Tuesday, July 4, 2017

Mereka jahat atau kita yang bebal?

Abu Dhabi, AS, Singapura berkomplot jatuhkan kerajaan Malaysia?
27 Jun 2017 | RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH
Raja Bahrin Shah

Banyak kenyataan telah di buat tentang pengumuman Siasatan DOJ Amerika ke atas MO1 dalam isu 1MDB. Ada yang meminta kerajaan Malaysia mengambil tindakan sepatutnya untuk mendapatkan kembali hasil yang dikatakan hak rakyat Malaysia yang telah diselewengkan.

Ada juga pihak pemerintah serta ahli kerajaan dan penyokong dari golongan awam dan juga para penasihat agamawan yang menafikan tuduhan serta meminta tabayun dahulu.

Sememangnya tabayun itu dituntut oleh Islam tetapi pihak yang menuntut bertabayun itu mestilah juga berbuat perkara sama pada siasatan dan tuduhan itu. Tabayun mestilah datang dari semua pihak untuk membuat kesimpulan yang tepat dan adil.

Dakwaan kuasa asing Amerika hendak menjatuhkan kerajaan Malaysia mesti dikutuk sekeras kerasnya jika ianya benar, namun perlu diketahui bahawa bukan hanya Negara Amerika sahaja mengambil tindakan undang-undang sedemikian rupa ke atas Malaysia, negara seperti Abu Dhabi, Singapura, Switzerland, Luxembourg, Hong Kong dan beberapa negara Eropah juga mengambil tindakan yang sama seperti Amerika. Adakah Negara Arab, Eropah, Asean dan Asia.

Kesemua ini pun berhasrat menjatuhkan kerajaan Malaysia juga? Perlu diingat kesemua negara yang disebut merupakan Pusat Kewangan Dunia terkemuka dimana reputasi perniagaan kewangan dan Bank mereka dihormati dunia termasuk oleh Malaysia.

Kalau tindakan mereka salah, maka Malaysia akan mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang sekaligus mampu merosakkan nama baik sistem kewangan serta bank mereka. Maka persoalannya, apa motif negara yang lebih kaya dari Malaysia hendak menjatuhkan Malaysia ?

Abu Dhabi, Singapura dan Switzerland, selain dari Amerika, telah menutup beberapa Bank utama yang besar dan menangkap serta menghukum beberapa tokoh Bank - Kewangan dalam kalangan rakyat mereka sendiri kerana isu 1MDB.

Ini adalah tindakan yang amat serius yang boleh menjejaskan sistem bank mereka sekiranya tidak betul langkah tersebut.

Perlu juga difahami bahawa mereka telah bertindak didalam sistem negara mereka sahaja untuk menjaga sistem kewangan mereka kerana wang haram dari Malaysia dibawa ke sana dan adalah satu kekeliruan jika mendakwa mereka hendak masuk campur kedalam sistem Malaysia.

Malahan di Amerika mereka merampas wang serta harta haram untuk di kembalikan kepada rakyat Malaysia yang berhak menerimanya. Samalah di Malaysia, kita juga mempunyai sistem undang-undang anti penggubalan wang haram.

Perlu diingat Jho Low adalah seorang rakyat Malaysia yang merupakan rakan kongsi niaga yang rapat dengan anak Datuk Seri Mohd Najib Razak yang membawa wang 1MDB ke Amerika, Abu Dhabi, Singapura; Switzerland dan Hong Kong.

Najib adalah MO1 dalam 1MDB seperti diakui oleh Datuk Rahman Dahlan Menteri Kabinet Malaysia. Negara-negara ini berhak menyiasat dan menghukum perbuatan haram di dalam negara mereka seperti kita juga berhak menghukum mati pengedar dadah asing yang melakukan jenayah tersebut di Malaysia mengikut undang-undang kita.

Negara asing tidak boleh masuk campur tindakan mahkamah Malaysia ke atas warga mereka kerana jenayah berlaku di Negara kita.

Saya menasihati pihak berkenaan dari golongan awam dan juga agamawan, jangan emosi dan bersikap nasionalistik sebaliknya menilai situasi ini secara objektif dari sudut perundangan.

Bukan orang lain sahaja mesti bertabayun, mereka sendiri terdahulu mesti bertabayun juga.

Adakah masuk akal Abu Dhabi, Singapura, Switzerland, Hong Kong dan Amerika kesemuanya hendak menjatuhkan kerajaan Malaysia?

Kenapa kerajaan Malaysia tidak mengambil tindakan mahkamah atau membuat bantahan rasmi terhadap Negara negara ini?

Sepatutnya penyokong serta para agamawan penasihat Kerajaan mendesak Malaysia menyaman Kerajaan kerajaan Negara asing berkenaan untuk mendapat lebih maklumat terperinci bagi melengkapkan proses "tabayun" mereka sebelum mencapai satu kesimpulan yang tepat.

Bertabayunlah sendiri terdahulu sebelum menuntut orang lain berbuat demikian. Rakyat Malaysia hari ini sebenarnya jauh lebih cerdik dari yang mereka sangka.

1 comment:

  1. Howdy terrific website! Does running a blog like this require a massive amount work?
    I have very little understanding of programming however I had
    been hoping to start my own blog in the near future. Anyway,
    should you have any suggestions or techniques for new blog owners please share.
    I know this is off topic nevertheless I simply needed to ask.

    Thank you!

    ReplyDelete