Friday, January 19, 2018

Pemilikan asing di Malaysia: Kenapa jadi begini?

Pemilikan asing di Malaysia kini seperti zaman penjajah
Sheridan Mahavera · Diterbitkan pada 18 Jan 2018 9:25PM
Bekas Penolong Setiausaha Agung PBB Jomo Kwame Sundaram menyifatkan pemilikan asing yang tinggi dalam negara ketika ini tidak akan membantu dan menambah pendapatan negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 18 Januari, 2018

SEORANG ahli ekonomi terkemuka menyuarakan kebimbangan mengenai kadar pemilikan asing yang tinggi di Malaysia, menyifatkannya sebagai hampir serupa dengan “era ketika berakhirnya penjajahan British”.

Bekas Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Jomo Kwame Sundaram mengatakan kehadiran banyak pihak asing yang memegang ekuiti di Malaysia tidak baik untuk pendapatan negara.

“Jika anda ada ramai pihak asing yang memiliki kapital di sini, duit yang dibuat di Malaysia akan lebih banyak di bawa keluar. Ia tidak disalurkan semula kepada pendapatan negara,” kata Jomo, seorang felo pelawat di Khazanah Research Institute (KRI).

“Kita mungkin berada dalam situasi era hujung penjajahan apabila terdapat pemilikan asing yang kuat dalam ekonomi Malaysia,” kata Jomo pada forum anjuran KRI, “Malaysian Income Distribution in a Global Context” hari ini.

Amaran Jomo itu senada dengan pandangan Profesor Dr Edmund Terence Gomez dari Universiti Malaya yang mengatakan ekuiti di Malaysia sekarang lebih banyak dipegang pihak asing, yang pertama sejak 1969.

Sejak 2016, pemilikan asing perkongsian kapital dalam syarikat pegangan terhad tempatan meningkat daripada 30.1% pada 2006 kepada 37.9% pada 2008.

Bagaimanapun, pemilikan orang Cina jatuh daripada 42.4% pada 2006 kepada 34.9% pada 2008, dan pegangan orang Melayu kekal 21.9% pada 2008, kata Gomez.

Pada 1969, pemilikan asing adalah 62.1% sebelum jatuh kepada hanya 26% pada 1985.

Sejak 2008, kerajaan sudah tidak mengeluarkan data berkaitan pemilikan asing. 

Peningkatan pegangan asing dalam ekonomi negara adalah perkara yang perlu ditangani segera, kata Jomo, kerana ia menjejaskan keupayaan negara untuk mengurangkan kesenjangan pendapatan dan membentuk lebih banyak kekayaan untuk warganya.

Walaupun kesenjangan pendapatan telah menurun sejak 1970-an, ia banyak disebabkan oleh proses pembalikan pengindustrian yang tidak mampu bertahan dalam jangka masa panjang, katanya lagi.

Sumbangan sektor pengeluaran kepada ekonomi semakin menurun berbanding zaman emasnya pada era 80-an dan 90-an, dan mula membuka peluang kepada sektor tradisional lain seperti peruncitan dan pemborongan berkembang, kata Jomo lagi.

Menurut data Jabatan Perangkaan, pada suku kedua 2017 sektor peruncitan menyumbang 54.2% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sementara sektor pengeluaran hanya menyumbang 23.5%.

Pentadbiran Najib Razak berusaha meningkatkan sumbangan sektor perkhidmatan dalam ekonomi negara, dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.

Proses pembalikan pengindustrian kepada perkhidmatan moden seperti perundingan perniagaan dan undang-undang atau teknologi maklumat tidak akan memberikan masalah kerana ia bermaksud negara sedang meningkat naik dalam rantaian nilai ekonomi, katanya lagi.

“Tetapi kita mengejar (menumpukan kepada) perkhidmatan tradisional dan ia boleh menyebabkan kita berada dalam perangkap negara berpendapatan pertengahan,” kata bekas professor ekonomi di UM itu.

Masalah itu diburukkan lagi, katanya, dengan kebergantungan tinggi negara kepada pekerja asing yang tidak mahir dan rendah upahnya.

“Kesan tenaga buruh asing yang walaupun senang, adalah anda akan memperlahankan perubahan teknikal dan progress yang anda sepatutnya jalani untuk menjadi sebuah negara pendapatan pertengahan. – 18 Januari, 2018.

1 comment: