Saturday, August 19, 2017

Adakah sejarah dan dosa individu berusia 92 tahun begitu signifikan dalam menentukan hala tuju negara dan nasib anak bangsa yang bakal menanggung beban keterhutangan yang tidak terbayar itu nanti?

Langkah Dr Mahathir disadung sejarah lampau
Izmil Amri
Diterbitkan pada 19 Aug 2017 7:00AM 
SEJARAH tidak pernah kalah mengejar kita. Biar bagaimana ligat pun kita cuba mengelak, ia tetap berada di belakang, seperti bayang-bayang, atau beg sandang anak-anak sekolah. Soal "bagasi" ini hampir sahaja pasti menjadi faktor yang memperlahankan langkah ketua koalisi pembangkang, Dr Mahathir Mohamad.

Bukan sahaja ia terpaksa dipikul oleh mantan perdana menteri itu, ia malah cuba membentes dan menyadung kaki pengerusi Pakatan Harapan tersebut, sepanjang jalan panjangnya untuk membina sokongan bagi menjahanamkan parti lamanya Umno.

Seminggu yang lalu, Dr Mahathir mendepani sejarah apabila disoal tentang dua insiden paling berparut sepanjang tempoh kepimpinan beliau sebagai perdana menteri. Pertama gerakan Reformasi, kedua tragedi Memali.

Kita semua menyaksikan rakaman, kalau pun tidak menjadi saksi mata, insiden yang berlaku pada acara "Nothing to Hide 2.0" di Shah Alam hujung minggu lalu. Kita melihat bagaimana botol, kasut, kerusi dan suar berterbangan menuju pentas ketika sesi soal jawab tentang insiden Memali.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa serangan itu tercetus kerana ada hadirin yang tidak puas hati dengan jawapan Dr Mahathir mengenai insiden tersebut.

Pimpinan PAS pula kemudiannya mengambil peluang tersebut untuk melancarkan kempen mengorek semula sejarah pertembungan pengikut Ustaz Ibrahim Libya dengan anggota polis pada 1985 itu, dan membingkai semula Dr Mahathir sebagai si penjahat yang mencetuskan segalanya.

Sebelum soalan Memali, terlebih dahulu yang ditanyakan kepada Dr Mahathir ialah soal konspirasi dalam kes pemecatan Anwar Ibrahim. Bagaimana mungkin Dr Mahathir yang menjadi punca besar kepada pemecatan dan kempen mengaibkan mantan timbalannya itu menjadi penyokong kepada usaha untuk meletakkan Anwar sebagai bakal perdana menteri? Lebih kurang begitulah persoalan yang dilontar.

Mendepani masa lampau

Dr Mahathir sedikit pun tidak goyang ketika dihujani soalanini. Beliau malah cukup beriman dengan jalan ceritanya sendiri untuk memberikan jawapan. Kalau tak suka dengan jawapan itu, terserah.

Sepanjang lebih 20 tahun Dr Mahathir mengemudikan pentadbiran negara, ada terlalu banyak dosa yang menimbun dan barangkali tidak akan mungkin terampun. Memali dan Reformasi hanya dua daripadanya. Dua dosa ini kini sedang menghalang dua gerombolan besar daripada meletakkan sokongan mereka di belakang beliau.

Golongan pertama adalah penyokong PAS. Yang kedua, aktivis yang memanggil diri mereka reformis.

Persoalan yang lebih penting kini ialah, adakah sokongan dua golongan ini signifikan kepada usaha untuk menggantikan kerajaan pimpinan Najib Razak pada pilihan raya umum tidak berapa lama saja lagi?

Malah jauh lebih penting daripada soalan itu ialah, adakah dosa dan sejarah Dr Mahathir perlu diambil kira dalam menentukan kerajaan jenis apa yang akan menggantikan pentiadbiran yang dikepalai individu yang terkait kleptokrasi berbilion dolar, dan sedang menggadaikan sejengkal demi sejengkal kedaulatan negara demi membiayai keterhutangan berbilion dolar itu.

Adakah sejarah dan dosa individu berusia 92 tahun begitu signifikan dalam menentukan hala tuju negara dan nasib anak bangsa yang bakal menanggung beban keterhutangan yang tidak terbayar itu nanti?

Entahlah.

Ini anehnya demokrasi. Keputusan kolektif majoriti ditentukan dengan melagakan akal dan hati. Akal mengatakan wajib melawan kerajaan kleptokrasi yang menampung ketidakmampuan membayar hutang dengan membeban rakyat dengan cukai GST. Namun hati pula berbisik sendu, "apakah kau lupa dosa dan sejarah lalu?"

Kitalah yang harus membuat keputusan itu. Sama ada mahu berjalan ke depan sambil menoleh ke belakang, atau mahu benar-benar mengusung perubahan.

Silap langkah, tergolek masuk longkang. Dan Umno pun bertepuk tangan. – 19 Ogos 2017.

* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu

Kalau nak baca: Mabuk Fill Kudha Lagi Abdul Hadi Awang Ni...

No comments:

Post a Comment