Ramlah Zainal (kanan) lebih berminat bercakap tentang isu harga barang daripada 1MDB.
PETALING JAYA: Dalam usaha meraih sokongan pengundi dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14), pembangkang memulakan jelajah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan siri ceramah berkaitan skandal firma tersebut.
Bagaimanapun, tinjauan FMT di kawasan luar bandar di Selangor mendapati pengundi tidak berminat mengenai skandal tersebut, terutamanya yang tinggal di luar bandar, sebaliknya lebih mengutamakan isu “periuk nasi”.
Rata-rata penduduk yang ditemubual lebih berminat dengan isu kos sara hidup berbanding 1MDB yang mereka anggap sebagai masalah ‘orang atasan’.
Nurul Amalina, pengusaha gerai dari Bukit Rotan berkata, jika pembangkang datang ke kawasannya, beliau mungkin akan menyertainya jika tidak ada rancangan lain.
Beliau juga berkata akan menyokong parti yang membawa isu kos hidup berbanding isu lain termasuk 1MDB.
“Saya tidak minat isu 1MDB, tak berapa faham. Itu isu orang atasan, lagi pun kami tidak tahu betul atau tidak isu tersebut,” katanya.
Mereka yang tahu isu 1MDB bagaimanapun berkata mereka tiada kaitan dengan skandal tersebut.
“Tidak berminat,” kata Ramlah Zainal ketika ditanya adakah beliau berminat mendengar isu 1MDB daripada pembangkang.
“Isu yang penting adalah berkenaan kemudahan kita seperti menurunkan harga barangan,” kata wanita berusia 68 tahun itu dari Felda Bukit Cerakah.
Muhammad Nazri, 32, berkata beliau lebih mementingkan isu sara hidup dan beranggapan 1MDB adalah isu politik yang tiada kaitan dengan rakyat.
Nordin Ariffin, 53, pekerja binaan, jelas seorang penyokong Barisan Nasional (BN).
Beliau tidak ambil kisah isu 1MDB, asalkan kerajaan memberi bantuan tunai di bawah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk membantu sara hidup mereka.
“Mereka (pembangkang) berbohong,” jawabnya apabila dikatakan 1MDB menjadi punca kutipan GST sambil menambah mereka sebagai orang kampung tidak pernah merungut untuk membayar cukai tersebut.
Noraini Mahmud, 58, pula berkata 1MDB adalah perkara merepek berkaitan politik dan enggan mendengar ceramah daripada pembangkang.
Manakala surirumah, Waheedha, 42 mendakwa 1MDB adalah mainan pembangkang.
“Pembangkang kata ekonomi kita teruk. Memang ekonomi kita ada masalah sikit sekarang tapi sebab harga minyak naik, tapi ia lebih baik daripada negara lain.”
Menurutnya, jika benar Najib bersalah berkaitan 1MDB, mengapa beliau belum ditangkap dan jika ekonomi negara merosot, mengapa kerajaan masih mampu menyalurkan BR1M.
Lebih menarik, seorang nelayan berusia 70 tahun dari Sekinchan yang mahu dikenali sebagai Chua pula tidak tahu apa itu “1MDB” berbanding BR1M.
Ditanya adakah beliau menghadiri ceramah pembangkang berkenaan isu itu, beliau menjawab: “Saya pergi tapi tidak faham apa yang mereka cakap. Saya pergi untuk beri sokongan sahaja.”
Sokong kedua parti politik
Mohamad Abdul Rahim, 60, percaya perlu ada keseimbangan antara isu “periuk nasi” dan 1MDB.
“Selain 1MDB, pembangkang kena mainkan juga isu ‘periuk nasi’. Dua-dua penting dan rakyat kena ambil tahu,” katanya sambil menambah sebagai negara demokrasi, rakyat kena dengar penjelasan daripada kedua belah parti.
Sementara itu, Raymond, seorang penjaga kedai di Sekinchan, berkata: “Antara keduanya, saya lebih tertarik untuk mendengar bagaimana parti politik merancang untuk menyelesaikan kenaikan kos sara hidup.
“Tetapi saya juga ingin tahu tentang 1MDB, jika ia benar-benar penyebab kenaikan kos sara hidup.”
Berdasarkan tinjuan tersebut, penganalisis politik, Dr Ahmad Atory Hussain setuju ia adalah sentimen umum dalam kalangan pengundi luar bandar dan separa luar bandar itu.
Beliau berkata walaupun kempen pilihan raya pembangkang masih tertumpu kepada 1MDB, mereka juga memfokuskan cara menangani isu “periuk nasi” dengan “mempermudahkan skandal” dan “menghubungkannya dengan 1MDB”.
Ini terbukti semasa ceramah berkaitan 1MDB di Sungai Acheh, Pulau Pinang yang menyaksikan pemimpin pembangkang membentangkan skandal itu secara terperinci.
Seramai 1,000 orang hadir dalam ceramah tersebut, yang diberi jolokan “KUrsus Tony Pua Mengenai 1MDB” oleh Ketua PKR Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman.
Ketakutan ini juga mungkin menjadi faktor kepada pengumuman Najib minggu lalu dengan lebih RM1.4 bilion insentif untuk peneroka Felda – yang membentuk sebahagian besar undi Melayu luar bandar dan majoriti 54 kawasan parlimen.
Namun Atory tidak percaya insentif itu memadai dengan mengatakan pengurusan dan integriti Felda mempersoalkannya dan pembangkang mendapati ia adalah peluang keemasan untuk mereka masuk ke Felda.
“Itulah sebabnya sejumlah besar pengundi Felda mengalu-alukan pembangkang ke kawasan mereka. Ini adalah tamparan kepada BN,” katanya merujuk kepada kempen aktif PH di tanah rancangan itu.
Bagaimanapun, pembangkang masih mempunyai banyak tugas yang perlu dilakukan jika mereka mahu menentang naratif rasmi kerajaan tentang skandal 1MDB terutamanya di kalangan penyokong BN yang tegar di kawasan luar bandar negara ini.
Sebenarnya isu MDB ini agak complicated. ...di kalangan Pak Pak Lebai pemimpin PAS pun tak reti sangat isu ini sebab itu depa diam membisu dalam Parlimen dan baNYAK MENDIAMKAN DIRI DARI BERCAKAP PASAL mdb. Isu ini kena banyak membaca , kena buat rujukan, siasat dan kena fikir baru boleh faham bagaimana penyamun-penyamun sophisticated yang diketuai oleh MO1 ini songlap duit rakyat.
ReplyDeleteManakala kenaikan harga barang adalah isu yang mudah, straight forward serta mendatangkan kesan sertamerta ke atas rakyat marhain....hujung tahun lalu ikan kembung RM 7.80/kg...3 bulan lepas naik RM 11.20/kg dan sekarang dah jadi RM 12.90/kg....zaman Mahatir jadi PM ikan kembung cuma RM 4.00/kg saja....itu contoh saja lah bagi mudah depa faham.
Jadi ...secara kasarnya kita boleh bahagikan rakyat/pengundi kepada dua katagori..CERDIK dan KURANG CERDIK. Bila jumpa yang cerdik barulah bercakap soal MDB, penjualan asset strategic negara secara berleluasa kepada China Komunis serta kesan yang akan ditanggung anak cucu kita. Tapi bila jumpa puak yang tak boleh berfikir atau yang mahu supaya otak mereka banyak berehat, kita cakap pasal rega barang naik, peningkatan kos sara hidup, penarikan subsidi, sekali sekala selitkan cerita betapa hebatnya cincin Rosmah...baru la depa tak tidor....