Tuesday, January 30, 2018

Gila mendera: Hukuman mati sekiranya Mahkamah dapati bersalah

Kes bunuh Zulfarhan: Pendakwaan mahu buktikan penglibatan 19 penuntut UPNM 
TMI · Diterbitkan pada 29 Jan 2018 5:09PM
Lima daripada 19 penuntut didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntuk hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Januari, 2018

PIHAK pendakwaan mahu membuktikan bahawa kematian penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Pegawai Kadet Zulfarhan Osman Zulkarnain berpunca akibat dipukul, ditendang dan ditekap dengan seterika wap oleh 19 penuntut universiti itu sehingga mangsa mengalami luka lecur hampir 80 peratus badannya ekoran enggan mengaku mencuri sebuah komputer riba.

Timbalan Pendakwa Raya Othman Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa pihak pendakwaan juga akan membuktikan kesemua 19 penuntut universiti itu terlibat dalam membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan si mati.

Dalam ucapan pembukaan pada hari pertama perbicaraan kes itu, Othman berkata kesemua tertuduh telah memukul dengan tangan dan menendang mangsa selama tiga jam berturut-turut bermula pada 2.30 pagi 21 Mei 2017 sehingga 5.30 pagi hari sama, dan tindakan sama berulang dari 1.30 pagi sehingga 4.30 pagi pada 22 Mei 2017.

“Namun, nasib yang menimpa si mati (Zulfarhan Osman) tidak terhenti pada 4.30 pagi (22 Mei 2017). Fakta kes pendakwaan menunjukkan pada 4.45 pagi iaitu selepas sebahagian tertuduh telah keluar dari bilik 04-10 (asrama UPNM), soal siasat ke atas si mati telah diteruskan semula oleh tertuduh pertama hingga tertuduh keenam.

“Semasa soal siasat itu dibuat, tertuduh pertama memegang seterika wap, seterusnya tertuduh keenam telah menyuruh tertuduh pertama mencucuh si mati dengan seterika wap tersebut sehingga si mati menjerit kesakitan.

“Tertuduh kedua hingga kelima juga menggunakan seterika wap yang sama untuk mencucuh badan si mati. Perbuatan itu dihentikan setelah selesai azan subuh berkumandang pada kira-kira 5.45 pagi,” katanya di hadapan Hakim Azman Abdullah.

Beliau berkata pendakwaan melalui saksi pakar perubatan forensik juga akan mengemukakan hasil bedah siasat yang menunjukkan si mati mengalami beberapa kecederaan pada badan dan sebab kematiannya adalah akibat luka bakar.

Menurutnya terdapat kesan lecur tahap satu, dua dan tiga yang sedang mengalami proses penyembuhan pada tubuh mangsa.

“Komplikasi luka lecur adalah ‘hypovolemic shock’ (kekurangan cecair dalam badan), jangkitan kuman, organ penting rosak dan ketikdakseimbangan elektrolit sehingga boleh menyebabkan kematian selain terdapat pendarahan di bawah kulit kepala pada bahagian temporal kanan, kiri dan tengah kepala yang boleh diakibatkan oleh objek tumpul,” katanya.

Anggota keluarga tertuduh turut menghadiri perbicaraan kes itu, yang bermula pada 9.30 pagi, manakala tujuh anggota keluarga Zulfarhan Osman pula memakai  baju T berwarna biru tertera #justice4farhan, #sayNOtoBULLY dan #humanity.

Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap Zulfarhan Osman bagi maksud hendak memeras mangsa untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba.

Sembilan belas tertuduh itu, yang kesemuanya berumur 22 tahun, ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri , Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar dan Muhamad Ashraf Abdullah.

Tertuduh lain ialah Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Akmal Akif Alias, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany, Mohamad Syazwan Musa, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di dalam bilik 03-05 Blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 2.30 pagi dan 5.30 pagi, 21 Mei lalu dan di bilik 04-10, asrama sama, antara 1.30 pagi dan 4.30 pagi, 22 Mei 2017.

Mereka dituduh  mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Lima daripada 19 penuntut berkenaan iaitu Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif Najmudin dan Mohamad Shobiri menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan Osman di tempat, masa dan tarikh sama manakala seorang lagi iaitu Abdoul Hakeem menghadapi pertuduhan bersubahat membunuh pelajar itu.

Lima tertuduh itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntuk hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Abdoul Hakeem pula dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama-sama Seksyen 302 kanun sama yang membawa hukuman serupa.– Bernama, 29 Januari, 2018.

Berkaitan-di Mahkamah: Saksi: Zulfarhan tak sedar diri, badan dibalut ‘bandage’
Bernama | January 29, 2018

Penolong pegawai perubatan Pusat Koordinasi Perubatan Kecemasan Hospital Serdang berkata, hasil pemeriksaan mendapati mangsa tidak bernafas, tiada denyutan nadi dan tiada pergerakan anak mata hitam.

3 comments:

  1. Bgmana anak2 muda ini boleh jd begitu sadis? Islam ajaran apa ini

    ReplyDelete
  2. berpunca akibat dipukul, ditendang dan dll

    macam tu jugak kut yang terjadi dengan tahanan dalam lokap lain lain jabatan
    tapi asek terlepas aja mana ada
    keadilan macam ni

    pelajar itu mati akibat perbuatan semua yang terlibat yang mendatnagkan kecederaan luar n dalaman
    patutnya semua jika bersalah dihukum mati semua menyumbang ke arah sebab kematian pelajar itu
    tak payah nak kesian kesian kat orang jahat
    ambil sebagai satu pengajaran untuk orang lain
    yang bercita cita jika ada peluang nak pukul dera orang

    ReplyDelete
  3. Mudah mudahan mereka yg membunuh ini dihukum bunuh.

    ReplyDelete