Monday, July 31, 2017

Dalam Isu ni Zahid patut disokong......

Isu ‘bin Abdullah’: Menteri, ketua jabatan perlu hormat keputusan mahkamah

 | July 30, 2017
Mereka perlu mendapatkan nasihat pakar undang-undang sebelum membuat kenyataan kontroversi atau berdepan dakwaan menghina mahkamah.
PETALING JAYA: Seorang bekas hakim berkata, menteri dan penjawat awam kanan perlu berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan berhubung penghakiman mahkamah atau mereka berisiko melakukan penghinaan terhadap mahkamah.
Sehubungan itu, Datuk Seri Gopal Sri Ram menasihatkan ahli politik dan penjawat awam yang tidak mempunyai latihan undang-undang supaya tidak membuat kenyataan bersifat hasutan yang akan menjejaskan kedaulatan undang-undang dan menunjukkan kejahilan mereka.
“Mereka perlu menunjukkan contoh baik dengan menghormati pernyataan kehakiman dan menjunjung kedaulatan undang-undang,” kata bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu.
Sri Ram berkata, menteri dan ketua jabatan kerajaan perlu mendapatkan nasihat peguam kanan persekutuan yang ditugaskan ke kementerian mereka atau peguam kanan berpengalaman di Jabatan Peguam Negara sebelum membuat kenyataan kontroversi.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan anak luar nikah menggunakan nama bapa sebenar dalam dokumen rasmi kerajaan.
Semalam, menteri dalam negeri itu dipetik Bernama berkata, umat Islam perlu bersatu memastikan mana-mana keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan tidak dicabar pihak atau sistem perundangan lain.
“Bukan untuk menentang agama lain, tetapi jangan campur hal ehwal agama Islam, biar orang Islam yang menguruskan hal ehwal Islam,” kata Zahid.
Jumaat lalu, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Mohd Yazid Ramli berkata, pihaknya akan terus meletakkan nama bapa “Abdullah” untuk mendaftarkan anak luar nikah sehingga kes itu dimuktamadkan Mahkamah Persekutuan.
Tetapi, peguam berkata, penghakiman Mahkamah Rayuan ialah undang-undang sekarang, kecuali Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan itu.
Sri Ram berkata, walaupun kerajaan memfailkan rayuan, ia tidak berfungsi sebagai penangguhan pelaksanaan.
“Jadi, individu yang menentang perintah itu mempunyai kewajipan untuk mematuhinya,” katanya.
Beliau berkata, kenyataan Yazid yang JPN tidak akan mematuhi perintah mahkamah bukan sahaja salah, tetapi menunjukkan kedegilannya dan sengaja menghina mahkamah.
“Begitu juga jika kenyataan yang dikaitkan dengan timbalan perdana menteri itu adalah tepat, maka ia adalah penghinaan mahkamah yang serius.”
Sri Ram berkata, pengalamannya selama 50 tahun dalam bidang perundangan, tidak pernah ada sebuah jabatan kerajaan atau seorang menteri yang enggan mematuhi keputusan mahkamah atau membuat kenyataan bersifat hasutan yang menggalakkan pihak lain tidak menghormati perintah mahkamah.
Beliau berkata, litigan yang berjaya boleh memohon mahkamah menghukum mereka yang didapati menghina mahkamah.
“Untuk penghinaan yang serius dan disengajakan, biasanya mereka akan dihukum penjara.
“Saya menjangkakan ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan tampil mempertahankan hakim mereka.”
Ahli Jawatankuasa Pusat PKR, Latheefa Koya berkata, mahkamah perlu dibenarkan memutuskan perkara itu secara adil berdasarkan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, Zahid jelas cuba meraih modal politik daripada kes itu menjelang pilihan raya umum akan datang.
“Ia sangat tidak adil kerana ini melibatkan kehidupan dan masa depan kanak-kanak yang tidak bersalah,” katanya.
Semalam, Zahid yang juga menteri dalam negeri dipetik Bernama berkata, beliau bersetuju dengan tindakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), yang melalui Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan terhadap kes anak tidak sah taraf orang Islam ke Mahkamah Persekutuan.
Mahkamah Rayuan melalui penghakiman bertulis pada 25 Julai lalu berkata, JPN bertindak tidak rasional dan di luar kuasanya dengan menggunakan nama bapa “Abdullah” untuk mendaftarkan kanak-kanak Islam, bertentangan hasrat ibu yang mahu menggunakan nama bapa kanak-kanak tersebut.
“Kami percaya Islam tidak membenarkan penghinaan secara terbuka terhadap kanak-kanak yang tidak bersalah,” tulis Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, seorang daripada 3 hakim dalam penghakiman sepanjang 28 halaman.
Abdul Rahman berkata, walaupun keputusan JPN untuk mengenakan “bin Abdullah” berdasarkan 2 fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 1981 dan 2003, ia bercanggah Seksyen 13A(2) BDRA yang membenarkan bapa kepada anak luar nikah menggunakan namanya sebagai nama bapa kanak-kanak terbabit.
Menurut fatwa 2003, anak luar nikah (tak sah taraf) tidak boleh dinasabkan kepada bapa anak tersebut atau kepada orang yang mengaku sebagai bapa kepada anak itu.
Abdul Rahman berkata, fatwa itu bertujuan mengesahkan status kanak-kanak itu dalam soal pembahagian harta pusaka dan hubungan keluarga dalam hal berkaitan perkahwinan, bukannya “mengumumkan kepada seluruh dunia” itu anak luar nikah.
Beliau berkata, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) tidak membezakan kanak-kanak Islam dan bukan Islam.

1 comment:

  1. pihak pengusa Islam mesti bertegas dalam hal ugama Islam tak boleh dibiarkan lagi diceroboh oleh pihak lain denagn berbagai cara
    jangan hanya pandai meraung saja Islam diperjuangkan tapi maseh bagi ruang pada musuh Islam merobek kesucian islam dalam negara islam
    kalau dah binkan orang Lain ada lagi masaalah besar menanti dalam keluarga tu ...

    ReplyDelete