Friday, August 11, 2017

Kes 1MDB: AS mula siasatan jenayah, apa pula agaknya kata AG?

AS mula siasatan jenayah kes 1MDB, tangguh prosiding sivil
TMI - Diterbitkan pada 11 Aug 2017 2:10PM
Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat menangguhkan saman sivil merampas aset yang didakwa dibeli menggunakan wang diselewengkan daripada 1MDB. – Gambar fail AFP, 11 Ogos, 2017.

AMERIKA Syarikat memulakan siasatan jenayah terhadap wang yang didakwa dicuri dari 1Malaysia Development Berhad dan menangguhkan tindakan sivil yang difailkan dua tahun lalu bagi merampas hartanah dan pelbagai aset lain bernilai lebih AS$1 bilion.

Bloomberg melaporkan dokumen mahkamah yang difailkan oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) menunjukkan AS sedang mempergiatkan siasatannya di seluruh dunia bagi mengesan wang 1MDB yang diselewengkan untuk membeli hartanah mewah dan lukisan serta dilaburkan dalam produksi filem dan banyak lagi.

Pegawai DoJ memohon kepada hakim di Los Angeles untuk menangguhkan prosiding sivil terhadap semua aset berkenaan yang diperoleh oleh ahli kewangan rakyat Malaysia Low Taek Jho, yang juga dikenali sebagai Jho Low,kerana meneruskannya mungkin akan “menjejaskan” kemampuannya mengendalikan siasatan jenayah itu.

Dalam saman sivilnya, DoJ mendakwa antara 2009 hingga 2015, lebih AS$4.5 bilion milik 1MDB dipindahkan oleh pegawai atasan dana itu dan sekutunya.

Sehingga kini, jumlah keseluruhan yang didakwa dirompak daripada 1MDB dan dituntut DoJ untuk disita ialah AS$4.5 bilion.

DoJ kali pertama memfailkan saman pada Julai 2016 untuk merampas kira-kira AS$1 bilion (RM4.4 bilion) aset dipercayai dibeli dengan wang diselewengkan daripada 1MDB dan antaranya ialah karya seni dan hartanah di New York dan Los Angeles. Ia kes terbesar menerusi Inisiatif Penyitaan Aset Kleptokrasi (KARI) jabatan itu.

Saman AS itu melibatkan beberapa rakyat Malaysia, termasuklah “Malaysia Official 1” (MOI) yang kemudiannya dikenal pasti sebagai Perdana Menteri Najib Razak oleh menteri Abdul Rahman Dahlan.

Najib menafikan sebarang salah laku dan Peguam Negara Apandi Ali juga membebaskannya selepas siasatan dilakukan agensi berkaitan dalam negara.

Pada 7 Jun tahun ini, DoJ memfailkan saman kedua untuk merampas kondominium mewah di London dan Jho Low didakwa menggunakan £77 juta (RM416 juta) daripada 1MDB untuk membiayai pembelian kondominium mewah, bangunan pejabat dan sebuah pangsapuri di Stratton Street.

Pejabat di Mayfair yang dibeli dengan nilai £42 juta pada 2014 ialah ibu pejabat Myla, syarikat pakaian dalam Britain yang dimiliki Low.

Saman ketiga DoJ difailkan pada 13 Jun lalu yang bermatlamat merampas aset bernilai AS$1.7 bilion termasuklah sebuah kapal layar persendirian bernilai AS$165 juta dimiliki Low.

Dalam pemfailan saman sivil ketiga dan terbaharu bagi pelucutan hak itu, DoJ ingin menyita antara lain, kapal layar Equanimity bernilai AS$165 juta (RM704 juta) dan hak filem komedi "Dumb and Dumber To" dihasilkan Red Granite, syarikat penerbitan dimiliki bersama oleh Riza Aziz, anak tiri Najib Razak.

DoJ juga mendakwa dalam tuntutan itu sekurang-kurangnya AS$27.3 juta digunakan oleh Low untuk membeli loket dan rantai berlian merah jambu 22 karat untuk “Malaysian Official 1 Wife”.

Sejak saman ketiga difailkan, pelakon Amerika Leonardo Dicaprio dan model terkenal Australia Miranda Kerr sudah menyerahkan kembali hadiah bernilai jutaan dolar AS yang diterima daripada Low, kepada DoJ. – 11 Ogos, 2017.

Dengan siasatan jenayah, Peguam Negara tidak boleh nafi penemuan DoJ, kata aktivis
Melati A. Jalil
Diterbitkan pada 11 Aug 2017 6:24PM 
Peguam Negara Mohamed Apandi Ali tidak dapat lagi menafikan penemuan yang dibuat DoJ dalam siasatan ke atas skandal 1MDB selepas siasatan jenayah berjalan. – Gambar The Malaysian Insight, 11 Ogos, 2017.

PEGUAM Negara tidak boleh lagi menafikan penemuan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) sebagai bermotif dan bermotivasi politik berikutan siasatan jenayah dijalankan terhadap wang yang didakwa dicuri daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata kumpulan anti rasuah.

Pengarah Eksekutif Pemantau Anti Rasuah (C4) Cynthia Gabriel berkata, tindakan itu memang dinanti-nantikan kerana kecurian wang daripada syarikat itu sendiri pada dasarnya merupakan jenayah.

“Dan individu yang menjadi dalang kecurian ini perlu berdepan perbicaraan jenayah.

“Beliau (Peguam Negara) terikat dengan tugas untuk bekerjasama dan membantu menyelesaikan skandal rasuah terbesar ini  sebagaimana yang diwajibkan di bawah UNCAC,” katanya merujuk kepada Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah.

DoJ secara rasminya pada Khamis berkata meminta Mahkamah Los Angeles untuk membekukan saman sivil untuk merampas aset yang diperoleh pembiaya Malaysia Low Taek Jho yang juga dikenali sebagai Jho Low, kerana meneruskannya akan menyebabkan “kesan yang buruk” terhadap liabilitinya untuk menjalankan siasatan jenayah.

Dalam saman sivilnya, DoJ mendakwa antara 2009 dan 2015, lebih AS$4.5 bilion wang milik 1MDB dipindahkan oleh pegawai tertinggi syarikat itu dan sekutunya.

Tahun lalu DoJ memfailkan saman sivil untuk merampas aset lebih AS$1 bilion yang dibeli menggunakan dana yang didakwa diseleweng daripada 1MDB.

Setahun kemudian pada Jun, DoJ memfailkan satu agi saman untuk merampas aset bernilai AS$540 juta (RM2.31 bilion) termasuk kapal layar Equanimity bernilai AS$165 juta milik Jho Low, rantai berlian bernilai AS$27.3 juta untuk isteri Malaysian Official No 1 (MO1) dan hak penyiaran rancangan komedi “Dumb and Dumber To” untuk yang dihasilkan syarikat produksi Red Granite milik anak tiri Najib, Riza Aziz.

The Malaysian Insight cuba menghubungi Apandi Ali berhubung tindakan DoJ itu namun beliau enggan mengulas.

Cynthia berkata walaupun “MO1” tidak dinamakan, individu itu perlu berdepan dengan siasatan jenayah membabitkan 1MDB dan jelaskan kepada rakyat.

Menteri Barisan Nasional Abdul Rahman Dahlan sebelum ini menyatakan MO1 adalah Perdana Menteri Najib Razak, bagamanapun menafikan sebarang salah laku.

Sementara itu Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Eric Paulsen berkata kes itu berkembang menjadi perkara yang lebih serius kerana pihak berkuasa AS melihat kes 1MDB dari sudut jenayah.

Katanya mereka yang tahu tentang aliran wang itu boleh ditahan untuk soal siasat, sebagaimana kes yang dikaitkan 1MDB di Singapura, di mana pegawai bank pelaburan Yeo Jiawei dijatuhkan hukuman penjara 4 setengah tahun kerana penggubahan wang haram.

“Semua yang terlibat, penjenayah boleh ditahan, Sekiranya mereka warganegara AS mereka boleh ditahan jika ia berasas, mereka boleh ditemui, disoal siasat, ditahan dan didakwa di mahkamah atas apa juga salah laku yang mereka lakukan.

“Bagi warga asing yang menjejakkan kaki ke AS, mereka juga boleh ditahan. Namun sekiranya berada di luar negara, mereka tertakluk kepada undang-undang antarabangsa. (AS) boleh bekerjasama dengan Interpol tetapi ia bergantung kepada sejauh mana pihak berkuasa AS cuba untuk mendapatkannya,” kata Paulsen dan menambah sekiranya bekerjasama dengan Interpol, notis amaran merah akan dikeluarkan.

Selain AS, pihak berkuasa di beberapa negara lai termasuk Singapura turut menyiasat kes membabitkan syarikat pelaburan Malaysia yang diasaskan perdana menteri Najib. – 11 Ogos, 2017

1 comment:

  1. Dari petikan 'The Malaysian Insight cuba menghubungi Apandi Ali berhubung tindakan DoJ itu namun beliau enggan mengulas', sebenarnya dia sedang mencari-cari ilham macam mana nak kelentong. Mana boleh beri jawapan spontan, sebabnya untuk menutup suatu penipuan kenalah beri hujah yang licik! Tak bolehlah pakai bedal saja, lainlah jika sesuatu yang benar tentu tidak ragu langsung untuk memberikan jawapan secara spontan dan dalam apa situasi sekalipun.

    ReplyDelete