Wednesday, August 23, 2017

Terhegeh-hegeh nak kerjasama dengan PAS bawa bencana pada PKR

Pemimpin PKR letak jawatan biro politik, bantah kerjasama dengan PAS
Amin Iskandar
Diterbitkan pada 23 Aug 2017 7:00AM
Usaha pucuk pimpinan PKR untuk berbaik semula dengan PAS menimbulkan rasa tidak puas hati banyak pihak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Ogos, 2017.

SEORANG pemimpin PKR meletakkan jawatan daripada biro politik sebagai membantah langkah parti itu meneruskan perbincangan untuk bekerjasama dengan PAS.

Ahli Parlimen Selayang William Leong berkata, surat peletakan jawatannya sebagai ahli biro politik sudah dihantar kepada pucuk pimpinan PKR semalam.

“Saya tidak bersetuju parti meneruskan pendekatan bekerjasama dengan PAS apabila sudah jelas PAS sudah ada persetujuan dengan Umno,” kata Leong yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR kepada The Malaysian Insight.

“Saya sudah berikan sebab-sebab mengapa saya tidak bersetuju bekerjasama dengan PAS dalam surat peletakan jawatan saya.”

Leong bagaimanapun berkata, jawatannya sebagai ahli MPT PKR masih lagi kekal.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar mengesahkan partinya sudah menerima surat peletakan jawatan Leong sebagai anggota Biro Politik.

“Kami akan mencari jalan untuk cuba menyelesaikan masalah ini,” kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu kepada The Malaysian Insight.

PAS dalam muktamarnya di Alor Setar pada Mei lalu sepakat memutuskan kerjasama politik yang terjalin dengan PKR sejak 1999.

Bagaimanapun, PAS masih kekal dalam kerajaan Selangor yang dipimpin PKR.

Sebelum ini media melaporkan Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi menumbangkan Barisan Nasional (BN).

Kenyataan Dr Wan Azizah itu dikeluarkan beberapa hari selepas beliau dan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali menziarahi Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang sedang berehat selepas menjalani rawatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur.
Ahli Parlimen Selayang William Leong berkata tindakannya meletakkan jawatan daripada Biro Politik PKR kerana tidak bersetuju dengan parti yang meneruskan pendekatan bekerjasama dengan PAS. – Gambar Facebook, 23 Ogos, 2017.

Dr Wan Azizah, Azmin dan Hadi kemudian memuat naik gambar pertemuan mereka itu di laman media sosial masing-masing.

The Malaysian Insight difahamkan, sesetengah pemimpin PKR mahu terus bekerjasama dengan PAS untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru yang akan menyukarkan Pakatan Harapan menumbangkan BN pada PRU14.

Pertemuan antara pemimpin PKR dan Hadi itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin parti komponen PH seperti Amanah.

PH dianggotai PKR, DAP, Amanah dan Bersatu. PAS tidak menyertai PH sebaliknya menubuhkan blok ketiga politik yang digelar Gagasan Sejahtera bersama Ikatan, yang akan dilancarkan September ini.

Sementara itu, Naib Presiden Amanah Husam Musa mengatakan PAS bukanlah “king maker” sebaliknya berdepan risiko “bunuh diri” sekiranya bertanding sendirian dalam PRU14.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berpendapat, PKR berisiko kehilangan undi Cina dan Selangor sekiranya meneruskan kerjasama dengan PAS.

Menurut Hisomuddin, pada PRU13 lalu, PKR memperolehi 80% undi Cina di Selangor sementara purata undi Cina untuk PAS 60% dan berdasarkan kajian, parti Islam itu hanya memperolehi 1% undi sahaja sekarang.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan PAS di tiga negeri – Selangor, Kedah dan Kelantan — sedang cuba mendapatkan mandat autonomi daripada peringkat pusat untuk merestui kerjasama mereka dengan PH bagi membolehkan parti Islam itu bertanding satu lawan satu dengan BN pada PRU14 nanti. – 23 Ogos, 2017.

Sedangkan ini yang PKR dapat: PAS tidak akan bincang pembahagian kerusi dengan PKR, kata naib presiden

1 comment:

  1. Everything is very open with a precise clarification of the challenges.
    It was truly informative. Your website is very helpful.
    Thank you for sharing!

    ReplyDelete