Thursday, February 22, 2018

Kenapalah mereka jadi "gila" sampai begitu sekali?

* Pada aku adalah lebih mulia meminta dari rakyat daripada mencuri dari mereka

Thursday, 22 February 2018
KENAPA RAMAI JADI 'GILA' BILA BERSATU BUAT KUTIPAN DERMA? BUKANKAH CALON PRESIDEN AMERIKA PUN LAKUKAN PERKARA YANG SAMA?

Entah kenapa, ramai puak sebelah sana yang tiba-tiba jadi "sakit hati", "mereng kepala" dan "gila" apabila Bersatu melancarkan tabung kutipan derma di kalangan orangramai bagi menghadapi pilihanraya akan datang dan bagi tujuan memudahkan lagi usaha menumbangkan kerajaan kleptokrasi sedia ada.

Mereka mengatakan kutipan derma itu sebagai tindakan zalim dan menganiaya rakyat jelata kerana Tun Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir didakwa kaya raya serta memiliki banyak harta di merata-rata.

Keluarkanlah wang simpanan berjuta-juta itu atau jual saja sebahagian harta-harta yang ada, demikian antara hujah mereka.

Tidak cukup dengan itu, ada pula pemimpin UMNO kesayangan Najib Razak yang sanggup mengadakan sidang media dengan gimik kononnya menderma sejumlah RM7 bilion kepada Bersatu.

Kenapalah mereka jadi "gila" sampai begitu sekali?

Tidakkah mereka sedar bahawa amalan mengutip derma untuk menghadapi pilihanraya, apatah lagi bagi menyingkirkan kerajaan yang penuh skandal dan bermasalah, adalah perkara biasa dan berlaku di mana-mana, malah calon Presiden Amerika Syarikat pun melakukan perkara yang sama?

Adakah calon Presiden Amerika selama ini miskin-miskin belaka?

Tindakan pemimpin UMNO dengan gimik RM7 bilion itu bukan saja menyerlahkan "kegilaan tahap gaban" terhadap apa yang dilakukan oleh Bersatu untuk mendapatkan sumbangan derma daripada orangramai, malah ia jelas suatu penyebaran berita palsu yang paling nyata sekali.

Bukan saja jumlah RM7 bilion yang konon diderma itu sah palsu, nama bank pun palsu, malah cek sebenar yang dirahsiakan dan dimasukkan melalui mesin deposit cek di sebuah bank juga tidak diketahui atas nama siapa serta berapa jumlahnya.

Makanya, ia adalah berita palsu yang sepalsu-palsunya.

Di ketika Najib mahu menggubal undang-undang untuk mengekang berita palsu, tindakan pemimpin UMNO berkenaan adalah suatu tamparan paling nyata seolah-olah kepalsuan adalah mainan harian mereka sejak dulu, kini dan selamanya.

Kenapa UMNO begitu risau dan sakit hati bila Bersatu mengutip derma?

Harus disedari bahawa langkah mengutip derma itu bukanlah paksaan, ia hanya sukarela bagi sesiapa yang ingin menderma. Jumlah yang perlu diderma juga tidak dipaksa, boleh RM1, RM5, RM10 atau jumlah-jumlah lain mengikut kemampuan.

Yang pentingnya, ia melambangkan keinginan untuk turut serta dan sedia berkorban di kalangan rakyat jelata untuk sama-sama menumbangkan kerajaan kleptokrasi yang sedang berkuasa.

Lebih utama lagi, wang derma itu dimasukkan dalam sebuah tabung yang bukan rahsia dan pasti akan diumumkan berapa jumlah yang diperolehi nanti. Ia jauh berbeza dengan Najib yang menerima "derma" daripada 1MDB, tetapi memasukkannya dalam akuan peribadi.

Apakah perasaan "sakit hati", "mereng kepala" dan "gila" UMNO itu kerana mereka bimbang rakyat akan berpusu-pusu menghulurkan derma yang secara tidak langsung memberi gambaran sang kleptokrat yang sedang bertakhta memang perlu dinyahkan dengan segera? (ShahbudinHusin 22/02/2018).

Anda mungkin juga meminati:
"GILA", "SEWEL", "BENGONG" ATAU....?

Posted by Shahbudin Husin at 08:28 

1 comment:

  1. Kutip derma dgn tadah tin milo pun masih lagi dipraktikkan.
    Betoi tk lebai-lebai?

    ReplyDelete