Saturday, January 20, 2018

Reformasi: Kerana Najib u-turn, Saifuddin tinggalkan UMNO

Saifuddin tidak akan tinggalkan Umno kalau BN mahu reformasi

  | January 20, 2018
Bekas timbalan menteri itu berkata mengharapkan gabungan pemerintah mengalu-alukan perubahan adalah tidak masuk akal.
PETALING JAYA: Ketua Setiausaha Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah mentertawakan cadangan sebuah badan pemikir yang mencadangkan suatu komitmen reformasi institusi dwipartisan sebelum pilihan raya umum ke-14.
Saifuddin berkata beliau tidak akan meninggalkan Umno jika Barisan Nasional bersungguh-sungguh mahukan reformasi.
Beliau berkata keputusan untuk meninggalkan BN dibuat selepas pengkritik 1MDB dihukum tetapi rasa tidak puas hati timbul lebih awal dari itu, apabila beliau mendapati Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak begitu komited melakukan reformasi.
“Pada suatu ketika, Najib seolah-olah mahukan reformasi, tetapi kemudian dia buat pusingan U dalam isu Akta Hasutan,” katanya.
“Apabila orang-orang atasan yang mempersoalkan isu 1MDB disingkirkan, saya buat keputusan untuk pergi.”
Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) baru-baru ini memuji seruan reformasi institusi, mengambil maklum seruan itu daripada kerajaan dan pembangkang. Badan itu berkata ahli politik yang membuat seruan itu boleh menunjukkan keikhlasan dengan menyokong reformasi secara dwipartisan.
Saifuddin, yang meninggalkan Umno untuk PKR pada 2015 berkata sokongan lantang untuk perubahan semasa beliau bersama Umno menimbulkan rasa geram beberapa ahli parti.
“Saya digelar bermuka-muka, dan pernah Zahid dilaporkan berkata mereka tidak perlukan seorang timbalan menteri seperti saya,” katanya, merujuk kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Sedangkan saya cuma bercakap tentang perkara yang saya bawa sekarang ini, cuma tanpa bahasa reformasi.
“Saya mungkin bias, tapi dalam tempoh singkat saya bersama Pakatan Harapan, saya mendengar dan bercakap tentang reformasi lebih daripada semua tahun-tahun saya bersama Umno.”
Saifuddin dilantik timbalan menteri pendidikan tinggi di penggal pertama pentadbiran Najib. Beliau juga salah seorang ahli majlis tertinggi Umno.
Beliau mengkritik cara kerajaan menangani tunjuk perasaan Bersih 2.0 pada 2001, di mana lebih 1,600 penunjuk perasaan ditahan di jalan-jalan Kuala Lumpur.
Pada awal 2013, beliau mempertahankan seorang pelajar yang dimalukan oleh seorang ahli panel berkaitan kerajaan di satu forum di Universiti Utara Malaysia.
“Semasa saya bersama Umno, saya pernah diberi peringatan oleh Kabinet kerana bercakap tentang hak dan kebebasan pelajar yang berkaitan dengan usaha saya meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku),” katanya.
“Hanya apabila Najib bersetuju meminda Seksyen 15 Auku maka Umno dan pimpinan BN bersetuju pada cadangan itu. Sebelum itu, tiada komen diberikan tentang kertas yang saya bentangkan pada majlis tertinggi Umno.”
Saifuddin berkata tidak masuk akal untuk mengharapkan BN akan mengalu-alukan reformasi institusi selagi politik perkauman kekal sebagai rangka kerja politik utamanya.
“Lebih buruk apabila sentimen agama dimasukkan,” katanya.
“Tak, anda tak boleh harapkan reformasi daripada BN.”

2 comments:

  1. Just desire to say your article is as amazing. The clearness to your post is
    just excellent and i can suppose you are an expert in this subject.
    Well with your permission let me to grab your feed to
    stay updated with forthcoming post. Thank you one million and please continue the gratifying work.

    ReplyDelete
  2. It's amazing to pay a quick visit this site and
    reading the views of all friends on the topic of this piece of writing, while I am also zealous of
    getting know-how.

    ReplyDelete