Saturday, August 5, 2017

Pertemuan dengan Mahathir: Zahid kata dia ada rakamannya dan kesabaran ada hadnya.

* Zahid perlu dedahkan rakaman itu sekiranya memang ada di tangannya untuk bersihkan namanya membeli kepercayaan Najib dan Ahli UMNO dan buktikan yang kenyataan Dr. Mahathir bohong

Saya ada rakaman pertemuan dengan Dr Mahathir, kata Zahid
Diterbitkan pada 4 Aug 2017 8:05PM
Ahmad Zahid Hamidi mendakwa memiliki rakaman perbualan perjumpaan dengan bekas pemimpin Umno itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Ogos, 2017.

TIMBALAN Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mendedahkan seorang bekas pemimpin Umno adalah dalang di sebalik usaha menyingkirkan Perdana Menteri Najib Razak.

Katanya beliau mempunyai cukup bukti dalam bentuk rakaman bekas pemimpin itu yang mencadangkan agar Najib dijatuhkan sebagai perdana menteri melalui undi tidak percaya di Parlimen pada masa itu.

“Perbualan ketika perjumpaan dengan bekas pemimpin itu ada dirakam dan rakaman itu juga masih ada pada saya.

"Ketika itu, saya baru 10 hari dilantik menjadi timbalan perdana menteri, jadi macam mana secara logiknya saya mahu jatuhkan (Najib) kalau baru 10 hari pegang jawatan itu," katanya semasa berucap pada Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Jerlun hari ini.

Baru-baru ini bekas perdana menteri dan presiden Umno Dr Mahathir Mohamad mendakwa Zahid bertemu dan meminta sokongan daripadanya untuk menggantikan Najib sebagai perdana menteri.

Mengulas lanjut, Zahid berkata bekas pemimpin itu perlu bercakap benar apa sebenarnya yang berlaku ketika itu.

"Saya bukan mahu membalas dendam tetapi saya mahu ahli Umno dan rakyat tahu yang berbohong itu adalah dia (bekas pemimpin Umno berkenaan).

"Dia yang mahu jatuhkan (Najib) sebenarnya. Saya bukan jenis orang yang gigit tangan orang yang bagi saya makan dan saya juga tidak ambil kesempatan untuk diri sendiri (bagi mendapatkan sesuatu)," katanya.

Zahid menyifatkan dirinya dijadikan sebagai "jerat"  dan sudah tentu sama sekali tidak akan melupakan perkara tersebut.

Beliau berkata perkara itu tidak didedahkan kepada umum kerana pemimpin berkenaan pada masa itu masih lagi di dalam Umno.

Mendedahkan lebih lanjut tentang perkara itu, Zahid berkata jika undi tidak percaya itu tidak dapat dilaksanakan, opsyen kedua "pakatan itu" adalah menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memecat Najib sebagai perdana menteri.

Timbalan perdana menteri turut menzahirkan rasa hairannya kenapa perkara itu ditimbulkan oleh bekas pemimpin berkenaan selepas dua tahun daripada tempoh pertemuan yang diadakan itu.

"Tiba-tiba orang itu cakap saya yang rancang untuk jatuhkan perdana menteri dan sebab itu saya meminta dia jangan bercakap bohong," katanya. – Bernama, 4 Ogos, 2017. - sumber

* Pada aku kalau diteliti dari trek rekodnya kedua-dua pemimpin ini memang perlu muhasabah diri dan kedua2nya memang perlu berzikir sebagaimana saranan Zahid Hamidi sendiri

Kalau Zahid maksudkan Dr. Mahathir perlu berdiam diri itu tutup mulut, Zahid juga perlu berdiam diri merenung untuk meneliti, berfikir dan menerima kebenaran dan kekhilafan. Beliau perlu mencari jatidiri untuk bertindak ke atas sesuatu yang difikirkannya betul


Zahid suruh Dr Mahathir duduk diam, banyak berzikir
Chan Kok Leong
Diterbitkan pada 5 Aug 2017 7:00AM 
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi meneruskan serangan terhadap Dr Mahathir Mohamad berucap pada mesyuarat Bahagian Umno Merbok di Sungai Petani, Kedah malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Zainal Abd Halim, 5 Ogos, 2017.

SERANGAN terhadap Dr Mahathir Mohamad berterusan dari siang hingga ke malam apabila Pemangku Timbalan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberitahu bekas perdana menteri itu yang zamannya sudah berakhir.

“Jangan layanlah masalah di luar itu,” kata Zahid semasa berucap pada mesyuarat Bahagian Umno Merbok di Sungai Petani malam tadi.

“Parti pembangkang tetap parti pembangkang, terutama parti pembangkang yang asalnya daripada kita,” kata timbalan perdana menteri.

“Zaman depa dah lepas. Duduklah diam-diam, zikirlah banyak-banyak,” katanya samar-samar merujuk kepada Dr Mahathir disambut tepukan daripada perwakilan Bahagian Merbok.

Menurut Zahid kesabaran ada hadnya.

“Kita hormat, siapa pun kita hormat… tapi kalau dia nak kutuk kita, kutuk PM, siapa tahan. Kita ada sabar. Kesabaran kita apabila kita ditolak ke dinding, kita mesti patah balik, mesti kalau boleh kita tibai balik.

“Dia tibai kita 10 kali, kita tibai dia sekali cukuplah,” tambahnya.

Pada sebelah siang sebelumnya, di Jerlun, Zahid berkata beliau ada bukti Dr Mahathir sebenarnya yang mahu menyingkirkan Perdana Menteri Najib Razak.

Zahid mengulangi dakwaan yang beliau ada rakaman perbualannya dengan Dr Mahathir pada 2015.

“Perbualan ketika perjumpaan dengan bekas pemimpin itu ada dirakam dan rakaman itu juga masih ada pada saya.

"Ketika itu, saya baru 10 hari dilantik menjadi timbalan perdana menteri, jadi macam mana secara logiknya saya mahu jatuhkan (Najib) kalau baru 10 hari pegang jawatan itu," katanya semasa berucap pada Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Jerlun.

Pertelingkahan antara Dr Mahathir dan Zahid bermula apabila timbalan perdana menteri itu mengungkit susur galur keturunan India bekas perdana menteri itu.

Dr Mahathir membalas serangan itu dengan mendedahkan yang Zahid kononnya mahu menyingkirkan Najib dan pernah ada kekayaan bernilai RM230 juta semasa jadi ketua pemuda Umno.

Zahid masih belum menjawab tuduhan mengenai pemilikan hartanya itu.

Sementara itu, Zahid meminta Umno Merbok mengekalkan kerusi Parlimen Merbok dan kerusi DUN Tanjung Dawai serta merampas semula kerusi DUN Bukit Selambau dalam pilihan raya akan datang.

Kerusi Parlimen Merbok disandang Prof Dr Ismail Daut daripada Umno manakala Tangjung Dawai diwakili Ketua Bahagian Umno Merbok Tajul Urus Md Zain. DUN Bukit Selambau pula wakil rakyat R Krishnamoorthy daripada PKR. – 5 Ogos, 2017.

Kaitan: FITNAH APA? ZAHID BERI BOLA CHANGGUNG, MAHATHIR TENDANGLAH

1 comment:

  1. Adalah wajib bagi Najib berhati-hati terhadap Zahid Hamidi ini, entah-entah apa yang Najib bualkan dengannya telah dan akan dirakam, untuk kegunaan tikam belakang dimasa akan datang. Muhyiddin Yassin sudah pun kena jeratnya, aku yakin Zahid Hamidi adalah mastermind buat rakaman taklimat Muhyiddin Yassin di Janda Baik dulu itu, kemudian diviralkannya untuk merampas jawatan TPM yang sedang disandang oleh Muhyiddin ketika itu. Sebaiknya, Najib tendang Zahid itu dengan segera sebelum terlambat.

    ReplyDelete