Thursday, August 24, 2017

Mengesahkan Pas 'pengebom bunuh diri'

Bertanding 42 kerusi Dun Selangor sahkan Pas 'pengebom bunuh diri'
24 Ogos 2017 | MALAYSIA DATELINE
Faiz Fadzil

Kenyataan Pesuruhjaya Pas Selangor Sallehen Mukhyi bahawa Pas akan bertanding di 42 kerusi Dun Selangor mengesahkan parti itu sebagai 'suicide bomber' (pengebom bunuh diri) dan bukannya 'king maker' dalam politik tanah air.

Keputusan itu juga menunjukkan bahawa Pas tidak lagi bersama pembangkang malahan menjadi pengganggu (spoiler) dalam perjuangan rakyat menjatuhkan rejim Umno-BN pimpinan kleptokrat Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan ketua Pemuda AMANAH Nasional Faiz Fadzil bagaimanapun yakin rakyat akan memilih blok yang benar-benar kuat bagi menjatuhkan Umno-BN iaitu Pakatan Harapan.

"Dalam keadaan ini, mustahil untuk Pas menjadi 'king maker' kerana mereka bukan lagi pilihan rakyat kerana tidak lagi berada bersama gabungan pembangkang," ujarnya.
Menurut beliau, dalam sejarah pilihan raya negara ini, Pas hanya mendapat sokongan kuat rakyat apabila berada dalam satu gabungan seperti mana bersama Barisan Alternatif dalam PRU 1999 dengan 27 kerusi parlimen, PRU 2008 (23 kerusi) dan PRU 2013 bersama Pakatan Rakyat (21 kerusi).
"Sebaliknya apabila bersendirian, Pas hanya mendapat 1 kerusi dalam PRU 1986 dan 7 kerusi dalam PRU 2004," katanya.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan Pas sebagai 'suicide bomber' yang bukan sahaja akan membunuh dirinya sendiri, tetapi juga orang yang berada di sekelilingnya.

"Begitulah juga ibaratnya dengan kedudukan Pas yang akan ditolak rakyat kerana dilihat mesra Umno dan seringkali membela korupsi Datuk Seri Najib Razak yang mana parti-parti yang bersama Pas juga dibimbangi bakal ditolak rakyat," katanya.

Oleh itu, Faiz menyeru semua parti gabungan Pakatan Harapan supaya memberikan fokus memperkukuhkan Pakatan Harapan di semua peringkat dan menumpukan kepada objektif menjatuhkan Umno-BN.

"Masa yang diberikan kepada Pas untuk menyertai Pakatan Harapan telah lama dibuka, namun tidak disambut oleh Pas. Sebaliknya Pas lebih ketagih menyerang Pakatan Harapan dan parti-parti komponennya.

"Maka, punca dan agenda Pas di sebalik langkah sumbang Pas ini di kala Datuk Seri Najib Razak mengamalkan khurafat baru 'cash is king' demi survival politiknya bukan lagi suatu misteri," tegas beliau.

2 comments:

  1. I will immediately grasp your rss feed as I can't find your
    email subscription hyperlink or e-newsletter service. Do you've
    any? Kindly allow me understand in order that I may subscribe.
    Thanks.

    ReplyDelete
  2. apa yang susah sangat UMNO sponser untuk semua bajet dari penamaan calon,deposit,poster,you named it,mungkin bilik gerakan pun kongsi.P_S ni macam bini no 2 kepada Um_ _ .

    ReplyDelete