Wednesday, January 3, 2018

Anwar bebas bulan jun?

Tahun baru, Anwar bebas dan kerajaan baharu?
MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
2 JANUARI 2018
Syed Ibrahim Syed Noh

SHAH ALAM - PKR mengandaikan bahawa tahun baharu memungkinkan berlakunya perubahan kuasa, sekali gus kerajaan baharu dibentuk.

Ketua Penerangannya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pelbagai indikator realistik yang dilihat menjadi pemangkin ke arah pembentukan kerajaan baharu.

"Dengan kesatuan politik, kepimpinan dan pengalaman dalam gabungan pembangkang kali ini, saingan sengit dijangka berlaku dalam PRU14.

"Jika berdasarkan ini, tahun 2018 mungkin tahun terpenting untuk Malaysia. Adakah kekal Umno BN atau naik kerajaan baharu Pakatan Harapan?

“Saya pasti pilihan raya kali ini akan menunjukkan rakyat bergerak jauh ke depan bersama Pakatan Harapan meninggalkan pola pengundian tradisi yang memilih parti kepada isu rakyat. Besar harapan daripada rakyat ialah untuk melihat perubahan pada sistem dan kepimpinan negara supaya Malaysia dapat diselamatkan,” katanya yang memetik petikan kenyataan Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

PRU14 mesti diadakan tahun ini, tidak lewat daripada Ogos.

Dalam pada itu, katanya lagi pembebasan bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menjadi salah satu faktor peralihan kuasa pemerintahan.

"Tahun 2018 juga tahun Anwar Ibrahim bakal dibebaskan. Dijangka bulan Jun.

"Meskipun terpenjara sebagai seorang tahanan politik, pengaruhnya tetap dirasai sebagai pencetus Reformasi dan pengislahan negara. Kemunculannya semula dalam kancah politik sudah tentu memberi kesan positif kepada lanskap politik negara," katanya.

Di samping itu, katanya, momentum Pakatan Harapan sebagai pesaing kuat kepada Umno BN sudah dirasai.

"Gabungan pimpinan berpaksikan rakyat tidak hanya berpencak silat atas pentas politik tetapi berpijak di bumi bertuah bersama rakyat berbilang lapisan masyarakat, agama dan kumpulan etnik," katanya.

No comments:

Post a Comment