Sunday, August 27, 2017

Zalimnya manusia dan betapa malangnya nasib Rohingya.....

Tidak diterima Myanmar mahupun Bangladesh, Rohingya ditembak di sempadan
TMI -  Diterbitkan pada 27 Aug 2017 8:13AM 
Tidak diterima Myanmar mahupun Bangladesh, Rohingya ditembak di sempadan 
Penduduk Negeri Rakhine yang ketakutan cuba melarikan diri tetapi pintu sempadan Bangladesh ditutup menyebabkan ramai pelarian kebanyakkannya wanita dan kanak-kanak terperangkap antara kawasan sempadan Myanmar-Bangladesh. – Gambar AFP, 27 Ogos, 2017.

PASUKAN keselamatan Myanmar melepaskan mortar dan tembakan kepada penduduk kampung Rohingya yang ketakutan cuba melarikan diri daripada Negeri Rakhine ke Bangladesh pada Sabtu, menurut wartawan AFP dan seorang pegawai sempadan di tempat kejadian, ketika keganasan yang memasuki hari kedua membunuh lebih ramai kaum minoriti itu.

Pertempuran yang tertumpu di perkampungan terpencil di kawasan sempadan disyaki berlaku antara militan Rohingya dan pasukan keselamatan Myanmar tetapi kini merebak sehingga melibatkan orang awam termasuklah minoriti penduduk Islam negara itu serta penganut Buddha dan Hindu.

Negeri Rakhine menjadi kawasan pertempuran kebencian agama yang mensasarkan minoriti penduduk Islam Rohingya yang tidak diiktiraf sebagai warganegara, dianggap sebagai pendatang haram dalam negara majoriti Buddha, Myanmar.

Keganasan yang tercetus sudah membunuh sekurang-kurangnya 92 orang sejak Jumaat lalu menurut angka rasmi yang dikeluarkan dan memaksa ribuan penduduk Rohingya melarikan diri ke negara jiran, Bangladesh.

Tetapi pihak berkuasa Bangladesh enggan membuka pintu sempadan menyebabkan ribuan rakyat Rohingya kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terperangkap dalam zon sempadan “zero line” antara dua negara itu.

Semalam, seorang wartawan AFP di sempadan Ghumdhum, Bangladesh mengatakan tembakan dan mortar dilepaskan pihak keselamatan Myanmar di kawasan bukit kepada sebuah kumpulan Rohingya yang terdesak mahu menyeberangi sempadan.

Tidak dapat dipastikan sekiranya ada kecederaan atau kematian berlaku, tetapi ia menyebabkan orang awam bertempiaran lari menyelamatkan diri.

“Mereka menembak orang awam, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak yang sedang bersembunyi di kawasan bukit berhampiran sempadan,” kata Ketua Pengawal Sempadan Bangladesh (BGB) Manzurul Hassan Khan.

“Mereka melepaskan tembakan dan mortar mensasarkan orang awam. Mereka tidak berbincang dengan BGB,” katanya lagi.

Tidak diterima di Myanmar, penduduk Rohingya juga tidak diterima di Bangladesh yang sudahpun memberikan perlindungan kepada ribuan pelarian minoriti penduduk Islam itu yang kini menetap di kawasan setinggan Bazar, Cox.

Sejak Jumaat lalu, keganasan yang tercetus memaksa ramai penduduk Rohingya yang melarikan diri tetapi kini tidak mempunyai tempat perlindungan di kawasan sempadan dua negara itu, atau terpaksa kembali ke perkampungan mereka yang kini menjadi medan pertempuran antara militan dan pasukan keselamatan.

Ratusan yang lain berjaya melintasi sempadan pada awal pagi semalam ketika kawalan keselamatan sempadan dilonggarkan disebabkan hujan lebat, kata wartawan AFP yang menyaksikan perkara itu. Ada antara mereka yang terpaksa menyeberangi Sungai Naf yang memisahkan dua negara itu.

Kementerian Luar Bangladesh memanggil wakil Myanmar di negara itu bagi menyatakan “kebimbangan” mereka kepada kemungkinan kedatangan besar-besaran pelarian Myanmar susulan keganasan terbaru itu.

Ketegangan itu tercetus selepas laporan punca masalah Negeri Rakhine yang diketuai bekas Setiausaha Agung Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Kofi Annan dikeluarkan.

Laporan itu mendesak kerajaan Myanmar bagi mencari tindakan pantas memberikan kewarganegaraan kepada kira-kira sejuta penduduk Rohingya dan melonggarkan sekatan pergerakan membolehkan mereka bekerja dan bergerak di negara dominasi penganut Buddha itu.

Keganasan terbaru itu tercetus pada awal Jumaat lalu selepas sekumpulan lelaki didakwa daripada Arakan Rohingya Salvation Army (Arsa) menyerang pusat kawalan polis Myanmar.

Mereka dikatakan membunuh anggota polis menggunakan pisau, pistol dan bahan letupan buatan sendiri.

Serangan balas pasukan keselamatan menyaksikan sekurang-kurangnya 77 militan Rohingya terbunuh, menurut pejabat Ketua Umum Myanmar Aung San Suu Kyi- angka tertinggi kematian dalam masa sehari sejak Arsa mula melancarkan pemberontakan tahun lepas.

Arsa mendakwa memperjuangkan hak untuk melindungi penduduk Rohingya daripada terus ditindas pasukan keselamatan Myanmar dan penduduk majoriti Buddha negara itu yang didakwa cuba mengusir kumpulan minoriti itu.

Serangan ke atas pusat kawalan polis Oktober lepas mencetuskan siri “operasi pembersihan” digerakkan tentera Myanmar dan memaksa sejumlah 87,000 penduduk Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.

PBB percaya tindakan itu adalah operasi pembersihan etnik sistematik kaum Rohingya dilakukan pihak berkuasa Myanmar.

Tentera bagaimanapun menafikan dakwaan itu, antara tuduhannya termasuklah pembunuhan orang awam dan siri rogol besar-besaran dilakukan ke atas wanita kaum minoriti itu.

Situasi panik yang tercetus juga memaksa penduduk Hindu melarikan diri ke Maungdaw selepas khabar angin bertiup kencang yang mereka juga merupakan sasaran militant.

Kerajaan sudah mengisytiharkan Arsa sebagai kumpulan pengganas.

Myanmar mendakwa kumpulan itu diketuai militan Rohingya yang menerima latihan keganasan di luar negara tetapi tidak dapat dipastikan jumlah kekuatan mereka. – AFP, 27 Ogos, 2017.

1 comment:

  1. Mana pergi hero2 rohingya sedondon kita tempoh hari?

    ReplyDelete