Wednesday, July 12, 2017

Kenyataan bodoh.......nama lagi politik weh!

Tiada sebab Amanah mahu rampas Kelantan
WARTAWAN SINAR HARIAN 11 JULAI 2017

KUALA TERENGGANU – Tindakan Amanah untuk mengambil alih Kelantan dipersoal Pas kerana tiada sebab parti itu bertindak sedemikian rupa berikutan Kelantan sudah sedia ditadbir parti pembangkang.

Penolong Setiausaha Pas II Terengganu, Hanafiah Mat berkata, tindakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang menamakan Datuk Husam Musa sebagai Menteri Besar Kelantan jika Pakatan Harapan memerintah Kelantan  menzahirkan bahawa parti serpihan Pas itu memasang angan-angan merampas Kelantan daripada Pas.

Hanafiah berkata, situasi itu juga turut membuktikan Amanah sebagai parti yang masih baharu lebih suka mengikut telunjuk DAP.

“Sudah terang lagi bersuluh bahawa Amanah adalah adik bongsu kepada DAP dan DAP abang sulung sehinggakan DAP turut menentukan siapa layak yang menjadi menteri sedangkan tiada sebab Amanah untuk ambil alih Kelantan sebab memang kawasan itu sudah sedia dipimpin Pas yang juga parti pembangkang,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Hanafiah bagaimanapun yakin dengan sokongan pengundi-pengundi Pas untuk terus mengekalkan kedudukan parti bulan itu di negeri tersebut.

Beliau berkata, berdasarkan tinjauan rakan-rakan pemimpin Pas di Kelantan, pengundi-pengundi masih menyatakan komitmen untuk terus memastikan Pas tetap mentadbir Kelantan pada PRU akan datang.

“Walaupun kita tidak nafi pengundi luar turut memainkan peranan terhadap situasi politik Kelantan tetapi melalui persatuan anak Kelantan di luar, seperti Persatuan Anak Kelantan Perantauan Malaysia (Perakan), mereka turut menyatakan untuk bersama-sama kita.

“Mereka ambil kata sepakat untuk terus menyokong Pas sebagaimana yang diberikan pada zaman Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat),” katanya.

Beliau berkata, walaupun Amanah dikatakan mendapat sokongan daripada golongan muda, beliau yakin perkara itu tidak berlaku berikutan tiada gerakan ke arah itu dan gelombang penolakan terhadap Pas juga tidak berlaku.

Menurutnya, perkara itu berbeza dengan zaman penolakan terhadap BN ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri apabila gelombang sokongan terhadap Anwar boleh dilihat dan dirasai sebelum PRU sehingga menyebabkan berlaku perubahan dalam situasi politik pada 1999.

“Walaupun di alam maya mereka kritik Pas tetapi di luar kita tidak nampak. Bagi saya politik ini kita tidak boleh senyap. Kalau tiba-tiba ada pilihan raya tetapi gerakan tiada, boleh rebah,” katanya.

1 comment:

  1. If you are going for best contents like I do, simply visit this website daily as it presents feature contents, thanks

    ReplyDelete