Wednesday, January 10, 2018

Penjenayah tumpas: Warga asing lagi.....

2 ahli Geng Tebuk tumpas
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my
DUA perompak dipercayai warga asing ditembak mati oleh polis di Taman Bandar Baru Sungai Udang. FOTO Rasul Azli Samad

POLIS menembak mati dua ahli Geng Tebuk di Taman Bandar Baru, Sungai Udang, Melaka, yang cuba memecah masuk pasar raya, hari ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, dua suspek dipercayai warga asing berusia 30-an itu dikesan cuba pecah masuk pasar raya terbabit untuk merompak premis perniagaan kedai emas.

"Kejadian berlaku 4.30 pagi apabila pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka Tengah melakukan rondaan Ops Tebuk dan menemui Honda City tanpa nombor pendaftaran belakang, diparkir dalam keadaan mencurigakan di taman perumahan.

"Pemeriksaan di sekitar kawasan itu mendapati tiga suspek cuba memecah masuk pasar raya. Polis menjerit memperkenalkan diri namun tiga suspek terbabit melarikan diri sebelum seorang daripadanya melepaskan tembakan ke arah polis, manakala seorang lagi melibas parang panjang ketika cuba ditahan," kata Abdul Jalil, dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Bukit Beruang, di Melaka, hari ini.

Beliau berkata, polis terpaksa bertindak balas dan melepaskan beberapa tembakan dan mengena mangsa.

Menurutnya, seorang suspek tanpa senjata berjaya meloloskan diri, namun pihaknya yakin suspek terbabit masih berada di sekitar Sungai Udang.

Abdul Jalil berkata, tiga suspek dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya 14 kes tebuk (pecah masuk premis) perniagaan kedai emas di Nilai (Negeri Sembilan), Gebeng (Pahang), Alor Gajah (Melaka), Lembah Klang dan Terengganu.

"Kita percaya suspek terbabit dalam kes di lokasi yang disebut berdasarkan modus operandi yang digunakan mereka seperti memotong serta menebuk dinding dalam pasaraya untuk merompak kedai emas pada waktu malam sekitar jam 11 malam hingga 7 pagi iaitu ketika pasaraya ditutup.

"Malah, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup di tempat kejadian sebelum ini, suspek mempunyai persamaan memakai baju lengan pendek berwarna putih, seluar pendek, berkasut sukan, mempunyai beg galas dan memakai topeng ski," katanya lagi.

Beliau berkata, kereta yang digunakan suspek dikesan sebagai kereta curi di Johor Jaya pada 2016 manakala polis turut merampas beberapa senjata yang digunakan termasuk satu pistol jenis revolver bersama peluru, satu parang panjang, pemotong besi bersama dua bilah mata yang sudah digunakan dan dua lagi belum digunakan serta kuku kambing.

Katanya, daripada 14 kes yang berjaya diselesaikan itu dipercayai membabitkan kerugian mencecah RM1 juta dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, kerana cubaan membunuh.

No comments:

Post a Comment