Friday, January 5, 2018

Pemecatan Tun Salleh Abbas: Rupanya begini jalan ceritanya!

Bukan Mahathir tapi Agung titahkan pecat Tun Salleh Abbas, kata bekas peguam negara
MALAYSIADATELINE  -  January 4, 2018 5:49 pm
Bekas peguam negara Tan Sri Abu Talib Othman mengakui Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mencadangkan pemecatan ketua hakim negara Tun Salleh Abbas pada 1988 sebaliknya ia hanya mengikut titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Iskandar Sultan Ismail (Almarhum).

Abu Talib mengulas kenyataan Tun Mahathir yang mengakui tidak ada kaitan dengan pemecatan Tun Salleh dan sanggup bersumpah dengan al-Quran untuk membuktikan kenyataannya adalah benar.

Abu Talib berkhidmat sebagai peguam negara dari 1980 hingga 1993.

Menjelaskan peristiwa itu, Abu Talib memaklumkan kepada Tun Mahathir selaku perdana menteri pada waktu itu bahawa beliau mahupun Yang di-Pertuan Agong tiada kuasa untuk memecat ketua hakim negara.

“Ia adalah saat yang mencabar. Bolehkah kamu tidak pedulikan titah Yang di-Pertuan Agong?

“Jadi, saya nasihatkan Dr Mahathir dan mengingatkan beliau sumpah yang dilafazkan sebagai perdana menteri bahawa beliau perlu mempertahankan perlembagaan. Dan beliau katakan kepada saya, ‘kamu pergi beritahu Agong’.

“Saya menghadap baginda di Johor. Dan Agong tetap mahu tindakan itu diambil. Lagi sekali saya ingatkan baginda bahawa perdana menteri mahu pun Agong tidak boleh memecat ketua hakim negara itu,” kata Abu Talib kepada pemberita di Kuala Lumpur, hari ini.

Abu Talib berkata beliau telah mengingatkan Agong berhubung sumpahnya, bahawa baginda mesti melindungi dan mempertahanan perlembagaan.

Krisis kehakiman pada 1988 berlaku selepas Salleh dipecat sementara lima lagi ketua hakim digantung tugas.

Salleh menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong ketika itu mewakili badan kehakiman, meluahkan kekecewaan terhadap dakwaan yang dibuat oleh Dr Mahathir terhadap badan kehakiman.

Majlis Peguam turut mempersoalkan pemecatan itu dan menyifatkan ia sebagai tidak berperlembagaan.

Abu Talib berkata, Agong murka dengan surat Salleh yang mengadu mengenai kritikan yang ditimbulkan oleh badan kehakiman oleh eksekutif.

“Itulah puncanya. Aduan itu nampaknya menyebabkan kemurkaan Yang di-Pertuan Agong Sultan Iskandar.

“Baginda kemudian merujuk surat Salleh kepada perdana menteri dan menitahkan tindakan sewajarnya perlu diambil berhubung aduan itu.

“Memandangkan kedua-duanya bersetuju untuk ambil tindakan, saya sediakan dokimen yang perlu untuk menubuhkan tribunal,” katanya dan menambah beliau menggunakan nama Dr Mahathir untuk menubuhkan tribunal kerana komunikasi dengan pihak istana diuruskan pejabat perdana menteri.

Prosedur untuk memecat ketua hakim negara termaktub dalam Perkara 125 (3) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan tribunal mesti ditubuhkan untuk menyiasat sama ada terdapat kes salah laku atau ketidakupayaan dari kelemahan badan atau minda atau sebarang sebab lain sebelum menjalankan penyingkiran.

Tribunal itu terdiri daripada enam ahli yang dipengerusikan oleh hakim Mahkamah Agung dan bekas Ketua Hakim Negara Hamid Omar yang memecat Salleh.

Pada tahun yang sama, Perlembagaan Persekutuan digubal untuk membuang terma “kuasa kehakiman” daripada Perkara 121 (1) Perlembagaan Persekutuan, yang mengamalkan kehakiman ke Parlimen.

Abu Talib berkata walaupun beliau menganggap perkara itu sebagai sejarah, “ia telah dipolitikkan dan dijadikan isu peribadi.”

“Tidak benar Dr Mahathir yang mulakan tindakan memecat atau mahukan Salleh dipecat, beliau hanya menurut titah Agong ketika itu.

“Saya bukan mahu pertahankan Dr Mahathir namun itulah fakta. Saya tidak bermain politik tetapi menggunakan fakta,” tambah bekas peguam negara itu.

Ketika berucap pada kempen pilihan raya umum (PRU) 1995, Tun Salleh yang bertanding atas tiket Semangat 46 di Parlimen Lembah Pantai memaklumkan bahawa Sultan Iskandar telah memohon maaf kepadanya atas insiden pemecatan beliau.

3 comments:

  1. Astgfirullah. Subhanallah. Slepas kes tuu kbanyakan rakyat msia mngatakan tunM singkir tunAbas mlalui cramah2 serta pentas politik.
    Maafkan kami tunM krana info fitnah yg tular. Siapalah kami dlm kes tuu..

    ReplyDelete
  2. Baca dan ambil maklum saja.Jangan komen lebih2 walaupun tak puas hati kepada yang dah tiada di dunia ini.
    Dia sedang menghadapi apa2 yang diberitahu oleh Nabi SAW.

    ReplyDelete
  3. Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang gaib; tak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lohmahfuz).

    kat donya ni banyak lah cakap
    kat akhirat nanti tau la sapa ynag bersubahat
    takutah hai manusia dihari semua rahsia manusia didedahkan oleh Allah

    ReplyDelete