Friday, July 21, 2017

Parah: Seorang Leftenan Jeneral didapati bersalah menyeludup manusia

Jeneral Thailand didapati bersalah
21 Julai 2017
(kiri) AP - LEFTENAN Jeneral Manas Kongpaen tiba di Mahkamah Jenayah Bangkok semalam. (kanan) AP - GAMBAR fail bertarikh 22 Jun lepas menunjukkan petugas-petugas agama menyusun keranda imigran Rohingya untuk pengebumian beramai-ramai di Kedah, Malaysia.

BANGKOK – Seorang Jeneral Thailand didapati bersalah semalam ketika Mahkamah Jenayah di Bangkok membacakan keputusan perbicaraan penyeludupan manusia terbesar di negara itu, membabitkan seramai 103 defendan atas pelbagai tuduhan lain termasuk pembunuhan, penyeksaan dan pengubahan wang haram.

Penasihat keselamatan Thailand, Leftenan Jeneral Manas Kongpaen merupakan pegawai tertinggi yang dibicarakan da­lam kes itu.

Dia didapati bersalah membantu penyeludupan manusia dan memainkan peranan penting dalam organisasi jenayah rentas negara.

“Tertuduh (Manas) berkomplot untuk menggalakkan penyeludupan manusia,” kata hakim Mahkamah Jenayah.

Seorang lagi ketua penjenayah berpengaruh yang didakwa dalam kes itu ialah Pajjuban Aungkachotephan atau dikenali dengan panggilan ‘Abang Besar Tong’. Dia dituduh menggunakan pulau persendirian di Laut Andaman untuk mengangkut imigran ke tanah Thailand.

Hakim Mahkamah Jenayah mengumumkan sekurang-kurangnya 21 keputusan bersalah pagi semalam dengan penghakiman dijangka berterusan hingga petang hari yang sama.

Daripada 22 keputusan itu, hanya seorang tertuduh didapati tidak bersalah.

Selain penyeludupan manusia, sebahagian tertuduh turut bersalah kerana menyertai organisasi jenayah rentas negara, mengurung sehingga menyebabkan kematian dan merogol.

“Hukuman paling berat yang boleh dikenakan terhadap mereka ialah hukuman mati,” kata penyelidik kanan pertubuhan hak asasi manusia, Human Rights Watch di Thailand, Sunai Phasuk.

Perbicaraan mereka bermula tidak lama selepas penemuan lebih 30 mayat di sebuah kem penyeludupan manusia yang ditinggalkan di sebuah hutan berbukit di wilayah Songkhla, dekat sempadan Malaysia-Thailand pada tahun 2015.

Kebanyakan mayat itu ditanam di dalam beberapa kubur cetek.

Pihak berkuasa Thai percaya kesemua mayat itu merupakan imigran Rohingya dari Myanmar dan Bangladesh. Sekurang-kurangnya dua daripada mereka ialah kanak-kanak.

Kesemua tertuduh dalam kes itu tidak mengaku salah. Mereka termasuk beberapa pegawai tentera, polis, ahli birokrat dan warganegara Myanmar.

Semua dakwaan adalah berkaitan penemuan pada 2015 itu. – dpa/Reuters

No comments:

Post a Comment