Friday, July 21, 2017

Kisah fiksyen digunapakai pulak: Pihak mana yang pening sebenarnya ni?

DAP sedia adakan pemilihan semula CEC secara protes
Pada 21 Julai 2017
oleh Hafiz Zainuddin; Foto oleh Wan Ahmad Yusufi
PUTRAJAYA, 21 JUL: DAP hari ini menyatakan pendirian bahawa ia bersedia untuk mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) secara protes terhadap arahan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Pendirian tersebut dinyatakan melalui surat serahan tangan ditandatangani Naib Pengerusi Kebangsaan Teresa Kok di pejabat ROS dan telah diterima oleh Penolong Pengarah Bahagian Pematuhan, Mohamad Nawawi bin Mat sebentar tadi.

“Kami menafikan sekeras-kerasnya bahawa timbul sebarang keraguan dalam keputusan pemilihan semula CEC seperti yang dinyatakan dalam perenggan 3 dalam surat Dato’.

“Walaubagaimanapun, memandangkan keputusan ini diberi kepada kami pada waktu di mana PRI-14 mungkin akan diadakan pada bila-bila masa, maka DAP bersedia untuk mengadakan pemilihan semula jawatankuasa tertinggi (CEC) parti di bawah protes dan tanpa menjejaskan sebarang hak kami untuk mengambil tindakan perundangan sekiranya perlu, pada bila-bila masa”, kata Teresa Kok membacakan surat tersebut.

“Kami tidak bersetuju dengan pendirian Dato bahawa ‘sebarang keputusan yang dibuat CEC dan juga parti adalah dikira sebagai tidak sah dan terbatal’ sebagaimana dinyatakan di dalam surat Dato’.

“Pendirian Dato’ adalah bertentangan dengan persetujuan yang dicapai di Mahlamah Tinggi Kuala Lumpur di antara DAP dan ROS pada 23 September 2014,” tambah beliau.

Persetujuan tersebut menyatakan bahawa ROS mengiktiraf CEC yang dipilih pada 29 September 2013 untuk berfungsi menjalankan tugas-tugas pentadbiran DAP berdasarkan Perlembagaan DAP.

Tegasnya lagi, meskipun DAP bersetuju untuk mengadakan pemilihan semula, ROS masih perlu bertemu dan berbincang dengan DAP.

“Tarikh pemilihan semula CEC ditentukan ROS selepas pertemuan (nanti).

“Tanpa mesyuarat dengan ROS, DAP tidak boleh ambil langkah seterusnya,” kata Teresa yang merupakan Setiausaha Organisasi Kebangsaan bagi penggal 2008-2012.

ROS pada 17 Julai lalu akhirnya menghantar pemberitahuan rasmi berkenaan arahan supaya DAP mengadakan pemilihan semula CEC setelah empat tahun hal tersebut diselesaikan di mahkamah.

ROS yang tidak mengiktiraf CEC yang dilantik pada tahun 2012 dan juga di pemilihan semula September 2013 mengalamatkan surat mereka kepada Teresa, Setiausaha Organiasi bagi CEC penggal sebelum 2012.

Dua hari lalu mesyuarat CEC menafikan rasional dakwaan ROS yang dipercayai telah dibuat berdasarkan cerita rekaan.

Dalam sidang media Rabu lalu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mempertikaikan keputusan ROS yang menurutnya dibuat berasaskan ‘Laporan Equiti: Penipuan Pemilihan CEC’ yang ditulis oleh watak rekaan, Father Augustus Chen.

“Lim Kit Siang telah memenangi saman fitnah terhadap Utusan Malaysia, berkait tulisan ‘Father Augustus Chen’ ini dan mendapat ganti rugi RM250,000 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Disember 2014.

“Soalnya sekarang, kenapa ROS membuat keputusan berasaskan laporan palsu yang telah disahkan mahkamah?” soal beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

ROS mencetuskan kembali isu pemilihan semula CEC setelah ditimbulkan oleh Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Tengku Sariffuddin ketika cuba mematahkan analisis DAP terhadap majikannya.

Tanpa menjawab analisis terbabit, Sariffuddin hanya melemparkan kenyataan supaya DAP lebih bimbang tentang nasibnya pada pilihanraya akan datang jika dihalang daripada menggunakan lambang roket ekoran dibatalkan pendaftaran oleh ROS.

Kisah fiksyen ROS buat DAP bawa rombongan sampai ke pejabat
Pada 21 Julai 2017
oleh Hafiz Zainuddin Foto Ahmad Yusufi
PUTRAJAYA, 21 JULAI: Segala ‘misteri’ yang menyelubungi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) sepatutnya sudah terjawab dengan penyerahan surat penjelasan rasmi ke pejabat itu pagi tadi.

Penyerahan surat itu dibuat bagi merungkai segala dakwaan ‘fiksyen’ yang digunapakai ROS dalam notis yang dikemukanan kepada DAP 17 Julai lalu melibatkan keputusan pemilihan semula CEC pada 2013.

Surat yang ditujukan kepada Ketua Pengarah ROS, Dato’ Mohammad Razin bin Abdullah diserahkan oleh Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP (2008-2012), Teresa Kok bersama Setiausaha Organisasi Kebangsaan terkini, Anthony Loke dan pimpinan DAP lain sekitar jam 10.15 pagi.

Rombongan DAP yang berada di kaunter ROS Aras 2 menunggu kira-kira 10 minit sebelum diminta turun bagi menyerahkan surat berkenaan kepada Penolong Pengarah Bahagian Pematuhan, Mohamad Nawawi Bin Mat.

Surat tersebut menjawab dakwaan ROS sebelum ini yang dipercayai bertindak berdasarkan laporan yang telah disahkan Mahkamah sebagai palsu sebagaimana ditimbulkan oleh watak rekaan, Father Augustus Chen di dalam “Laporan Equiti: Penipuan Pemilihan CEC”.

Dalam kes tersebut, Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang menang dalam kes saman fitnah terhadap penerbit Utusan Malaysia ekoran laporan ‘Father Agustus Chen’ dan dianugerahkan gantirugi sebanyak RM25,000 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2014.

Berdasarkan rekod DAP pada 15 Disember 2012, hanya terdapat 751 cawangan yang berhak menghantar wakil ke Kongres Kebangsaan DAP bagi pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) dan notis telah dihantar kepada cawangan berkenaan untuk hadir ke pemilihan.

“Sepertimana yang diperuntukan di dalam Perlembagaan parti, notis juga dikeluarkan kepada cawangan-cawangan lain dalam parti menghantar ahli biasa untuk menjadi pemerhati yang tidak berhak mengundi,” kata Teresa membacakan surat kepada ROS itu dalam sidang media pagi tadi.

Pada 29 September 2013, sebanyak 985 cawangan telah diberikan notis termasuk 751 cawangan yang layak mengundi manakala 234 cawangan diberikan notis untuk hadir sebagai pemerhati.

Pada 7 Julai lalu, Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah mengarahkan DAP mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang baru dengan dakwaan kononnya pelantikan CEC pada 29 September 2013 adalan tidak sah.

Apa yang menimbulkan persoalan, selain menggunapakai laporan palsu penulis rekaan Father Agustus Chen, arahan itu dibuat secara tiba-tiba setelah empat tahun berlalu, setelah dibangkitkan semula oleh Setiausaha Akhbar Perdana Menteri. 

1 comment:

  1. Sangat memalukan dan terbukti
    ROS diperguna Zahid
    Untuk politik perkauman jijik Umno!
    Etika out professional out
    4 tahun berlalu baru ambil tindakan?
    Lebih memalukan ROS guna dakwaan
    palsu rekaan Utusan
    Yang kalah disaman?
    Najib bertaubatlah daripada dosa
    Sebelum Tuhan tunjukkan
    Macam PAS Khaddam kau dah kena!

    ReplyDelete