Tuesday, August 22, 2017

Yang keliru atau yang tak tahu?

Apabila Yang Keliru Berbicara
August 21, 2017
Perbahasan berhubung pindaan RUU 164 telah selesai beberapa hari lepas. Yang terlibat membahasnya di dewan rakyat memahami sebab mengapa pindaan itu dikemukakan. Malangnya sehari dua selepas selesai perbahasan, timbul pula berbagai tafsiran dan dakwaan dari yang tidak terlibat. Kononnya kepentingan Islam terjejas dengan pindaan yang telah diluluskan. AMANAH pula dikutuk kerana tidak menolak pindaan tersebut.

Jika ditolak maka yang sediada akan kekal. Baik sangatkah yang sediada? Syariie sangatkah yang sediada sehingga pindaan yang dibawa wajib ditolak?

Hakikatnya yang sediada banyak sangat kelompangannya dan walaupun pindaan yang dibawa tidak sempurna, namun ianya dianggap mampu menghasilkan keadaan yang lebih adil dari yang sediada.

KELOMPANGAN YANG SEDIADA

Pokoknya pindaan ini bertujuan untuk mengatasi masalah yang timbul apabila salah seorang dari pasangan suami isteri memeluk agama Islam. Asalnya kedua-dua mereka tidak beragama Islam. Apabila salah seorang dari mereka memeluk agama Islam, maka dia sudah tidak boleh ke mahkamah sivil kerana dia beragama Islam. Sedangkan perkahwinannya pada zaman dia bukan Islam dan didaftarkan di mahkamah sivil. Ia perlu dibatalkan di mahkamah sivil.

Sekiranya perkahwinannya tidak dibatalkan di mahkamah sivil ianya akan terus dianggap sah oleh mahkamah sivil. Maka segala persoalan yang terbabit dengan perceraian yang telah berlaku, samada berhubung harta sepencarian, penjagaan dan kos tanggungan terhadap anak-anak sekiranya ada, dan sebagainya tidak boleh dituntut atau ditetapkan oleh mahkamah sivil. Perkahwinan itu akan tetap dianggap sah oleh mahkamah sivil.

Sekiranya perkahwinan itu dibatalkan di mahkamah sivil oleh pasangan yang kekal dengan agama asalnya, maka mahkamah sivil akan dituntut membuat keputusan dan menjatuhkan hukuman berhubung segala isu berkaitan perceraian tersebut tanpa kehadiran pasangan yang telah memeluk agama Islam. Sudah pasti mahkamah sivil tidak mampu menentukan kesemuanya secara adil kerana hanya dapat mendengar dari satu pihak.

Pada masa yang sama, pasangan yang telah memeluk agama Islam akan ke mahkamah syariah. Dia mendaftarkan dirinya sebagai orang Islam dan dengan sendirinya perkahwinan sivilnya dibatalkan sekiranya pasangannya tidak turut memeluk agama Islam. Akan tetapi pembatalan perkahwinan sivil oleh mahkamah syariah tidak diambil-kira oleh mahkamah sivil.

Pasangan yang kekal dengan agama asal tidak boleh pula dibawa ke mahkamah syariah untuk menyelesaikan persoalan yang timbul hasil perceraian mereka! Ini adalah kerana dia tidak beragama Islam! Maka segala persoalan berhubung perceraian mereka terpaksa diputuskan oleh mahkamah syariah tanpa kehadiran bekas pasangan yang bukan Islam. Sepertimana mahkamah sivil, mahkamah syariah juga tidak mampu menjamin keadilan kerana hanya dibenarkan mendengar dari satu pihak.

Akhirnya yang beragama Islam ke mahkamah syariah dan yang bukan islam ke mahkamah sivil. Dua mahkamah ini dengan bidang kuasa dan peraturan mereka masing-masing dan tidak saling berhubung satu sama lain. Maka timbullah keadaan di mana mahkamah syariah memutuskan sesuatu dan mahkamah sivil memutuskan sesuatu yang lain. Kedua-dua mahkamah bertindak berdasarkan dakwaan hanya satu pihak.

Apabila hanya sebelah pihak sahaja didengari, samada oleh mahkamah sivil atau syariah, tidak mungkin keadilan terjamin. Hakikat ini difahami semua. Ianya keadaan yang bercanggah dengan tuntutan syariah. Malahan ianya tidak syariie sama sekali.

Dalam keadaan sebegini, amat malang kalau ada yang ingin terus mempertahankan kelompangan perundangan yang sediada ini. Mereka yang ingin mempertahankan kelompangan sediada ini tidak mengutamakan keadilan mahupun kewajipan menegakkannya. Sedangkan Islam menuntut supaya keadilan ditegakkan! Amat aneh apabila mempertahankan kelompangan ini dibuat atas nama Islam.

TUJUAN PINDAAN

Pindaan dibuat dengan tujuan membenarkan pasangan yang memeluk agama Islam hadir ke mahkamah sivil untuk membatalkan perkahwinannya dan menyelesaikan tanggung-jawabnya secara sebaik mungkin. Maka melalui pindaan ini kedua-dua pihak dapat hadir di hadapan hakim untuk menceritakan keadaan masing-masing. Dalam keadaan ini barulah hakim mampu membuat satu keputusan yang lebih adil dan tepat kerana dapat mendengar kedua-dua pihak.

Ada yang bertanya, mengapa ke mahkamah sivil dan tidak ke mahkamah syariah? Jawapannya adalah perkahwinan mereka didaftarkan di mahkamah sivil. Oleh itu ianya mesti dibatalkan di mahkamah sivil. Kedua, mahkamah sivil adalah di bawah kerajaan persekutuan di mana Parlimen ada kuasa menentukan undang-undang berhubung dengan perjalanannya sedangkan mahkamah syariah adalah di bawah bidang kuasa negeri masing-masing. Ianya bukan di bawah Parlimen.

ISU PINDAAN 88(A)

Ada juga yang menimbulkan isu pindaan 88(A). Ia telah ditarik balik oleh kerajaan maka ianya tidak dibahas.

Kami sememangnya berminat untuk membahas pindaan 88(A) tetapi apabila ianya ditarik balik maka tiada makna ianya dibahas secara panjang lebar. Hanya ada beberapa Ahli Parlimen meminta penjelasan mengapa ianya ditarik balik sedangkan pernah dijanjikan sebaliknya.

Pindaan 88(A) bertujuan untuk menentukan, bagi pihak mahkamah sivil, kaedah untuk menetapkan agama anak-anak pasangan yang bukan Islam selepas salah seorang dari mereka memeluk agama Islam. Pada dasarnya 88 (A) mencadangkan supaya anak-anak itu dianggap kekal dalam agama asal, ia itu tidak memeluk agama Islam, kecuali dipersetujui oleh kedua-dua ibu bapa mereka. Dalam erti-kata lain, anak-anak berkenaan akan hanya dianggap sebagai memeluk agama Islam sekiranya pasangan yang tidak memeluk agama islam itu turut membenarkannya.

Walaupun ada banyak hujah berkenaan agama anak-anak yang berada dalam keadaan seperti ini yang hendak kami sampaikan, termasuk perbezaan pandangan ulama muktabar zaman lampau dan semasa mengenainya, namun oleh kerana ianya telah ditarik balik, maka perbahasannya tidak diberikan keutamaan. Namun demikian, yang perlu difahami ialah ianya isu ijtihad dan bukan hukum yang qat’ii. Dan ijtihad yang dilakukan ulama zaman dahulu bertujuan menjamin keadilan bagi semua dalam keadaan dan suasana politik pada ketika itu. Dorongan utama ulama lampau, sepertimana juga ulama semasa, semestinya adalah untuk menegakkan keadilan untuk semua apabila ditetapkan sesuatu hukuman atau pandangan. Ini adalah supaya keadilan Islam akan terserlah. Bukan untuk menegakkan ketuanan sesuatu bangsa atau ummat ke atas bangsa atau ummat yang lain.

KESIMPULAN

Tulisan yang mendakwa kelulusan pindaan RUU 164 adalah bala yang menimpa ummat Islam boleh diabaikan. Amat jelas penulis keliru dan tidak memahami isu sebenar. Tiada yang berbahas di dewan membuat dakwaan-dakwaan sepertimana didakwa dalam penulisannya. Yang ditimbulkan sekadar apa yang dilihat sebagai percanggahan dengan artikel tertentu dalam perlembagaan dan akta mahkamah syariah. Itu pun mengikut pandangan mereka sahaja. Sejauhmana ianya benar-benar bercanggah perlu dikaji dan akhirnya diuji di mahkamah sekiranya ianya dilihat isu penting.

Namun bagi saya, penyelesaian kelompangan itu adalah lebih diutamakan. Ini adalah supaya memungkinkan keadaan yang lebih adil terhasil. Oleh itu tiada sebab AMANAH perlu menolaknya.

WaLlahu 'Alam 
KHALID SAMAD

No comments:

Post a Comment