Tuesday, August 15, 2017

Contoh pemimpin, budaya kurang ajar dan bapak setan mana yang bayar?

Inikah contoh pemimpin, budaya kurang ajar, soal Rafidah Aziz
Diterbitkan pada 14 Aug 2017 2:26PM
Bekas menteri Rafidah Aziz berkata politik Malaysia sudah dipengaruhi budaya kurang ajar dengan pemimpinnya hilang adab dan sopan sehingga perangai buruk itu dicontohi oleh pengikut mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2017.

BUDAYA politik Malaysia sudah dipengaruhi budaya kurang ajar dengan pemimpinnya hilang adab dan sopan sehingga perangai buruk itu dicontohi oleh pengikut mereka, kata bekas pemimpin kanan Umno Rafidah Aziz.

“Orang yang lebih tua, pangkat bapa kepada kita, diperkotak-katik seperti budak-budak, tiada langsung adab dan sopan.

“Itukah contoh kepimpinan yang hendak ditunjukkan kepada anak-anak muda? Dalam bahasa kasar, budaya kurang ajar?” tanya bekas ketua Wanita Umno itu dalam satu tulisan di Facebook.

Kenyataan Rafidah itu dilihat merujuk kepada insiden kekecohan dalam semasa forum “Nothing to Hide 2.0” di Shah Alam semalam apabila sekumpulan pengacau membaling kasut ke arah Dr Mahathir Mohamad dan kemudiannya kerusi dan suar kepada hadirin sehingga menimbulkan kekecohan.

Rafidah berkata segelintir pihak sanggup bertindak keterlaluan dalam majlis kerana mendapat isyarat daripada tingkah laku pemimpin atasan yang sudah lupa kenapa mereka jadi pemimpin.

Katanya, pemimpin kini sudah tidak lagi ada rasa segan dan silu menunjukkan keangkuhan dan kuasa “dengan tutur bahasa kasar, melulu dan tidak beralas cakap”.

Mereka juga sudah tidak ada rasa rendah diri dan lupa tanggungjawab berat yang datang bersama jawatan yang dipikul apabila memegang jawatan tinggi, tambahnya.

Katanya, politik jalanan yang ganas, biadab dan tidak menghormati orang lain sudah sampai ke peringkat membimbangkan di negara ini, ditambah pula dengan kepimpinan yang tidak berhaluan, rakus kuasa dan tidak berintegriti.

Menyifatkan budaya politik gengster ini selalu berlaku di negara ketiga, Rafidah berkata: “Sekarang kita sudah mula melihat politik dunia ketiga itu menular di negara kita Malaysia, negara yang diharap meningkat ke status negara maju dalam tiga tahun lagi!”

“Nampaknya jauh pemanggang dari api.”

Rafidah aktif politik sejak awal 1970-an. Beliau dilantik sebagai senator di Dewan Negara pada 1974 dan kemudian menang kerusi Parlimen pertamanya dalam pilihan raya umum 1978. Beliau jadi ahli Parlimen Selayang antara 1978 hingga 1982 sebelum berpindah kerusi ke Kuala Kangsar dan jadi wakil rakyat kawasan itu sehingga 2013.

Beliau juga pernah memegang beberapa jawatan dalam Kabinet termasuk yang terakhir sebagai menteri perdagangan antarabangsa dan industri antara 1987 hingga 2008.

Dengan pengalaman yang luas itu, Rafidah membuat pemerhatian politik kini jadi laluan dan alasan serta dorongan mencaci dan memburukkan orang yang tidak sekawan.

“Hilang semangat 1Malaysia yang dilaung-laungkan dulu. Rupa-rupanya ia hanya 1Malaysia jika satu keturunan, satu kelompok, sama sebulu, sama sekroni, sama sekongkol, satu niat untuk sesuatu matlamat,” katanya.

Rafidah seterusnya memberi ingatan kepada pemimpin supaya membina negara atas landasan yang sudah dibangunkan oleh pemimpin terdahulu, dan bukannya menidak dan menghancurkan apa yang dibina oleh pemimpin sebelumnya.

“Pemimpin sekarang harus membina terus atas landasan yang sudah disediakan. Terus menambah baik, memperkukuh. Bukan menghancurkan apa yang ada,” katanya.

Sejak beberapa minggu lalu, pemimpin Umno silih berganti menyerang Dr Mahathir yang pernah memimpin mereka dalam parti itu, dengan mengungkit dan mempersoalkan tindakan dan dasar beliau sepanjang tempoh 22 tahun jadi perdana menteri dan presiden Umno.

Dalam pada itu, Rafidah juga mengingatkan pemimpin supaya sayangkan negara dengan melakukan perkara yang betul dan berpegang pada sumpah jawatan masing-masing kerana “buruk padahnya jika sumpah itu dipersia-siakan”. – 14 Ogos, 2017. - sumber

Suspek kekecohan ‘Nothing to Hide 2.0’ dibayar RM50
Muzliza Mustafa
Diterbitkan pada 14 Aug 2017 6:44PM
Ketiga-tiga suspek disiasat mengikut Seksyen 15(2)(d) Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 153 Kanun Keseksaan kerana merusuh serta Seksyen 8 Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 14 Ogos, 2017.

TIGA suspek yang ditahan atas dakwaan mencetuskan kekacauan semasa forum Nothing to Hide 2.0 semalam dibayar RM50 seorang untuk hadir ke majlis itu, dedah siasatan awal polis.

The Malaysian Insight difahamkan tiga remaja itu adalah dalam kalangan sebuah kumpulan besar yang diminta berhimpun di sebuah lokasi di Setiawangsa. Di situ, mereka diberikan kemeja-T dengan logo Bersatu, kata sumber yang dekat dengan siasatan berkenaan.

Polis Selangor yang diketuai oleh polis Shah Alam sedang menyemak gambar-gambar dan rakaman video untuk mengenal pasti identiti anggota lain kumpulan itu. Tiga remaja yang dicekup semalam kini sedang ditahan reman selama empat hari sehingga 17 Ogos ini.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 15(2)(d) Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 153 Kanun Keseksaan kerana merusuh serta Seksyen 8 Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya.

Forum semalam bertukar kecoh selepas individu tidak dikenali dari tengah hadirin membaling kasut dan botol air ke arah pentas tempat Dr Mahathir Mohamad duduk menjawab soalan daripada peserta forum. Kerusi, dan suar yang dinyala, kemudian dibaling ke sekitar dewan. Ketika keadaan bertukar kecoh, Dr Mahathir dan pemimpin Pakatan Harapan yang lain dibawa keluar ke tempat lebih selamat.

Unit keselamatan Bersatu kemudian mencekup tiga remaja berumur 17, 18 dan 19, dan menyerahkan mereka kepada polis.

Ketua sayap pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menafikan tiga remaja itu anggota partinya berdasarkan semakan rekod keahlian dan kemeja-T yang mereka pakai bukan kemeja-T rasmi parti.

Sumber polis memberitahu The Malaysian Insight ujian kencing ke atas ketiga-tiga suspek mendapati tidak dalam pengaruh dadah.

Semakan latar belakang juga mendapati suspek yang di bawah umur berasal dari Perlis dan tidak habis sekolah. Dua suspek berumur 18 dan 19 merupakan pelajar sebuah kolej di Kuala Lumpur.

Siasatan juga mendapati suspek berumur 18 tahun ada rekod jenayah dan terlibat dalam satu perbicaraan kes rogol yang sedang berjalan. – 14 Ogos, 2017.

* Diharapkan pihak Polis dedahkan siapa mereka dan siapa yang membayar upah mereka?

2 comments:

  1. cari tok dalang jangan hukum budak budak saja
    ynag paling cilako dalang nya

    ReplyDelete
  2. Budak ni pon ketuk kepalo biar benjol. Kepala lutut pon ketuk. Pasal pikir guna lutut. Aku rasa ni kerja datuk seri jamal jamban. Hampir pasti. Calon ketua pemuda. Juga guna kepalo lutut. Hahaha

    ReplyDelete