Friday, August 4, 2017

Faktor Dr Mahathir

Wan Hamidi Hamid
Diterbitkan pada 4 Aug 2017 7:00AM

MENGAPA sejak lebih 40 tahun lalu, sukar bagi pembangkang untuk menewaskan Barisan Nasional (BN)? Apakah kesaktian BN, jika ada, yang menyebabkan ia kekal sebagai kerajaan Malaysia hingga ke hari ini? Dan apa pula senjata ampuh untuk menentangnya?

Dengan meletak ke tepi seketika isu demokrasi Malaysia yang pincang dan kemerosotan hak asasi, undang-undang yang menyebelahi kerajaan memerintah, kawalan media, serta program berasaskan satu kaum dan agama, tulisan ini akan hanya menumpukan kepada faktor politik semata-mata tanpa mengambil kira tekanan dan penindasan yang dihadapi pembangkang.

Pilihan Raya Umum (PRU) 1990 merupakan platform pertama pembangkang pelbagai aliran bersatu untuk membentuk gabungan menentang BN. Namun, ia gagal apabila pengundi memilih untuk kekal bersama BN pimpinan Dr Mahathir.

Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno serta ditangkap pada 1998 dan kemudiannya dipenjarakan. Ia mencetuskan gelombang kebangkitan orang Melayu. Bagi kebanyakan mereka, Anwar adalah idola pengganti Dr Mahathir.

Namun, pada PRU1999, percubaan untuk menjatuhkan Mahathir dan BN sekali lagi gagal. Walaupun banyak undi Melayu berubah kepada pembangkang, undi kaum lain, khususnya Cina, kekal bersama BN.

PRU2008 pula diadakan dalam keadaan tiada sebarang gabungan antara pembangkang. Keputusannya mengejutkan apabila Abdullah Ahmad Badawi yang memegang teraju kepimpinan negara sejak persaraan Dr Mahathir pada 2003 kehilangan majoriti dua pertiga Parlimen serta kalah di lima negeri.

Pada PRU2013, BN di bawah pentadbiran Najib Razak mengekalkan kemenangan tetapi tanpa banyak perubahan. Malah undi popular Pakatan Rakyat meningkat menjadi 53% tetapi persempadanan kawasan pilihanraya membolehkan BN menguasai lebih banyak kerusi. BN tetap kekal sebagai kerajaan.

Mengapa begitu?

Dalam hal ini, ia melibatkan faktor Dr Mahathir. Sejak 1990 pembangkang gagal membuat sebarang impak kerana aura Dr Mahathir sebagai ketua kerajaan yang dilihat majoriti pengundi sebagai pemimpin yang layak memimpin mereka. Maksud “aura” di sini merupakan kecekapan beliau menggunakan muslihat politik, strategi dan taktik yang bercampur bersih dan kotor, serta penggunaan aparatus negara.

Contohnya pada PRU1990, walaupun Tengku Razaleigh Hamzah memimpin Semangat 46 bersama separuh bekas pemimpin kanan Umno, beliau gagal kerana mereka adalah “pembangkang”, dan bukannya “kerajaan”.

Maksudnya pengundi Melayu khususnya mahu parti Umno yang menjadi kerajaan kerana diajar sejak Merdeka bahawa “hanya kerajaan dapat menjamin masa depan rakyat”. Pembangkang pula dilihat sebagai pihak yang “jahat dan tidak bertanggungjawab”.

Sejak PRU1990 (malah sebenarnya lebih awal, sejak PRU1982), Mahathir sebagai perdana menteri berjaya memomokkan pembangkang sebagai kumpulan yang mahu memecahbelahkan perpaduan Melayu serta boleh menjejaskan hidup serta masa depan orang Melayu. Mudah sahaja alasan ini diterima kerana Dr Mahathir dan Umno menjadi teraju kepimpinan BN.

Oleh itu sukar pembangkang menang kerana mereka tetap dilihat sebagai “pembangkang” oleh majoriti orang Melayu, dan bukan sebagai “kerajaan yang menanti”.

Kini menjelang PRU14, Najib cuba meneruskan skrip lama Dr Mahathir untuk menakutkan orang Melayu agar terus bersama Umno dan BN. Namun, keadaan sudah berubah.

Perbezaan paling ketara hari ini ialah yang menjadi kepala pembangkang adalah Dr Mahathir sendiri, seorang pemimpin yang masih dikagumi orang Melayu. Kini beliau menerajui sebuah parti Melayu yang mahu menggantikan Umno, iaitu Bersatu. Ia bergabung dengan Pakatan Harapan untuk menubuhkan kerajaan baru.

Maksudnya orang Melayu kini melihat Dr Mahathir menawarkan alternatif untuk menolak Umno. Jika dahulu, semua yang melawan Dr Mahathir adalah orang nombor dua atau tiga di bawah beliau. Yang melawan guru semuanya kalah. Kini beliau sebagai mantan nombor satu bangkit melawan Najib. Ia seperti guru menentang anak muridnya yang melanggar sumpah setia.

Dalam keadaan sebegini, Najib pula memilih jalan untuk mengutuk, menghina dan memperlekehkan Dr Mahathir. Sedangkan Dr Mahathir masih dilihat oleh kebanyakan orang Melayu sebagai tokoh besar yang membuka peluang kepada mereka memasuki arena perniagaan yang tidak pernah dimimpikan sebelum dekad 1980-an.

Memang benar cara Dr Mahathir turut melahirkan kronisme, sistem ekonomi limpahan kapitalis, sikap mediokriti dan pelbagai kelemahan dalam pentadbiran. Namun beliau juga menjadi kebanggaan rakyat Malaysia dengan program pembangunan serta mercu tanda yang dikenali dunia.

Suka atau tidak, Dr Mahathir masih mempunyai aura yang digeruni lawannya. Malah, tindakan dangkal perkauman seperti membangkitkan keturunan kaum datuknya menjadikan lebih ramai rakyat Malaysia termasuk orang Melayu tampil membela Dr Mahathir.

Beliau kini bersama musuh lama politiknya – Anwar Ibrahim, Dr Wan Azizah Ismail, Lim Kit Siang, Mohamad Sabu – bersatu tenaga untuk menumbangkan BN bagi menubuhkan kerajaan baru.

Berbeza dengan keadaan dahulu di mana orang bawahan Dr Mahathir yang cuba menjatuhkannya, kini beliau sendiri menerajui gelombang politik Melayu yang melawan Najib.

Malah, jika benar Dr Mahathir yang melahirkan pemimpin seperti Najib, biar beliau sendiri yang menyelesaikan masalah yang diciptanya itu. – 4 Ogos, 2017.

* Wan Hamidi Hamid merupakan wartawan veteran yang mempunyai minat mendalam terhadap muzik rock.

1 comment:

  1. Melayu krng expose dgn media social. Tq ph.

    ReplyDelete