Showing posts with label jenayah. Show all posts
Showing posts with label jenayah. Show all posts

Monday, April 2, 2018

Adakah semua perdana menteri termasuk Mahathir adalah penyamun ?

Dr M: Adakah semua perdana menteri penyamun?
mk  |  Dikemaskini 2 Apr 2018, 12:18 tengah malam
Sesetengah pihak yang sinis terhadap politik sering mengumpamakan pilihan antara BN dan Pakatan Harapan (HARAPAN) seperti memilih antara Pepsi dan Coke, yang bererti kedua-duanya tidak banyak beza.

Mengulas kritikan sebegitu, Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa pengkritiknya mengkaji dan tidak hanya terus menyamakan semua perdana menteri sebagai "penyamun".

"Sesuatu (hal) itu tidak statik. Dia berubah mengikut masa. Kadang-kadang dia berubah daripada yang baik kepada yang buruk. Kadang-kadang daripada yang buruk kepada yang baik. Hanya kerana lihat buruk sekarang, jangan kita fikir dari zaman dahulu lagi buruk macam ini.

"Kalau perdana menteri semuanya penyamun, nak tukar buat apa? Tapi kajilah dulu. Apakah semua perdana menteri penyamun? Adakah Tunku Abdul Rahamn penyamun? Tun Razak penyamun, Tun Hussein penyamun? Adakah Mahathir pun penyamun juga?

"Ada orang kata kepada saya, pasal Datuk Seri Najib Razak selewengkan duit, dia kata perdana menteri memang buat macam itu, Tun pun buat macam itu lah.

"Saya kena terimalah persepsi dia. Jadi harus ada kepercayaan kita boleh tukar. Kita sebagai peungundi (mampu) tukar," katanya dalam forum di Putrajaya hari ini.

Forum yang membincangkan isu ekonomi itu dianjurkan oleh kumpulan Aksi Muda dan menyasarkan golongan muda.

Untuk rekod, Najib menafikan sebagarang penyelewengan dan salah laku berhubung dana 1MDB.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali juga membersihkan nama Najib dari salah laku.

Thursday, March 29, 2018

Kena juga akhirnya!

Datin dera amah dihukum penjara lapan tahun
Sinar Harian |  Diterbitkan pada Mac 29, 2018 13:15 MYT
Rozita juga terpaksa meringkuk di penjara bermula hari ini, selepas mahkamah menolak penangguhan perlaksanaan hukuman. - Gambar fail/BERNAMA

SHAH ALAM: Perintah berkelakuan baik terhadap suri rumah yang menyebabkan kecederaan pembantu rumahnya ditukar oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam kepada lapan tahun penjara, hari ini.

Keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Seri Tun Abd Majid Tun Hamzah terhadap Datin Rozita Mohamad Ali selepas membenarkan semakan kehakiman yang dibuat pihak pendakwaan.

Rozita juga terpaksa meringkuk di penjara bermula hari ini, selepas mahkamah menolak penangguhan perlaksanaan hukuman.

Pada 15 Mac lalu, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya memerintahkan Rozita menjalani bon berkelakuan baik selama lima tahun, selain membayar jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.

BACA: Datin dera amah gagal hadir ke mahkamah

Pada prosiding perbicaraan 18 Mac lalu, Rozita mengaku menyebabkan kecederaan parah terhadap Suyanti, 19, dengan menggunakan sebilah pisau, batang mop lantai, payung, batang besi, alat mainan kucing dan penyangkut baju, yang digunakan sebagai senjata menyerang mangsa.

Rozita melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan PJU 7/30, Mutiara Damansara, antara jam 7 pagi dan 12 tengah hari pada 21 Jun 2016.

Pada 21 Disember 2016, Suyanti ditemui terbaring dalam keadaan parah di tepi longkang oleh pengawal keselamatan.

Sebelum ini, satu petisyen telah ditandatangani lebih daripada 41,000 individu selepas sehari dilancarkan di laman web Change.org.  - sumber

Monday, March 26, 2018

Polis tawar diri sebagai tebusan terbunuh: Teringatkan Ghazali Shafie dan Tentera Merah Jepun

Polis tawar diri sebagai tebusan meninggal dunia
25 MAC 2018
Insiden serangan di bandar Trebes itu turut menyebabkan 16 orang cedera. Gambar kecil: Beltrame

TREBES - PERANCIS. Seorang anggota polis Perancis yang dianggap sebagai hero kerana menawarkan dirinya sebagai tebusan untuk menamatkan serangan ganas di sebuah pasar raya meninggal dunia atas kecederaan yang dialaminya, semalam sekali gus menjadi mangsa keempat yang terkorban dalam insiden tersebut.

Leftenan Kolonel, Arnaud Beltrame, 45, adalah antara anggota keselamatan yang bergegas ke lokasi kejadian di bandar Trebes, selatan Paris selepas penyerang yang menyatakan taat setia kepada Daesh menyerbu dan menahan beberapa tebusan di pasar raya Super U, kelmarin.

Menteri Dalam Negeri, Gerard Collomb berkata, Beltrame dengan rela hati menjadi pengganti wanita yang dijadikan tebusan oleh penyerang.

"Dia telah ditembak dan ditikam sebelum polis antikeganasan menyerbu masuk dan menembak mati suspek tersebut. Beltrame wajar diangkat sebagai hero dan berhak diberi penghormatan," ujar Presiden Emmanuel Macron.

Sementara itu, polis mengenal pasti suspek kelahiran Maghribi itu sebagai Redouane Lakdim, 25,  dari bandar Carcassonne yang diletakkan di bawah pengawasan polis pada 2016 hingga 2017 kerana dikaitkan dengan gerakan radikal. - Agensi

Saturday, March 24, 2018

Ni dah melampau dah ni, dah masuk episod baru geganasan?

6 ditahan rancang serang rumah ibadat, culik dan bunuh polis
TMI · Diterbitkan pada 24 Mar 2018 7:35PM
Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata kesemua lelaki berkenaan ditahan oleh Bahagian Menentang Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman dalam operasi yang dijalankan pada 27 Februari hingga 15 Mac lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mac, 2018

ENAM lelaki warga tempatan antara tujuh individu yang ditahan dipercayai terlibat dalam rancangan melancarkan serangan rumah ibadat bukan Islam dan menculik serta membunuh anggota polis. 

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata kesemua lelaki berkenaan ditahan oleh Bahagian Menentang Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman dalam operasi yang dijalankan pada 27 Februari hingga 15 Mac lepas. 

Menurutnya, dua lelaki yang berusia 49 tahun dan seorang lagi berusia 30 tahun ditahan di Johor pada 27 Februari lepas. Kesemua mereka merancang untuk melarikan diri ke sebuah negara jiran dan mendapat perlindungan daripada kumpulan pengganas negara tersebut selepas melancarkan serangan.

Katanya suspek pertama bekerja sebagai juruteknik syarikat swasta dan merupakan perancang utama serangan ke atas rumah-rumah ibadat bukan Islam di Johor Bahru, Johor selain aktif merekrut anggota-anggota baharu kumpulan pengganas dalam kalangan rakyat tempatan.

"Suspek kedua, bekerja sebagai pengawal keselamatan yang berperanan sebagai penasihat bagi sel berkenaan. Suspek bertindak memastikan anggota-anggota sel ini menjaga kerahsiaan semua aktiviti mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suspek turut mengeluarkan arahan bunuh kepada mana-mana anggota sel yang membocorkan rahsia mereka, katanya.

Manakala, suspek ketiga yang berusia 30 tahun bekerja sebagai pengawal keselamatan yang berperanan menguruskan pembelian senjata api dari sebuah negara jiran selain telah melakukan peninjauan ke atas rumah-rumah ibadat bukan Islam di sekitar Johor Bahru, Johor untuk dijadikan sasaran.

Susulan itu, operasi yang dijalankan pada 28 Februari hingga 1 Mac membawa kepada tangkapan tiga lagi lelaki daripada anggota sel yang sama di Johor. 

Suspek keempat yang berusia 25 tahun bekerja sebagai pelayan cafe dan telah menerima arahan daripada suspek pertama dan ketiga untuk menculik dan membunuh anggota polis.

Manakala dua lagi suspek bekerja sebagai tukang cuci di Singapura turut ditahan pada 1 Mac lepas.  

"Suspek berusia 23 tahun bertindak sebagai orang perantaraan dalam urusan jual beli senjata api. Manakala, seorang lagi suspek berusia 22 tahun ditahan bagi membantu siasatan polis," katanya.

Sementara itu, Fuzi berkata seorang lelaki warga Filipina dipercayai pakar peranti peledak yang diperbaiki (IED) berusia 31 tahun ditahan di Sabah. 

Menurutnya, suspek itu juga turut disenaraikan sebagai orang dilkehendaki oleh pihak berkuasa Filipina kerana terlibat dalam kes penculikan untuk tebusan (KFR) dan beberapa siri percubaan membunuh selain merancang melancarkan serangan di Sabah dan menjadikan negeri itu sebagai tempat persembunyian bagi anggota pengganas dari Filipina.

Katanya suspek juga merupakan anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf dan anggota kanan kepada Furuji Indama (Ketua kumpulan pengganas Abu Sayyaf Group di Basilan, Selatan Filipina). 

Beliau berkata lelaki itu turut mempunyai hubungan dengan rakyat Malaysia yang telah menyertai kumpulan Daesh di Selatan Filipina, Dr Mahmud Ahmad.

"Kesemua suspek yang ditangkap disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA - Kesalahan Berkaitan dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747)," katanya. – Bernama, 24 Mac, 2018 

Lagi Islam tercemar: Tiga maut dalam drama tebusan di pasaraya di Perancis

Tiga maut dalam drama tebusan di sebuah pasaraya di Perancis
Agensi |  Diterbitkan pada Mac 24, 2018 05:03 MYT
Dianggarkan sekitar 20 orang dijadikan tebusan dan dikurung di sebuah bilik sejuk beku. - Foto REUTERS/Regis Duvignau

TREBES: Tiga maut dalam sebuah drama tebusan di sebuah pasaraya di Trebes, ke barat daya Perancis pada Jumaat selepas  seorang lelaki bersenjata bertindak merampas sebuah kenderaan sebelum menahan pengunjung.

Dia kemudiannya ditembak mati oleh pasukan keselamatan.

Dua lagi yang terbunuh adalah tebusan.

Turut cedera 16 yang lain, termasuk dua yang dilaporkan cedera parah dalam tindakan yang disifatkan presiden Perancis, Emmanuel Macron sebagai satu tindakan keganasan.

Kumpulan Daish dalam satu kenyataan mengaku bertanggungjawab terhadap serangan namun dakwaan sedang disiasat pihak berkuasa.

Insiden tebusan semalam menjadikan jumlah kematian akibat serangan yang dikaitkan dengan tindakan keganasan di Perancis meningkat kepada 240 orang sejak 2015.

Pihak berkuasa Perancis mengenal-pasti penyerang sebagai Redouane Lakdim, 25 tahun dari bandar Carcassonne.

Dianggarkan sekitar 20 orang dijadikan tebusan dan dikurung di sebuah bilik sejuk beku.

Lakdim yang dilahirkan di Maghribi mempunyai rekod jenayah kecil dan dipantau sekitar 2016 hingga 2017 kerana pembabitannya dengan kumpulan radikal, Salafist.


Wednesday, March 21, 2018

Hilang pulak dah......mana nak menyorok?

Wanita dera pembantu rumah gagal hadir di mahkamah hari ini
Melati A. Jalil · Diterbitkan pada 21 Mar 2018 11:00AM
Pengarah Pendakwa Raya Awam Muhammad Iskandar Ahmad (tengah) bercakap kepada media di luar Mahkamah Tinggi di Shah Alam, Selangor, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 21 Mac, 2018

ROZITA Mohd Ali dan penjaminnya hari ini gagal hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk semakan hukumannya kerana menyebabkan kecederaan parah kepada pembantu rumahnya seorang warga Indonesia.

Hakim Mahkamah Tinggi Tun Abd Majid Tun Hamzah menetapkan 29 Mac untuk mendengar permohonan pendakwa untuk semakan hukuman.

Rozita, seorang "datin", mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen minggu lalu tetapi terselamat daripada hukuman penjara walaupun mendera pembantu rumahnya.

Mahkamah Sesyen mengarahkan Rozita dikenakan bon berlaku baik selama lima tahun dengan jaminan sebanyak RM20,000 kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap pembantu rumahnya.

Rayuan untuk semakan penalti itu difailkan oleh Pejabat Peguam Negara ketika bantahan awam besar-besaran dengan ribuan orang menandatangani petisyen dalam talian menuntut hukuman lebih berat terhadap Rozita.

Pengarah Pendakwa Raya Selangor Muhamad Iskandar Ahmad berkata sehingga malam tadi, banyak cubaan dibuat untuk mengesan Rozita dan penjaminnya, yang merupakan pegawai Angkatan Udara.

"Kami cuba mencarinya di dua alamat, satu di Damansara dan di rumah keluarganya di Melaka.

"Kami berjaya menampal notis segera di rumah penjamin, meminta beliau datang ke mahkamah hari ini," katanya kepada pemberita di mahkamah.

Iskandar berkata, notis ditampal di rumah penjamin di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Subang, yang didapati kosong.

Rumah Rozita juga didapati kosong dan peguamnya menarik diri daripada mewakilinya, kata Iskandar.

Iskandar berkata pihak pendakwa raya hanya dimaklumkan mengenai penarikan itu semalam.

"Saya percaya mereka boleh ditemui, mereka masih berada di Kuala Lumpur," katanya.

Terdahulu, Iskandar memberitahu mahkamah mereka masih belum menerima syarat bon dari Mahkamah Sesyen.

Lebih 65,000 orang menandatangani petisyen dalam talian menuntut hukuman lebih berat terhadap Rozita.

Jumlah itu menjangkau sasaran asal sebanyak 15,000 tandatangan. – 21 Mac, 2018.

Aibkan 'Pok Ya': Cari pasal sungguh, budak-budak perempuan nakal ni direman tiga hari

Remaja Dipercayai Aibkan 'Pok Ya' Direman Tiga Hari
mStar - Diterbitkan: Selasa, 20 Mac 2018 3:07 PM
KUALA TERENGGANU: Dua remaja perempuan berumur 17 tahun yang terlibat dalam kes aniaya dan mengaibkan orang kurang upaya (OKU) dikenali sebagai 'Pok Ya' yang tular di Facebook pada Isnin direman tiga hari bermula Selasa.

Permohonan reman dilakukan pihak polis di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya, Mahkamah Sesyen/Majistret Sesyen Kuala Terengganu, Rosila Nik.Kes akan disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana perbuatan mengaibkan dan Seksyen 233 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Dalam video yang tular pada Isnin, sekumpulan remaja dikatakan mengkhianati Pok Ya Cong Codei  dengan mengikat kedua-dua tangannya sambil membuka seluar lelaki itu dan mencucuh punggungnya dengan api.

ARTIKEL BERKAITAN: Pok Ya Duda Anak 4 Sebenarnya Waras Semasa Dilondeh Seluar

Rakaman video selama tujuh saat itu turut memaparkan perbuatan yang mengaibkan lelaki lemah mental itu yang dipercayai dilakukan mereka pada pukul 4 pagi di Pantai Batu Buruk, di sini.

Video berkenaan kemudiannya mendapat kecaman daripada netizen dan tidak lama kemudian mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Daerah Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Idris Abd Rafar mengesahkan laporan kejadian itu dan susulan itu pihak polis menangkap dua remaja perempuan terbabit berasal dari Hulu Terengganu yang dipercayai antara yang terlibat dalam perbuatan itu.

Polis turut merampas telefon bimbit milik mereka bagi menyiasat siapa yang merakam video itu dan motif perbuatan khianat itu dilakukan terhadap Pok Ya

Tuesday, March 20, 2018

Calling for equal justice: Wang tak boleh beli undang-undang

‘Kita perlu ingatkan yang kaya, wang tak boleh beli undang-undang’
TMI · Diterbitkan pada 20 Mar 2018 7:10AM
Petisyen dalam talian mendesak kes itu dinilai semula dipenuhi dengan ulasan rakyat yang marah dengan keputusan kes yang dianggap tidak adil itu. – Gambar change.org, 20 Mac, 2018

SETAKAT jam 7 pagi tadi, lebih 56,000 orang sudah menandatangani petisyen dalam talian mendesak hukuman lebih keras dikenakan ke atas seorang wanita bergelar "Datin" yang mencederakan pembantu rumahnya warga Indonesia.

Antara penandatangan petisyen itu, Siti Norhidayah menulis:

“Saya tandatangani kerana kita perlu ingatkan mereka yang kaya, wang tak boleh beli undang-undang.”

Petisyen itu yang dimulakan Sabtu lalu dengan sasaran 75,000 tandatangan, antara lain menyebut “jenayah dilakukan Rozita Mohd Ali terhadap orang gajinya adalah hina, tidak berperikemanusiaan dan jelas sekali layak dikenakan hukuman lebih berat berbanding hanya bon berkelakuan baik".

Petisyen itu juga menegaskan hukuman ringan ke atas jenayah berat itu memberikan mesej salah tentang keadilan, institusi kehakiman serta menidakkan hak asasi di negara ini.

Rozita, 44, yang didakwa kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap Suyanti Sutrinso,19, menimbulkan kemarahan seluruh negara apabila hanya dikenakan hukuman bon berkelakuan baik selama lima tahun dan ikat jamin RM20,000. Peguamnya berhujah yang Rozita “telah insaf atas perbuatannya serta mengalami tekanan yang melampau”.

Tinjauan The Malaysian Insight mendapati petisyen dalam talian yang ditujukan kepada Perdana Menteri Najib Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman dipenuhi dengan komentar kemarahan rakyat yang mahukan kes itu dinilai semula.

Seorang penandatangan petisyen, Lia Dewiyanti menulis: “Tegakkan keadilan untuk tenaga kerja wanita Indonesia.”

Jed Ungku pula mengatakan sebab beliau menandatangani petisyen itu adalah “kerana keadilan dan perlunya kita beri suara kepada mereka yang tidak berdaya.”

Ramai juga yang sependapat bahawa hukuman diterima Rozita tidak berpadanan dengan jenayah dilakukannya.

“Hukuman tak setimpal dengan jenayah yang dilakukan,” tulis Normaslisha Ismail.

Dan Siva Kumar Krishan mahukan “keadilan untuk semua”.

Jabatan Peguam Negara sudah memfailkan semakan hukuman bon berkelakuan baik dan kes dijangka didengar semula esok. – 20 Mac, 2018.

Monday, March 19, 2018

Harapkan keadilan akan terlaksana

Sabtu, 17 March 2018 | 7:20pm
Pendakwa fail rayuan hukuman ringan terhadap Datin Rozita
Oleh Esther Landau; Fernando Fong dan Farah Marshitah Abdul Fatah
cnews@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Pejabat Peguam Negara sudah memfailkan rayuan terhadap bon berkelakuan baik lima tahun dengan jaminan RM20,000 dibenarkan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya kepada seorang Datin, yang mengaku bersalah menyebabkan kecederaan parah terhadap pembantu rumahnya.

Keputusan mahkamah itu bukan setakat mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan orang ramai yang menyifatkan ia terlalu ringan, malah pengamal undang-undang sendiri membantahnya kerana implikasi hukuman itu, memberi gambaran salah terhadap perundangan negara.
Pengguna laman sosial atau netizen menyuarakan kekesalan terhadap keputusan mahkamah terbabit, walaupun Timbalan Pendakwa Raya dalam kes itu memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman berat.

Pengguna Facebook, Mohamad Fadzil Mustafa, menyifatkan keputusan mahkamah itu memperlihatkan undang-undang di negara ini seolah-olah melindungi orang kaya, selain hanya mengukuhkan kedudukan negara dalam Indeks Tanggapan Rasuah (CPI) 2017.

Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, yang juga bekas peguam, menyertai bantahan itu, menggesa peruntukan bon kelakuan baik terhadap kesalahan serius seperti penderaan atau serangan dikaji semula.

"Mana-mana individu tidak boleh dibenar melakukan perbuatan itu terhadap orang lain, termasuk ke atas pembantu rumah. Keputusan mahkamah itu bukanlah lesen sesiapa mendera orang lain walaupun hanya pembantu rumah.

"Hakim perlu melihat kepada peruntukan bon berkelakuan baik di dalam kes serius seperti ini. Adakah ia sepadan dengan kesalahan serius," katanya kepada NSTP.

Mengulas bantahan orang ramai dan pelbagai pihak terhadap bon kelakuan baik itu, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, berkata beliau sudah mengarahkan rayuan difailkan terhadap keputusan mahkamah terbabit.

"Saya dimaklumkan notis rayuan sudah difailkan," katanya ketika dihubungi NSTP di sini, hari ini.

Ketika awal pendakwaan, tertuduh Datin Rozita Mohamad Ali, 44, berdepan tuduhan cuba membunuh pembantu rumahnya mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga maksimum 20 tahun jika cedera, dan seumur hidup jika menyebabkan kematian.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah dekat Jalan PJU 7/30, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, antara jam 7 pagi hingga 12 tengah hari pada 21 Jun 2016

Rozita didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Suyanti Sutrinso, 19, dengan menggunakan sebilah pisau, batang mop lantai, payung, batang besi, alat mainan kucing serta penyangkut baju, yang digunakan sebagai senjata untuk menyerang mangsa.

Bagaimanapun, selepas 10 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula 9 Mei tahun lalu, tertuduh kemudian menukar pengakuan kepada bersalah atas tuduhan pindaan melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, ketika prosiding disambung pada Khamis lalu.

Berdasarkan Seksyen 326, jika sabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, V V Suloshani memohon hukuman penjara setimpal dengan alasan kes itu mendapat liputan meluas media antarabangsa selain video rakaman itu viral di media sosial, selain menjejaskan hubungan baik di antara Indonesia dan Malaysia.

Kes itu menarik perhatian ramai selepas video memaparkan mangsa ditemukan terbaring dalam keadaan parah di tepi longkang di kawasan perumahan di Mutiara Damansara oleh pengawal keselamatan, viral di media sosial.

Peguam bela tertuduh, Datuk Rosal Azimin Ahmad, memohon hukuman berbentuk bon berkelakuan baik atas alasan anak guamnya sudah insaf serta mengalami tekanan melampau sejak didakwa di mahkamah.

Susulan pengakuan bersalah tertuduh terhadap tuduhan pindaan itu, Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Mohammed Mokhzani Mokhtar, membenarkan tertuduh dikenakan bon berkelakuan selama lima tahun dengan jaminan RM20,000.

Dalam penghakimannya, Mohammed Mokhzani berkata, bon berkelakuan baik dikenakan terhadap tertuduh bukan bermakna wanita itu dibebaskan, sebaliknya masih terikat dengan mahkamah selama tempoh ditetapkan.

"Sekiranya tertuduh terbabit dengan aktiviti jenayah, dia boleh dituduh semula dalam kes sama dan bakal dikenakan hukuman penjara," katanya.

Sunday, March 18, 2018

Justo akhirnya buka mulut

Justo akhirnya buka mulut, fail aduan terhadap Petrosaudi
mk  |  Dikemaskini 18 Mac 2018, 2:57 petang
Bekas kakitangan Petrosaudi International Xavier Justo akhirnya membuka mulut dan menuduh bekas majikannya itu memanipulasi media untuk menjejaskan reputasinya, seperti dilapor akhbar Switzerland Le Temps.

Dalam sidang media di Zurich semalam, Justo mengumumkan yang beliau telah memfailkan aduan kepada Pejabat Peguam Negara Switzerland terhadap dua eksekutif Petrosaudi, Tarek Obaid dan Patrick Mahony, atas dakwaan antaranya membuat ancaman, mengugut dan memeras.

Justo juga dilaporkan mendedahkan emel yang didakwa menunjukkan Petrosaudi berhubungan dengan syarikat "pengurusan reputasi" berpangkalan di Geneva, KBSD, untuk menyebarkan naratif bahawa beliau bukanlah seorang pemberi maklumat, sebaliknya pemeras yang bermotifkan keuntungan.

Dalam laporan itu, Le Temps mendakwa KBSD dikenali mengamalkan apa yang digelar sebagai "perhubungan awam (PR) gelap", atau penyebaran maklumat negatif.

Justo mendakwa naratif yang disebarkan KBSD juga bertujuan mencemarkan kewibawaan media pembangkang di Malaysia, terutama Sarawak Report.

Justo sebelum ini memberikan Sarawak Report ribuan dokumen daripada pelayan (server) Petrosaudi yang dikatakan mendedahkan penyelewengan dalam 1MDB.

Aduannya juga menegaskan dakwaan bahawa Petrosaudi mendesaknya untuk mengaku bersalah ketika menjalani hukuman penjara di Thailand.

Beliau mendakwa ia dibuat dengan cara ugutan, melalui penyiasat persendirian berbangsa Inggeris yang menyamar sebagai pegawai polis Scotland Yard untuk mendapatkan pengakuan daripadanya.

Ketika sidang media itu, Justo juga mendakwa Obaid menerima dana daripada 1MDB berjumlah RM1.4 bilion untuk Petrosaudi membeli pegangan dalam Sarawak bank UBG Bhd milik Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud - didakwa sebagai pertukaran untuk sokongan Taib kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

1MDB menafikan dakwaan itu.

Pada 17 Ogos 2015, Justo mengaku bersalah di mahkamah Thailand atas dakwaan mengugut Petrosaudi International, yang berurusan dengan 1MDB.

Beliau didakwa bawah Seksyen 338 Kanun Keseksaan Thailand dan dibebaskan setahun kemudian.

Ketika itu beliau mendakwa pemilik The Edge Media Group Tong Kooi Ong dan editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown menjanjikannya bayaran US$2 juta untuk dokumen berkenaan 1MDB dan Petrosaudi, tetapi tidak menerima bayaran itu.

Tong mengaku telah memperdaya Justo demi mendapatkan dokumen itu tetapi menafikan ada mengubah sebarang maklumat di dalamnya.

Petrosaudi International merupakan antara entiti utama dalam skandal 1MDB.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ mendakwa US$1 bilion yang dipindahkan 1MDB kepada syarikat itu antara 2000 hingga 2010 untuk sebuah projek usaha sama telah diselewengkan melalui Good Star Ltd - syarikat yang didakwa milik usahawan Low Taek Jho, atau Jho Low.

Justo muncul dengan sidang medianya di tengah-tengah tekanan antarabangsa yang meningkat terhadap syarikat pelaburan milik negara itu.

Sebelum ini, kapal layar mewah Equanimity, yang didakwa DOJ diperolehi menggunakan dana yang diselewengkan daripada 1MDB, telah dirampas di Indonesia.

Selain itu, kerajaan Switzerland juga merampas kira-kira RM470 juta yang didakwa wang berkaitan 1MDB yang dicuci.

Puluhan media antarabangsa pula menyiarkan laporan tentang dakwaan penglibatan Najib dalam skandal 1MDB.

Najib telah menafikan sebarang salah laku dalam skandal itu dan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali juga membersihkannya daripada sebarang kesalahan.

1MDB juga menafikan sebarang dananya telah diselewengkan.

Thursday, March 15, 2018

Dah kedua-duanya ada tokak, baik ko diam jerlah Rahim!

* Yang kau balun Nuar tu sape yang suruh? 
Dah minta maaf ke belum?
Bezanya Dr. Mahathir sedang merawat tokak lama......moga-moga akan sembuh

Kenapa Dr Mahathir salahkan polis kes pecat Anwar, soal bekas KPN
TMI · Diterbitkan pada 15 Mar 2018 12:35PM
Abdul Rahim Noor berkata beliau tidak mengetahui motif Dr Mahathir Mohamad dalam menimbulkan dakwaan berkenaan kerana polis tiada kuasa untuk menyingkirkan mana-mana menteri, lapor Utusan Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mac, 2018

BEKAS ketua polis negara Abdul Rahim Noor berkata beliau hairan dengan dakwaan Dr Mahathir Mohamad bahawa pasukan itu mendorong agar Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan Kabinet dalam peristiwa yang berlaku 20 tahun lalu.

Rahim berkata beliau tidak mengetahui motif bekas perdana menteri itu dalam menimbulkan dakwaan berkenaan kerana polis tiada kuasa untuk menyingkirkan mana-mana menteri, lapor Utusan Malaysia.

“Saya tidak tahu kenapa dia berkata begitu dan saya tidak dapat selami pemikirannya. Polis tiada kuasa dari segi undang-undang untuk melakukan pemecatan kepada sesiapa pun

”Pelantikan dan pemecatan seorang timbalan perdana menteri bukan seperti memetik buah kelapa, semuanya dicadangkan perdana menteri,” katanya seperti dipetik dalam laporan Utusan.

Jelasnya, pelantikan dan pelucutan jawatan tersebut hanya boleh dilakukan melalui cadangan perdana menteri dengan persetujuan Yang di-Pertuan Agong.

Anwar dipecat dari jawatan Kabinet pada 2 September, 1999 dan seterusnya ditahan dan dipenjarakan pada 20 September.

Ketika dibawa ke mahkamah untuk didakwa, mata Anwar didapati lebam dan rentetan peristiwa selanjutnya menunjukkan beliau dipukul oleh Rahim.

Susulan itu, Rahim dijatuhkan hukuman penjara dua bulan dan didenda RM2,000 kerana memukul Anwar apabila Mahkamah Rayuan mengekal hukuman pada April 2001.

Abdul Rahim menjawab satu kenyataan Dr Mahathir yang mengakui membuat kesilapan dengan memecat Anwar dari jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan.

Dr Mahathir dalam satu wawancara bersama akhbar Sin Chew Daily berkata, beliau tiada pilihan selain memecat Anwar apabila polis mengemukakan segala bukti kepadanya.

Beliau turut menyalahkan polis kerana tidak membenarkan Anwar dibicarakan dan tidak mendedahkan kepadanya mengenai kekerasan polis kepada menteri tersebut semasa dalam tahanan.

Katanya, beliau “tidak sepatutnya mengikut undang-undang sepenuhnya” dalam membuat keputusan itu.

“Dari sudut pandang politik, saya tidak harus melakukannya (memecat Anwar). Ketika saya menjadi perdana menteri, saya berjanji pada diri sendiri untuk tidak melakukan apa-apa yang akan buat orang benci saya,” katanya seperti dipetik akhbar tersebut. – 15 Mac, 2018.

Tetegasan negara berdaulat dan bermaruah menangani isu antarabangsa

Serangan agen saraf: Britain usir diplomat Rusia
Reuters |  Diterbitkan pada Mac 15, 2018 04:51 MYT
Perdana Menteri Britain, Theresa May umum beberapa tindakan bakal diambil ke atas Rusia susulan kes serangan ke atas bekas perisik, Sergei Skripal dan anaknya - Foto Reuters

LONDON: Britain umum bakal usir 23 orang diplomat Rusia, pengusiran terbesar sejak perang dingin, susulan serangan agen saraf ke atas bekas perisik Rusia di Salisbury, England minggu lalu.

Perdana Menteri Theresa May mempertahankan dakwaan sebelum ini serangan berkenaan didalangi Moscow.

Selain pengusiran diplomat besar-besaran itu, May turut mengumumkan cadangan membekukan aset negara Rusia yang dianggap mengancam keselamatan, serta undang-undang baru untuk mengatasi aktiviti risikan negara asing.

Ketika membentangkan cadangan itu di parlimen, May turut memaklumkan negaranya kini mempertimbangkan penyertaan dalam Piala Dunia yang akan diadakan di Rusia.

Keputusan ini dibuat Britain selepas Kremlin tidak mengendahkan permintaan untuk memberi penjelasan bagaimana agen safar yang dihasilkan negara itu boleh digunakan dalam serangan itu.

Rusia diberi sehingga lewat malam Selasa untuk menjelaskan bagaimana agen saraf yang dikenali sebagai Novichok yang lazimnya dihasilkan di negara itu ditemui di Salisbury.

"Reaksi mereka (Rusia) jelas menunjukkan penghinaan terhadap insiden yang berlaku,

"Mereka menunjukkan sikap sarkastik terhadap penggunaan agen saraf di Eropah," kata May dalam kenyataannya di parlimen.

Rusia sehingga kini menafikan sebarang penglibatan dalam serangan ke atas bekas perisiknya Sergei Skripal dan anak perempuannya Yulia.

Kedua-dua yang ditemui tidak sedarkan diri di sebuah pusat membeli-belah Salisbury 4 Mac lalu, kini masih kritikal di hospital.
Sergei Skripal dan anaknya Yulia ditemui tidak sedarkan diri di atas bangku di sebuah pusat membeli belah di Salisbury, 4 Mac lalu

Kementerian Luar Rusia dalam pada itu menegaskan akan membuat bantahan terhadap keputusan Britain ini.

Ia menyifatkan tindakan yang diambil berdasarkan pemikiran singkat ini mengancam hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Tindakan Britain bagaimanapun sehingga kini menerima sokongan Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Di Jerman, Canselornya Angela Merkel menegaskan ia menyokong penuh hasil siasatan Britain berhubung serangan berkenaan, dan mempertimbangkan tindakan sama ke atas Rusia.

Wednesday, March 14, 2018

Nak salahkan Polis juga?

Polis tahan tiga remaja selepas video wanita viral
Muzliza Mustafa · Diterbitkan pada 14 Mar 2018 12:18AM
Video yang dimuat naik ahli perniagaan terbabit menjadi viral di media sosial dan ditonton lebih 37,000 kali serta menerima 300 komen.– Gambar Facebook, 13 Mac, 2018

POLIS Kuala Lumpur menahan tiga remaja 24 jam selepas seorang usahawan memuat naik satu video di Facebook mengadu beliau diganggu di jalan raya dan layanan yang diterima daripada pihak polis apabila beliau mahu mendapatkan bantuan mereka. 

Ketua polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim berkata ketiga-tiga remaja terbabit disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan ketakutan kepada pengadu.

"Kami menahan mereka hari ini (Selasa) pada jam 8 malam. Tiga daripada mereka adalah lepasan SPM. Salah seorang daripada mereka memandu kereta BMW milik ibu bapanya ketika insiden itu berlaku."

Katanya, polis turut menjalankan siasatan terhadap aduan ahli perniagaan itu yang mendakwa tidak dilayan oleh polis yang menghampirinya di pos berhampiran pintu masuk dan di meja pertanyaan ketika mahu membuat laporan. 

Dalam video yang menjadi viral sejak ia dimuat naik pada Isnin, Kogee Sinniah, 41 berkata, polis di pos berkenaan hanya "memeriksa" kakinya dan tidak membantunya yang sedang dalam kesusahan. 

Video berkenaan ditonton lebih 37,000 kali dan menerima lebih 300 komen.

Kogee sedang memandu bersama anak lelakinya yang berusia 13 tahun di Persiaran Alam Damai yang sedang dalam pembinaan apabila dia secara tidak sengaja memasuki laluan kereta BMW yang dinaiki tiga lelaki yang kemudiannya bertindak mengikutnya. 

Beliau yang panik membuat beberapa panggilan kecemasan 999 sebelum terus ke balai polis Alam Damai untuk mendapatkan bantuan.

Namun sebaik tiba di lampu isyarat beberapa meter daripada balai polis, kereta BMW terbabit didakwa memintas dan menghalang kenderaannya 

"Ketika ini saya tekan hon selama dua atau tiga minit untuk meminta bantuan, tetapi tiada siapa yang datang," katanya dalam video berkenaan. 

Kereta BMW itu kemudiannya beredar manakala Kogee ingin memasuki balai polis namun terhalang dengan kon di laluan masuk. 

"Anggota polis datang dari pos itu dan perkara pertama yang ditanya kepada saya adalah: "kamu ke yang tekan hon tadi".

"Jadi apa maknanya ini? Dia sebenarnya tahu seseorang dalam kesusahan tetapi tiada siapa yang datang untuk melihat apa yang berlaku. Pemandu kereta BMW itu mungkin ada senjata."

Mazlan berkata anggota polis di pintu masuk itu hanya menjalankan tugas dan ia adalah prosedur operasi standard untuk memeriksa sesiapa yang ingin memasuki balai polis terutamanya pada waktu malam kerana terdapat ancaman seperti pengganas. 

"Anggota polis itu turut bertanya kepada pemandu BMW itu yang berkata mereka marah kerana dia (Kogee) hampir melanggar mereka. Anggota polis berkenaan menasihatkan mereka agar tidak melakukan tindakan menyalahi undang-undang dan meminta mereka membuat laporan sekiranya mereka tidak berpuas hati. Pemandu itu dan rakannya kemudian beredar," kata Mazlan. 

Tambahan Mazlan anggota polis di meja pertanyaan turut keluar kepada Kogee dan bertanya sama ada dia mahu membuat laporan.

"Tetapi dia hanya duduk dalam kereta selama kira-kira 20 minit membuat panggilan telefon. Dia berada di hadapan pintu masuk balai polis. Dia selamat.

"Mungkin berlaku salah faham apabila anggota polis memintanya untuk bercakap baik-baik kerana dia marah dan ketakutan, dan anggota polis berkenaan tidak faham apa yang dia cakap.

"Saya mahu berlaku adil kepada pengadu dan juga anggota saya," kata Mazlan dan menambah Kogee membuat laporan di balai polis Cheras petang semalam. – 13 Mac, 2018. 

* Daripada apa yang ditulis dalam laporan di atas, pada aku Kogee ni mengada-ngada jer lebihnya!

Saturday, March 10, 2018

Begini bapanya, macam mana anak tak jadi 'hantu'?

Bapa penagih tetak polis untuk elak anak ditahan
Vivi Sumanti, Astro Awani |  Diterbitkan pada Mac 09, 2018 17:35 MYT
Suzaimi (gambar) berkata, polis kini masih memburu suspek yang berusia sekitar 50-an. - Astro AWANI

TANAH MERAH: Seorang anggota polis cedera akibat ditetak semasa menjalankan risikan dalam Ops Bersepadu di Kampung Bukit Capong di sini, malam tadi.

Ketua Polis Tanah Merah, DSP Suzaimi Mohammed berkata, dalam kejadian 7 malam itu, mangsa berusia 22 tahun yang bertugas di Balai Polis Gual Ipoh bersama rakan setugas dalam perjalanan menuju ke Kampung Peralla bagi membuat risikan.

"Setibanya di tepi Jalan Bukit Capong, anggota terbabit melihat lima lelaki Melayu yang disyaki sedang menjalankan urusan jual beli dadah.

''Mangsa dan rakan setugasnya berhenti untuk cuba menahan seorang pengedar dadah terbabit, " katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, ketika mangsa mahu menahan suspek, kepala mangsa tiba-tiba ditetak dengan sebilah parang dari arah belakang menyebabkan luka pada kepala, belakang badan dan jari telunjuk.

Mangsa percaya, penyerang merupakan ayah kepada suspek pengedar dadah berkenaan.

Akibat kesakitan, mangsa terpaksa melepaskan tangkapan terhadap suspek, yang juga pengedar dadah dan dia berjaya melarikan diri.

Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk rawatan.

Suzaimi berkata, polis kini masih memburu suspek yang berusia sekitar 50-an.

Kes disiasat di bawah Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja bagi menakut-nakutkan penjawat awam ketika menjalankan tugas.

Monday, March 5, 2018

Kalau dah mabuk ginilah jadinya!

17 individu ditahan bergaduh di restoran akibat makanan lambat sampai
mk  |  Dikemaskini 5 Mac 2018, 2:25 petang
Seramai 17 individu termasuk lapan wanita warga tempatan dan Vietnam ditahan awal pagi ini kerana disyaki terlibat dalam pergaduhan di sebuah restoran makanan laut di Stulang Laut, Johor Bahru, dua hari lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata kesemua suspek berusia lingkungan 20-an hingga 50-an itu ditahan di sekitar bandar raya itu pada 3 hingga 4 pagi tadi.

“Kita telah menggerakkan pasukan siasatan bagi mengesan suspek yang terlibat dalam pergaduhan tersebut dengan berpandukan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.

“Hasil siasatan, seramai sembilan lelaki dan lapan wanita, termasuk pelaku utama, berjaya ditahan hingga pagi tadi. Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru hari ini.

Beliau berkata pergaduhan itu dipercayai tercetus apabila terdapat sekumpulan individu yang sedang mabuk, berang setelah makanan dipesan lambat sampai.

Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan atas kesalahan bergaduh di tempat awam.

“Mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru petang ini untuk tindakan selanjutnya,” kata Mohd Khalil lagi.

Semalam, video berdurasi 4 minit 26 saat yang memaparkan insiden pergaduhan di sebuah restoran di Stulang Laut itu tular dalam laman Facebook, selain turut dikongsi orang awam menerusi aplikasi WhatsApp.

Sementara itu, beliau berkata seramai 5,572 anggota polis akan ditugaskan bagi menjaga keselamatan sepanjang proses pilihan raya umum (PRU) ke-14 di seluruh Johor.

Beliau berkata polis Johor sentiasa dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi PRU14 yang akan diadakan pada bila-bila masa ini.

Penugasan anggota itu disifatkan Mohd Khalil sebagai memadai, selain persiapan jentera bagi berdepan situasi tidak dijangka.

“Kesemua anggota tersebut akan diletakkan di pusat mengundi dan kawalan keselamatan di seluruh negeri ini.

“Kita juga yakin dan memberi jaminan bahawa sepanjang PRU ke-14 berlangsung keadaan akan terkawal dan lancar,” katanya.

Sunday, March 4, 2018

Potong kepala masih ada lagi di Sarawak?

Kepala manusia ditemui di Sarawak
TMI · Diterbitkan pada 4 Mar 2018 8:47AM

PENDUDUK Sri Aman semalam digemparkan dengan penemuan objek dikatakan kepala manusia di tebingan sungai Batang Lupar, Sri Aman yang terletak kira-kira 280 kilometer dari pusat bandar Kuching.

Kepala itu ditemui oleh seorang penduduk kampung yang kebetulan melalui kawasan tebingan tersebut pada kira-kira 4.30 petang.

Ketua Balai Polis Sri Aman, ASP Kerry Dunstan ketika dihubungi berkata setelah menerima laporan, sepasukan pegawai dan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

“Berdasarkan keadaan fizikal, kepala manusia itu merupakan perempuan berusia 20-an dan dipercayai mati kurang dari 24 jam.

“Kepala itu kemudian dihantar ke Hospital Sri Aman untuk bedah siasat,” katanya.

Kerry meminta penduduk yang kehilangan ahli keluarga perempuan berusia 20-an untuk tampil ke balai polis berdekatan untuk membuat laporan. – Bernama, 4 Mac, 2018. 

Thursday, March 1, 2018

Sempat lagi berbohong, kalau baca laporan dokter forensik ni......semua budak ni berjiwa setan!

* Aduii......bagaimanalah perasaan ibubapa budak-budak ni agaknya?
Ibubapa mangsa pula rasanya dah kering air mata

Tertuduh beritahu doktor kesan lecur Zulfarhan akibat letupan masa latihan 
TMI · Diterbitkan pada 28 Feb 2018 7:55PM
Sebahagian daripada tertuduh kes bunuh Zulfarhan Osman ketika dibawa ke mahkamah.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Februari, 2018

EMPAT daripada enam penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang dituduh membunuh dan bersubahat membunuh Pegawai Kadet Zulfarhan Osman Zulkarnain memberitahu seorang doktor bahawa kesan lecur dan terbakar yang dialami Zulfarhan Osman disebabkan letupan ketika latihan di kem tentera.

Pegawai Perubatan Klinik As-Salam di Bandar Baru Bangi, Selangor Dr Azfar Hussin, 34, memberitahu Mahkamah Tinggi, beliau dimaklumkan demikian ketika Zulfarhan Osman dibawa empat rakannya ke klinik berkenaan antara jam 12 tengah hari dan 1 tengah hari, 27 Mei 2017, lima hari sebelum Zulfarhan Osman meninggal dunia pada 1 Jun 2017.

Saksi ketujuh pihak pendakwaan itu berkata Zulfarhan Osman yang memakai baju kemeja batik lengan panjang berwarna merah coklat dan berkain pelikat yang kelihatan agak kotor dibawa oleh empat rakannya bagi mendapatkan rawatan kerana kecederaan terbakar dan mereka memaklumkan mereka adalah pelatih tentera di kem Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Bila melihat kes tersebut, saya kata kes ini perlukan rawatan di hospital kerana klinik As-salam klinik biasa sahaja namun pesakit meminta saya buat rawatan cucian (dressing) dan saya kata saya akan bawa ke Hospital Serdang kerana jarak yang dekat (dengan klinik), tetapi pesakit dan kawannya merayu untuk buat rawatan asas dahulu bagi memudahkan pergerakan pesakit.

“Saya juga bertanya macam mana (kecederaan) boleh berlaku dan kawan pesakit kata berlaku letupan ketika latihan di Port Dickson dan mereka telah dapatkan rawatan di klinik di Port Dickson,” katanya yang memberitahu ketika itu pesakit duduk di atas katil, dikelilingi kawan-kawannya dan sebahagian bajunya telah terbuka di bahagian hadapan.

Dr Azfar yang merupakan pemilik klinik itu demikian ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Othman Abdullah pada hari kedua perbicaraan kes membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman hari ini.

Katanya beliau kemudian bertanyakan kenapa  pesakit tidak terus mendapatkan rawatan di Port Dickson kerana jarak ke Bangi jauh dan Zulfarhan Osman yang ketika itu dalam keadaan stabil memberitahunya kerana  untuk menjaga reputasinya sebagai pelatih tentera.

“Saya tanya adakah penyelia di kem tahu mengenai kejadian letupan itu, salah seorang kawannya beritahu kes itu berlaku ketika latihan dan tiada penyelia yang tahu,” katanya menambah Zulfarhan Osman turut memberitahu kejadian itu berlaku lima atau enam hari sebelum dia datang ke klinik tersebut.

Dr Azfar berkata setelah selesai membuat rawatan iaitu cucian di seluruh bahagian badan dan membalut bahagian atas badan pesakit, beliau kemudian bertanyakan Zulfarhan Osman perlukah beliau menghubungi ambulans dan rakannya memberitahu tidak perlu kerana mereka datang menaiki kenderaan.

“Saya bertanya pesakit sendiri adakah keluarganya tahu kecederaan itu kerana saya ingin menghubungi keluarganya dan dia berkata ‘doktor jangan telefon keluarga saya di Johor sebab mak saya tengah sakit’,” katanya yang kemudian membatalkan hasratnya untuk menghubungi keluarga mangsa lalu membuat surat rujukan ke hospital.

Kepada soalan Othman, kenapakah Dr  Azfar membuat surat rujukan ke hospital, beliau berkata kerana Zulfarhan Osman mengalami kesan lecur terbakar lebih daripada 10 peratus di keseluruhan badan termasuk di skrotumnya yang memerlukan rawatan di hospital dan turut menyifatkan kecederaan yang dialami Zulfarhan Osman adalah teruk.

Menjawab soalan siapakah keempat-empat rakan yang menemani Zulfarhan Osman di klinik itu dan adakah mereka ada di mahkamah hari ini, Dr Azfar kemudian menoleh ke kandang tertuduh dan berkata mereka ialah tertuduh pertama, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal; tertuduh kedua Muhammad Azamuddin Mad Sofi; tertuduh keempat, Muhammad Afif Najmudin Azahat; dan tertuduh keenam, Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Terdahulu, saksi keenam pihak pendakwaan, Pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang,  Dr Salmah Arshad, 37, berkata hasil bedah siasat mendapati terdapat 90 kesan luka lecur di hampir keseluruhan badan, termasuk kedua-dua belah punggung dan zakar Zulfarhan Osman.

Katanya kesan luka lecur itu adalah pada kategori tahap satu, tahap dua dan tahap tiga yang didapati dari pangkal leher sehingga ke kaki mangsa termasuk bahu, lengan, dada, perut, rusuk, belikat, betis, paha dan buku lali.

“Daripada 90 kesan lecur di tubuh mangsa itu, dua kesan adalah pada tahap satu, 59 kesan tahap dua dan 29 kesan tahap tiga,” katanya yang telah bertugas sejak 2016 sebagai pakar forensik dan bertanggungjawab menjalankan bedah siasat terhadap mayat Zulfarhan Osman.

Beliau berkata selain kesan luka lecur, hasil bedah siasat juga mendapati terdapat kesan lebam pada kelopak mata dan calar pada kening mangsa.

Kepada soalan Othman apakah yang boleh menyebabkan kesan lecur pada tubuh si mati, Dr Salmah berkata sesuatu objek yang panas dan mempunyai corak yang spesifik, iaitu bintik-bintik dalam susunan dua barisan yang sedikit melengkung dan ia seperti disebabkan oleh tekapan seterika wap.

Menjawab soalan Othman adakah Dr Salmah boleh membezakan kecederaan yang diakibatkan orang lain atau mangsa sendiri, saksi itu berkata berdasarkan pengalamannya, beliau boleh membezakan melihat kepada lokasi luka dan berdasarkan kesan luka lecur pada badan si mati, beliau berpendapat ia adalah disebabkan pihak lain.

“Luka berada hampir di keseluruhan badan (si mati) termasuk belakang badan yang mana sukar untuk dicapai oleh tangan sendiri. Ini merupakan luka akibat bahan panas yang tidak akan terjadi sebanyak ini jika dilakukan oleh mangsa sendiri kerana ia menyebabkan kesakitan selain lukanya juga terlalu banyak untuk dilakukan sendiri,” jelasnya.

Enam penuntut UPNM iaitu Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif Najmudin, Mohamad Shobirin dan Abdoul Hakeem mengaku tidak bersalah etrhadap pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM, antara pukul 4.45 pagi dan pukul 5.45 pagi, 22 Mei tahun lalu.

Pertuduhan terhadap mereka yang kesemua berusia 22 tahun itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama 13 lagi penuntut lain turut didakwa atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mang­sa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azman Abdullah bersambung 28 Mac.– Bernama, 28 Februari, 2018.