Thursday, July 27, 2017

Tuntutan palsu - dua laporan berbeza: Tan Sri bekas Naib Presiden MIC, anak didakwa

* Pada dua laporan akhbar berkaitan perkara yang sama dengan dua laporan berbeza.

Akhbar Utusan tidak menyebut tuntutan palsu itu melalui siapa, namun akhbar Kosmo ada menyebut tuntutan itu melalui juruukur bahan yang dilantik syarikat Sinnayah & Sons iaitu Nuri Abdullah

Siapa Nuri Abdullah? 

Bekas Naib Presiden MIC, anak didakwa
Haniza Hassan
27 Julai 2017 3:00 AM
KUALA LUMPUR 26 Julai - Bekas Naib Presiden MIC, Tan Sri S. Balakrishnan dan anak lelakinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan bersubahat me­lakukan perbuatan itu berjumlah hampir RM13 juta.

Tuntutan itu berhubung Projek Pengindahan dan Pembaikan Sungai Melaka, lima tahun lalu.

Balakrishnan, 63, dan B. Ashok Kumar, 31, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Allaudeen Ismail dan Hakim Azura Alwi.

Balakrishnan didakwa mengemukakan Tuntutan Bayaran Interim bagi kerja pembekalan dan penghantaran kontena penyahairan (dewatering container) berjumlah RM12.89 juta yang memperakukan pembekalan sebanyak 358 unit.

Tuntutan bayaran interim tersebut mengandungi butiran palsu walhal hanya 89 unit kontena dibekalkan.

Dokumen tuntutan bayaran itu dikemukakan melalui juru ukur bahan syarikat Sinnayah & Sons Sdn. Bhd. kepada Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) dengan niat untuk memperdayakan jabatan tersebut.

Tertuduh yang merupakan pengarah syarikat berkenaan didakwa melakukan perbuatan tersebut di Pejabat Bahagian Projek Khas, Ibu Pejabat JPS, Jalan Sultan Salahuddin di sini antara 27 April 2012 dan 23 Oktober 2013.

Sementara itu, anaknya, Ashok Kumar yang merupakan pengurus projek di syarikat pembinaan itu pula didakwa bersu­bahat melakukan perbuatan tersebut di tempat dan tarikh sama.

Balakrishnan yang memegang jawatan Naib Presiden MIC pada 2013 hingga 2015 didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Ashok Kumar juga didakwa mengikut seksyen sama dan dibaca bersama Seksyen 28(1)(c) akta sama dan bagi setiap seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai butir palsu atau RM10,000 atau mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Thangavelu manakala Bala­krishnan diwakili peguam John Dass sementara peguam Ashok Athimulan pula bertindak bagi pihak anaknya.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM500,000 setiap seorang dengan dua penjamin berserta syarat tambahan, perlu menye­rahkan pasport antarabangsa masing-masing dan menetapkan 28 Ogos ini, sebutan semula kes.

Tan Sri, anak didakwa SPRM
Oleh NUZULSHAM SHAMSUDDIN
KUALA LUMPUR – Bekas Naib Pre­siden MIC, Tan Sri S. Balakrishnan dan anak lelakinya didakwa secara berasingan di Mahkamah Sesyen di sini semalam masing-masing atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan bersubahat berkaitan projek mengindah dan memulihkan Sungai Melaka bernilai hampir RM13 juta empat tahun lalu.

Balakrishnan, 63, dan anaknya, B. Ashok Kumar, 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka masing-masing dibacakan di hadapan Hakim Allaudeen Ismail dan ­Azura Alwi.

Di hadapan Allaudeen, Balakrishnan yang merupakan bekas Pengarah Syarikat Sinnayah & Sons Sdn. Bhd. didakwa membuat tuntutan bayaran yang mengandungi butiran palsu bagi kerja-kerja membekal dan menghantar bekas takungan air sebanyak 358 unit bernilai RM12,888,000 sedangkan bekas takungan air yang dibekalkan hanya 89 unit.

Dokumen tuntutan ber­kenaan dikemukakan melalui juruukur bahan yang dilantik syarikat Sinnayah & Sons iaitu Nuri Abdullah kepada pengarah bahagian projek khas Ibu Pejabat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Bekas Naib Presiden MIC pada tahun 2013 hingga 2015 itu didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai RM10,000 atau mengikut mana yang lebih tinggi.

Di hadapan Azura, Ashok Kumar yang merupakan pengurus projek syarikat Sinnayah & Sons Sdn. Bhd. didakwa bersubahat dengan bapanya melakukan kesalahan tersebut.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

No comments:

Post a Comment