Friday, February 23, 2018

Kita dimalukan mengenai kemaluan wanita

Apabila Malaysia dimalukan mengenai kemaluan wanita
Faisal Tehrani  -  February 22, 2018
Gambar Reuters

Beberapa hari lepas, Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) menegur prestasi hak asasi manusia di Malaysia khusus melibatkan pembangunan wanita.

Kritikan keras dan pedas dari jawatankuasa itu meliputi pelbagai aspek termasuk kelemahan perundangan, diskriminasi terhadap transgender, hak penjagaan anak, pendidikan seks, pewarisan, poligami dan lain-lain lagi.

Sejak menandatangani konvensyen tersebut pada 1995, Malaysia seharusnya melaporkan perkembangan pembangunan wanita setiap empat tahun. Namun demikian, Malaysia gagal berbuat demikian dan kali terakhir melaporkan kepada CEDAW pada 2006.

Apa yang lebih menghampakan jawatankuasa tersebut ialah apabila wakil Malaysia menghujahkan tradisi amalan agama sebagai alasan untuk melakukan “pemotongan genitalia wanita” atau “female genital mutilation” (FGM) terhadap kanak-kanak perempuan.

Wakil Malaysia mendakwa negara ini mematuhi tradisi perundangan mazhab Syafie dan ia dianggap wajib melainkan menjejas atau mencederakan bayi atau kanak-kanak tersebut.

Hujah tersebut disangkal oleh ahli jawatankuasa CEDAW, Naéla Gabr dari Mesir yang menyatakan FGM kanak-kanak perempuan adalah tradisi Afrika dan tidak diamalkan di negara Islam yang lain seperti Arab Saudi dan Algeria.

Gabr malah menekankan, Mesir juga mengamalkan mazhab Syafie tetapi tidak mengamalkannya dan mendesak supaya fatwa itu dibincangkan semula.

Anggota komiti CEDAW dari Bangladesh, Ismat Jahan, turut menolak FGM kanak-kanak perempuan. Lebih memalukan, 6 ahli komiti CEDAW yang mendengar laporan dari Malaysia adalah dari negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) iaitu Mesir dan Bangladesh sendiri, serta Lubnan, Turki, Algeria, dan Mauritania.

Mereka menolak amalan FGM kanak-kanak perempuan sebagai amalan Islam. Mereka juga menegaskan negara mereka tidak mengamalkannya.

Teguran CEDAW adalah tamparan keras kepada Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-86 yang bersidang antara 21 sehingga 23 April 2009.

Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan menetapkan hukum “berkhatan” bagi perempuan adalah wajib, namun boleh dielakkan jika membawa kemudaratan. Aktivis hak asasi manusia telah berulangkali menegaskan amalan ini bercanggah dengan pendirian ulama tersohor, antara lain Dr Yusuf al-Qaradawi yang menjadi rujukan penting fekah aliran Sunnah zaman ini.

Selain beliau, ilmuan Islam dari Mesir, Dr Mohammad Salim Al-Awa turut menghujahkan amalan FGM ini hanya menjadi tradisi budaya sebahagian kecil masyarakat Arab. Dari sudut perubatan, Dr Harlina Siraj, pakar sakit puan yang pernah mengetuai Jabatan Pendidikan Perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia, menyifatkan amalan ini sebagai “penghinaan” terhadap wanita dan tiada dalam sirah (sejarah kehidupan Nabi Muhammad) yang menyatakan Rasulullah “mengkhatankan” anak perempuan.

Prosedur

Bagaimanakah tradisi Melayu melakukan amalan ini?

Kebiasaannya bayi perempuan Melayu dipotong bahagian genitalia mereka selepas 45 hari dilahirkan, ada yang menunggu antara usia 3-6 bulan. Terdapat juga kalangan wanita dewasa yang baru menganut agama Islam atau pekerja seks rela untuk dipotong selaput daging pada bahagian atas saluran kencing yang menutupi klitoris mereka.

Ibu bapa bayi akan menyediakan kain kapas putih sepanjang satu meter (2m bagi wanita dewasa). Kain putih ini digunakan sebagai lapik punggung dan kain yang sama juga dikoyakkan sedikit untuk membungkus duit syiling dan pelapik mata pisau cukur.

Selain duit syiling 5 sen (sebagai pelapik mata pisau cukur bagi mengelak mata pisau menoreh tangan) dan mata pisau cukur, tukang potong kemaluan bayi perempuan juga akan menyediakan minyak urut (selalunya gamat).

Sebelum proses pemotongan, bidan atau tukang mudin akan membacakan doa, selawat, Al-Fatihah, Ayat Kursi, dan kalimah syahadat sebanyak 3 kali. Mata pisau cukur dikerat antara 2-4 bahagian kecil dan untuk perempuan dewasa, gunting akan digunakan. Bidan akan memotong daging yang ada di sebelah atas faraj yang seakan-akan bonggolan atau jambul di kepala ayam jantan. Kononnya memotong sedikit sahaja dari daging itu lebih afdhal.

Darah yang terbit akan dilapkan dengan kapas putih. Untuk perempuan dewasa, daging yang dipotong adalah kira-kira setengah inci (1.3cm). Selepas proses memotong tersebut, dalam keadaan pedih, bayi akan dimandikan dengan air limau sambil membaca selawat.

Sebagai penutup, bidan akan berdoa iaitu memohon kepada Allah supaya mangsa yang dipotong kemaluannya sentiasa taat kepada perintah-Nya. Kain, mata pisau dan gunting akan digunakan sekali saja dan dibungkus lantas ditanam bersama daging yang dipotong tadi. Bidan melakukan pemotongan kemaluan ini tanpa sebarang suntikan bius atau ubat pelali. Mereka hanya berbekalkan ayat Al-Quran agar mangsa yang dipotong tidak merasa sakit.

FGM tinggi di alam Melayu

Laporan Unicef, yang menangani pemotongan kemaluan kanak-kanak perempuan pada Februari 2016, menyatakan rantau Melayu (khusus Indonesia) adalah antara yang ketiga tertinggi mempertahankan tradisi ini termasuk Gambia dan Somalia.

Di Malaysia, tradisi pemotongan kemaluan bayi perempuan ini lebih banyak diamalkan oleh suku Boyan dan kemudian suku lain terikut-ikut.

Selalunya hujah lain untuk mewajarkan pemotongan kemaluan ini adalah agar dapat menundukkan wanita untuk lebih mudah mengendalikan rangsangan seksual mereka.

Sebagai contoh, Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid, pernah menyatakan amalan memotong kemaluan perempuan ini wajar diterima memandangkan “amalan di Malaysia berbeza dengan masyarakat Islam di negara lain kerana ia hanya melalukan mata pisau di bahagian kelentit dan digalakkan dalam Islam”.

Beliau seterusnya berhujah, “khatan untuk wanita di sini hanyalah melalukan pisau di hujung kelentit untuk mengurangkan nafsu dan berbeza dengan khatan di luar negara yang membuang sepenuhnya. Ia diharamkan dalam Islam kerana memudaratkan dan menyakitkan. Kita di Malaysia tidak sampai ke tahap itu. Perkara ini sudah dibincangkan dalam Majlis Fatwa. Apa yang dilakukan negara luar adalah melampaui batas tatasusila manusia”.

Adalah sangat mengecewakan kaum agamawan mempertahankan tradisi yang tidak berjejak dari amalan Islam ini dan mengenepikan permintaan pengamal perubatan. Alasan yang diberikan adalah amalan keagamaan, sedangkan Islam mazhab Syafie yang dipraktikkan di Mesir menghujahkan ia bukan satu bahagian dari Islam.

Ulama yang jauh lebih canggih seperti Yusuf al-Qaradawi sendiri menolak. Lebih menyedihkan ialah agamawan sanggup mendokong hujah patriarki dan memberi alasan agar kepuasan seksual perempuan diatur dan dikawal tubuhnya seraya menggambarkan fikiran stereotaip bahawa kanak-kanak kalau “tidak disunat akan liar”.

Kepuasan wanita Melayu

Sebenarnya amalan pemotongan kemaluan perempuan ini hanyalah satu tradisi yang diamalkan oleh etnik tertentu.

Jika kita membaca teks Melayu lama seperti “Perhimpunan Gunawan Bagi Laki-Laki dan Perempuan” yang dihasilkan oleh Khatijah Terung (isteri kepada kadi Riau, Raja Abdullah pada sekitar 1900), perempuan ternyata meraikan kepuasan seksual mereka.

Malah di dalam teks ini kegunaan klitoris diberi fokus khas agar perempuan juga puas.

Amalan perhambaan terdapat dalam agama Islam dan hari ini, kerana ia tidak lagi dianggap sebagai berperimanusiaan maka ia telah dihapuskan. Semestinyalah tradisi yang tidak sihat, beralasan “male-egoist”, dan tiada hujah jelas ditolak.

Amalan Islam harus sejajar dengan perkembangan semasa. Sudah tiba masanya kita menghentikan upacara memotong kemaluan kanak-kanak perempuan mahupun dewasa. Sedikit atau banyak bahagian kelentit dipotong bukanlah alasan untuk meneruskan amalan jahiliah ini.

Empat tahun lagi, jika tidak tuang, Malaysia akan membentangkan laporan kepada jawatankuasa CEDAW sekali lagi. Moga-moga banyak perubahan akan dicapai, dan bukan kemerosotan hak wanita.

* Faisal Tehrani adalah nama pena Dr Mohd Faizal Musa dan penulis 7 buku yang diharamkan kerajaan Malaysia.

Kaitan:
Khatan perempuan tiada dalam Islam, kata pakar
Tidak perlu haramkan amalan khatan perempuan, kata mufti

3 comments:

  1. pasaia kelentit di perjuangkan sungguh pasai hukum hukum Allah diam membisu macam sial aja puak ni

    Adalah sangat mengecewakan kaum agamawan mempertahankan tradisi yang tidak berjejak dari amalan Islam

    agamawan yang pertahankan hukum hukum Allah di katakan pelampau. ni la dia manusia cilaka namanya serata dunia ada

    menyifatkan amalan ini sebagai “penghinaan” terhadap wanita dan tiada dalam sirah (sejarah kehidupan Nabi Muhammad)

    biar pompuan dijadikan bahan seks oleh dalam pilem iklan dll tak dibantah keras itu pung satu penghinaan kat pompuan n dilarang oleh Allah n Nabi apasai tak keriau
    ni semua puak nak idup ikut selera saja

    Mesir dan Bangladesh sendiri, serta Lubnan, Turki, Algeria, dan Mauritania.

    apa jenis Islam negara ni

    ReplyDelete
    Replies
    1. Islam ala amno yang didokong mufti penjilat kelas satu. Kalau yang ada ilmu agama pun langgar hukum ikut suka hati mak bapak mereka maka tak pelik la masyarakatnya hancur punah. Ini lah akibatnya apabila menyembah manusia yang jahil agama tapi diagung agungkan laksana Tuhan.Puuuuih tuuih! Kah kah kah.

      Delete
  2. tuan, hati hati menyebar artikel faizal tehrani & farouk musa...betul ka cara khitan untuk perempuan di malaysia yang faizal ni ceritakan? anak saya khitan bukan macam tu, boleh tanya doktor macam mana cara khitan untuk bayi perempuan...fahami mengapa dan kenapa khitan untuk perempuan dilakukan dan cara dan jenis khitan itu...tak perlulah dilayan dan disebarkan lagi dakyah mereka-mereka ini...


    ReplyDelete