Thursday, August 17, 2017

Rasionalisasi yang menjadikan ramai tidak rasional..!

Pelan Rasionalisasi yang menjadikan ramai tidak rasional..!

1. Saya terpanggil untuk membuat komentar perihal pertemuan tertutup pimpinan Pas Pusat dengan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, Isnin lalu, 7 Ogos 2017.

2. Mutakhir ini tersebar luas Pas 'berpuas hati' dengan penjelasan Arul Kanda. Lebih besar impaknya lagi buat rakyat adalah komentar Tan Sri Khalid Ibrahim (TSKI) yang turut hadir.

3. Tentunya insiden ini perkukuh persepsi kerjasama Pas dengan seteru tradisinya, Umno. 'Puashati' dengan penjelasan isu 1MDB ini sangat sukar untuk ditutur olih sebuah parti pembangkang mentelahan yang berlabel Islam. Namun ini amat ironis.

4. Mengapa? Sebab isu 1MDB adalah kemuncak segala kemaksiatan dan kemungkaran tadbir-urus kewangan dan pemangsaan khazanah kekayaan negara pada skala yang terlalu mega. Sekaligus negara dinobatkan selaku memilikki 'kerajaan kleptokrasi (perompak-pencuri) di sisi pandangan masyarakat antarabangsa.

5. 'Puashati' adalah reaksi amat tidak 'rasional' walaupun apa pun rasionalnya. Kalau pun 'puashati' terhadap pelan rasionalisasi sahaja, pastinya ia menyimpan seribu satu tandatanya lagi dan kegusaran terutama di kalangan pendukung Pas sendiri dan pencinta Islam. Mereka bingung dan bertanya apa dah jadi Pas ini?

6. Umum memperhatikan Timb Presiden Pas segera menyusul pernyataannya untuk 'damage control'. Seperti katanya, 1MDB, ia semacam nasi dah jadi bubur. Terlajak perahu mudah sikit. Perlu barhati2...

7. Pun begitu, saya singgung ringkas bab puashati tentang pelan rasionalisasi dan kemudian menumpu reaksi tokoh korporat tersohor TSKI.

Saya cuba memahami tujuan komentarnya secara objektif. Namun perhatian saya bermula dengan insinuasinya bahawa 'amat malang 1MDB telah menjadi mangsa drama politik' dan 'mangsa penyebaran fakta-fakta dan maklumat salah terutama melalui media sosial'. Mungkin juga benar. Kita bincang dulu.

8. Pertama, sebelum berpuas-hati atau tidak, persoalan maha pentingnya ialah, apa itu pelan rasionalisasi 1MDB dan mengapa ia diperlukan? Mungkin ramai tak tahu pun dalam bahasa Inggeris ini adalah 'rescue plan' untuk menyelamatkan 1MDB. Dalam bahasa hodohnya 'bailout' kerana akhir yang tanggung adalah kerajaan (MoF) dan rakyat (tax-payers).

9. Pelan Rasionalisasi, mudahnya adalah Rakyat (kerajaan atau MoF) mengambil alih hutang 1MDB! Atau bahasa mudah ini 'Bailout Terbesar Najib' untuk menyelamatkan 1MDB!

9. Ringkasnya, pelan ini melibatkan penjualan aset-aset negara milik 1MDB kepada syarikat swasta dan asing, agar hasil jualan tersebut akan dapat membayar dan mengurangkan hutang 1MDB.

10. Untuk rekodnya,  pada 1hb Januari 2016, Najib mengisytiharkan bahawa pelan rasionalisasi telah berjaya. Namun ketika gagal membayar hutang IPIC dengan lanjutan mass diberikan baru-baru ini, baru rakyat bertanya apa yang dimaksudkan dengan berjaya dulu?

11.  Secara ringkas, tiga  langkah untuk menjual aset 1MDB melibatkan:
i. 60% kepentingan dalam Bandar Malaysia kepada konsortium lWH-CREC.
ii. Pertukaran hutang kepada aset dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) akan mengurangkan hutang sebanyak RM16bilion dan
iii. Penjualan aset tenaga Edra Global Energy kepada China Nuclear Power Corporation (CGN).

7. Untuk ingatan semua, apa yang terjadi ialah secara paling ringkas:
a. Dalam penjualan Edra, pasaran dunia tahu, 1MDB menanggung kerugian RM2.27bilion.
b. Urusniaga dengan IWH-CREC, sepatutnya menjana RM7.41bilion, ditamatkan olih TRX City Sdn Bhd milik MoF. Najib harap dapat lebih dengan menawarkan kepada Dalian Wanda, tetapi pelaburan Wanda disekat olih Kerajaan China.
c. Langkah pertukaran hutang kepada aset dengan IPIC (debt-asset swap) lebih awal lagi telah gagal (April 2016), yang antara kesan dan rentetannya menuntut 1MDB (MOF) membayar $602juta atau RM2.6bilion pada 31Julai 2017. Untuk ingatan inilah langkah rasionalisasi yang menjadi  pencetus angkara besar hutang tak berbayar (default) kepada IPIC sekarang ini, yang baru dibayar $350juta. Hujung bulan kena bayar bakinya. Nak korek lubang mana pula? Yang dibayar $350juta baru ini darimana? Jangan banyak tanyalah....

8. Maka, wahai Perdana Meteri Najib dan Arul Kanda, di mana yang dikatakan Pelan Rasionalisasi berjaya ?! Mana dananya? Betul cerita pelan rasionalisasi belum tamat, yakni masih diusahakan. Tapi, yang berjaya tadi apa, Najib?? Yang puashati tadi apa ya, Timbalan Presiden Pas?? Unjuran aliran tunai kedepan (future cashflow)?? Tapi..itu semua andaian dan congakan Arul.  Dia memang pandai 'kelentong'..terbukti dengan macam-macam contoh, antara 'unit' investment dalam portfolio di bank BSI Singapura yang akan saya singgung sikit nanti.

11. Berbalik kepada TSKl. Ya, seperti biasa, ramai yang tenggelam dengan bahasa kewangan korporat yang digunakan beliau. Sebelum dari mengulas komentar beliau saya ingatkan TSKI akan fakta-fakta berikut:

i.  Tidak ada laporan kewangan yang diaudit sejak 2015. Deloitte, yang ketiga dari 'the Big 4', menarik balik kelulusan auditan mereka untuk 2013 dan 2014 setelah jelas bahawa dokumen-dokumen didedahkan Jabatan Kehakiman Amerika (DOJ) menjadikan mereka tidak dapat pertahankan audit yang mereka sahkan lalu ditarik balik.

ii. Mungkin TSKI juga wajar bertanya mana perginya ‘units’ dalam ‘portfolio pelaburan’ dalam perjanjian PetroSaudi melalui akaun Pulau Cayman yang tersyohor yang dijaja Arul Kanda dulu? Bank BSI Singapura yang kononnya dipindahkan dan disimpan 'unit' ini pun telah ditutup olih 'Money Authority of Singapura (MAS), atas pensabitan kesalahan "penggubahan wang haram" atau 'money laundering'.

iii. TSKI juga tahu bahawa bayaran bunga atau kadar faedah pinjaman 1MDB adalah amat tinggi, ada melebihi 10%. Juga perlu ingat, bayaran balik pokok (principal) pada tarikh-tarikh matang pelbagai bon diterbitkan 1MDB dahulu, seumpama tahun 2022 dalam kes bon untuk pembelian aset tenaga (Tanjung dan Genting), yang dijamin IPIC. Siapa bayar? Rakyat dan pembayar cukai akan terbeban dengan bayaran bunga yang tinggi dan bayaran pokok bila matang nanti! Ingat! Purata bunga sahaja adalah sebanyak $1.9 bilion setahun atau RM8.1bilion!

12. Malangnya sahabat saya, TSKI hanya menumpu dan membangkit keupayaan 1MDB untuk membayar hutang-hutang dengan aliran tunai yang mampu dijana dengan membangunkan aset-asetnya.

13. Beliau percaya nilai kini bersih (net present value, NPV) aset yang dimiliki oleh 1MDB masih mampu membiayai liabiliti semasa dan masa hadapan. Bahkan lebih agresif lagi beliau menganggarkan akan wujud 'surplus' atau lebihan. Untuk makluman kesemua itu masih dalam alam 'congakan' (anggaran) Arul dan tertakluk kepada pelbagai faktor yang bakal mendatang, seumpama 'kejatuhan nilai hartanah' akibat 'lambakan' atau 'property overhang'. Maka nilainya akan pasti terkesan! Kalau Pas cakap puashati saya bolih faham tetapi agak pramatang atau 'premature' untuk TSKI berasa 'selesa'.

14. Nokhtah akhir, TSKI dan Pas bolih memilih untuk tolak segala dakwaan yang dikemukakan olih DoJ termasuk menafikan kesahihan pensabitan jenayah 5 pegawai tertinggi di Mahkamah Singapura, termasuk seorang warga Swiss yang dipenjara baru-baru. Namun saya memohon jasa baik TSKI dan sahabat-sahabat saya dalam Pas yang masih waras supaya tidak menolak Laporan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) ke Parlimen (April, 2016).

15. Baca dan semak baik-baik segala jenayah yang dirumuskan di muka surat 94 sehingga 101! Apa tindakan Peguam Negara? Apa tindakan SPRM dan apa tindakan KPN, PDRM? YDP langsung tak bolih harap untuk usul 1MDB dibentangkan, jauh lagi untuk MO1, MoF atau Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB diperbahaskan di DR!

16. Malangnya, ketika kesemua kemungkaran ekonomi dan kebobrokan tata-kelola kewangan ini berlaku, ada pihak yang sanggup memberikan keputusan bahawa mereka 'berpuas-hati' dengan segala penerangan pelan rasionalisasi Arul Kanda....Aduuh..

17. Akhir kalamnya, sukar untuk saya menjawab soal besar sesetengah pihak yang menerjah saya bertubi-tubi..."Apakah Arul Kanda sememang hebat atau Pas yang sememang bengap? Saya tidak tahu untuk menjawab soalan rumit ini...jawapan terserah kepada saudara pembaca.

18. Pun begitu ketika saya dilontar pula soalan apakah TSKI juga bengap, maka pastinya jawapan saya sangat jelas..Tidak!

19. Maka saya sukar untuk menyangkal insinuasi pihak-pihak tertentu, ketika mengulas pendirian dan pernyataan TSKI bahawa 'Apakah ada udang disebalik batu atau ketam disebalik kayu'?

20. Saya hanya bolih tersenyum dan pasrah dengan hakikat bahawa hanya AlLah yang Lebih Mengetahui".

Semua kita akan diadili di Mahkamah Rabbul Jalil dengan seadilnya....

Sementara itu di dunia ini kita akan berhadapan dengan hukuman "Mahkamah Rakyat" dalam waktu terdekat ini...dalam PRU Ke-14 akan datang.

Dr Dzulkefly Ahmad
Pengarah Strategi
Parti Amanah Negara
10 Ogos 2017.

3 comments:

  1. Terrific article! That is the type of info that are supposed to be shared across the internet.
    Shame on Google for not positioning this submit
    upper! Come on over and seek advice from my site .
    Thanks =)

    ReplyDelete
  2. Wow tahniah syabas dr. Zul drp parti Amanah. Jelas n terbaik. Hahaha

    ReplyDelete