Friday, August 25, 2017

RCI Memali: Ada betulnya juga apa kata Rais ni.......

Tiada keperluan untuk RCI Memali - Rais Yatim
 Diterbitkan pada Ogos 24, 2017 17:26 MYT
RAIS: Ia seharusnya bergantung sama ada terdapat bukti baharu atau perkara yang masih tidak dirungkai sehingga kini dalam peristiwa itu

KUANTAN: Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Tan Sri Dr Rais Yatim berkata tiada keperluan untuk mengadakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat tragedi berdarah Memali yang berlaku pada tahun 1985.

Beliau berkata meskipun kerajaan mempunyai kuasa untuk mewujudkan RCI, namun ia seharusnya bergantung sama ada terdapat bukti baharu atau perkara yang masih tidak dirungkai sehingga kini dalam peristiwa itu.

"Apa baiknya untuk diadakan singkapan lama? Kita harus berpendapat jika semuanya hendak diRCIkan, maka kerja kerajaan tidak ada lain ialah untuk merungkai yang lama dan menyembahkannya kembali.

"Semasa peristiwa Memali berlaku, huraian telah dibuat dan saya juga menjadi jurucakap Memali semasa itu selaku Menteri Penerangan. Penerangan yang diberi juga sudah dijawab oleh bapa Ibrahim Libya (Mahmud Senapi). Jadi tidak perlu RCI," katanya.

Rais berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sudut Pidato Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gambang di sini hari ini, yang turut dihadiri Rektor universiti itu Prof Datuk Seri Dr Zalea Kamarudin.

Selain itu, Rais berpandangan segala persoalan berkaitan tragedi itu sudah dihurai dan dijawab dengan baik dalam laporan Kertas Putih Memali yang dibentangkan kerajaan di Parlimen.

"Jika mungkin ada tujuan lain (untuk diadakan RCI) yang pada tahun 1985 masih tidak terungkai, harus disenaraikan apakah isu yang hendak dihuraikan. Apa kandungan Kertas Putih yang masih tidak dipuashatikan lagi?

"Isu ini harus diselidik terlebih dahulu untuk melihat jika perlu diadakan RCI. Memang kerajaan ada kuasa untuk (adakan) RCI bila-bila masa, tetapi kesahihan dan matlamat asasnya bagaimana?," soalnya.

Tragedi Memali berlaku pada 19 Nov 1985 menyaksikan 18 orang termasuk empat anggota polis terbunuh dan ramai lagi cedera ketika polis melancarkan operasi menangkap guru agama, Ibrahim Mahmud atau dikenali sebagai Ibrahim Libya di Kampung Memali, Baling, Kedah. - sumber

1 comment:

  1. Hanya untuk memenuhi nafsu politik sahaja.
    Sama juga dengan RCI Forex. Dah tak ada peraturan seperti mana sekarang, memang la BNM boleh involve dalam forex. Sendiri jaga peraturan sendiri buat hal. Nak salahkan siapa?
    Kalau keputusan RCI setakat utk cakap tata kelola forex time tu tak sempurna. Semua orang tau... So apa faedahnya utk dapatkan jawapan yg semua dah tahu.
    Sama ler dengan RCI Memali ni....

    ReplyDelete