Friday, January 19, 2018

Jangan putar, bercakap tentang sejarah hendaklah berfakta dan sahih

Fakta sejarah hendaklah sahih
OOI HENG, ELIJAH dan YASMIN  -  January 17, 2018 7:59 
Kami merujuk kepada Konvensyen Kebangkitan Ummah (KKU) baru-baru ini pada 13 Januari 2018, di mana Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Ismail Mina Ahmad mendakwa bahawa hanya kaum Melayu sahaja yang menentang penjajah British dan Jepun serta pemberontak komunis tanpa penglibatan kaum lain.

Kami ingin menyatakan bahawa adalah tidak benar bahawa hanya kaum Melayu sahaja yang menentang penjajah dan komunis. Sepanjang sejarah Malaysia, walaupun kebanyakan usaha penentangan penjajah British di Tanah Melayu adalah dibuat oleh kaum Melayu, tetapi terdapat juga penglibatan kaum lain.

Kami ingin membawa kepada perhatian terhadap pembunuhan Residen British Perak yang pertama, JWW Birch, yang dilakukan oleh Dato’ Maharajalela pada 2 November 1875. Ketika JWW Birch sedang mandi pada sebatang sungai di Pasir Salak, Maharajalela dibantu oleh Sepuntum, seorang yang dipercayai ialah Orang Asli.

Kami juga menganggap bahawa Ismail Mina Ahmad telah melupakan bahawa Sabah dan Sarawak jugalah sebahagian daripada Malaysia, sedangkan terdapat usaha-usaha menentang British yang dilakukan oleh kaum bukan Melayu.

Di Sabah, semasa zaman pemerintahan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British, suatu pemberontakan berlaku di bawah pimpinan Datu Muhammad Salleh (dikenali sebagai Mat Salleh) dari tahun 1894, dan biarpun Mat Salleh meninggal dunia pada tahun 1900, pemberontakan ini berterusan sehingga tahun 1905. Datu Mat Salleh bukanlah seorang Melayu, tetapi seorang Suluk dengan ibunya yang merupakan Orang Bajau. Adakah Ismail Mina Ahmad menganggap kedua-dua kaum Suluk dan kaum Bajau sebagai “Melayu”?

Malah Pemberontakan Mat Salleh ini bukan sahaja disokong oleh kaum Suluk dan kaum Bajau, tetapi juga kaum lain terutamanya Kadazan-Dusun, yang mendominasikan kaum pribumi di Sabah. Kadazan-Dusun tentulah tidak layak digelar sebagai “Melayu” sepertimana dalam Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan, kerana kira-kira 75% daripada mereka adalah beragama Kristian, dan mereka yang beragama Islam hanyalah 23%.

Selain itu, pada tahun 1915, suatu pemberontakan terhadap Syarikat Berpiagam oleh kaum Murut berlaku di bawah pimpinan Ontoros Antanum. Kaum Murut tentulah juga bukan “Melayu”, memandangkan kira-kira 80% daripada kaum Murut pada zaman kini adalah beragama Kristian dan hanya 18% daripada mereka beragama Islam.

Bagi Sarawak pula, semasa zaman pemerintahan Kerajaan Brooke, dari 18 hingga 24 Februari 1857 suatu pemberontakan oleh 600 Orang Cina berlaku di Kuching di bawah pimpinan Liu Shan Bang, seorang pelombong emas di Bau. Sejarah ini seolah-olahnya telah lenyap dan hilang.

Selepas itu, dari tahun 1853 hingga 1863, satu lagi pemberontakan dilakukan oleh Rentap, seorang Iban. Pemberontakan yang berpangkalan di Bukit Sadok ini menjadi suatu episod yang penting dalam sejarah Sarawak. Kaum Iban tentulah bukan “Melayu” juga, memandangkan pada zaman kini kira-kira 76% daripada mereka adalah beragama Kristian, 13.63% beragama animisme, dan hanya 1.54% beragama Islam.

Pada masa yang sama, dari tahun 1859 hingga 1860, suatu pemberontakan di bawah pimpinan Syarif Masahor berlaku. Beliau adalah berketurunan Hadhramaut (di Yaman), walaupun dianggap sebagai “Melayu”.

Semasa penaklukan Jepun di Tanah Melayu pada zaman Perang Dunia Kedua dari tahun 1941 hingga 1945, walaupun terdapat kaum Melayu yang menentang Jepun di bawah payung Force 136 (dengan sokongan British) dan Gerila Wataniah (kini Rejimen Askar Wataniah), terdapat juga orang Melayu yang menyertai Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya (MPAJA) yang dikaitkan dengan Parti Komunis Malaya.

MPAJA yang mempunyai anggota pelbagai kaum ini tidak wajar dilenyapkan daripada sejarah, memandangkan mereka merupakan kumpulan anti-Jepun yang terbesar ketika itu. Lagipun, sebenarnya bukan semua anggota MPAJA adalah komunis, kerana terdapat ramai yang menyertai MPAJA semata-mata atas semangat anti-Jepun mereka.

Malah bukan semua di kalangan kaum Cina adalah berfahaman komunis, memandangkan semasa itu di China telahpun berlaku perang saudara antara kerajaan Kuomintang (yang berundur ke Taiwan pada tahun 1949 sehingga kini) dan pemberontak Parti Komunis China (yang menguasai Tanah Besar China sejak tahun 1949 sehingga kini), dan kedua-dua Kuomintang dan Parti Komunis China juga mempunyai penyokong masing-masing di kalangan masyarakat Cina di luar negara termasuk Tanah Melayu.

Kita juga tidak boleh melenyapkan Lim Bo Seng, seorang peniaga Cina dari Singapura yang menentang Jepun di bawah Force 136. Beliau telah memimpin usaha seperti memboikot barangan Jepun dan menggalakkan pekerja kaum Cina syarikat-syarikat Jepun di Tanah Melayu untuk memogok, dan akhirnya menyertai Force 136, mengendalikan suatu rangkaian pengintip.

Selepas ditangkap oleh pihak Jepun di Gopeng, Perak pada tahun 1944, nyawa beliau terkorban pada 29 Jun 1944 akibat penyakit dan pelbagai penderaan oleh pihak Jepun kerana enggan membongkarkan sebarang maklumat mengenai Force 136. Beliau bukan sahaja disambut sebagai seorang wira oleh rakyat Singapura, malah di Ipoh terdapat sebuah jalan di pekan baru yang dinamakan sempenanya, iaitu Jalan Lim Bo Seng.

Seorang lagi wira bukan Melayu anti-Jepun yang patut dilihat ialah Sybil Medan Kathigasu, seorang jururawat berketurunan Eropah di Ipoh yang membekal pelbagai bekalan perubatan serta maklumat perisikan bagi para penentang Jepun, sebelum ditangkap oleh pihak Jepun pada tahun 1943.

Walaupun didera oleh pihak Jepun seperti Lim Bo Seng, beliau juga enggan membekal sebarang maklumat dan dipenjarakan di Batu Gajah, sehingga menerima rawatan di Britain selepas penyerahan Jepun pada Ogos 1945. Sebuah jalan di Fair Park, Ipoh dinamakan “Jalan Sybil Kathigasu” sempenanya.

Di Sabah pula, seorang doktor Cina, Albert Kwok, memimpin Gerila Kinabalu untuk melawan Jepun dari tahun 1943 hingga 1944. Gerila ini terdiri daripada pelbagai kaum di Sabah.

Di Sarawak, terdapat mereka di kalangan kaum Dayak yang dilatih oleh pihak Perikatan (yang dianggotai British) khususnya Australia untuk menentang Jepun di sana.

Pada masa yang sama, terdapat juga mereka di kalangan kaum Melayu di Tanah Melayu yang menyokong Jepun, atas kebencian mereka terhadap penjajah British. Antaranya terdapat Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang dipimpin oleh Ibrahim Yaacob dan Ishak Haji Mohammad, sebuah kumpulan nasionalis Melayu berhaluan kiri.

Selepas Perang Dunia Kedua, memandangkan penjajah British telah kembali, usaha anti-British dilakukan khususnya oleh kumpulan-kumpulan berhaluan kiri terdiri daripada pelbagai kaum, antaranya bekas ahli KMM menubuhkan gerakan kiri seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang anti-British.

Sebenarnya bukan sahaja kaum Melayu yang menentang komunis, malah terdapat juga kaum lain termasuk Cina dan Gurkha, sama ada dalam tentera British mahupun tentera Malaya/Malaysia dan polis. Pada 13 November 1975, Ketua Polis Perak ketika itu, Tan Sri Khoo Chong Kong dibunuh oleh dua orang anggota komunis.

Kesemua ini menunjukkan bahawa usaha menentang penjajah dan komunis bukanlah suatu yang boleh dimonopolikan oleh kaum Melayu, tetapi dikongsi oleh pelbagai kaum.

1 comment:

  1. kaum melayu yang terasak oleh penjajah britis sebab depa tau britris akan merosakkan tm denagn ugama kristen yang dikembangkan n memecah kuasa terbesar melayu di tm
    inilah yang dah terjadi
    melayu cuba dilenyapkan perlahan lahan
    itu pung ada lagi melyu tak sedar kediri
    hnaya bila nak undi baru heboh malayu malayu
    britis lebih suka bukan melayu kuat di tm
    itulah hakikatnya untuk lemahkan islam
    ynag topik besar adalah britis bukan jepang

    ReplyDelete