Friday, July 14, 2017

Mulia dan kasihnya Ibu: ‘Mak maafkan kamu...’

‘Mak maafkan kamu...’
NOR KHALILAH GU STI HASSAN 14 JULAI 2017
Wanita berusia 53 tahun ini menunjukkan keadaan bagaimana beliau dicekik sebelum ditikam ketika duduk di kerusi meja makan
Dua video di atas dari You Tube

JENGKA - “Makcik maafkan dia,” itu luahan warga emas yang menjadi mangsa tikam anak kandungnya di Felda Jengka 10, di sini, semalam.

Benarlah kasih ibu hingga ke syurga. Meski pun menerima lapan tikaman daripada darah daging sendiri, namun tak terdetik sekelumit pun amarah terhadap anak yang pernah dikandungkannya selama sembilan bulan itu.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.45 petang di Felda Jengka 10, di sini, kelmarin, warga emas berusia 64 tahun itu dicekik dan ditikam di bahagian belakang badan, telinga dan paha sehingga terpaksa bergelut dan menyelamatkan diri dalam keadaan berlumuran darah.

Menurut warga emas itu, ketika kejadian, dia sedang duduk di kerusi di dapur rumah.

“Anak makcik sebelum tu dia pergi sungai ambil air. Katanya nak basuh tikar getah dalam rumah. Tapi makcik kata tak payahlah sebab hari pun dah nak malam.

“Lepas tu makcik tengok dia terus pergi bilik air dan mandi. Bila dia keluar bilik air, masa tu dia tiba-tiba serang makcik.

“Masa kena tikam tu tak rasa sakit dah. Makcik cuma kata Ya ALLAH kenapa ni? Sambil bergelut nak selamatkan diri. Anak saudara lari keluar minta tolong,” katanya kepada pemberita, semalam.

Bagaimanapun warga emas itu diselamatkan jiran sebelum dibawa ke Hospital Jengka untuk mendapatkan rawatan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Anak tergamak cekik, tikam ibu]

“Jiran depan rumah datang tolak anak makcik. Lepas tu makcik lari keluar dengan badan penuh darah.
   
Keadaan belakang badan mangsa yang cedera akibat ditikam.
“Sampai hospital lepas doktor dah gunting baju...baru makcik tahu banyak kena tikam. Lepas doktor benarkan balik makcik ada tengok dia di lokap. Dia minta maaf. Masa tu mungkin dia pun belum sedar lagi. Makcik cakap, 'mak dah maafkan kamu'.

“Yalah, ibu mana yang tak sayangkan anak. Semua kesalahan anak makcik maafkan. Semoga dia dapat pengajaran,” katanya kepada Sinar Harian.

Mangsa yang kini trauma dengan kejadian itu turut memaklumkan, anaknya itu sebelum ini seorang yang rajin dan tidak pernah berkasar dengannya.

“Dia tinggal dengan makcik selepas bercerai pada usia muda.

“Sebelum ni dia tak pernah berkasar dengan makcik. Dia minta duit makcik bagi saja. Tapi baru-baru ni dia ada kerja tolong buat rumah, dia tak adalah minta duit.

“Malah dua hari lepas...dia tebas rumput, menyapu keliling rumah dan bakar sampah. Dia rajin kemas rumah. Memang tak sangka dia akan buat macam ni,” katanya.

Harap abang terima hukuman setimpal

Sementara itu, adik suspek, 27, berharap abangnya menerima hukuman setimpal di atas perbuatannya yang menganiaya ibu sendiri.

“Biarlah kali ini dia dapat hukuman. Sebelum ni bukan tak pernah kena hukum tapi kali ini perbuatannya memang melampaui batas. Saya sedih sebab masa kejadian saya tiada di rumah untuk selamatkan mak.

“Saya ucap terima kasih kepada jiran sebab tolong mak semalam (kelmarin). Kalau tak, mungkin mak dah tak ada.

“Saya juga minta masyarakat hentikan sebar video atau gambar-gambar yang berkaitan tanpa sebarang berita yang sah daripada kami sekeluarga.

“Perkara ni betul-betul buat kami malu dan tertekan kerana ia melibatkan ahli keluarga sendiri. Bayangkan kalau anda di tempat kami. Sedih, marah, semuanya ada,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya semalam.

1 comment:

  1. Sikap rajin melakukan kerja rumah itu pun satu hal yang memikat hati jbunya selain dari naluri kasih sayang seorang ibu. Jika benar dia melakukan kekerasan terhadap ibunya dan sekali itu saja seperti diceritakan, sepatutnya dia diberi rawatan supaya pulih sepenuhnya dari penagihan dadahnya itu.

    ReplyDelete