Saturday, August 5, 2017

Tragis dan pilu: Kanak-kanak 8 tahun maut disengat tebuan

Kanak-kanak maut disengat lebih dari 60 tebuan
10:42 PM - 4 OGOS 2017
KOTA BHARU, KELANTAN - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II), Kota Bahru, selepas disengat lebih dari 60 ekor tebuan ketika bermain di halaman rumahnya, lapor Harian Metro. 

Dalam kejadian di rumahnya di Kampung Benting Lintang, Jertih, kelmarin, mangsa, Muhammad Adrian Aiman Mohd Rosmin, 8, murid tahun dua Sekolah Kebangsaan (SK) Benting Lintang, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11 pagi tadi. 

Bapanya, Mohd Rosmin Ong Bo Jit @ Hussin, 30, berkata, kejadian itu berlaku ketika anak sulungnya sedang bermain kira-kira 100 meter dari rumahnya. 

Sebelum itu, mangsa dikatakan bermain badminton berdekatan kawasan itu dan kemudian bermain dengan rakannya di dalam semak berhampiran. 

"Kemudian dia bersama empat rakannya diserang tebuan yang bersarang di atas pokok di kawasan itu dan anak saya yang paling banyak kena sengat di seluruh badan. 
"Berdasarkan kesan pada tubuhnya, dipercayai dia disengat lebih dari 60 ekor tebuan," katanya, memetik laporan dari portal Harian Metro. 

Mangsa kemudian dihantar pulang ke rumah oleh anak saudaranya dengan motosikal pada jam 6.45 petang dalam keadaan yang lemah namun masih boleh bercakap. 

Melihat keadaan mangsa yang teruk itu, Mohd Rosmin dan isteri, Nor Azah Hamid, 27, terus mengejarkannya ke Hospital Besut dengan kereta. 

Menurut Rosmin, anaknya masih boleh bercakap ketika itu sehingga pihak hospital memasukkan tiub ke mulutnya pada jam 9 malam untuk memastikan dia tidur dan berehat. 

"Memandangkan keadaannya yang agak teruk menyebabkan Muhammad Adrian kemudiannya dirujuk ke HRPZ II untuk mendapatkan rawatan lanjut. 
"Selepas dirawat di hospital itu, keadaannya stabil. Bagaimanapun bermula jam 9 pagi tadi, anak saya jadi kritikal kerana buah pinggangnya sudah tidak berfungsi sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira dua jam kemudian," katanya. 

Jenazah Muhammad Adrian telah selamat dikebumikan di Kampung Benting Lintang, petang tadi. - sumber

* Berkenaan betapa sakit dan azab menerima sengatan tabuan ni saya ada dua peristiwa:

Pertama: Saya sendiri terpaksa berlari menuruni bukit mengabiskan jarak trekking kerana disengat Tabuan Tanah rasanya di jarak tiga suku perjalan yang memakan masa 11 jam perjalan dari Bukit Baka, Machang ke Jeram Linang, Pasir puteh. Masa itu saya dan dua orang rakan mengetuai xpdc Kelab Rekreasi Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu, menjelajah trek

Setelah terkena sengatan Tabuan Tanah menambahkan lagi sengsara saya kerana sebelumnya saya telah pun menerima sebelas tujahan dari Penyengat 'Peringat Sawo' panggilan orang Kelantan terhadap penyengat hutan yang berbadan besar dari penyengat biasa. Badannya badan berbelang. 

Jadi saya terpaksa tinggalkan kumpulan kepada dua orang lagi pengiring dan saya terpaksa berlari sehingga ke Jeram Linang dan terjun ke dalam sungai yang airnya sejuk untuk melegakan sakit dan panas dari bahana sengatan. Walau pun begitu saya terpaksa memakan ubat tahan sakit untuk membolehkan saya tidur pada malam itu.

Malam itu sepatutnya saya adakan kelas bertajuk 'Rekreasi dan Pemuliharaan Hutan' terpaksa saya minta rakan saya yang sampaikan.

Kedua: Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan meminta jasa baik saya mengadakan kursus Orienteering dan Map Reading kepada wakil-wakil yang dihantar oleh persatuan-persatuan belia daerah dan kursus ini diadakan di Pantai Bukit Keluang.

Seramai lima orang perserta telah menerima serangan Tabuan Tanah dan seirang peserta perempuan telah dimasukkan ke Wad Hospital Jertih

1 comment:

  1. Seekor tebuan boleh menyengat berkali-kali kerana alat penyengat itu tidak tercabut selepas menyengat. Berbeza dengan lebah, seekor lebah hanya boleh menyengat sekali sahaja dan alat penyengat akan tinggal pada badan mangsanya. Mungkin akan tumbuh alat sengat baru dalam tempoh beberapa hari, tapi tidak pasti entah ya atau tidak.

    ReplyDelete