Friday, January 26, 2018

Permatang Pauh: Berdasarkan situasi terkini, pastinya PAS akan letak calon

Permatang Pauh: Amanah pastikan kemenangan PKR jika Pas letak calon
MOHD ALI HASHIM  -  January 25, 2018 2:00 pm
Parti Amanah Negara (AMANAH) akan tetap mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh sekiranya Pas bercadang meletakkan calonnya  di kerusi  tersebut bagi menentang  calon PKR pada Pilihan Raya Umum  ke-14 akan datang.

Ketua Pemuda AMANAH Kawasan Permatang Pauh, Mohd Farid Ismail (gambar bawah) berkata, pemuda mendokong aspirasi pimpinan AMANAH dan Pakatan Harapan (PH) bagi memastikan kerusi Parlimen Permatang Pauh dimenangi oleh PH.


“Kita akan pastikan kerusi Parlimen Permatang Pauh tetap menjadi milik PH tanpa memberi sedikit pun ruang kepada Pas dan Umno.

“Setelah Presiden Pas mengumumkan akan meletakkan calon Pas di Permatang Pauh maka terang lagi bersuluh hasrat mereka untuk membantu Umno dan BN menawan kerusi tersebut.

“Pemuda AMANAH Permatang Pauh dalam keadaan siap siaga menanti kehadiran Pas untuk bertanding di Permatang Pauh, ” ujanrya yang diminta mengulas mengenai hasrat Pas ingin meletakkan calon mereka di Parlimen Permatang Pauh dalam pilihan raya Umum (PRU) ke 14 yang akan datang.

Jelas Farid lagi, pengumuman Presiden Pas tersebut menyerlahkan lagi hasrat parti tersebut ingin bersekongkol dan menjadi tongkat kepada parti yang menzalimi rakyat.

“Sepatutnya Pas sedar akan pelbagai polisi Umno dan BN yang sedang menekan rakyat sehingga menyebabkan golongan yang miskin lebih sengsara.

“Apabila Pas menzahirkan hasrat mereka untuk bersama Umno menentang PH di Permatang Pauh, maka kita sanggup mengorbankan keringat, bersinting lengan bagi memastikan kemenangan PH.

“Pas akan menerima nasib yang paling malang dalam sejarah politik mereka, apabila tersepit ditengah dan dipijak dalam pertembungan politik kali ini, ” ujarnya lagi.

Baru-baru ini Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman mengalu-alukan hasrat Pas untuk bertanding di Permatang Pauh.

Malah Mansor turut menerima hasrat Pas untuk bertanding dalam pertandingan tiga penjuru dengan tangan terbuka.

Sejarah telah membuktikan dalam PRU 2013, pertandingan tiga penjuru bagi kerusi Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya memperolehi sebanyak 37090 undi.

Manakala calon BN, Dr Mazlan Ismail berjaya memperolehi sebanyak 25369 undi dan calon Bebas, Abdullah Zawawi hanya mampu memperolehi sebanyak 201 undi.

Anwar berjaya memenangi pertandingan tiga penjuru tersebut dengan majoriti sebanyak 11,721 undi.

Selepas itu dalam pilihan raya kecil 2015, sekali lagi menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Datuk Seri Dr Wan Azizah, BN, Parti Rakyat Malaysia dan juga calon Bebas.

Wan Azizah berjaya mengekalkan kemenangan di Permatang Pauh dengan mendapat 30316 undi, manakala BN mampu memperolehi sebanyak 21475 undi.

Sedangkan dua lagi calon dari PRM hanya mampu meraih 101 undi dan calon Bebas sebanyak 367 undi.

Sebelum ini juga terbukti dengan pertandingan tiga atau pun empat penjuru, samada Anwar maupun Wan Azizah diletakkan sebagai calon, sokongan dan kemenangan tetap berpihak kepada mereka.

Oleh kerana itu hasrat Pas untuk bertanding maupun bergabung dengan Umno juga tidak memberi impak yang besar kerana pengundi Permatang Pauh amat sinonim dengan Anwar maupun Wan Azizah.

Yang pasti penyertaan Pas dalam pertandingan tiga penjuru di Permatang Pauh akan memeriahkan lagi pesta PRU ke 14 yang akan menjelang tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment