudah lima hari berakhir, jamuan Hari Raya anjuran Exco Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani itu turut dihadiri individu bukan Islam.

Kehadiran Azmin itu sekaligus dilihat menggambarkan sikapnya terhadap Pas di negeri itu walaupun parti diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang tersebut telah memutuskan hubungan dengan PKR pada tahun ini.

Hal tersebut berlaku ekoran tindakan Majlis Syura Ulamak Pas pada 11 Mei lalu membatalkan hubungan politik tahaluf siyasi parti itu dengan PKR.

Pas mendakwa keputusan tersebut dilakukan selepas PKR banyak melanggar syarat-syarat tahaluf siyasi iaitu tidak menyokong malah menentang sebahagian agenda Islam yang dibawakan oleh Pas seperti isu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355.

Selain itu, Pas menyifatkan PKR juga melanggar adab-adab kerjasama dalam politik seperti menyerang pimpinan Pas dan membuat tuduhan palsu yang merosakkan imej parti tersebut.

Malah, PKR dianggap khianat dalam hubungan politik dengan Pas apabila bekerjasama dengan pihak yang didakwa ingin menjatuhkan Pas.

Pada masa sama, Pas telah bertegas untuk meletakkan calon bertanding PRU-14 di 45 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan 15 daripada 22 kerusi Parlimen di Selangor.

Ketetapan Pas itu sekaligus menyaksikan strategi Pakatan Harapan untuk satu lawan satu menentang rejim Umno-BN terganggu.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad pada 24 April lalu dilapor berkata, keputusan tersebut berdasarkan perkembangan semasa, jika mereka tidak lagi terikat dengan rundingan pembahagian kerusi.

Selanjutnya, paling dilihat mengejutkan pemimpin tertinggi PKR apabila Pas pada 16 Julai lalu melancarkan jentera pilihan rayanya di Parlimen Permatang Pauh yang dianggap kubu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dilancarkan Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berserta iringan konvoi 100 motosikal ke tempat pelancaran, beliau menafikan dakwaan Naib Presiden PKR, Tian Chua sebelum itu yang menganggap tindakan Pas tersebut sebagai provokasi dan angkuh yang tidak membantu dalam usaha menewaskan rejim Umno-BN.

5 comments:

  1. Azmin terhutang budi dengan kebijaksnaan PAS, jangan pula PKR melenting bila PAS nak letak calun di Permatang Pauh.

    PKR sebenarnya pengecut, tiada keyakinan.

    ReplyDelete
  2. PH kena tegas dgn azmin & co. Jk tidak peristiwa kota damansara, sg aceh bakal berulang

    ReplyDelete
  3. Politik macam ini yang jadi melayu bangsat.

    Kalau mana-mana pemimpin atau parti yang bertindak melampaui batas norma jangan lah nak tunjuk baik dan se olah-olah mesti bersabar.

    Nak berbaik dengan PAS tak ada cara lain? Hadir pada hari lain atau majlis kenduri biasa-biasa atau minum di dewan negeri..


    Nanti orang kata ahli politik semuanya sama...

    ReplyDelete
  4. Bersangka baik, tindakan Azmin itu boleh memikat penyokong PAS dan pengundi atas pagar untuk memihak kepada PKR khususnya dan PH amnya. Yang pasti, bacaan politik PAS yang bermasalah dan diharap Azmin tidak tersalah langkah.

    ReplyDelete
  5. Azmin hadir dalam majlis sambutan Hari Raya oleh pas adalah di atas kapasiti Menteri Besar Selangor. Jangan terlalu taksub dan pandangan sehala.

    ReplyDelete