Thursday, August 24, 2017

Merdeka-kah kita?

Mandeep SinghMandeep Singh  Diterbitkan pada 23 Aug 2017 7:00AM

Tanggal 31,
Bulan lapan lima puluh tujuh,
Merdeka! Merdeka!
Tetaplah merdeka,
Ia pasti menjadi sejarah.

INILAH lagu yang saya nyanyikan setiap kali bulan Ogos ketika saya bersekolah rendah dan menengah. Masih segar dalam ingatan saya, sering kali bulan kemerdekaan, kami akan diberikan bendera 14 jalur untuk dikibarkan semasa kita menyanyikan lagu Sudirman itu.

Ketika bersekolah, cikgu sejarah akan menyampaikan kuliah tentang bagaimana Persekutuan Tanah Melayu mendapat kemerdekaan. Bagaimana pahlawan kita bertempur dengan penjajah. Bagaimana penjajah merompak hasil bumi negara kita. Betapa jahatnya penjajah menjahamankan bumi tercinta kita. Itulah yang diajar kepada anak di sekolah.

Sejarah 31 Ogos, 1957

Tepat jam 12 malam 31 Ogos, 1957 Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur menjadi tapak bersejarah rakyat Persekutuan Tanah Melayu yang mana berhimpun menjadi saksi penggantian bendera Union Jack kepada bendera Persekutuan Tanah Melayu.

Pada keesokan harinya, di Stadium Merdeka pula lagu Negaraku dimainkan kali pertama dan laungan Merdeka sebanyak tujuh kali dilaungkan oleh rakyat Persekutuan Tanah Melayu, tanda tanah air kita bebas daripada dijajah Inggeris.

“Bahawasanya kerana telah tibalah masanya bagi umat Persekutuan Tanah Melayu ini mencapai taraf suatu bangsa yang merdeka lagi berdaulat sama setimpal kedudukannya dengan segala bangsa seluruh dunia”. Ini adalah perenggan kedua pemasyhuran kemerdekaan.

Ketika di zaman persekolahan, secara jujurnya saya tidak pernah ambil tahu makna sebenar kandungan pemasyhuran ini. Yang saya tahu adalah, ia hari saya tidak perlu ke sekolah dan saya akan duduk di depan TV untuk menonton perakakan kemerdekaan itu.

Pada hari ini, Inggeris sudah pun pergi meninggalkan tanah air kita. Yang tinggal tapak sejarah kini dijadikan lokasi dilawati pelancong dalam negara dan luar negara.

Namun, apakah kita pada hari ini benar-benar merdeka? Apakah setelah pulangnya penjajah ke negara mereka, hasil bumi negara ini selamat? Apakah kebebasan seorang rakyat itu dipelihara? Apakah ada kebebasan bersuara untuk rakyat di negara ini? Apakah kandungan pemasyhuran kemerdekaan itu benar-benar dipraktikkan oleh para pentadbir negara pada hari ini?

Jawabnya, tidak!

Ini kerana setelah pulangnya penjajah ke negara mereka, rakyat Malaysia kini pula dijajah segelintir manusia yang kemaruk kepada kuasa dan kekayaan tersendiri. Kalau dulunya, hasil bumi seperti timah dan macam-macam lagi dirompak penjajah, namun pada dunia yang semakin membangun ini, duit berbilion-bilion pula dihilangkan oleh mereka yang berkuasa.

Suarayang mengkritik salah guna kuasa pulak dicengkam dan dihumban di sebalik tirai besi. Aktapeninggalan penjajah diguna pakai untuk menutup suara sang pengkritik. Jikalau dulu, rompakan hasil bumi dilakukan oleh penjajah ke atas rakyat Persekutuan Tanah Melayu, tapi pada hari ini, rompakan ini dibuat ke atas rakyat Malaysia sendiri. Tanahorang miskin dan asli dirompak oleh sang penguasa.

Maka, kita tanya semula pada diri kita, Merdekakah kita? Ketika merdeka, disebut “merdeka lagi berdaulat sama setimpal kedudukannya dengan segala bangsa seluruh dunia”. Namun hari ini, di manakah setimpalnya kedudukan kita semua?

Yang berkuasa terus merompak siang dan malam. Kaedah pecah dan perintah yang diguna pakai Inggeris dulu masih diguna sehingga hari ini. Isu perkauman masih dipraktikkan sehingga hari ini. Di manakah bangsa Malaysianya? Sekali lagi, kita bertanya, merdekakah kita?

Parti yang "kononnya" berjaya menjalankan negosasi untuk mendapat kemerdekaan dilihat sebenarnya menjadi penjajah di bumi sendiri. Mereka sebenarnya menjadi pelajar yang pintar dalam meneruskan penjajahan ala baru ini.

Jikalau dulu, apabila tiba Ogos, bendera Malaysia akan dilihat berkibar megah di rumah-rumah, bangunan tinggi dan juga atas kenderaan. Namun hari ini, amat sukar kita melihat bendera Malaysia berkibar pada bulan kemerdekaan ini.

Kenapakah ini berlaku? Apakah pemimpin negara kita tidak perasan dengan perkara yang sedang berlaku ini?

Nilai sebenar kemerdekaan kini pudar akibat kelakukan pemimpin yang meneruskan penjajahan dalaman negara ini.

Bagi saya, kini tanggungjawab untuk memerdekakan negara kita semula daripada “penjajah baru" ini di atas bahu kita semua. Kita tidak boleh membenarkan mereka ini untuk terus menjajah negara tercinta kita. Cukuplah 60 tahun kita diperintah sang penguasa yang meneruskan legasi Inggeris. Cukuplah kita biarkan mereka merompak hasil bumi dan duit rakyat sendiri.

Makna merdeka sebenar hanya akan dirasai oleh anak semua bangsa setelah Malaysia dimerdekakan daripada "penjajah baru" ini dan kemerdekaan sebenar hanya akan tercapai apabila jatuhnya anak didik Inggeris yang bernama United Malaysia National Organisation, dan barulah erti kata-kata kandungan pemasyhuran merdeka akan dirasai segenap rakyat. – 23 Ogos 2017.

*  Mandeep merupakan seorang bekas penghuni di rumah pasong Jinjang dan juga merupakan seorang yang berbangsa “dan lain-lain”. Berkicau di @mandeepkarpall

2 comments:

  1. I'm not sure exactly why but this weblog is loading incredibly slow for
    me. Is anyone else having this problem or is it a issue
    on my end? I'll check back later on and see if the problem still exists.

    ReplyDelete
  2. Ini kerana setelah pulangnya penjajah ke negara mereka, rakyat Malaysia kini pula dijajah segelintir manusia yang kemaruk kepada kuasa

    tambah lagi hukum pun dipaksa guna british punya
    hak negara digadai untuk pendtang yang dibawa masuk oleh britis
    sedih sungguh nasi bangsa tanah melayu
    orang lain medeka penjajah lari tak cukup tanah
    tapi kat tm penjajah bagi syarat
    medeka ngan bersyarat

    ReplyDelete