Friday, August 18, 2017

Cucu pengasas Singapura pun terpaksa lari?

Bimbang ditangkap, cucu Lee Kuan Yew tinggalkan Singapura
Diterbitkan pada 18 Aug 2017 11:44AM
Li Shengwu yang merupakan anak kepada Lee Hsien Yang dan Lee Wei Ling kembali ke Amerika Syarikat pada 23 Julai lalu, seminggu lebih awal daripada rancangan asalnya. – Gambar Facebook, 18 Ogos, 2017.

CUCU lelaki pengasas Singapura, Lee Kuan Yew, meninggalkan republik itu selepas didakwa menghina mahkamah menerusi kenyataannya di Facebook, lapor agensi berita Reuters.

Li Shengwu yang merupakan anak kepada Lee Hsien Yang dan Lee Wei Ling – yang terlibat dalam konflik keluarga Perdana Menteri Lee Hsien Loong – kembali ke Amerika Syarikat pada 23 Julai lalu, seminggu lebih awal daripada rancangan asalnya.

Tindakannya itu susulan amaran daripada rakan-rakannya yang bimbang dengan keselamatannya jika terus berada di republik itu.

"Di Singapura, tidak mustahil seseorang ditahan dan disiasat untuk satu jangka waktu tanpa diwakili peguam.

"Rakan memberi amaran mereka bimbangkan keselamatan saya jika saya terus berada di Singapura," katanya yang enggan mendedahkan nama rakannya itu.

Pemuda berusia 23 tahun itu dilaporkan menerima surat daripada Dewan Peguam Negara Singapura yang menuntut permohonan maaf dan memadamkan posting di Facebook yang menyatakan, "kerajaan Singapura suka memfailkan saman dan mempunyai sistem mahkamah yang dikawal."

Setiausaha Akhbar Lee, Chang Li Lin, berkata adalah "tidak tepat" untuk bercakap mengenai penahanan dan siasatan.

"Ia adalah proses perundangan yang mantap. Undang-undang jelas dan prosedur dilaksanakan terhadap semua kes menghina mahkamah, termasuk kes membabitkan Li.

"Mahkamah akan memutuskan merit mengenai kes itu," kata Chang. – 18 Ogos, 2017.

No comments:

Post a Comment