Tuesday, January 16, 2018

Letak botol kicap wakili BN pun boleh menang: Benarkah mentaliti orang Ayer Hitam di tahap tu?

Jika letak botol kicap pun BN boleh menang, kata orang Ayer Hitam
Ikhwan Zulkaflee  · Diterbitkan pada 16 Jan 2018 11:00AM
Barisan Nasional yakin mampu mengekalkan kerusi Parlimen Ayer Hitam pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang. – Gambar fail EPA, 16 Januari, 2018

BARISAN Nasional (BN) yakin dapat mengekalkan kerusi Parlimen Ayer Hitam di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRK) walaupun majoriti berkurangan dalam tiga pilihan raya berturut-turut.

BN tidak pernah tewas kerusi itu dan pengundi di sana mengakui rekod kerajaan pemerintahan dalam memenuhi keperluan mereka.

Dan ada sebab lain bagi keyakinan kali ini, dengan rancangan DAP meletakkan calon Amanah bertanding di bawah bendera parti itu.

Penyandangnya, Timbalan Presiden MCA, Dr Wee Ka Siong, mungkin menyaksikan penurunan majoritinya daripada 15,763 undi pada PRU 2004 kepada 7,310 undi pada 2013.

Tetapi parti Cina yang memimpin dalam gabungan BN yakin dapat mengekalkan kerusi itu, walaupun dalam pertandingan tiga penjuru melawan Amanah daripada Pakatan Harapan (PH) dan PAS.

Amanah adalah parti serpihan PAS dan dibentuk selepas hubungannya putus dengan sekutu dalam bekas pakatan pembangkang Pakatan Rakyat.

Pemimpin jenteranya, Samsol Bari Jamali berkata Barisan Nasional (BN) tetap yakin akan menang di kerusi tersebut dalam PRU14 nanti walaupun berdepan pertarungan tiga penjuru menentang parti Amanah dan juga PAS. 

Samsol yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semarang, salah sebuah DUN dalam Ayer Hitam, berkata pengundi di situ sedar BN merupakan parti yang berkhidmat untuk penduduk setempat selama ini. 

“Bagaimana pembangunan kerajaan sediakan buat rakyat, kita yakin mereka (pengundi) nampak. 

“Kita ada keyakinan sendiri dan kita tahu berdasarkan kepada perkhidmatan yang telah kita berikan, rakyat sedar wakil rakyat kita bukan bermusim. 

“Pembangkang ini khidmatnya bermusim, bila pilihan raya baru muncul,” kata ketua bahagian Umno Ayer Hitam itu ketika dihubungi The Malaysian Insight. 

Ditanya mengenai kemungkinan DAP meletakkan calon daripada Amanah untuk bertanding di kerusi tersebut, Samsol juga berkata ia tidak akan mendatangkan masalah bagi BN.

“Apa yang saya boleh katakan, BN sedia berdepan dengan mana-mana parti dalam kawasan Parlimen Ayer Hitam tidak kira dua penjuru atau tiga penjuru,” katanya.

Beberapa penduduk tempatan Ayer Hitam yang ditemui The Malaysian Insight juga berpendapat BN mampu mengekalkan kerusi Ayer Hitam pada PRU14 nanti. 

“Di sini (Parlimen Ayer Hitam) BN letak botol kicap pun boleh menang. DUN Semarang memang kubu kuat BN dari dulu, ini sudah tradisi,” kata Mohd Nasri Mamor, 62, seorang peniaga. 

Nasri mengaku menyokong PAS dan meragui kekuatan Amanah di kawasan tersebut. 
Majoriti undi yang diperolehi Timbalan Presiden MCA Wee Ka Siong bagi kerusi Parlimen Ayer Hitam menjunam daripada 15,763 undi pada pilihan raya 2004 kepada hanya 7,310 undi 2013. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2018

“Saya dengar kemungkinan calon Amanah akan bertanding di Ayer Hitam, tapi Amanah tak ada bayang pun sini. 

"Kalau letak (calon Amanah di) sini tak nampak boleh menang. Dia pun tak ada jentera nak kempen macam mana nanti?” katanya. 

Seorang pengundi di Yong Peng, sebuah lagi kawasan DUN dalam Ayer Hitam, juga menyatakan sokongan mereka kepada BN. 

“Kalau saya, memang saya akan sokong BN sebab sekarang DAP pegang (Yong Peng) kita kurang nampak perubahan, tak macam zaman BN dulu,” kata pekerja kilang Norizuan Muhammad Kasim, 34.

Menurutnya, warga Yong Peng lebih menginginkan pembangunan dan mahu ia dilaksanakan di kawasan itu.

“Amanah kita tak nampak mereka di sini, saya pun tak kenal. Dan kalau bertanding pun saya sokong BN,” katanya.

Seorang lagi pengundi di Yong Peng, yang hanya mahu dikenali sebagai See berpendapat, BN telah berjaya memajukan pekan tersebut dan akan terus menyokong parti tersebut. 

“Saya sudah lama menyokong MCA dan BN. BN berjaya modenkan bandar Yong Peng ni. Kita dah ada bekalan air, jalanraya di sini pun dah cantik. BN juga bina sekolah Cina untuk anak-anak kita. 

“Ini semua untuk masa depan anak-anak. DAP buat apa di sini pun saya tak tahu. Kita tak mahu cakap tentang mereka, tak mahu gaduh. 

“Ada yang sokong, sokonglah,” kata See, 60, yang menganggotai MCA sejak berusia 20 tahun. 

Adun Yong Peng daripada DAP, Chew Peck Choo pula berkata masih terlalu awal meramalkan sama ada kerusi tersebut dapat dipertahankan dalam PRU14. 

“Yong Peng kita rasa 50-50. Kita dapat lihat yang ekonomi semakin mencengkam kehidupan rakyat tapi BN masih dengan perangai yang wang dapat membeli segala-galanya. 

“Tapi bila kami turun ke bawah berjumpa dengan rakyat kita dapat lihat sokongan itu. Kita tengoklah nanti,” tambahnya. 

Namun, berbeza pula bagi peringkat kerusi Parlimen. Beliau berpendapat, PH boleh membuat kejutan di Ayer Hitam berdasarkan kepada sokongan diterima pembangkang daripada rakyat sejak PRU12. 

“Di Ayer Hitam, tiada yang mustahil. Selepas pilihan raya 2008 kita mula mendapat sokongan padu. Sekarang kita bertanding di bawah satu parti, bukan sendirian macam dulu lagi jadi kita ada keyakinan,” katanya. 

Ayer Hitam merupakan salah sebuah kerusi campuran dengan pengundi Melayu membentuk jumlah pengundi terbesar.

Langkah terbaru DAP untuk memberi laluan kepada Amanah untuk bertanding di Ayer Hitam pada kali ini juga dibuat berdasarkan angka ini.

Data PRU13 menunjukkan pengundi Melayu membentuk 56% dari keseluruhan jumlah pengundi di Ayer Hitam, diikuti Cina (38%) dan India (4%). 

Berdasarkan Rang Daftar Pemilih Tambahan suku ketiga 2017, terdapat 46,530 pengundi berdaftar dalam Parlimen tersebut, meningkat 3,617 pengundi dibandingkan dengan bilangan pengundi berdaftar pada PRU13. – 16 Januari, 2018.

No comments:

Post a Comment