Tuesday, January 30, 2018

Wala’ yang membawa bala

Abu Hafiz Salleh Hudin · Diterbitkan pada 28 Jan 2018 12:47PM
AL-WALA' ialah satu doktrin penting dalam perbahasan akidah Islam. al-Wala’ menuntut ketaatan dan kecintaan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah SWT dan Rasul SAW dalam menyempurnakan arahan dan tuntutan agama. 

Manakala, al-Bara’ adalah menjauhi, berlepas diri serta membenci perkara yang bertentangan dengan arahan dan tuntutan Islam. 

Justeru, al-Wala’ dan al-Bara’ merupakan kata kunci yang merumuskan garis pemisah antara daerah iman dan kufur bagi seorang Muslim.

Malangnya, konsep-konsep ini, al-Wala’ khususnya seringkali dijadikan oleh PAS untuk mengikat dan ‘mengugut’ ahli-ahlinya agar tidak keluar parti dan menyokong parti-parti lain. 

Daripada berusaha meyakinkan ahli-ahli dengan mengemukakan idea-idea politik bernas, menawarkan kualiti dan model pentadbiran yang memajukan negara, pimpinan dan ulama’ PAS mengambil jalan pintas dengan menyalahgunakan konsep wala’. 

Sanggahan pandangan dan tindakan politik presiden misalnya hanya dibenarkan dalam mesyuarat. Menegur di luar mesyuarat itu hukumnya haram kerana kononnya tidak menepati disiplin agama. Menuntut Presiden untuk berundur daripada jawatan juga adalah haram kerana bagi mereka jawatan itu ibarat jubah yang dipakaikan oleh tuhan. Jika Saidina Uthman, khalifah al-Rasyid ketiga kekal mempertahankan jawatan sehingga mati dibunuh maka demikian juga selayaknya untuk presiden mereka.  

Amat malang apabila pengikut PAS dengan mudah ditakut-takutkan dengan ugutan dosa, munafik, bahkan ke tahap menjadi kafir apabila gagal menyerahkan ketaatan kepada pimpinan parti. 

Adalah tidak salah untuk memantapkan kekukuhan sesebuah organisasi hasil dari kemantapan kerjasama dan persefahaman ahli organisasi. Namun tindakan mengugut ahli bawahan supaya tidak melontarkan persoalan ‘mengapa’ terhadap tindakan dan keputusan pimpinan dengan alasan wala' adalah sama sekali salah. 

Hal ini semuanya berjaya dilakukan kepada ahli-ahli PAS dengan memanipulasi ayat-ayat Quran dan hadith. Antara dalil yang seringkali digunakan untuk tujuan ini ialah hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari. Sabda Nabi SAW: “Hendaklah kamu beriltizam dengan jama‘at al-Muslimin dan imam (pemimpin) mereka”.

Hakikatnya, fatwa politik bahawa PAS adalah jamaah muslimin berdasarkan hadith ini hanya disokong oleh ulama-ulama parti yang berkepentingan. 

Selain daripada para ulama silam yang menafikan perkara ini, tokoh-tokoh gerakan Islam moden yang juga ulama terbilang seperti Sa‘id Hawwa’ dan Muhammad Abd al-Qadir Abu Faris tidak menganggap gerakan dakwah atau politik yang wujud hari ini sebagai Jama‘at al-Muslimin tetapi jama‘at min jama‘at al-Muslimīn (satu kumpulan dari jama‘at al-Muslimin).

Inilah pandangan yang bukan sahaja tepat bahkan mampu menjaga ukhuwwah persaudaraan sesama muslim dalam pertarungan idea politik dan perebutan kuasa. ‘Perseteruan’ merebut kuasa dalam kalangan kelompok-kelompok Islam pada zaman moden bakal didorong dek kehendak memenuhi tuntutan agama untuk ‘fastabiq al-Khairat’ (berlumba membuat kebaikan).

Kesan Salah Guna

Rakyat Malaysia harus tahu bahawa wala’ PAS ini sebenar satu bala yang merugikan mereka. Exco Kerajaan negeri Kelantan, Che’ Abdullah Mat Nawi baru-baru ini dilaporkan di media sebagai berkata bahawa tiada peruntukan wang kerajaan untuk pembangunan akan diberikan kepada wakil rakyat pembangkang walaupun mereka adalah wakil rasmi yang dipilih rakyat. 

Keputusan diskriminasi ini diambil semata-mata kerana kepentingan politik sempit yang jelas bertentangan dengan perintah agama yang mewajibkan hak ditunaikan kepada mereka yang berhak. Amat sukar untuk memikirkan bahawa polisi zalim ‘Kerajaan Islam’ Kelantan ini akan diubah segera kerana ulama-ulama PAS sudah biasa diam seribu bahasa semuanya kerana al-Wala’.

Perpaduan umat Islam juga menjadi amat sukar dicapai apabila para pemimpin PAS dengan mudah melabel sebahagian umat Islam yang memilih wadah politik lain seperti Amanah sebagai barua, jebon, dan munafik haraki. 

Tindakan para pemimpin PAS ini walaupun bercanggah dengan akhlak Islam dan tata susila Melayu jelas direstui tanpa banyak soalan kerana wala’ adalah segala-galanya. 

Episod hitam ini jelas menunjukkan bahawa soal perpaduan dan kasih sayang sesama Muslim tidak lagi menjadi keutamaan pertimbangan PAS. 

Bahkan lebih teruk daripada itu, rakyat akan terus terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi dan negara kekal dirundung malang apabila Najib dan Umno kekal berkuasa kerana tindakan pemimpin PAS yang menggesa ahli-ahlinya untuk memencil diri daripada gabungan besar pembangkang. 

Wala’ PAS sememangnya membawa bala. – 28 Januari, 2018.

* Abu Hafiz Salleh Hudin merupakan Timbalan Pengerusi Strategi dan Dasar Bersatu.

No comments:

Post a Comment