Wednesday, January 24, 2018

"Adakah ia dijadikan senjata"?

Najib dikecam kerana cuba remeh skandal 1MDB
Gan Pei Ling · Diterbitkan pada 24 Jan 2018 7:00AM
Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat menggelarnya sebagai kleptokrasi terbesar di dunia dan badan perundangan negara lain seperti Switzerland dan Singapura sudah mengambil tindakan terhadap bank dan individu berhubung dakwaan wang haram yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Januari, 2018

PERDANA Menteri Najib Razak dikecam oleh kumpulan masyarakat sivil dan seorang ahli Parlimen kerana cuba memperkecilkan skandal besar yang melingkari firma pelaburan negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB) semalam.

Mereka menegaskan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) menggelarnya sebagai kleptokrasi terbesar di dunia dan badan perundangan negara lain seperti Switzerland dan Singapura sudah mengambil tindakan terhadap bank dan individu berhubung dakwaan wang haram yang dikaitkan dengan 1MDB.

Sebaliknya, Malaysia tidak mengambil tindakan terhadap sesiapapun.

Najib memberitahu pelabur semalam yang masalah 1MDB dijadikan senyata oleh pembangkang untuk menyerang kerajaan.

“Sekarang, saya tak akan ketepikan isu ini. Memang syarikat lemah, ada urus tadbir lemah. Ada sebab sahih untuk isu ini,” katanya ketika berucap di majlis Invest Malaysia 2018 di Kuala Lumpur.

"Sebab itulah saya arahkan satu siasatan menyeluruh dan terperinci dalam sejarah korporat di Malaysia, yang melibatkan pelbagai badan berkuasa, termasuk badan Parlimen dwipartisan.

"Penemuan mereka diambil kira dan lembaga syarikat itu pun dibubarkan, pasukan pengurusnya ditukar, dan operasinya dinilai semula,” kata Najib.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua, bagaimanapun menegaskan di luar negara, ada bank ditutup dan mereka yang bekerjasama dipenjarakan kerana dakwaan wang haram yang dikaitkan dengan 1MDB.

"(Tetapi) tiada tindakan diambil di Malaysia, malah tidak ada percubaan untuk mendapatkan semula dana yang dicuri. Jadi apa sebenarnya yang dijadikan senjata," kata Pua.

"Bagaimana pula dengan AS$4 bilion atau lebih yang hilang, yang AS kenal pasti sebagai dicuri daripada 1MDB untuk membeli kapal layar mewah, jet peribadi, hartanah di seluruh dunia, lukisan unik dan terkenal serta menghasilkan filem Hollywood?"

Pua dan Pengarah Eksekutif Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) Cynthia Gabriel berkata, Najib belum menjelaskan mengenai kenyataan DoJ yang AS$681 juta dipindahkan dari 1MDB ke akaun banknya.

"Adakah ia 'dijadikan senjata' kerana kononnya penderma Arab menghilangkan diri selepas DoJ AS mendedahkan transaksi di atas?" soal Pua.

Cynthia berkata kegagalan 1MDB disebabkan oleh pelaburan sengaja digagalkan, penipuan transaksi dan penggunaan bank luar pesisir dan syarikat bayangan, serta pembelian hartanah mewah dan lukisan.

"Satu-satunya cara bagi Najib untuk merapatkan defisit kepercayaan yang besar ialah jika beliau memberitahu kebenaran. Dedahkan laporan 1MDB. Bertanggungjawablah. Bekerjasama dalam siasatan jenayah (luar negara), barulah rakyat akan yakin," katanya.

Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah turut mengkritik Najib kerana secara konsisten menafikan wujudnya rasuah dalam 1MDB.

"Sejak penyingkiran bekas peguam negara (Abdul) Gani Patail, tindakan membersihkan segera nama perdana menteri daripada tuduhan rasuah dengan pelantikan peguam negara baru, hingga menggenakan Akta Rahsia Rasmi terhadap laporan yang dikatakan Najib, jangan bersihkan beliau daripada tuduhan rasuah," kata Maria.

Beliau berkata banyak kenyataan janggal dikeluarkan Putrajaya dan laporan daripada penyiasatan di luar negara menunjukkan perbezaan besar dalam tindakan mereka terhadap 1MDB.

"Percubaan kerajaan (Malaysia) menutup dan mengetepikan isu ini disedari orang ramai," kata Maria, mengulangi gesaan Bersih 2.0 agar Najib untuk meletak jawatan sebagai menteri kewangan dan membuat laporan audit terhadap 1MDB.

"SPRM juga harus diberi kuasa sepenuhnya untuk menyiasat perkara tersebut dan mengemukakan penemuan mereka secara terbuka tanpa gangguan atau ancaman oleh kerajaan."

Pada 2016, DoJ berkata kira-kira AS$731 juta ditemui dalam akaun Malaysian Official No. 1 Malaysia (MO1).

DoJ tidak menamakan Najib tetapi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Rahman Dahlan kemudian mengesahkan MO1 adalah perdana menteri.

DoJ juga memfailkan saman sivil merampas lebih AS$1 bilion dalam bentuk hartanah, hak filem dan aset lain.

Ia kemudian melancarkan siasatan jenayah tahun lalu dan berusaha menangguhkan saman sivil. Peguam Negara AS Jeff Sessions menggelar skandal 1MDB sebagai "kleptokrasi paling parah". – 24 Januari, 2018.

No comments:

Post a Comment