Sunday, July 23, 2017

Empat cedera, kenderaan rosak akibat tangki air Kompleks Teruntum pecah

Astro Awani |  Diterbitkan pada Julai 23, 2017 18:18 MYT
Keadaan tangki air Kompleks Teruntum yang pecah hingga merosakkan struktur bangunan dan merosakkan beberapa buah kenderaan serta mencederakan mangsa. - Astro AWANI

KUANTAN: Bunyi letupan dan limpahan air akibat tangki pecah mencetuskan kekecohan di pekarangan bangunan Kompleks Teruntum di Kuantan tengah hari tadi.

Kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah hari itu mengakibatkan runtuhan tembok batu dari tingkat empat bangunan menyebabkan empat cedera manakala sekurangnya lima motosikal dan lima kereta terjejas.

Menurut dua saksi yang merupakan peniaga gerai berhampiran lokasi kejadian, mereka yang ketika itu sedang duduk di khemah jualan panik apabila terdengar bunyi letupan dari bangunan berkenaan yang terletak kira-kira 100 meter dari tapak perniagaan mereka.

"Bunyi macam satu letupan dan lepas kedengaran bunyi air mencurah-curah. Saya nampak batu-bata terlontar ke arah kawasan parkir kereta. (Kami yang) takut dan sram pun larilah, bimbang bangunan ni akan runtuh," ujar saksi, Tuan Nur Aisyah Tuan Mohd. Nor.

Seorang lagi saksi, Nurabaitul Fatihah Mohd Razlan turut berkongsi perasaan khuatirnya: "Saya rasa macam nak tinggalkan saja gerai sebab memang menakutkan. Bunyi seperti tanah bergegar."

Sementara itu, semua premis dan pejabat kerajaan yang beroperasi di Kompleks Teruntum diarahkan menghentikan operasi mereka berkuatkuasa serta-merta atas faktor keselamatan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Abdul Wahab Mat Yassin berkata, keputusan itu dibuat selepas meninjau kerosakan struktur yang berlaku.

“Memang kita minta (bangunan) dikosongkan untuk sementara sehingga kita menjalankan pemeriksaan bersama dengan pihak berkuasa khususnya Jabatan Kerja Raya.

"Setelah kita sahkan premis ini selamat dan boleh digunakan, kita akan beri kebenaran kepada setiap urusan dan pengurusan pejabat di sini kembali beroperasi," ujar Abdul Wahab.

Seramai 10 pegawai dan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Bukit Ubi, Kuantan, terbabit dalam operasi pengosongan bangunan itu.

Mereka turut dibantu pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kompleks Teruntum mula beroperasi pada Januari 1980 dan mempunyai 22 tingkat dengan tiga daripadanya menempatkan pelbagai premis perniagaan.

Difahamkan, kali terakhir pihak pengurusan bangunan itu menukarkan tangki air yang berada di tingkat empat kompleks itu ialah kira-kira 15 tahun lalu.

'Saya dengar dentuman kuat, diikuti limpahan air' - Saksi
 Diterbitkan pada Julai 23, 2017 17:51 MYT
Kompleks Teruntum akan ditutup sementara waktu bermula hari ini selepas mendapat nasihat bomba. - Astro AWANI

KUANTAN: "Saya dengar dentuman kuat diikuti limpahan air. Saya panik dan terus mencapai anak lalu berlari meninggalkan khemah jualan," kata peniaga kereta Tuan Nur Aisyah Tuan Mohd Nor.

Beliau antara saksi yang berhadapan detik cemas apabila tembok bangunan Kompleks Teruntum di Jalan Mahkota-Seri Kuantan di sini, runtuh ekoran tangki air yang terletak di tingkat empat kompleks itu pecah sekitar pukul 1 tengah hari ini.

Tuan Nur Aisyah, 32, berkata khemah jualannya terletak kira-kira 80 meter dari kompleks itu, membolehkan beliau melihat dengan jelas dinding batu menghempap beberapa buah kereta dan motosikal yang diletakkan di ruangan tempat letak kereta berhampiran.

Sementara itu, salah seorang mangsa Sheikh Mohd Hanfi Sheikh Ali, 50, berkata beliau dan isteri Norziah Abdul Ghafar, 51, cedera ringan.

Mereka cedera di lutut, siku dan tapak tangan kerana terjatuh semasa melarikan diri dari runtuhan batu.

Katanya, semasa kejadian mereka sedang berjalan kaki melalui jalan belakang kompleks itu menuju ke sebuah pusat membeli belah berdekatan apabila mendengar bunyi seakan-akan letupan.

"Mujur saya dapat lihat runtuhan tembok batu dan air melimpah ke arah kami... saya dan isteri lari supaya tidak ditimpa. Bagaimanapun, motosikal saya yang diletakkan di situ rosak teruk terkena batu.

"Apapun, saya bersyukur kerana nyawa kami lebih penting. Saya anggap motosikal itu sudah tiada rezeki buat kami, tapi saya tetap akan membuat laporan polis berhubung kejadian ini," katanya.

Difahamkan, kejadian itu menyebabkan empat orang cedera ringan semasa cuba menyelamatkan diri manakala empat buah kereta dan sekurang-kurangnya 10 buah motosikal rosak ditimpa serpihan bangunan itu yang jatuh dari ketinggian 40 meter.

Komander Operasi Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan Bakhtiar Iskandar Mohamad berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 1 tengah hari daripada orang awam.

"Sebuah jentera bomba dengan 11 anggota dikejarkan ke tempat kejadian. Selain itu, turut berada di situ ialah polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang turut membantu menutup kawasan kejadian dan mengalihkan kenderaan yang terlibat," katanya.

Sementara itu Pengurus Badan Pengurusan Bersama kompleks itu Mohd Zaid Harun berkata, kompleks itu akan ditutup sementara waktu bermula hari ini selepas mendapat nasihat bomba.

"Kompleks ini hanya akan dibuka dan beroperasi semula selepas mendapat pengesahan Jabatan Kerja Raya (JKR)," katanya.

Kompleks 21 tingkat itu mula dibuka pada Januari 1980.

1 comment:

  1. Pilih dan lantiklah lagi pemborong berdarah UMNO untuk kerja baik pulih, selepas ini tidak sampai 10 tahun pasti kejadian itu akan berulang. Mereka ini pakar kong kalikong, tidak kompeten, mengalibabakan projek, menipu bahan untuk untung lebih dan juga kena beri rasuah kepada pemimpin UMNO kawasan. Apakah kejadian ini disebabkan oleh cina DAP?

    ReplyDelete