Tuesday, July 18, 2017

Perbahasan RUU355 tertangguh lagi, kalau serius kan lebih mudah jika kerajaan bentang sendiri?

Monday, 17 July 2017
PERBAHASAN AKTA 355 TERTANGGUH LAGI, BAGAIMANA PULA AGAKNYA BILA OKTOBER NANTI?

Selepas beberapa kali tertangguh atau sengaja ditangguhkan, sidang Parlimen Julai ini sepatutnya adalah detik yang dinanti-nantikan untuk menyaksikan perbahasan rang undang-undang Akta 355 menjadi kenyataan.

Perbahasan dan seterusnya pengundian akan menyaksikan bukan saja sejauh mana Pas serius terhadap pindaan Akta 355 itu, tetapi juga untuk melihat sama ada Ahli Parlimen UMNO berani menyokong atau sekali lagi tunduk kepada MCA, MIC, Gerakan serta komponen Sabah dan Sarawak yang sebelum ini terang-terang menolaknya sehingga Najib Razak terpaksa membatalkan untuk menjadikannya sebagai usul kerajaan.

Bagaimanapun, nampaknya perbahasan Julai ini juga sekali lagi akan tertangguh  dan tidak menjadi kenyataan.
Ia berikutan keadaan Presiden Pas, Hadi Awang yang masih belum pulih sepenuhnya selepas melakukan pembedahan injap jantung di IJN, baru-baru ini.

Memetik kenyataan Khalil Hadi yang merupakan Ketua Pemuda Pas, beliau berkata, ayahnya mungkin tidak dapat menghadiri sessi Parlimen Julai ini berikutan masih memerlukan rehat untuk memastikan proses pemulihan benar-benar berjaya.

Dengan kata lain, tiadalah perbahasan Akta 355 pada sidang Parlimen Julai ini dan ia seterusnya mungkin akan dianjak kepada sessi Parlimen Oktober akan datang.

Legalah seketika jiwa dan perasaan mereka yang berkaitan. Jika tidak, peninglah juga mencari alasan, takkan memanjang tak cukup masa sebagai sandaran sedangkan sudah kerap menjajanya sehingga ke London dan berhimpun di Padang Merbok.

Bagaimana agaknya dengan sidang Parlimen pada Oktober nanti? 

Adakah Akta 355 akan tertangguh lagi lagi atau benar-benar akan menjadi kenyataan?

Tetapi, jangan lupa, sidang Parlimen bulan Oktober akan datang, agenda utamanya ialah pembentangan Bajet 2018 yang akan merupakan medan terakhir bagi Najib menabur umpan dan gula-gula kepada rakyat sebelum pilihanraya diadakan.

Maka, sediakah mereka memberi laluan kepada perbahasan dan seterusnya undian Akta 355 sedangkan ia tentu saja boleh menimbulkan konflik yang boleh menjejaskan tahap sokongan pengundi bukan Melayu serta di Sabah dan Sarawak kepada BN?

Mungkinkah juga tidak lama selepas pembentangan Bajet 2018 itu Parlimen akan segera dibubarkan bagi membolehkan PRU 14 diadakan, laku akhirnya isu perbahasan Akta 355 terpadam dengan sendirinya?

Ataukah akan muncul alasan lain untuk menangguhkannya sekali lagi?

Jika begitu, bila sudahnya Akta 355 ada laluan untuk dibahas dan diundi?

Seperti yang pernah disebut beberapa kali sebelum ini, percayalah bahawa Akta 355 ini hanyalah untuk geli-gelian saja, bukan sangat untuk dilaksanakan sebagai undang-undang atau dijadikan hukum dalam kehidupan.

Asalkan dengannya ada yang terasa geli, boleh diajak berdekat, berpakaian sedondon, berjalan-jalan sambil minum teh tarik ke London, berhimpun di padang dan diperguna sebagai tongkat mengekalkan kuasa, ia sebenarnya sudah lebih daripada memadai.

Jika UMNO serius untuk melaksanakan pindaan Akta 355, mereka sendiri sebagai kerajaan yang akan membentangkannya, bukan meminta Pas membawanya sebagai usul persendirian dan kemudian dikembalikan semula kepada kerajaan untuk mengusulkannya.

Mana ada kerajaan suka memilih jalan berliku-liku dan berbelit-belit sedangkan jalan yang lurus memang tersedia di depan mata, kecuali ia hanyalah helah dan untuk mengena serta memperdaya demi kepentingan kuasa. (ShahbudinHusin 17/07/2017)

Anda mungkin juga meminati:
SEJAUH MANA AKTA 355 TIDAK BERMOTIF POLITIK?
USUL AKTA 355 HANYA DIBACA, TIDAK DIBAHAS, TIDAK DIUNDI ...
Posted by Shahbudin Husin at 20:50

No comments:

Post a Comment