Sunday, January 28, 2018

“Pihak yang berkuasa ini mahu jadi hina sehingga tahap mana lagi?" - Rafidah Aziz

Rafidah kata pemimpin negara tiada wibawa lagi untuk mentadbir
TMI · Diterbitkan pada 27 Jan 2018 4:29PM
Dr Siti Hasmah Mohd Ali semasa disoal siasat dua pegawai polis di Yayasan al-Bukhary, Kuala Lumpur, semalam. – Gambar Facebook, 27 Januari, 2018

BEKAS menteri Rafidah Aziz berkata siasatan pihak berkuasa ke atas isteri bekas perdana menteri Dr Siti Hasmah Mohd Ali menunjukkan pemimpin negara kini tidak lagi berwibawa untuk mentadbir.

Katanya, siasatan berkenaan juga menunjukkan betapa pihak berkuasa sangat terdesak sehingga sanggup menutup mulut tokoh seperti Dr Siti Hasmah.

Walhal, Dr Siti Hasmah hanya menggunakan hak untuk bersuara mengenai ketidakadilan pada golongan wanita dan bukannya terlibat dengan skandal seperti dana pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Rafidah.

“Beliau tidak melibatkan diri dalam apa-apa aktiviti yang diklasifikasi oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat sebagai kleptokrasi. Tapi beliau disiasat.

“Pihak yang berkuasa ini mahu jadi hina sehingga tahap mana lagi? Jelas sekali, sebilangan daripada mereka sudah kehilangan wibawa moral dan etika untuk mentadbir,” kata bekas ketua Wanita Umno itu lagi.

Beliau kesal kerana Dr Siti Hasmah menjadi sasaran siasatan sedangkan tiada tindakan dibuat ke atas kes tertentu yang melibatkan dana berbilion ringgit.

“Malah tindakan yang sangat diragui melibatkan berbilion dan jutaan ringgit melibatkan orang tertentu diabai sama sekali. Kes ditutup. Tiada tindakan lanjut.

“Adakah kita menjadi negara diktator?” soalnya lagi dalam satu tulisan di Facebook.

Beliau memuatkan tulisan itu bersama gambar yang menunjukkan polis merakam kenyataan Dr Siti Hasmah semalam.

“Gambar ini merumuskan sikap tidak cakna, kasar dan tidak berhati perut oleh golongan yang berkuasa,” katanya.
Rakam layar akaum Facebook terkini Rafidah Aziz yang menyentuh mengenai tindakan polis menyoal siasat Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang disifatkannya sebagai sangat terdesak. – Gambar Facebook, 27 Januari, 2018

Polis merakam kenyataan Dr Siti Hasmah semalam dalam perhimpunan menuntut politik bersih di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada 10 September tahun lalu.

Dalam perarakan yang diberi nama Wanita Bantah Politik Toksik itu, Dr Siti Hasmah, 91, memberikan ucapan ringkas dari atas sebuah trak pikap kepada lebih 1,000 wanita yang berpakaian serba ungu yang berarak dari Maju Junction ke Kompleks Pertama.

Siasatan itu menimbulkan kecaman ahli politik dan pemimpin masyarakat sivil yang menganggap Putrajaya melakukan penganiayaan terpilih dengan menyiasat Dr Siti Hasmah empat bulan selepas acara tersebut.

Suami Dr Siti Hasmah, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad kini giat berkempen untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional.

Pakatan Harapan (PH) memilih Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri untuk calonkan sebagai perdana menteri sementara bagi PH, seandainya gabungan parti pembangkang itu berjaya membentuk kerajaan. – 27 Januari, 2018.

Berkaitan: Serangan terhadap Siti Hasmah akan jejaskan BN, kata pengguna media sosial

* Pihak berkuasa tak patut 'kacau' Siti Hasmah, kata Ku Li

3 comments:

  1. “Pihak yang berkuasa ini mahu jadi hina sehingga tahap mana lagi?" - Tanya Rafidah Aziz.
    “Pihak yang berkuasa ini mahu jadi hina sehingga tahap mana lagi?" - Rafidah Aziz.
    “Pihak yang berkuasa ini mahu jadi hina sehingga tahap mana lagi?" - Rafidah
    “Pihak yang berkuasa ini mahu jadi hina sehingga tahap mana lagi?" -
    “Pihak yang berkuasa ini mahu jadi hina sehingga tahap mana ....
    “Pihak yang berkuasa ini mahu jadi hina....
    “Pihak yang berkuasa ini mahu jadi...
    “Pihak yang berkuasa ini mahu...
    “Pihak yang berkuasa....
    “Pihak yang ...
    .....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pihak Yang berkuasa akan kejap lagi hilang Kuasa sebelum bulan Puasa di hari selasa........!!!

      Delete
  2. Puzi sila letak jawatan! Jawatan disandang bukan untuk glamor. Pegi balik parit tanam nyor lagi baguih. Negara tak memerlukan kamu. Sila berambus!

    ReplyDelete