Thursday, August 24, 2017

Sentimen rakyat penentu PRU14

23 Ogos 2017 | SYED IBRAHIM SYED NOH
Pada rencana yang lalu, saya telah menjelaskan bagaimana skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sangat berkaitan atau relevan dengan kesejahteraan kehidupan rakyat.

Akibat pengurusan dan tatakelola yang pincang lagi menyeleweng, ditambah pula dengan cukai GST, kenaikan harga barang, kenaikan kos sara hidup, pendapatan yang rendah dan peluang pekerjaan yang kurang maka derita rakyat dikhuatiri tiada penghujungnya.

Soalnya, apakah ini hanya mainan politik pembangkang atau sentimen sebenar rakyat? Apakah rakyat akan ditipu dengan janji popular pembangkang? Apakah pembangkang boleh membiaya perbelanjaan tambahan yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan akibat janji-janji itu?

Menurut Exco Pemuda Umno Malaysia Shahril Sufian Hamdan seperti yang dilaporkan media, ada tiga kebarangkalian buruk sekiranya pembangkang diberi mandat oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Tiga kebarangkalian itu ialah sama ada janji (dalam bajet) tidak akan ditunaikan langsung; atau janji ditunaikan dan GST dimansuhkan tetapi cukai lain dinaikkan; atau janji ditunaikan dan GST dimansuhkan tetapi hutang pula mencapai jumlah yang besar mencecah sehingga RM150 bilion.

Saya boleh terima pendapat beliau ini kerana ia ialah kebarangkalian. Kebarangkalian ialah suatu ukuran kemungkinan berlakunya sesuatu peristiwa yang nilainya bergantung kepada darjah kepercayaan seseorang terhadap sesuatu peristiwa itu akan berlaku.

Maknanya, kalau darjah kepercayaan seseorang itu tinggi terhadap sesuatu peristiwa maka kebarangkalian terjadinya peristiwa itu juga tinggi. Contohnya yang berkait dengan ramalan cuaca atau jual beli saham. Barangkali hujan, barangkali tidak. Barangkali harga saham naik, barangkali turun.

Amalan kebarangkalian digunakan secara meluas dalam bidang seperti statistik, matematik, kewangan, sains dan falsafah untuk mendapat kesimpulan berkaitan kebarangkalian peristiwa terjadi. Dalam hal cuaca, mungkin ramalan cuaca tidak begitu kuat pengaruhnya kerana cuaca dianggap kejadian alam yang diluar kawalan manusia tetapi dalam hal saham, penilaian kebarangkalian atau kemungkinan oleh penganalisis kewangan boleh mempengaruhi keputusan.

Dalam kebarangkalian Shahril tadi, beliau kemukakan “kebarangkalian buruk”. Senang kata kemungkinan buruk. Risiko negatif. Sudah tentu beliau memiliki darjah kepercayaan yang tinggi terhadap kemungkinan yang dinyatakan sebab beliau mewakili parti pemerintah. Sudah tentu beliau mahu melakarkan persepsi negatif kepada janji pembangkang sebab beliau parti pemerintah. Justeru tidak hairanlah beliau gagal mengukur kebarangkalian baik akibat daripada janji-janji pembangkang. Dan lebih penting lagi beliau gagal menilai melalui kaca mata rakyat.

Apakah tidak mungkin kebarangkalian baik berikut berlaku? Janji pembangkang ditunaikan, GST dihapuskan dan harga barang terkawal; atau janji ditunaikan, GST dihapuskan dan kos sara hidup terkawal; atau GST dihapuskan dan kutipan cukai dapat ditampung oleh kerajaan melalui pertama: potensi penjimatan daripada pembaziran, ketirisan dan kerugian kerajaan; kedua: potensi penjimatan dengan penurunan 1% kadar bunga pinjaman negara dan ketiga: potensi kutipan daripada cukai keuntungan modal (jual beli saham) dan cukai jualan dan perkhidmatan.

Kebarangkalian atau kemungkinan baik ini bukan berdasarkan kepada populariti atau janji manis tetapi berpandukan sentimen sebenar yang dihadapi oleh rakyat namun diabaikan oleh parti pemerintah. Ia juga berasaskan penyelesaian yang sudah mula dikongsi oleh pembangkang sedikit demi sedikit melalui penerangan, jerayawara (jelajah), risalah dan media sosial.

Baru-baru ini Invoke di bawah Pusat Inisiatif Dasarnya (selalu disebut sebagai INVOKE Centre for Policy Initiatives atau I-CPI) telah mendedahkan kaji selidiknya yang berkait dengan kefahaman mengenai tahap puas hati pengundi mengenai prospek ekonomi.

Kaji selidik berkenaan dikatakan cukup penting sebagai lanjutan daripada penemuan terdahulu bahawa isu-isu paling penting yang mempengaruhi pilihan pengundi adalah isu ekonomi rakyat, terutamanya mengenai kenaikan harga barang dan gaji yang dilihat tidak setimpal dengan kenaikan kos sara hidup.

Antara dapatan daripada kaji selidik yang melibatkan 3,783 pengundi berdaftar tersebut ialah 59% pengundi merasakan hala tuju ekonomi negara berada di landasan yang salah; 65% pengundi merasakan keadaan ekonomi keluarga mereka lebih buruk berbanding 4 tahun lalu; 64% pengundi merasakan keadaan ekonomi keluarga mereka akan menjadi lebih buruk tahun depan; 50% pengundi merasakan harga barang makanan dan barang runcit naik melebihi 10% sejak tahun lepas; dan 37% pengundi merasakan bil bulanan seperti elektrik, api, air, telefon dan lain-lain naik antara 6% ke 10%.

Selain itu, 41% pengundi merasakan harga minyak (petrol dan diesel) naik antara 11% ke 20%; 64% pengundi merasakan harga keperluan lain seperti pakaian, belanja sekolah anak dan lain-lain naik melebihi 10% sejak tahun lepas; 50% pengundi membelanjakan lebih daripada 50% pendapatan bulanan untuk membayar hutang dan rumah; 64% pengundi sama ada tidak berpuas hati dengan gaji mereka sekarang, atau mahukan kerja tetap; 60% pengundi merasakan pendapatan mereka hanya cukup-cukup untuk menampung perbelanjaan dan 17% pengundi merasakan pendapatan mereka tidak cukup untuk menampung perbelanjaan. Dapatan penuh boleh dibaca di blog rafiziramli.com.

Berasaskan dapatan berkenaan, amat jelas bahawa tahap kepuasan hati rakyat terhadap prospek ekonomi amat rendah malah tidak mencerminkan angka-angka rasmi kerajaan. Contohnya terdapat perbezaan angka rasmi inflasi yang dikeluarkan kerajaan (sekitar 2% hingga 3%) berbanding kenaikan harga barang yang dirasai oleh pengundi (secara majoritinya melebihi 10%). Pertumbuhan ekonomi negara pada suku kedua tahun ini yang dilaporkan sebagai 5.8% juga dilihat tidak selari dengan keadaan ekonomi yang dirasai rakyat.

Justeru, pada pendapat saya, kebarangkalian baik atau janji oleh Pakatan Harapan yang lebih memahami sentimen sebenar rakyat merupakan kemungkinan yang lebih berpotensi menjadi realiti.

Sementara kegagalan parti pemerintah dengan sindrom penafiannya dan kepercayaan kepada angka rasmi kerajaan yang tidak selari dengan sentimen rakyat itulah merupakan kebarangkalian atau risiko buruk yang boleh terus menjahanamkan negara dan rakyat jika masih diberi mandat dalam PRU-14.

1 comment:

  1. I feel that is among the most significant information for
    me. And i'm happy reading your article. But want to remark on few normal things,
    The website style is wonderful, the articles is truly excellent :
    D. Good activity, cheers

    ReplyDelete