Monday, August 7, 2017

Betul ke ada.......memang kita di bawah ni pun nak tahu juga!

Kit Siang gesa dedah rakaman Mahathir-Zahid
06 Ogos 2017 | MALAYSIA DATELINE
Tun Mahathir Zahid Hamidi

Ketua parlimen DAP Lim Kit Siang menggesa rakaman mengenai Tun Dr Mahathir Mohamad mahu menggulingkan Najib seperti yang dikatakan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi didedahkan kepada umum.

Gesaan itu ekoran pendedahan Zahid bahawa beliau mempunyai rakaman mengenai perbincangan Mahathir yang mahu menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Perbincangan itu dikatakan berlaku dalam satu mesyuarat selepas Zahid dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri pada tahun 2015.

“Malah, beliau kata Dr Mahathir juga ada salinan rakaman yang sama.

“Jika benar, mengapa rakaman pertemuan Dr Mahathir-Zahid belum dimainkan supaya semua orang tahu apa sebenarnya yang dibincangkan, jika benar Zahid dan Dr Mahathir mempunyai merakam perbincangan mereka itu pada 2015?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zahid mengakui ada bertemu Mahathir beberapa hari selepas pelantikannya, tetapi menafikan dakwaan ia bertujuan untuk menjatuhkan Najib.

Dalam ucapannya kepada perwakilan Umno Jerlun Jumaat lepas, Zahid berkata beliau menyimpan rakaman pertemuan itu.

“Saya ingin katakan, ia berlaku atas keizinan perdana menteri selepas 10 hari saya dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

“Jangan berbohong. Rakaman itu masih ada pada saya. Mereka mudah lupa, tetapi saya tidak lupa.”

Zahid menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang digugurkan kerana mempertikaikan 1MDB.

“Bagaimana saya mahu jatuhkan perdana menteri selepas 10 hari saya dilantik?” soal Zahid.

Najib hari ini berkata beliau tidak percaya dakwaan Zahid berkonspirasi untuk menggulingkan beliau dan menganggapnya sebagai tidak masuk akal.

“Tak masuk akal lepas jadi timbalan perdana menteri minta guling saya. Tak mungkin dan tidak betul. Satu fitnah sama sekali,” kata Presiden Umno itu.

“Kita jangan berlegar cerita begini. Percayalah kepimpinan Umno kukuh dan saya tetap yakin dengan Zahid, habis cerita,” katanya dalam ucapan pembukaan Mesyuarat Perwakilan Umno Shah Alam di Seksyen 18 hari ini.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyeru ahli Umno supaya bersatu kerana dakwaan itu katanya, cubaan Mahathir untuk memecah-belahkan kepimpinan parti menuju pilihan raya umum ke-14.

No comments:

Post a Comment