Sunday, July 16, 2017

HARAPAN: 'Pertindihan' tiga jawatan besar pimpinan perlukan pencerahan

Menaruh harap Pakatan Harapan
ONG BOON TECK 15 JULAI 2017
MELIHAT struktur kepimpinan baharu Pakatan Harapan memang cukup digeruni. Semuanya berjawatan besar, tidak kiralah berstatus 'bekas' mahupun yang sedang berkuasa.

Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan Bersatu tidak dinafikan memiliki pemimpin-pemimpin politik yang berpengalaman.

Apa tidaknya, mereka boleh bangga kerana memiliki seorang bekas perdana menteri, dua bekas timbalan perdana menteri, dua bekas menteri besar, seorang ketua menteri dan seorang menteri besar.

Sekiranya diberi peluang memerintah negara, dengan pengalaman mereka yang ada, mungkin tidak menghadapi masalah. Tetapi soalnya, apakah rakyat akan memberi peluang kepada gabungan empat parti ini untuk memerintah negara?

Daripada paling atas, ketua umumnya ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim. Seorang bekas timbalan perdana menteri yang sedang meringkuk dalam penjara. Beliau bakal dibebaskan pada Jun tahun hadapan.

Ini diikuti pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas perdana menteri yang telah memimpin negara selama 22 tahun sementara jawatan presiden pula dipegang oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Seterusnya diikuti tiga pemimpin yang mengisi jawatan timbalan presiden, masing-masing terdiri daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin; Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu.

Ramai yang masih pertikaikan apakah perbezaan antara jawatan ketua umum dengan pengerusi? Apakah tugas dan peranan Anwar dan Mahathir? Jawatan siapa lebih besar?

Lebih mengelirukan lagi, dengan adanya jawatan ketua umum dan pengerusi, ditambah pula jawatan presiden yang dipegang oleh Wan Azizah. Di sini berlakunya tanda tanya. Dengan menggunakan bahasa lebih mudah, "Nak ikut cakap siapa?"

Bagi meyakinkan rakyat yang masih menaruh harapan kepada pakatan pembangkang ini, pucuk pimpinan Pakatan Harapan seharusnya memberikan penjelasan secepat mungkin mengenai 'pertindihan' tiga jawatan besar ini.

Rakyat tentunya akan lebih percaya kewujudan jawatan-jawatan penting ini sekadar untuk mengisi jawatan sebagai menghormati pemimpin-pemimpin lama ini. Sama ada berfungsi atau tidak, itu soal kedua.

Yang menjadi kemusykilan ialah apakah Anwar dan Mahathir boleh bekerjasama untuk mengetuai Pakatan Harapan? Mereka dilihat ingin menentang musuh yang sama, tetapi tidak semestinya mempunyai persefahaman. Masing-masing ada cara tersendiri yang menyebabkan mereka tidak sekata.

Selain jawatan, matlamat Pakatan Harapan untuk menjatuhkan kerajaan BN di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semakin ternyata dan jelas apabila menggariskan beberapa langkah bagi meyakini pengundi agar menyokong mereka dalam PRU akan datang.

Antaranya, berusaha mendapatkan kembali wang rakyat yang hilang melalui skandal besar seperti 1MDB;  membebaskan semua tahanan politik dan menggugurkan semua dakwaan politik; mengehadkan penggal perkhidmatan perdana menteri kepada dua penggal sahaja.

Bunyinya tidak beza dengan manifesto pilihan raya. Ia adalah janji kepada rakyat sekiranya menang dan menjadi kerajaan.

Dan, lebih teruja lagi ialah sekiranya mendapat mandat rakyat dalam PRU14, dalam tempoh 100 hari pertama setelah membentuk kerajaan, ini antaranya yang ingin dilakukan mereka, menghapuskan GST; menstabilkan harga petrol; beri fokus kepada usaha meringankan beban rakyat; mulakan proses reformasi institusi secara menyeluruh.

Tiga isu utama lain turut disentuh Pakatan Harapan iaitu mahu perangi rasuah hingga ke akar umbi; tubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja Skandal 1MDB dan pulihkan Felda, yang sememangnya sekiranya berjaya dilaksanakan, Malaysia sudah tentu akan lebih berjaya dan 'bersih' berbanding sekarang.

Sesiapa pun boleh janji. Tetapi untuk kotakan janji, itu yang lebih penting.

Rakyat perlu menerima hakikat dan perlu tanyakan kepada diri sendiri, apakah sedia menjatuhkan kerajaan BN dan memilih Pakatan Harapan sebagai kerajaan baharu?

Apa yang lebih diingini Pakatan Harapan ialah peluang. Apakah rakyat akan memberi peluang kepada mereka? Soalan ini hanya boleh tunggu apabila tiba PRU nanti.

Struktur kepimpinan telah pun dipersetujui setelah berbincang berbulan-bulan lamanya, kini yang hendak dibincangkan pula ialah dari segi pembahagian kerusi untuk PRU akan datang.

Pakatan Harapan begitu mengharapkan rakyat menyokong mereka, tetapi apabila mereka sesama sendiri kerap bertelingkah merebut kuasa dan kerusi, apakah rakyat masih mahu menaruh harap kepada mereka lagi?

Lagi pemimpin UMNO buka mulut: Kepimpinan Pakatan tidak mampu kagumkan rakyat

* Didahului oleh Salleh Said Keruak. Lepas tu UMNO dan PAS masing-masing berlumba-lumba buka mulut berikan komen. Sehingga Menteri Dalam Negeri pun seolah menekan RoS

Ini menunjukkan betapa gabra dan gelisahnya mereka.......

No comments:

Post a Comment