Showing posts with label undang-undang. Show all posts
Showing posts with label undang-undang. Show all posts

Friday, April 13, 2018

Mungkin ya dan mungkin juga tidak, bergantung pada niat sebenar!

Penguatkuasaan Akta Antiberita Tidak Benar boleh masuk Rekod Dunia Guinness
MALAYSIADATELINE  -  April 12, 2018 7:10 pm
Penguatkuasaan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang dilakukan dengan begitu cepat sekali mungkin boleh direkodkan dalam Rekod Dunia Guinness (Guinness World Records), kata Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan Lim Lip Eng.

Ini kerana akta kontroversi itu baru sahaja dibahas dan diluluskan parlimen minggu lalu, sehari sebelum persidangan berakhir namun telah diwartakan sebagai undang-undang semalam.

Akta tersebut menghukum penyebaran berita palsu dengan penjara sehingga enam tahun, serta denda maksimum RM500,000.

“Dengan undang-undang baharu ini, dan sekiranya BN kekal berkuasa untuk tempoh lima tahun lagi, adakah sebarang berita yang tidak memihak parti pemerintah akan dilabel sebagai palsu?” soal Lim yang juga seorang peguam.

“Contohnya berita yang tular di media sosial tentang Malaysian Official 1, Riza Aziz, Jho Low dan lain-lain yang merompak lebih US$4.5 bilion daripada 1MDB kini boleh sahaja dilabel palsu, walaupun dilaporkan oleh demikian banyak media antarabangsa.

“Mungkin nanti, melabel Najib Razak sebagai MO1 juga boleh didakwa sebagai ‘berita palsu’ walaupun Abdul Rahman Dahlan telah mengesahkan Najib sebagai MO1,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Lim Lip Eng

Akta kontroversi ini digazet semalam, walaupun terdapat banyak kritikan dan bantahan daripada pelbagai pihak termasuk kumpulan wartawan.

Ia dibimbangi akan membungkam kebebasan bersuara orang ramai, terutamanya wartawan sendiri.

“Adakah Najib bimbang akan kalah dalam PRU ke-14 sehinggakan beliau sanggup menggunakan apa sahaja cara terdesak untuk menakut-nakutkan rakyat?” soal Lim.

Bekas ahli parlimen Segambut yang bakal bertanding di kawasan parlimen Kepong PRU itu menyeru orang ramai untuk terus menyatakan kebenaran tanpa merasa takut.

Pun begitu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengakhiri kenyataan dengan meletakkan tanda soal.

“Jika ayat disusun dengan betul kita tidak perlu takut kepada Akta ini. Takkanlah tanya soalan pun salah?”  soal beliau.

Tuesday, April 3, 2018

PAS jamin akta antiberita palsu diguna dengan adil: Siapa PAS.....apa kuasa PAS?

Bila masa pula PAS jadi kerajaan yang memegang kuasa? 
Memberi jaminan dengan air liur, kuasa di tangan orang!
Atau dia dah berangan berada di dalam kerajaan?

PAS jamin akta antiberita palsu diguna dengan adil
mk  |  Dikemaskini 2 Apr 2018, 11:45 malam
Anggota Parlimen Kuala Nerus Datuk Khairuddin Aman Razali memberi jaminan Rang Undang-undang (RUU) Anti Berita Tidak Benar 2018 akan dilaksanakan dengan adil selepas diluluskan nanti.

Beliau yang juga Ahli Majlis Syura Ulamak PAS berkata demikian dalam kenyataan sebaik sahaja Dewan Rakyat meluluskan bacaan kedua RUU itu hari ini, dengan 123 undi menyokong dan 64 menolak.

Kesemua 11 anggota parlimen PAS yang menghadiri sidang mengundi menyokong RUU itu.

"PAS yakin akan memenangi pilihan raya umum (PRU) ke-14. PAS memberi jaminan akta ini akan dilaksanakan secara telus dan adil.

"Apa-apa akta yang baik akan menjadi (lebih) baik apabila ia diuruskan pemerintah yang baik," kata AJK PAS Pusat itu juga.

Temerloh, Marang tak hadir undian

Hanya dua anggota parlimen parti itu yang tidak hadir ketika undian, iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Marang) dan Nasrudin Hassan (Temerloh).

Khairuddin mendakwa berita palsu telah menjadi "seperti makanan" kepada rakyat Malaysia, dan ramai yang telah menjadi mangsanya termasuk PAS.

"Kalau dulu media arus perdana kerajaan mensasarkan PAS dengan pelabgai fitnah, kini media sosial dan media atas talian pula yang digunakan untuk mencipta fitnah terhadap PAS.

"Sampai masa hukuman yang lebih berat dengan mekanisme pengadilan yang lebih cekap diperkenalkan menerusi akta baru ini," katanya lagi.

RUU Anti Berita Tidak Benar 2018 memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam tahun dan denda RM500,000 kepada mereka yang mengadakan, menawarkan dan menerbitkan berita tidak benar.

RUU itu juga memasukkan peruntukan untuk membenarkan permohonan perintah mahkamah untuk membuang bahan yang disahkan sebagai berita palsu.

Denda sehingga RM100,000 boleh dikenakan jika gagal berbuat demikian.

Walaupun ada peruntukan untuk mencabar perintah mahkamah itu, Seksyen 8(3) RUU menyatakan rayuan tidak boleh dibuat jika kerajaan mendapat perintah itu atas dasar keselamatan negara.

Saturday, March 31, 2018

Jika BN tumpas, ini janji Anwar

Anwar janji 'bebaskan' SPR jika HARAPAN menang
mk  |  Dikemaskini 31 Mac 2018, 3:50 petang
Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji akan menjadikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai sebuah badan yang benar-benar bebas jika Pakatan Harapan (HARAPAN) menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Ketua Umum PKR itu turut berikrar akan memansuhkan undang-undang antiberita palsu yang dijangka diluluskan di Dewan Rakyat tidak lama lagi.

"HARAPAN akan menubuhkan suruhanjaya pilihan raya yang benar-benar bebas dan memansuhkan undang-undang antiberita palsu. Saya menggesa rakyat Malaysia untuk keluar beramai-ramai dan mengundi untuk menyingkirkan BN daripada kuasa," kata Anwar yang masih menjalani hukuman penjara dalam satu kenyataan.

Menyentuh mengenai persempadanan pilihan raya yang baru dibentangkan di parlimen, Anwar berkata ia adalah perkara serius yang perlu dibincang dan dibahaskan selama beberapa minggu.

Bagaimanapun, katanya, usul itu dibuat secara tergesa-gesa melalui proses yang hanya mengambil masa selama dua jam.

"Ini bukanlah amalan persempadanan semula yang sah dan mengikut undang-undang, tetapi perbuatan gerrymandering yang jelas tidak berperlembagaan.

"Ia juga merupakan pengakuan bahawa BN akan kalah dalam pilihan raya umum jika menggunakan persempadanan lama," katanya.

Anwar juga mengkritik rang undang-undang antiberita palsu yang tergesa-gesa dibentangkan di Dewan Rakyat dengan menyifatkannya sebagai 'langkah terdesak'.

Beliau berkata BN mahu undang-undang baru itu digubal untuk menghalang kritikan terhadap skandal 1MDB serta skandal rasuah lain yang dikaitkan dengan parti kerajaan.

"Dalam menolak rang undang-undang antiberita palsu, BN jelas mensasarkan golongan muda, yang akan menjadi mangsa utama undang-undang ini. Berita palsu atau berita yang salah boleh ditangani dengan undang-undang fitnah.

"Bolehkah kita biarkan pencuri yang telah mencuri wang berbilion milik orang awam memutuskan apa yang palsu?" soalnya.

Perbahasan rang undang-undang antiberita palsu akan diteruskan di Dewan Rakyat pada hari Isnin.

Pembangkang dan pengamal undang-undang berpendapat definisi berita palsu dalam rang undang-undang itu terlalu kabur dan terdedah kepada penyalahgunaan.

Thursday, March 29, 2018

RUU Antiberita Tidak Benar: Pelawak pun kena tempias juga

RUU Antiberita Tidak Benar turut jejaskan pelawak solo
Amin Iskandar · Diterbitkan pada 29 Mar 2018 4:55PM
Pelawak yang sering menjadikan isu semasa sebagai bahan jenaka dalam persembahan mereka akan turut terjejas dengan cadangan Putrajaya memperkenalkan sebuah akta untuk mengawal berita palsu yang dibentangkan di Dewan Rakyat minggu ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2018

PELAWAK yang sering menjadikan isu semasa sebagai bahan jenaka dalam persembahan mereka akan turut terjejas dengan cadangan Putrajaya memperkenalkan sebuah akta untuk mengawal berita palsu yang dibentangkan di Dewan Rakyat minggu ini.

Pelawak yang terlibat mengakui undang-undang itu akan memaksa mereka berjaga-jaga tetapi pada masa sama menganggapnya sebagai cabaran untuk berkarya.

Pelawak Ahmad Fadli Nazari atau nama pentasnya KC Nazari berkata, Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar sekiranya diluluskan oleh Parlimen akan menyebabkan pelawak solo lebih berhati-hati dalam menulis komedi yang mengkritik kerajaan.

“Tetapi kekangan macam ini sebenarnya membuka ruang untuk mencabar komedian jadi lebih aktif dalam menulis komedi yang boleh menjentik kerajaan secara halus,” kata Fadli, yang pernah menyertai program Lawak Solo terbitan Astro Warna, kepada The Malaysian Insight.

“Sekat berita tidak benar, kami akan sebarkan berita sebenar dalam bentuk komedi kepada orang ramai.”

RUU untuk mengharamkan "berita palsu" yang dibentang di Parlimen pada Isnin mencadangkan denda sehingga RM500,000 atau penjara 10 tahun bagi pesalah.

RUU ini hanya memerlukan majoriti mudah untuk diluluskan di Dewan Rakyat. Ia kemudian akan dikemukakan di Dewan Negara untuk diluluskan, dan seterusnya diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mendapat perkenan untuk dijadikan satu undang-undang.

Para peguam melahirkan kebimbangan terhadap frasa RUU itu, khususnya dalam Seksyen 4(1) yang menyatakan "sesiapa sahaja, dengan sengaja membuat, menawar, menerbit, mencetak, mengedar atau menyebar sebarang berita palsu atau penerbitan mengandungi berita palsu, melakukan kesalahan dan boleh disabitkan, denda tidak lebih RM500,000 atau dihukum penjara sehingga sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali, dan bagi bagi kesalahan yang berterusan, pesalah boleh didenda selanjutnya sehingga RM3,000 setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan".

Penerbit Eksekutif Rumah Anak Teater Faisal Mustaffa yang menganjurkan acara lawak solo #CeritaMalamJumaat di Petaling Jaya pula berkata, undang-undang baharu ini diperkenalkan ketika Malaysia sudah mempunyai pelbagai akta yang menyekat kebebasan.

“Akta baharu memberi sekatan kepada hak bersuara seolah-olah Akta Penerbitan Percetakan, Akta Hasutan dan sebagainya tidak mencukupi.

“Akta baharu ini adalah suatu undang-undang yang cuba melindungi pemerintah yang berhadapan dengan pelbagai kontroversi yang menggugat popularitinya,” katanya.

Beliau berkata, pelawak solo yang menggunakan isu semasa dan keresahan masyarakat dalam bahan lawak mereka sudah tentu akan terjejas.

“Ini kerana mereka menggunakan berita semasa yang memberi kesan dalam kehidupan seharian rakyat sebagai bahan dalam komedi,” katanya.

Badan bukan kerajaan Centre for Independent Journalism (CiJ) sebelum ini berkata, cubaan Putrajaya untuk wujudkan undang-undang bagi membanteras berita palsu akan mewujudkan ketakutan dan merupakan ancaman terbesar terhadap demokrasi.

Pengarah CiJ Sonia Randhawa berkata RUU itu jelas merupakan cubaan untuk menghalang ucapan politik, perbincangan serta penyelidikan dan laporan penyiasatan.

"Dalam perbandingan kepada eksekutif dan kerajaan, akhbar semakin lemah dan kurang mendapat akses kepada maklumat, terutamanya dengan kehadiran Akta Rahsia Rasmi (OSA)," katanya kepada The Malaysian Insight.

"Apabila akhbar menyiarkan maklumat yang merupakan kepentingan awam, apakah jaminan mereka tidak akan dikenakan hukuman di bawah akta ini," soalnya. – 29 Mac, 2018.

Wednesday, March 28, 2018

Akta Antiberita Palsu: Inilah yang meragukan dan menjadi persoalan besarnya

Akta Antiberita Palsu: Apa jaminan penguatkuasaannya akan dibuat secara adil?
MALAYSIA DATELINE  -  March 28, 2018 7:25 am
Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata, Rang Undang-undang Antiberita Palsu 2018 yang dibentangkan di parlimen dibuat secara terlalu tergesa-gesa dan tiada jaminan ia akan dikuatkuasakan secara adil.

Kata beliau, akta tersebut secara mudah menjadikan sebarang mesej atau karikatur yang dikongsi melalui aplikasi Whatsapp atau media sosial yang mengandungi visual, audio atau teks boleh dikira sebagai ‘berita palsu’ yang membawa hukuman sehingga RM500,000 atau hukuman penjara 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Jika RUU ini diluluskan parlimen dan dikuatkuasakan oleh pemerintahan Najib Razak, kita semua boleh dikenakan hukuman yang sangat berat sekiranya anda memanggil seseorang itu dengan gelaran haiwan atau apa sahaja kerana pernyataan tersebut adalah sama sekali tidak benar.

“Menteri seperti Nazri Aziz pun boleh dikenakan hukuman penjara sekiranya dia terus memanggil MCA dengan pelbagai gelaran kesat dalam wawancaranya kepada media.

“Satira dan komedi bakal menjadi sejarah apabila RUU ini menjadi undang-undang kerana bahan jenaka hampir sahaja pasti berbentuk palsu dan direka-reka,” kata peguam DAP itu dalam kenyataan medianya semalam.

Jelas beliau, menggelar seseorang sebagai bodoh contohnya, dalam apa juga bentuk perkataan pun boleh menjadi jenayah kerana orang yang digelar mungkin mempunyai ijazah daripada universiti terkemuka.

Justeru katanya lagi, di zaman RUU berita palsu ini, adalah lebih baik bagi rakyat Malaysia yang mempunyai pendapat peribadi tetapi tidak ada wang atau tidak mahu dipenjara, supaya mengakhiri kenyataan mereka dengan tanda soal.

Pastinya bertanya soalan tidak dikira sebagai kenyataan palsu, bukan? katanya.

Kata Lim, sebenarnya terdapat banyak kejanggalan dalam draf RUU ini, yang membuatkan kita sangat terganggu. Yang paling utama ialah ambiguiti dalam tafsiran berita palsu itu sendiri.

RUU 15 mukasurat ini katanya, langsung tidak memberitahu kita siapakah yang mempunyai kuasa untuk menentukan kepalsuan sesuatu pernyataan atau laporan berita atau tulisan.

“Contohnya jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, memohon perintah mahkamah (seperti yang diperuntukkan oleh Akta melalui Seksyen 7[1]) supaya laman web Wall Street Journal (WSJ) yang berada di luar negara (juga dibolehkan Akta melalui Seksyen 3[1]) untuk menurunkan laporan-laporannya tentang skandal 1MDB, serta mendakwa pendana-pendana WSJ (juga seperti yang diperuntukkan oleh Akta melalui Seksyen 5), adakah wujud sebarang proses yang diiktiraf Akta untuk terlebih dahulu menentukan keabsahan laporan WSJ?

“Adakah mahkamah akan terpaksa memeriksa keterangan-keterangan saksi-saksi seperti Arul Kanda untuk menentukan terlebih dahulu laporan WSJ itu benar atau palsu? Seksyen 2 nampaknya sama sekali bisu daripada menentukan siapa atau apa yang mempunyai kuasa penentu betul-palsu sesuatu kenyataan.

“Dan jikalau menteri yang diberi kuasa mutlak untuk berbuat demikian, meski tidak diperuntukkan oleh Akta, adakah sebarang peruntukan untuk mencabar keputusan tersebut?” soal beliau.

Tambahnya, RUU ini nampaknya dibuat secara terlalu tergesa-gesa sehingga begitu banyak ambiguiti yang menjadikannya mengarut dan kelihatan cuai dengan lacuna yang begitu besar sekali.

Lebih penting lagi ujarnya, sekiranya RUU ini diluluskan, apakah jaminan bahawa penguatkuasaannya akan dilakukan secara adil dan saksama?

“Bagaimana kalau kerajaan yang membuat berita-berita palsu? Bagaimana kalau pembangkang melaporkan portal-portal berita pro-Umno yang telah selama ini memfitnah pimpinan pembangkang?” soalnya.

*  Manusia yang berkuasa memang tidak boleh dipercayai, terutama orang politik yang pentingkan pengekalan kuasa. Cer imbas balik tujuan ISA dikuatkuasakan dulu. Asalnya baik untuk mengekang komunis tetapi akhirnya apa jadi? Digunakan untuk siapa pula?

Dan.....ISA dimansuhkan dan diganti dengan apa pula? Berapa jenis akta pula menggantikan ISA?

Tuesday, March 27, 2018

RUU Antiberita Tidak Benar: Kerajaan nampak tak cerdik?

Kerajaan nampak tak cerdik perkenal RUU Antiberita Tidak Benar, kata bekas menteri
Nabihah Hamid, Radzi Razak  · Diterbitkan pada 26 Mar 2018 8:28PM
Bekas menteri penerangan, Zainuddin Maidin menyifatkan tindakan kerajaan itu sebagai satu ugutan terhadap rakyat.– Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2018

BEKAS menteri penerangan, Zainuddin Maidin berkata kerajaan bertidak tidak cerdik dengan memperkenal Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar.

Beliau juga melihat pengenalan undang-undang itu sebagai ugutan kepada rakyat memandangkan ia dibentangkan di Parlimen hari ini untuk dimuktamadkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“(Kerajaan) nampak tak cerdik. Kalau guna selepas PRU lain. Tapi langkah (pembentangan) sebelum PRU untuk mengugut rakyat," kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insight hari ini.

Beliau juga percaya bahawa undang-undang tersebut digunakan untuk menutup ruang demokrasi dan membawa kesan buruk kepada masyarakat.

"RUU Antiberita Tidak Benar ini kesannya akan lebih buruk kepada perkembangan pemikiran sihat dan matlamat membina suatu masyarakat yang dinamik, kreatif tidak saja bidang politik tetapi dalam bidang yang memerlukan inovatif dan keyakinan,” katanya.

Bekas ketua pengarang kumpulan Utusan Melayu itu juga berkata, beliau akan menyatakan penentangan ke atas undang-undang tersebut dengan melancarkan kempen memburuk-burukkan akhbar yang pernah diterajuinya, Utusan Malaysia.

Ini kerana, lidah parti Umno berkenaan juga menyiarkan berita palsu, kata Zainuddin lagi yang menjelaskan, kempen itu akan dijalankan di media sosial.

"Saya akan melancarkan satu berita palsu di sosial media untuk mendedahkan tiap-tiap hari setiap berita palsu Utusan Malaysia, Umno Online, media pemakan dedak supaya mengimbangi pendedahan atau tindakan terhadap berita palsu dari kaca mata kerajaan dan juga BN," kata beliau.

RUU yang dibentangkan hari ini memperuntukkan denda maksimum sehingga RM500,000 dan penjara 10 tahun ke atas individu yang menyebarkan berita tidak benar.

Seseorang individu yang berterusan selepas disabit bersalah turut boleh didenda RM3,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan.

Akta berkenaan mentafsirkan berita tidak benar sebagai sebarang berita, maklumat, data dan laporan yang sebahagian atau sepenuhnya palsu, sama ada disiarkan dalam bentuk rencana, visual, rakaman audio atau apa-apa bentuk lain.

Akta itu akan diguna pakai jika sebarang berita tidak benar dikaitkan dengan Malaysia atau rakyat Malaysia.– 26 Mac, 2018.

Salleh kata memetik DoJ bukan berita palsu

'Memetik DOJ tentang 1MDB bukan berita palsu'
mk  |  Dikemaskini 26 Mac 2018, 10:38 malam
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak hari ini memberi jaminan pemfailan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat(DOJ) berkenaan 1MDB tidak akan digolongkan sebagai berita palsu.

Beliau berkata demikian semasa pertemuan dengan wartawan asing ketika kerajaan sedang membentangkan RUU Antiberita Palsu di Parlimen hari ini.

"Anda boleh petik mereka (DOJ, apa yang mereka kata, berdasarkan laporan itu. Ia tidak tergolong sebagai berita palsu.

"Itu pandangan mereka, seperti DOJ, anda memetik kenyataan mereka," kata beliau.
Melissa Goh
@MelGohCNA
There is no ban in reporting on 1MDB, Malaysia Communications & Multimedia  minister Salleh Keruak speaking  to foreign journalists after anti fake news bill was tabled  in parliament .
7:42 PM - Mar 26, 2018
18 people are talking about this
Twitter Ads info and privacy

Sebuah video memaparkan Salleh memberi jaminan itu dimuat naik oleh wartawan Channel New Asia, Melissa Goh.
Salleh mengulas soalan jika wartawan masih dibenarkan melaporkan penyiasatan Amerika Syarikat terhadap 1MDB.

Ketika diminta untuk penjelasan lanjut, Salleh bertegas berkata, "Tidak, tidak, tidak, bagaimana kamu boleh anggap pemberitaan itu (DOJ-1MDB) sebagai berita palsu

DOJ mengatakan sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion telah diselewengkan daripada 1MDB.

DOJ mendakwa dana yang dicuri itu kemudiannya digubah secara haram melalui sistem kewangan antarabangsa, termasuk di AS.

Jabatan itu sedang berusaha merampas aset bernilai AS$1.7 bilion yang didakwa dibeli menggunakan dana yang dilesapkan daripada 1MDB.

Hukuman berita palsu, penjara 10 tahun

Selain Amerika Syarikat, pihak berkuasa beberapa negara lain, termasuk Singapura, Luxembourg, Switzerland dan Emeriah Arab Bersatu (UAE) turut menyiasat skandal 1MDB ini.

RUU antiberita palsu hari ini dikritik kerana berpotensi untuk disalahguna dan takrifan 'berita palsu' yang terlalu luas cakupannya.

RUU Antiberita Tidak Benar 2018 mencadangkan agar denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya sekali bagi pihak yang didapati bersalah menyebarkan "berita palsu".

RUU berkenaan mentakrif "berita palsu" sebagai "sebarang berita, maklumat, data dan laporan yang sebahagian atau sepenuhnya palsu, sama ada disiarkan dalam bentuk rencana, visual, rakaman audio atau apa-apa bentuk lain."

Hukuman sama akan turut dikenakan terhadap pihak yang memberi bantuan kewangan atau membantu menghasilkan "berita palsu".

Ia juga membenarkan kerajaan mendapatkan perintah membuang penerbitan yang dianggap menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam dan tidak boleh dicabar di mahkamah.

Bayangkan Korea Utara. Kita akan menjadi begitu?

Selamat datang ke alam realiti kawalan Big Brother
Jahabar Sadiq · Diterbitkan pada 26 Mar 2018 8:05PM
SEMUA orang akan menerima kesan apabila Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar 2018 diluluskan.

Secara mudah, undang-undang ini membolehkan pihak berkuasa mengolah dan menakrifkan yang mana fakta dan yang mana cereka.

Ia akan membolehkan pihak berkuasa menentukan saiz padang bola sepak, lebar dan tinggi gawang gol, mengikut keadaan.

Malah, ia juga boleh memberi takrif berbeza untuk nasi lemak mengikut masa tertentu.

Dalam kata lain, anda berada di alam realiti kawalan Big Brother. Ia menentukan apakah realiti dan bukan realiti, tidak kiralah jika ia berada di luar wilayah takluk mahupun perairan Malaysia.

Malaysia bukanlah negara yang tiada undang-undang. Kita ada Akta Fitnah 1957, yang menakrifkan fitnah secara pertuturan mahupun secara bertulis. Kita juga ada Akta Komunikasi dan Multimedia 1988, dengan memperuntukkan hukuman kepada orang yang menyalahguna rangkaian untuk berdusta.

Ya, dusta. Berita palsu, segala-gala yang palsu. Lengkap dengan takrif yang luas ke atas kesalahan dan hukuman, namun tidak seluas atau sekeras undang-undang yang dicadangkan oleh kerajaan Barisan Nasional.

Undang-undang ini mungkin menyebut bahawa kuasanya meliputi seluruh dunia, namun ia adalah untuk mengawal orang yang tinggal di Malaysia. Ia memenjara pemikiran dan membendung kebebasan bersuara yang kini menjadi milik pihak berkuasa.

Ini bermakna anda boleh berfikir, tetapi anda tidak boleh berkongsi fikiran tersebut. Ini bermaksa kebenaran yang anda fikirkan mungkin satu kepalsuan menurut kerajaan memerintah.

Akhirnya, kerajaan yang memerintah ini akan mengawal dan menguasai naratif – tidak kiralah apa yang diperkatakan oleh orang lain di seluruh dunia. Kita akan menjadi negara yang paling sejahtera dan paling moderat kerana kerajaan menyatakannya sedemikian.

Bayangkan Korea Utara. Kita akan menjadi begitu – hanya syurgawi khayalan.

Undang-undang ini lebih baik berbanding "Green Dam" atau apa sahaja undang-undang keselamatan untuk menyaring berita dan mengawal internet. Sebabnya, anda akan berasa gerun untuk memendam pemikiran yang bertentangan dengan naratif kerajaan.

Anda perlu memikirkan mengapa sebuah kerajaan yang sebegitu yakin ini perlu menggubal undang-undang sebegini. Anda perlu fikir mengapa kerajaan memberi alasan bahawa naratif mereka sahaja boleh dianggap sebagai kebenaran, dan perkara lain yang bertentangan sebagai palsu.

Begitupun, satu-satunya cara untuk menentang undang-undang ini adalah dengan mengetahui perkara benar dan mengulanginya kepada pihak yang mendakwanya sebagai tidak benar.

Para Rasul terdahulu juga terpaksa menempuhi tuduhan yang sama, sehinggalah mereka terbukti benar.– 26 Mac, 2018.

Berkaitan: RUU Antiberita Tidak Benar akan wujudkan ketakutan, kata pengkritik

Monday, March 26, 2018

RUU Anti Berita Tidak Benar: Soalan panas punggung dari Rais

Bagaimana jika kerajaan buat berita palsu, soal Rais Yatim
TMI · Diterbitkan pada 26 Mar 2018 9:17AM
Rais Yatim mempersoalkan tindakan yang sepatutnya diambil sekiranya kerajaan yang menyebarkan berita palsu menjelang pembentangan Rang Undang-Undang Anti Berita Tidak Benar di Dewan Rakyat minggu ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2018

MENJELANG pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Berita Tidak Benar di Dewan Rakyat minggu ini, Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Rais Yatim mempersoalkan bagaimana sekiranya pihak pemerintah yang membuat berita palsu.

Penasihat bertaraf menteri itu membincangkan tajuk RUU yang paling sesuai dibentangkan Barisan Nasional (BN) minggu ini melalui laman sosial medianya.

“Cuba anda pilih yang mana tajuk paling sesuai sempena BN membentangkan RUU berita palsu:

1. Rang Undang Undang Berita Palsu

2. Rang Undang Undang Anti Berita Palsu

3. Rang Undang Undang Pencegahan Berita Palsu. Saya pilih no.3

“Pendapat anda? Kalau kerajaan buat berita palsu macm mana?,” soal Rais di akaun Twitter @DrRaisYatim lewat malam tadi.

Minggu lepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said berkata kerajaan akan membentangkan RUU itu minggu ini selepas Kabinet meluluskannya.

Azalina berkata bacaan kali pertama RUU itu akan dilakukan di Dewan Rakyat pada minggu ini.

Pemimpin pembangkang berpandangan, RUU ini bertujuan untuk melenyapkan kritikan terhadap kerajaan seperti skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mereka berkata, sekiranya benar berita berkenaan 1MDB yang disiarkan media antarabangsa itu palsu, Putrajaya seharusnya menyaman mereka.

Minggu lalu Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Johari Jailani yang berkata semua maklumat mengenai 1MDB yang tidak ada dalam laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) adalah berita palsu.

Katanya, kes ini sudah disiasat pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Jabatan Peguam Negara serta dibentangkan kepada PAC yang diwakili ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang. 

"Cadangan PAC diterima penuh dan dilaksanakan kerajaan sepenuhnya. 

"Proses rasionalisasi juga dilakukan dengan baik, sehubungan itu pihak kerajaan berpandangan selain dari maklumat yang disahkan pihak yang berkuasa yang disebutkan tadi, apa-apa maklumat yang selain darinya akan diiktiraf sebagai maklumat palsu," kata ahli Parlimen Hulu Terengganu itu di Dewan Rakyat minggu lalu. – 26 Mac, 2018.

Saturday, March 24, 2018

‘Berita palsu’: Media asing lapor kenyataan menteri Malaysia

* Lapas ni kayalah Malaysia sekiranya kerajaan ada keberanian untuk saman mereka dan menang kes.

Takkanlah beri amaran dan akan dakwa agensi dan portal berita di dalam negara sajakot?

Media asing lapor kenyataan menteri Malaysia berkaitan laporan 1MDB ‘berita palsu’
AKMAL HAZIQ  -  March 24, 2018 9:40 am
Asian Correspondent melaporkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah mengeluarkan amaran akan mengambil tindakan terhadap beberapa organisasi berita antarabangsa yang paling berpengaruh berhubung laporan mereka berkaitan skandal kewangan melibatkan dana negara.

Kata laporan itu, Timbalan Menteri, Jailani Johari berkata, kerajaan Malaysia akan bertindak terhadap media asing yang menerbitkan ‘berita palsu’ mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang semakin menonjol di mata dunia sejak kapal mewah milik Jho Low disita oleh kerajaan Indonesia baru-baru ini.

Jailani, kata laporan itu turut berkata, bahawa kementeriannya telah mengenal pasti organisasi yang ‘cuba mengungkap semula’ isu 1MDB berikutan rampasan kapal mewah di Bali, Indonesia bulan lalu.

Antara portal yang terlibat menurut Jailani ialah The Wall Street Journal (WSJ), The New York Times, The Economist, Australian Broadcasting Corporation, dan terbaru, MSNBC.

Berhubung laporan-laporan mengenai 1MDB itu, Jailani dilaporkan berkata, berita palsu tersebut disebarkan untuk memburukkan imej Perdana Menteri Najib (PM) Razak.

Kata beliau lagi, sementara kerajaan cuba membasmi berita palsu di Malaysia, isu-isu ini dibawa masuk oleh sumber-sumber daripada luar negara ini.

Siasatan ke atas 1MDB kata Jailani telah membuktikan bahawa dakwaan penyalahgunaan dan kehilangan wang adalah tidak benar.

1MDB menjadi siasatan utama melibatkan pengubahan wang haram di sekurang-kurangnya enam negara, termasuk Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura

Friday, March 23, 2018

Tengok dari luar kotak: Rasanya Khalid dah lihat dan menengok dari pelbagai sudut bila berikan komen ini

Cuba nilai sendiri apa yang dia minta dan cakap kepada SPRM adalah kebimbangan terhadap tekanan dari pihak lain kerana...... korang pikirlah sendiri!

Tanah Ijok: SPRM diminta berlaku adil terhadap tiga individu dari syarikat perunding
DALIA ISMAIL  -  March 22, 2018 5:58 pm
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didesak bertindak adil terhadap tiga daripada tujuh individu yang didakwa ada hubungkait dengan penyalahgunaan kuasa berkaitan penjualan tanah seluas 880 hektar (2200 ekar) membabitkan lebih kurang 980 peneroka di Ijok.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad berkata, tiga daripada yang ditahan reman selama empat hari oleh SPRM itu adalah perunding kepada satu daripada syarikat perunding yang bertanggungjawab menyelesaikan kemelut tanah peneroka sejak 20 tahun lalu setelah tanah itu diambil alih oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan diserahkan kepada syarikat pemaju swasta.

“Tiga individu yang ditahan SPRM itu adalah dari sebuah syarikat perunding yang telah mencadangkan penyelesaian kepada kerajaan negeri Selangor.

“Kita desak SPRM bertindak telus dan bebaskan mereka. Mereka adalah pakar perunding yang mencadangkan formula penyelesaian yang menguntungkan kedua pihak (BN dan PH).
.
“Jangan nanti dalam kes ini ia merupakan salah guna kuasa yang melampau dan tidak ada asas dan alasan munasabah kerana kerajaan BN menggunakan SPRM,” ujarnya dalam sidang media diadakan di bangunan Parlimen hari ini.

Pada Rabu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad mengesahkan penahanan semua individu itu yang dipercayai terbabit dalam rasuah dan menyalahguna kuasa berkaitan penjualan tanah seluas kira-kira 880 hektar di Ijok.

Tangkapan itu dibuat di beberapa syarikat pemaju sekitar Selangor dan Putrajaya antara jam 12.45 tengah hari hingga 4 petang, selain tindakan pembekuan sembilan akaun peribadi dan syarikat bernilai RM30 juta milik semua suspek.

Tiga daripada tujuh individu yang ditahan SPRM itu didakwa ada hubungkait dengan syarikat-syarikat yang pada asalnya pemilik ke atas tanah di Alam Perdana (1000 ekar) manakala Alam Mutiara dan Alam Utama (2200 ekar).

“Tan Sri Khaled Ibrahim (bekas menteri  besar Selangor)  cuba selesaikan isu ini kerana dicabar di mahkamah peneroka masih tidak dapat tanah,rumah dan pampasan dijanjikan pemaju.

“Akhirnya melalui sebuah syarikat perunding telah berjaya untuk mengemukakan satu penyelesaian dua pihak yang akhirnya diluluskan oleh kerajan negeri selangor.

“Oleh itu 980 peneroka dapat pampasan dan rumah tetapi Umno BN nak jadikan ia sebagai kes kononnya ada penyelewengan berlaku.

“SPRM diarahkan kerajaan Umno-BN untuk bekerjasama dalam isu ini untuk diberikan gambaran sudah berlaku penyelewengan dan salah guna kuasa oleh kerajaan negeri selama ini.

“Apa yang dijanjikan pada peneroka telah diserahkan kepada mereka dan kerajaan negeri dapat keuntungan sampingan 100 ekar diberi balik daripada pemaju ini, secara percuma kerajaan tidak keluar satu sen capai penyelesaian ini.

“Sepatutnya satu kejayaan yang dibangga bersama kerana peneroka dapat apa yang dijanjikan. Tetapi Umno-BN nak tunjukan kerajaan negeri gagal kononnya ada penyelewengan ke atas tanah yang diberi pemaju itu kerajaan  negeri dapat balik- mustahil kerajaan negeri boleh dapat balik tanah itu tanpa perlu bayar pampasan,” ujarnya.

Menurut Ahli Parlimen Subang Sivarasa Rasiah berkata, Umno-BN adalah punca kepada kemelut tanah peneroka ini berlarutan sejak 1998.

SPRM seharusnya tidak menahan dan menangkap tiga daripada tujuh individu terbabit selepas merampas tanah peneroka dan menyerahkannya kepada kroni tetapi gagal melunaskan janji kepada peneroka untuk memberikan sebuah rumah dan pampasan setiap keluarga.

“Jika SPRM terlalu berminat untuk menyiasat kes ini sepatutnya apa yang perlu disiasat salah guna kuasa yang berlaku pada tahun 1998. Siapa ketika itu yang membuat keputusan untuk mengambil semula tanah kepada peneroka, kemudian bagi tanah ini kepada syarikat kroni.

“Kita lihat nama- nama Adun Umno-BN ini ada dalam senarai syarikat-syarikat ini. Apakah yang sebenarnya berlaku? Itu yang sepatutnya SPRM siasat,” tegasnya.

Kaitan: Kes dakwaan hubungan sulit ketua SPRM ditutup, kata Zahid

Thursday, March 22, 2018

Kenapa tidak saman media asing?

Kalau 1MDB berita palsu, kenapa tidak saman media asing, tanya Pakatan
Amin Iskandar · Diterbitkan pada 22 Mar 2018 1:49PM
Ahli Parlimen Pakatan Harapan di Dewan Rakyat hari ini mendesak Perdana Menteri Najib Razak menafikan laporan media luar tentang 1MDB jika benar laporan itu berita palsu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mac, 2018.

PERDANA Menteri Najib Razak dan Putrajaya perlu menafikan laporan media antarabangsa mengenai 1Malaysian Development Berhad (1MDB), termasuk menyaman semua media asing yang melaporkannya, kalau maklumat dilaporkan itu dianggap berita palsu, kata wakil rakyat Pakatan Harapan (PH).

Mereka membangkitkan persoalan itu selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said memberitahu Dewan Rakyat bahawa Rang Undang-undang Anti Berita Tidak Benar akan dibawa ke Parlimen minggu depan.

Ahli-ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat mengingatkan sikap berdiam diri Najib dan Putrajaya hanya akan menyebabkan rakyat keliru mengenai isu itu.  

"Saya nak beritahu menteri di seluruh dunia kebelakangan ini ada 53 portal berita baik daripada yang paling hebat sekali seperti The Economist, Guardian, CNBC, MSNBC, CNN sehingga Middle Eastern News, Jakarta Post, Tempo dan The Straits Times, Bangkok Post pun melaporkan tentang 1MDB dan juga mengaitkan dengan perdana menteri.

"Kalau berita-berita ini tidak diiktiraf, yang menteri kata fake news, maka perdana menteri kena nafikannya atau saman mereka,” kata Sim Tze Tzin (PKR-Bayan Baru) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau mengkritik kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Johari Jailani yang berkata semua maklumat mengenai 1MDB yang tidak ada dalam laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) adalah berita palsu.

“Adakah kerajaan mempunyai monopoli terhadap fake news?” soal Sim.

Undang-undang Berita Palsu ke Dewan Rakyat minggu depan

Sim mencelah selepas Azalina memberitahu Dewan Rakyat bahawa Rang Undang-undang Anti Berita Tidak Benar sudah diluluskan oleh Kabinet semalam.

“Saya juga ingin memaklumkan kepada Dewan yang mulia ini bahawa RUU Anti Berita Tidak Benar 2018 telah pun dibentangkan dan diluluskan di mesyuarat Kabinet semalam.

“Bacaan kali pertama rang undang-undang ini dicadangkan dibuat di Dewan Rakyat minggu hadapan.

“Sesi taklimat bersama ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan parti pembangkang juga akan diadakan pada minggu hadapan,” kata ahli Parlimen Pengerang itu semasa menggulung perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong.

Sebelum itu, Mohamed Hanipa Maidin bangun memberitahu Azalina bahawa kerajaan tidak perlu membentangkan undang-undang seumpama itu kerana Malaysia sebenarnya berdepan dengan masalah berita benar, bukannya berita palsu.

“Malaysia ini sebenarnya bukan masalah berita palsu, RM2.6 bilion ini benda benar tetapi perdana menteri tidak didakwa.

“Benda benar tidak dianggap satu perkara yang perlu dipertahankan. Benda benar pula orang kena tangkap.

“Jadi saya rasa tak payah bawaklah RUU berita palsu ini. Kita bukan hadapi masalah berita palsu kita ada masalah perdana menteri palsu. Fake prime minister!,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Hanipa merujuk kepada dakwaan RM2.6 bilion yang dilaporkan masuk ke dalam akaun peribadi Najib pada Julai 2015.

Hanipa memberikan contoh bagaimana Rafizi Ramli (PKR-Pandan) yang berdepan dengan pelbagai dakwaan dan hukuman kerana mendedahkan perkara benar. – 22 Mac, 2018

Terserlah: Tujuan sebenar Undang-Undang Berita Palsu

Thursday, 22 March 2018
TUJUAN SEBENAR UNDANG2 BERITA PALSU KINI SUDAH TERSERLAH....

Matlamat dan tujuan sebenar mewujudkan undang-undang berita palsu kini terserlah akhirnya.

Hanya kira-kira seminggu lagi sebelum undang-undang tersebut dibentangkan di Parlimen, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Jailani Johari tampil membawa suatu pencerahan yang tidak sukar untuk difahami.

Beliau berkata, secara amnya definasi berita palsu adalah sesuatu berita yang tidak disahkan oleh pihak berkuasa serta pihak yang mempunyai skop bidang tugas atau kepakaran dalam sesuatu perkara itu.
Sambil menyebut tentang 1MDB, katanya, maklumat berkaitan skandal itu adalah ditakrifkan sebagai berita palsu, melainkan yang mendapat pengesahan daripada kerajaan sahaja.

Amboiii...

Ini dengan sendirinya bermakna maklumat atau pendedahan skandal 1MDB oleh pihak lain seperti DOJ atau media antarabangsa misalnya, meskipun ia adalah benar dan berfakta, akan tetap dianggap sebagai berita palsu hanya kerana ia tidak disahkan oleh kerajaan.

Bermakna juga, dalam kempen PRU 14 mendatang ini, tiada apa-apa yang boleh diperkatakan lagi mengenai skandal 1MDB.

Soalnya, adakah kerajaan sedia mengesahkan sesuatu berita atau maklumat berkaitan 1MDB yang terkena ke dahi Perdana Menteri sendiri dan mereka yang rapat dengannya?

Lebih malang, bukan saja laporan audit 1MDB telah diOSAkan, malah laporan kewangan syarikat yang diaudit juga tidak dikeluarkan sejak tahun 2014 lagi.

Dengan sendirinya, jika hanya yang disahkan kerajaan saja boleh diperkatakan, manakala yang buruk ditutup atau diOSAkan, makanya hanya yang baik dan indah sajalah yang boleh disebarkan selepas ini.

Apakah akhirnya nanti semua perkara lain juga tidak boleh diperkata atau dihebahkan sama, melainkan yang mendapat pengesahan kerajaan saja?

Bagaimana jika kerajaan sendiri enggan mengesahkan sesuatu berita yang dianggap merugikan mereka?
Dalam waktu yang sama, keadaan ini juga memberi ruang yang sangat terbuka dan tanda had kepada kerajaan untuk menyerang pihak pembangkang kerana semua berita buruk mengenai pembangkang sudah tentu akan dengan mudah disahkan benar oleh kerajaan.

Adilkah begitu?

Apa pun, pengenalan undang-undang berita palsu ini yang seolah-oah sengaja dibentangkan di Parlimen menjelang hampirnya tarikh pilihanraya, ia adalah satu lagi alasan terbaik untuk rakyat dan pengundi membuat perubahan dan menukar kerajaan.

Undang-undang ini tidak lain hanya menjadikan kerajaan semakin tertutup, tidak boleh ditegur dan menuju ke arah pemerintahan yang berteraskan ketidakadilan serta menutup penyelewengan. (ShahbudinHusin 22/03/2018)

Posted by Shahbudin Husin at 09:22 

Friday, March 16, 2018

Tidak bermoral atau bebal dan menutup perdamaian?

Dr Mujahid sifatkan pensyarah pro-Pas tidak bermoral, putar belit rundingan
HUSIN MAHAT  -  March 16, 2018 8:29 am
Tindakan pensyarah Universiti Utara Malaysia Dr Kamarulzaman Yusof memutarbelitkan rundingan penyelesaian luar mahkamah berhubung saman fitnah ahli parlimen Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa mengecewakan naib presiden AMANAH itu.

Malah Dr Mujahid menyifatkan pensyarah penyokong tegar Pas itu sebagai ‘suka memutarbelit fakta’ dan ‘tidak bermoral’.

Dalam satu kenyataan media, peguam beliau Mohd Fitri Asmuni berkata, mediasi (perbincangan luar mahkamah) antara Dr Mujahid dan Dr Kamarulzaman telah diadakan pada 14 Mac lalu dan antara butiran perbincangan adalah pensyarah tersebut perlu memohon maaf atas artikelnya yang telah menjatuhkan reputasi Dr Mujahid.

“Jika beliau bersedia untuk memohon maaf kepada Dr Mujahid, pihak kami bersedia tarik balik saman kepadanya.

“Dr Mujahid juga menuntut permohonan maaf dibuat dalam facebook (FB) sebagaimana beliau telah memfitnah Dr Mujahid dalam FB yang dibaca oleh orang awam.

“Pegawai mediasi memberi ruang kepada yang kena saman untuk menerima tawaran Dr Mujahid. Yang kena saman enggan dan pegawai mediasi tetap memberi tempoh sehingga awal April untuk Dr Kamarulzaman membuat keputusan memohon maaf kepada Dr Mujahid,” jelas Mohd Fitri.

Dr Kamarulzaman dalam postingnya di FB seusai proses mediasi itu ‘berbesar hati’ dengan ‘jiwa besar’ Dr Mujahid yang bersedia menarik balik saman RM5 juta terhadap beliau kerana mendakwa pemimpin AMANAH itu sebagai ‘kuda tunggangan DAP’.

Pensyarah penyokong tegar Pas itu tidak pula menyatakan syarat-syarat yang dikenakan Dr Mujahid bagi menarik balik saman beliau, malah belum membuat keputusan untuk memohon maaf.

Menurut Mohd Fitri, isu Dr Mujahid ‘berjiwa besar’ untuk menarik balik saman tersebut tidak timbul malah beban sebenar tertanggung ke atas Dr Kamarulzaman untuk memohon maaf.

“Kenyataan dalam posting Dr Kamarulzaman jelas telah ‘memutar’ hakikat sebenarnya.

“Bagi pihak Dr Mujahid, beliau berasa kesal atas sikap manusia yang suka memutarbelitkan fakta, tidak hairanlah tulisan datang dari manusia sebegini sangat tidak bermoral dan tidak bernilai,” bidas Mohd Fitri.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Kamarulzaman dalam posting balasnya menyifatkan bidasan Dr Mujahid itu telah ‘menutup ruang untuk perdamaian’.

“Kenyataan Datuk Dr Mujahid ini, dan tuduhan beliau bahawa posting saya ‘jelas telah memutar hakikat sebenarnya’, bahawa saya adalah ‘manusia yang suka memutarbelitkan fakta’ dan bahawa tulisan saya ‘sangat tidak bermoral dan tidak bernilai’ menunjukkan terma persetujuan telah tidak dihormati sekali gus menutup ruang untuk perdamaian,” katanya.