Saturday, January 27, 2018

Nasihat Ku LI: Keangkuhan tidak membantu

Keangkuhan Putrajaya tak bantu menang PRU14, kata Ku Li
Low Han Shaun, Asila Jalil · Diterbitkan pada 27 Jan 2018 11:02AM
Ku Li mengatakan tindakan angkuh Putrajaya kebelakangan ini termasuklah soal siasat Dr Siti Hasmah bakal memberi kesan buruk kepada parti pemerintah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Januari, 2018

TINDAKAN angkuh Putrajaya tidak memberikan sebarang manfaat kepada kerajaan memerintah ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) semakin hampir, kata Tengku Razaleigh Hamzah

Ahli Parlimen Gua Musang yang lebih dikenali sebagai Ku Li itu menyentuh dua kejadian terbaru- soal siasat polis ke atas Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan perubahan tempat forum awam anjuran G25 yang dilakukan saat-saat akhir hari ini- mengatakan dua kejadian ini akan menjauhkan rakyat Malaysia daripada Barisan Nasional.

“Tiada manfaat pihak berkuasa berkasar dengan organisasi seperti ini, malah memburu Siti Hasmah pula, saya tak fikir ia betul, kenapa tak tangkap Dr Mahathir sahaja?

“Ia akan wujudkan banyak lagi kisah tak enak didengar dan beri keburukan kepada parti pemerintah, saya tak fikir ia akan beri kelebihan kepada parti pemerintah,” kata Ku Li pada sidang media di Shah Alam hari ini.

Dr Siti Hasmah disoal siasat polis Bukit Aman semalam atas dakwaan melanggar Akta Perhimpunan Aman kerana ucapan ringkasnya mengenai wanita membantah politik toksik pada Himpunan Ungu empat bulan lalu.

Forum awam G25 bertajuk “Reforms for a progressive Malaysia” sepatutnya diadakan di Universiti Malaya, Petaling Jaya. Tetapi tempahan dewan dibatalkan pada saat-saat akhir menyebabkan ia terpaksa dipindahkan ke Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam.

“Kejadian ini apabila penganjur forum yang bersifat akademik diminta berpindah dari dewan yang mereka sudah bayar deposit dan dimaklumkan kepada ahli (G25) lain…tiba-tiba diberikan notis pendek dan tempahan dibatalkan,” kata Ku Li.

Mengulas mengenai sama ada Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad mempunyai kelebihan dalam PRU14, Ku Li berkata pilihan raya itu saksama untuk semua pihak terlibat.

“Misalnya dalam kes Pakatan Harapan yang bersetuju untuk Dr Mahathir menjadi perdana menteri sementara sekiranya mereka mendapat sokongan rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

“Saya harap saya ada bola kristal untuk beritahu awak (sama ada Dr Mahathir akan jadi baik atau buruk), tetapi awak semua dah lihat dia jadi perdana menteri untuk 22 tahun.

“Dia dah tunjukkan apa dia suka, adakah awak rasa harimau bintang akan ubah ganasnya, itulah persoalan besar oleh sebilangan orang, adakah dia akan berubah dengan panduan semua pemimpin lain daripada parti itu? Kita tak boleh jangka,” katanya.

Katanya terpulang kepada pengundi menggunakan hak mereka untuk mengundi atau tidak dalam pilihan raya umum akan datang kerana negara ini terbina atas Perlembagaan.

“Tetapi jika kita tak ikut apa yang diamalkan dalam Perlembagan akan ada banyak percanggahan dan perpecahan dalam rakyat.

“Orang Malaysia bijak…jika mereka rasa mereka mahu undi untuk parti tertentu mereka akan undi, jika mereka rasa kedua-dua pihak pilihan yang teruk dan memilih tak mahu mengundi, itu hak mereka."

Ku Li menambah walaupun beliau adalah “pejuang Umno”, beliau akan terus mengkritik perkara yang tidak dipersetujuinya.

“Saya bukan wakil parti di Dewan Rakyat, saya ahli Parlimen Gua Musang bukan ahli Parlimen Umno.  

“Saya tak tahu sama ada saya akan bertanding lagi (dalam PRU14), saya dah 81 tahun sekarang,” katanya. – 27 Januari, 2018.

1 comment:

  1. Tiada tanduk telinga dipulas,mereka menyaatakan regim Syria zalim

    ReplyDelete